Naskhah Al-Quran tulisan tangan Nurly Shahirah didigital dan dipamer di UPSI. Naskhah al-Quran tulisan tangan milik Allahyarham Nurly Shahirah Azman kini ditempatkan di Perpustakaan Tuanku Bainun, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi tujuan pendigitalan selain dipamerkan kepada umum.
Naskhah Al-Quran Tulisan Tangan Nurly Shahirah Didigital Dan Dipamer Di UPSI
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, mushaf berharga itu mencerminkan ketabahan dan usaha gigih Allahyarham sepanjang pengajian di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, Besut dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima.
“Proses pendigitalan bertujuan memastikan naskhah berkenaan dapat dipelihara dengan rapi untuk jangka masa panjang di samping menghasilkan salinan digital yang lengkap dan berkualiti tinggi bagi dijadikan koleksi rujukan serta sumber kajian di perpustakaan.
“Selain itu, pendigitalan ini juga memberi ruang kepada masyarakat umum, pelajar serta penyelidik untuk mengakses dan merujuk naskhah tersebut tanpa menjejaskan keaslian manuskrip asal,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ketua Pustakawan UPSI, Noriha Muhammad pula menjelaskan, kerja pendigitalan sepenuhnya dilaksanakan oleh pasukan Perpustakaan Digital UPSI (UDL) menggunakan teknologi imej resolusi tinggi agar setiap helaian dapat direkodkan dengan jelas.
Ads
Beliau menambah, tujuan utama usaha itu adalah memastikan mushaf tulisan tangan berkenaan terpelihara dalam keadaan terbaik untuk tempoh yang lama, sekali gus mengurangkan risiko kerosakan akibat faktor usia, cuaca dan penggunaan berulang.
“Usaha ini secara tidak langsung menyokong pemeliharaan warisan intelektual dan kerohanian umat Islam di samping menjadi amal jariah berterusan buat Allahyarham Nurly Shahirah,” katanya.
Bagi memberi peluang kepada masyarakat lebih dekat dengan khazanah tersebut, mushaf al-Quran tulisan tangan Nurly turut dipamerkan di Aras 1, Perpustakaan Tuanku Bainun bermula 25 Ogos hingga 2 September 2025.
Ads
Menurut Noriha, pameran berkenaan memberi kesempatan kepada orang ramai yang sebelum ini terbatas untuk melihatnya di Besut, Terengganu, merasai sendiri hasil kesungguhan seorang anak muda menyalin keseluruhan mushaf al-Quran.
“Pameran ini bukan sahaja bertujuan menonjolkan keindahan seni tulisan tangan al-Quran, malah sebagai penghargaan terhadap ketabahan dan ketekunan Allahyarham Nurly Shahirah, di samping memberi inspirasi kepada generasi muda untuk mencintai al-Quran serta menjadikannya sebagai sumber motivasi dalam pengajian dan kehidupan seharian,” katanya.
Ads
Untuk rekod, Allahyarham Nurly Shahirah merupakan antara 15 pelajar UPSI yang terkorban dalam kemalangan tragis awal pagi 9 Jun lalu. Bas sewa khas yang membawa rombongan dari Jertih, Terengganu ke kampus utama Tanjong Malim, Perak, terbalik selepas bertembung dengan sebuah Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik. Insiden itu turut mengakibatkan 33 orang lain cedera termasuk pemandu bas, kelindan serta pemandu dan penumpang Alza terbabit.
Mayat reput ditemukan di Banting sah Yap Xin Yuan, remaja 15 Tahun yang dilapor hilang. Polis mengesahkan mayat reput yang ditemui dalam sungai di Banting pada 28 Disember lalu ialah remaja perempuan berusia 15 tahun, Yap Xin Yuan.
Mayat Reput Ditemukan Di Banting Sah Yap Xin Yuan
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ia berdasarkan keputusan analisa Asid Deoksiribonukleik (DNA) oleh Jabatan Kimia yang diperoleh pada Khamis.
“DNA positif. Mayat akan dituntut petang ini di Hospital Banting oleh pihak keluarga,” katanya.
Terdahulu polis Selangor menahan tiga lelaki termasuk teman lelaki remaja perempuan yang dilaporkan hilang pada 19 Disember lalu selepas penemuan mayat reput di Kampung Rancangan Tanah Baharu (RTB) Sungai Changgang, Banting.
Remaja perempuan terbabit dilapor hilang sejak 19 Disember lalu apabila tidak pulang ke rumahnya selepas tamat latihan tarian singa di gelanggang bola keranjang di Batu 11, Cheras.
Hussein Omar Khan.
Remaja 15 Tahun Yang Dilapor Hilang
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof dilapor berkata, laporan kehilangan Xin Yuan diterima di Balai Polis Batu 9, Cheras pada jam 2.15 pagi.
Media sebelum ini melaporkan remaja perempuan dilapor itu dilaporkan hilang apabila tidak pulang ke rumahnya selepas tamat latihan tarian singa di gelanggang bola keranjang di Batu 11, Cheras.
Kali terakhir remaja itu dilihat di gelanggang bola keranjang terbabit berbaju tarian singa berwarna merah.
Remaja ini berketinggian 155 sentimeter (cm), berat 39 kilogram, berambut panjang, dan memakai pendakap gigi.
Ibu bapa boleh jadi faktor ‘membiaknya’ buli, jangan hanya salahkan Guru – Asyraf Wajdi. Faktor rumah tangga dan peranan ibu bapa dilihat menjadi antara penyumbang utama kepada gejala buli dalam kalangan pelajar sekolah, menurut Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Ibu Bapa Boleh Jadi Faktor ‘Membiaknya’ Buli, Jangan Hanya Salahkan Guru – Asyraf Wajdi
Dalam satu kenyataan yang dikongsikan di laman Facebook pada hari Rabu, beliau menegaskan bahawa adalah tidak adil untuk meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada guru atau pelajar semata-mata.
“Kita tidak boleh hanya menyalahkan pelajar atau pendidik. Keadaan dalam keluarga serta sikap ibu bapa turut memainkan peranan besar dalam mencorakkan tingkah laku anak-anak, termasuk kecenderungan kepada perbuatan membuli yang akhirnya terbawa ke sekolah atau asrama,” jelas beliau.
Kenyataan tersebut dibuat susulan laporan oleh media pada Isnin yang menyatakan bahawa pihak MARA telah mengarahkan siasatan segera dijalankan terhadap satu kes buli yang dikatakan berlaku di sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di bahagian utara negara.
Insiden tersebut mencetuskan kemarahan ramai selepas satu video berdurasi 1 minit 31 saat tular di media sosial, memaparkan beberapa pelajar yang bertindak memijak dan duduk di atas seorang pelajar lelaki lain. Lebih membimbangkan, mangsa turut diikat kakinya menggunakan tali pinggang tanpa menunjukkan sebarang usaha untuk melawan.
Berikutan siasatan dalaman yang dilakukan, Asyraf Wajdi memaklumkan bahawa tujuh pelajar yang terlibat dalam kejadian tersebut telah disyorkan untuk diberhentikan daripada pengajian di institusi berkenaan.
Hasil keputusan Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) mendapati bahawa daripada tujuh pelajar terbabit, dua daripadanya memainkan peranan utama dalam tindakan membuli, manakala lima lagi dikenal pasti bersubahat.
“Kesemua mereka telah dicadangkan untuk ditamatkan pengajian di MRSM sebagai langkah tegas terhadap sebarang bentuk salah laku yang mencemarkan nama institusi pendidikan,” ujarnya lagi.
Sampai hati langgar murid sekolah ketika nak melintas jalan. Seorang murid Tahun Lima cedera patah jari kaki selepas dilanggar kereta yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mabuk.
Paling menyedihkan kejadian berlaku ketika pelajar melintas jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan Port Dickson di sini.
LELAKI MABUK PANDU MYVI
Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, kejadian jam 7.10 pagi itu berlaku ketika Perodua Myvi dipandu suspek dalam perjalanan dari Pekan Port Dickson menghala ke Teluk Kemang.
“Pemandu itu gagal mematuhi lampu isyarat merah dan telah melanggar murid berkenaan.
“Kejadian itu mengakibatkan mangsa mengalami patah ibu jari kaki kanan serta luka di bahagian kaki dan tangan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ujarnya, bertindak atas kejadian itu, polis menahan pemandu kereta terbabit yang berusia 28 tahun.
Menurutnya, ujian saringan yang dilakukan mendapati bacaan alkohol pemandu berkenaan sebanyak 230mg alkohol/100ml darah.
“Suspek direman bermula Khamis sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sabit kesalahan pemandu boleh dikenakan hukuman penjara minimum tujuh tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM30,000 dan tidak lebih RM50,000,” katanya
Sumber: Sinar Harian
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di