Bukan calang-calang untuk bergelar Ironman pada usia 61. Namun usia bukan halangan buat lelaki ini untuk menyelesaikan kesemua cabaran dalam Ironman 2024 dalam tempoh 15 jam.
Menerusi video dimuat naik di laman Instagram @hakiemtajudin ayahnya menunjukkan disiplin yang luar biasa selepas dilihat berjaya menyelesaikan kesemua cabaran dalam Ironman 2024 dalam tempoh 15 jam, 54 minit dan 23 saat dengan 223KM!
Kecekalan pesara, Tajudin Mustaffa atau turut dikenali sebagai TriHulk membuktikan bahawa umur tidak menjadi penghalang untuk dirinya sampai ke garisan penamat.
Dalam video berkenaan memaparkan perjalanan ayahnya untuk meraih gelaran Ironman Malaysia. Tulisnya dalam kapsyen yang ringkas penuh makna bahawa kejayaan ayahnya membuktikan bahawa jangan pernah putus atas untuk mencapai impian.
“Apa yang saya dapat pelajari dari ayah adalah jangan pernah putus asa untuk mencapai impian. Umur hanya angka nombor sahaja.”
BUKAN KOMANDO TAPI BEKAS KAKITANGAN BANK
Bagaikan tidak percaya ada yang beranggapan kerjaya lelaki ini adalah komando sebelum bersara, namun sebaliknya adalah bekas kakitangan bank.
Meninjau di ruangan komen rata-rata meluahkan rasa kagum melihat lelaki warga emas ini dengan pencapaian yang luar biasa. Anak muda pun belum tentu dapat melepasi cabaran lasak itu. Antara komen adalah seperti berikut
Ads
“This made me shed a tear, congrats becoming an iron man uncle!! well deserved!” “Respect!” “Real age 61, body age 30. Kalah org muda ni.” “What a legend!!”
Memetik laporan Sinar Harian, Tajudin berkata, kejayaan tersebut merupakan pencapaian terbesar yang diraih selepas lima kali menyertai sukan Triathlon iaitu Kejohanan Ironman Malaysia di Langkawi.
“Saya masuk Ironman kali pertama pada 2009 tetapi saya tidak berjaya habiskan, percubaan kedua adalah 2018 dan saya berjaya sampai penamat, namun lebih dua minit daripada masa yang ditetapkan iaitu 17 jam.
“2019 saya masuk lagi, tapi tak habis sebab saya cedera ketika larian yang ke tujuh kilometer. Itu yang terakhir sebelum negara dilanda Covid-19.
“Tahun lepas, saya cuba lagi namun masih tidak berjaya tamatkan sebab hadapi masalah pada kilometer ke-16 ketika larian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Ads
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, walaupun menghadapi kegagalan sebanyak empat kali, namun itu tidak menjadi halangan kepadanya untuk terus berusaha.
Malah katanya, semua kelemahan yang berlaku sebelum ini dijadikan sebagai pengajaran untuk terus memperbaiki diri menjadi lebih baik dan berazam mahu mendapatkan gelaran iron man.
“Tahun ini saya berlatih dengan gigih dengan belajar daripada kesalahan dan kelemahan empat tahun sebelum ini dan akhirnya berjaya meraih gelaran Ironman Malaysia dengan catatan masa 15 jam 54 minit 23 saat.
“Tipulah jika tiada cabaran ketika latihan, memang tidak dinafikan. Macam berbasikal, agak sukar untuk saya buat latihan sebab kita ada dua pilihan sama ada di jalan raya atau di rumah menggunakan ‘bike smart trainer’.
Ads
“Kalau jalan raya, risiko sangat tinggi sebab banyak kenderaan. Kawan saya pun ramai yang kemalangan ketika latihan, jadi untuk elakkan risiko… 80 peratus latihan berbasikal saya buat di rumah sahaja,” jelasnya.
Tambah beliau, untuk mencapai kejayaan seperti ini bukan mudah kerana ia memerlukan daya tahan yang kuat daripada segi mental dan fizikal.
Ujarnya, selain daripada latihan yang konsisten dia juga menjaga pemakanan, makan vitamin untuk pemulihan selepas latihan dan tidak pernah merokok.
“Saya makan saja macam orang biasa, tiada pantang larang tapi saya akan sentiasa lakukan senaman atau latihan lebih lama jika saya makan dan minum manis dalam kuantiti banyak.
“Kalau kita makan ‘tiga’ pastikan kita buang ’empat’, kena lebih daripada jumlah kita makan. Barulah badan akan kekal sihat dan cergas. Jangan makan makanan yang tak sihat seperti banyak minyak, jajan dan makanan proses,” katanya.
Kes Zara Qairina: Pendakwaan Ke Atas 5 Remaja Tetap Diteruskan Esok. Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan prosiding pendakwaan terhadap lima remaja perempuan bawah 18 tahun akan berjalan di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Sabah, esok seperti dijadualkan.
Kes Zara Qairina: Pendakwaan Ke Atas 5 Remaja Tetap Diteruskan Esok
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar ketika dihubungi Harian Metro mengesahkan perkara itu.
“We will proceed (kita akan teruskan),” katanya ringkas.
Beliau memberikan maklum balas susulan kenyataan daripada pasukan guaman yang mewakili ibu kepada arwah Zara Qairina Mahathir, 13, yang memohon pertuduhan ditangguh dan dilaksanakan mengikut Seksyen 507D (2) Kanun Keseksaan. Seksyen berkenaan membawa hukuman maksimum 10 tahun penjara.
Pasukan guaman berkenaan berpendapat pertuduhan sedia ada iaitu di bawah Seksyen 507C (1) terlalu ringan serta tidak setimpal dengan tragedi yang berlaku. Mereka juga menekankan isu double jeopardy iaitu larangan seseorang didakwa dua kali atas kesalahan sama.
Untuk rekod, Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Ia terpakai kepada individu yang menggunakan kata-kata atau komunikasi berunsur ancaman, kesat, atau menghina sehingga menyebabkan orang lain terganggu, tertekan, ketakutan atau kebimbangan.
Semalam, Mohd Dusuki turut mengesahkan bahawa kelima-lima suspek terbabit dalam kes buli pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Sabah akan dihadapkan ke mahkamah.
Sebelum ini, polis sudah menyerahkan kertas siasatan kes kematian Zara Qairina kepada AGC untuk tindakan lanjut. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kertas siasatan tersebut siap selepas pihak berkuasa merakam keterangan daripada 195 orang saksi.
“Pihak polis sudah menyerahkan kepada Peguam Negara dan sekarang kita tunggu keputusan sama ada yakin dengan hasil siasatan untuk meneruskan apakah proses seterusnya,” katanya ketika sesi penerangan mengenai keselamatan dan ketenteraman awam di Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjelaskan siasatan kes ini merangkumi tiga elemen utama iaitu buli, pengabaian dan gangguan seksual. Semua hasil siasatan itu kini dalam perhatian AGC untuk menentukan bentuk tindakan, sama ada pendakwaan dijalankan ataupun inkues diteruskan bagi meneliti bukti dengan telus.
Mahkamah Koroner Kota Kinabalu sebelum ini menetapkan prosiding inkues kematian Zara Qairina akan bermula pada 3 September depan. Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Azreena Aziz yang bersidang sebagai Koroner menetapkan perbicaraan selama 19 hari pada 3 dan 4, 8 hingga 12, 17 hingga 19 serta 22 hingga 30 September. Seramai 195 saksi akan dipanggil sepanjang prosiding tersebut.
AGC dalam kenyataan sebelum ini menyatakan inkues diadakan bagi menentukan punca sebenar kematian pelajar berkenaan, termasuk menilai sama ada terdapat unsur jenayah. Prosiding ini dibuat mengikut subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).
Untuk makluman, Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada jam 3 pagi, 16 Julai lalu. Mangsa dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan asrama, dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth, namun disahkan meninggal dunia sehari kemudian.
Lima hari bertarung nyawa, akhirnya takdir menentukan seorang lagi mangsa kemalangan di persimpangan lampu isyarat Matahari Heights, Persiaran Senawang 1, meninggal dunia pada malam tadi,
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din mengesahkan remaja lelaki berusia 17 tahun itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.23 malam ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban selepas lima hari bertarung nyawa.
Mangsa merupakan penunggang motosikal Honda Vario yang dinaiki bersama seorang rakan lelaki berusia 13 tahun. Kini, tiga individu lain masih dalam keadaan parah dan sedang menerima rawatan di HTJ.
Jenazah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Maqbarak Salimah, Taman Zaitun Indah, di Sikamat pada 12.40 tengah malam.
Terdahulu, jenazah selesai dimandi dan dikafankan di Masjid Kariah Mambau pada 11.25 malam, sebelum dibawa ke Surau Flat UDA Ampangan untuk disolatkan.
Pemandu Honda Jazz Tiada Lesen
Setakat ini, tiga mangsa masih dalam rawatan iaitu rakan kepada Allahyarham Aisar Azim serta pemandu dan penumpang Honda Jazz yang masing-masing berusia 18 dan 17 tahun.- Katanya.
Menurut polis, Honda Jazz itu dipandu oleh seorang lelaki berusia 18 tahun yang tidak mempunyai lesen memandu.
Difahamkan, dia gagal menghentikan kenderaannya ketika lampu isyarat merah sebelum merempuh dua motosikal yang berada di laluan tersebut.
Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam Khamis lalu, dua remaja masing-masing berusia 15 dan 16 tahun maut, manakala tiga lagi parah termasuk pemandu dan penumpang Honda Jazz.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian meningkat kepada tiga orang.
Al-Fatihah buat arwah. Moga tenang di sisi-Nya
Sumber: Harian Metro & Sinar Harian
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Siapa sangka panggilan video menjadi tatapan akhir buat seorang suami setelah isterinya disahkan meninggal dunia setelah ditemui lemas.
Kejadian meruntun jiwa itu menjadi khabar duka buat lelaki ini setelah setelah beberapa seketika panggilan ditamatkan.
Memetik laporan Sinar Harian Abu Mansur Ahmad Musa, 43, berkata, panggilan video yang diterima daripada isteri Siti Fatimah Jaafar, 33, pada jam 5 petang itu merupakan panggilan video pertama dibuat isterinya dan wajahnya berseri-seri.
Katanya lagi, wajah isterinya kelihatan begitu cantik ketika panggilan video itu.
“Saya pelik dia tidak pernah buat panggilan video sebelum ini. Saya sempat usik isteri, minta dia ucap ‘I love you’ tetapi dia malu.”
“Namun beberapa minit kemudian, anak saudara hubungi saya beritahu, isteri dan anak saya lemas. Saya bergegas dari rumah kami di Ulu Tiram ke pantai,” katanya.
Sebelum itu, Siti Fatimah Jaafar, 33, dan anak saudaranya Nur Arisya Hanan Mohd Salleh, 13, dilaporkan lemas manakala empat lagi terselamat selepas mereka mandi di Pantai Bayu Impian, Bayu Damai pada petang Selasa.
Abu Mansur yang juga peniaga dalam talian memberitahu dia bersama isteri dan tiga anak berusia 12 hingga 8 tahun serta kira-kira 20 ahli keluarga pergi ke chalet di Pantai Bayu Impian sejak Isnin untuk bercuti.
Bagaimanapun, Abu Mansur terpaksa pulang ke rumah untuk mengambil barang perniagaan di rumah mereka pada tengah hari Isnin.
DETIK CEMAS
Menceritakan kisah tragis kejadian terbabit, Abu Mansur berkata, isterinya sedaya upaya menyelamatkan anak lelaki kedua mereka berusia 10 tahun yang dipercayai lemas terlebih dahulu.
“Tetapi selepas anak selamat, isteri saya pula tidak dapat diselamatkan dan ditemui tidak sedarkan diri.
“Saya cuba menenangkan anak sulung dan meminta anak saya menerima takdir Ilahi ini. Buat masa keadaan anak kedua di Hospital Kota Tinggi stabil dan telah dipindahkan ke wad perubatan biasa,” ujarnya.
PESANAN TERAKHIR JAGA ANAK AUTISME
Dalam pada itu, Abu Mansur memberitahu isterinya ada berpesan kepada anaknya agar menjaga adik bongsu yang merupakan anak kurang upaya (OKU) autisme.
“Sejak beberapa minggu lalu, isteri saya akan menangis berdoa dan berpesan kepada dua lagi anak lelaki kami agar menjaga Khalifah yang merupakan anak bongsu kami.
“Anak-anak dipeluk erat isteri selepas selesai solat berjemaah. Biasanya selepas kami sekeluarga solat berjemaah pada waktu malam,” katanya.
Abu Mansur memberitahu jenazah isterinya dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Tiram.