
Penyanyi berkelas dunia, Noryn Aziz mendedahkan dirinya sudah bertahun-tahun meninggalkan tabiat gemar makan makanan segera, terutama ayam goreng yang suatu ketika dahulu menjadi pilihan kegemarannya.
Menurut Noryn atau nama lengkapnya Norazmahwati Abdul Aziz, 49, dia mengakui dahulu dirinya cukup sukar menolak godaan makanan segera. Pantang terlihat restoran makanan segera, pasti dia akan singgah untuk membeli.
“Saya memang dah lama tak makan makanan segera, dah bertahun-tahun.
“Sehinggakan saya sudah tidak ada keinginan untuk makan makanan segera hari ini.
“Kalau dahulu saya kena makan ayam goreng, pantang lalu mesti saya akan beli,” katanya.
Seiring peningkatan usia, Noryn Aziz yang sinonim dengan genre Jazz mula lebih peka terhadap kepentingan menjaga kesihatan, terutama daripada aspek pemakanan harian.
Bagi beliau, perubahan itu berlaku apabila semakin memahami perbezaan antara makanan yang baik untuk tubuh dan makanan yang boleh memberi kesan kurang sihat jika diambil secara berlebihan.
Keputusan meninggalkan makanan segera bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi apabila ia sudah menjadi kebiasaan sejak sekian lama. Namun, kesedaran terhadap kesihatan membuatkan beliau lebih berdisiplin dalam memilih makanan setiap hari.
Selain tidak lagi menyentuh makanan segera, Noryn Aziz turut berkongsi bahawa beliau sudah beberapa tahun mengamalkan pengambilan nasi dalam kuantiti yang sangat sedikit.
Katanya, sebagai orang Melayu, agak sukar untuk meninggalkan makanan ruji itu sepenuhnya, lebih-lebih lagi apabila dihidangkan bersama masakan kampung yang menyelerakan.
“Selain makanan segera, saya juga sudah kurangkan pengambilan nasi. Cukup satu hingga dua sudu sahaja.
“Pada masa sama saya akan kira jumlah kalori saya setiap hari.
“Tapi tipulah kalau tak ada ‘cheat day’ sesekali. Lagi-lagi kalau lauk terlalu sedap,” ujarnya.
Amalan mengawal kuantiti makanan dan mengira kalori sedikit sebanyak membantu Noryn Aziz mengekalkan pemakanan yang lebih seimbang.
Beliau percaya menjaga kesihatan tidak semestinya bermaksud menyeksa diri atau menghapuskan terus semua makanan kegemaran. Sebaliknya, perubahan kecil yang dilakukan secara konsisten mampu memberi kesan besar terhadap kesihatan dalam jangka masa panjang.
Mengawal saiz hidangan, memilih makanan yang lebih berkhasiat dan mengurangkan pengambilan makanan diproses merupakan antara langkah yang boleh diamalkan oleh sesiapa sahaja. Pendekatan ini juga lebih mudah dikekalkan berbanding diet yang terlalu ketat.
Sesekali menikmati makanan kegemaran juga tidak menjadi masalah, asalkan tidak dijadikan rutin harian sehingga menjejaskan kesihatan. Konsep keseimbangan inilah yang diamalkan oleh Noryn dalam kehidupan hariannya.
Perkongsian Noryn Aziz ini boleh menjadi inspirasi buat ramai wanita, khususnya ibu-ibu yang mahu mula menjaga pemakanan tetapi masih sukar meninggalkan makanan kegemaran.
Tidak perlu berubah secara mendadak. Mulakan dengan langkah kecil seperti mengurangkan makanan segera, mengecilkan portion nasi, memperbanyakkan makanan seimbang serta belajar mengawal keinginan makan secara berperingkat.
Paling penting, perubahan gaya hidup perlu datang daripada kesedaran diri. Apabila usia semakin meningkat, menjaga pemakanan bukan lagi sekadar mahu kelihatan langsing atau cantik, tetapi demi mendapatkan tubuh yang lebih sihat, bertenaga dan mampu menjalani kehidupan harian dengan lebih berkualiti.
Amalan pemakanan sihat yang konsisten bukan sahaja membantu mengawal berat badan, malah berpotensi mengurangkan risiko penyakit kronik seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung. Perubahan kecil yang dilakukan hari ini mampu memberi manfaat besar untuk kesihatan pada masa hadapan.
BACA LAGI : Nasihat Wanita Miliki Barang Kemas Tulen Bukan Tiruan, Noryn Aziz – “Boleh Jadi Aset & Pelaburan Masa Depan”