Kesihatan

‘Parental Burnout’, Realiti Yang Ramai Ibu Bapa Pendam Dalam Diam

Share

Menjadi ibu bapa sering dikaitkan dengan kebahagiaan dan rasa sempurna dalam menguruskan anak.

Namun, hakikatnya ada hari-hari apabila kasih sayang masih utuh, tetapi tenaga untuk terus memberi perhatian, menjaga emosi dan mengurus keluarga semakin berkurang.

Keadaan inilah yang boleh membawa kepada parental burnout jika berlarutan tanpa ruang untuk berehat dan memulihkan diri.

Ramai ibu bapa menganggap keletihan sebagai perkara normal sehingga tidak sedar mereka sebenarnya sedang mengalami keletihan fizikal dan emosi yang berpanjangan akibat tuntutan berterusan dalam peranan sebagai ibu atau ayah.

Keadaan ini bukan bermaksud seseorang gagal menjadi ibu bapa, sebaliknya menunjukkan beban yang dipikul setiap hari telah melebihi kemampuan tenaga dan emosi pada ketika itu.

3 Tanda ‘Parental Burnout’ Yang Sering Tidak Disedari

Menurut ahli psikologi Isabelle Roskam dan Moïra Mikolajczak, parental burnout lazimnya hadir melalui tiga tanda utama yang berkembang secara perlahan.

1. Keletihan emosi yang berpanjangan
Ibu bapa berasa seolah-olah sudah kehabisan tenaga untuk melayan, memujuk atau memberi perhatian walaupun masih menyayangi anak sepenuh hati.

2. Menjauh secara emosi darupada anak
Tanggungjawab harian mungkin masih dilakukan, tetapi hubungan bersama anak semakin hambar kerana tidak lagi mempunyai ruang untuk bermain, berbual atau menikmati masa berkualiti bersama mereka.

3. Merasakan diri tidak cukup baik
Perasaan bersalah dan menyalahkan diri sendiri mula muncul dengan fikiran seperti “aku patut jadi ibu yang lebih baik” atau “aku tak buat cukup untuk keluarga” yang boleh bermain berulang kali dalam fikiran.

Anak Turut Merasa Apa Yang Ibu Bapa Rasa

Kanak-kanak mungkin tidak memahami istilah parental burnout, tetapi mereka sangat peka terhadap perubahan emosi ibu bapa.

Apabila ibu bapa sentiasa tegang atau mudah marah, anak boleh menjadi lebih sensitif, mudah menangis, lebih kerap merengek atau mencari perhatian sebagai cara mendapatkan semula hubungan emosi dengan ibu bapanya.

Sesetengah anak kecil juga mungkin menyangka kemarahan atau kesedihan ibu bapanya berpunca daripada diri mereka, lalu timbul rasa bersalah yang tidak sepatutnya dipikul oleh seorang kanak-kanak.

Berhenti Mengejar Gelaran Ibu Bapa Sempurna

Salah satu punca terbesar tekanan ialah jangkaan bahawa rumah mesti sentiasa kemas, hidangan perlu hebat setiap hari dan semua aktiviti anak wajib disertai.

Hakikatnya, keluarga yang sihat bukan diukur melalui kesempurnaan rutin, tetapi melalui kemampuan ahli keluarga saling memahami keadaan antara satu sama lain.

Rumah tidak sentiasa perlu kemas, hidangan tidak semestinya istimewa setiap hari dan apa yang mampu dilakukan mengikut tenaga pada hari tersebut juga sudah cukup berharga.

Pasangan Jangan Sekadar Melihat Sahaja

Sokongan pasangan merupakan antara pelindung paling penting dan utama terhadap parental burnout kerana beban menjaga keluarga tidak sepatutnya dipikul oleh seorang sahaja.

Mendengar luahan tanpa terus menghakimi juga boleh membuatkan seseorang berasa lebih difahami daripada sekadar diberikan nasihat.

Rehat Pendek Juga Bermakna Untuk Parental Burnout

Ramai menyangka rehat hanya bermaksud bercuti, sedangkan beberapa minit duduk dengan tenang atau menikmati secawan teh tanpa gangguan juga merupakan microbreak yang membantu memulihkan emosi.

Perubahan kecil yang dilakukan secara konsisten selalunya lebih realistik berbanding cuba mengubah seluruh rutin keluarga dalam satu masa.

Menjaga Diri Demi Menjaga Keluarga

Menjaga diri bukan tanda mementingkan diri, tetapi pelaburan emosi supaya ibu bapa mempunyai tenaga untuk kembali hadir sepenuhnya buat anak-anak.

Jika keletihan mula mengganggu fungsi rutin harian, emosi atau hubungan dengan keluarga, mendapatkan bantuan daripada ahli psikologi merupakan langkah yang disarankan dan bukannya tanda kelemahan.

Kerana di sebalik sebuah keluarga yang bahagia, ibu dan ayah juga manusia yang layak berehat, didengar dan dijaga.

 

BACA LAGI: Suami Kalau Isteri Layan Kdrama, Biar Je, Ini Antara Cara Mereka Elak Emosi ‘Burnout’

Sumber: Pusat Pakar Psikologi Jiwa Damai