
Kebiasaanya apabila meraikan hari jadi isteri, para suami akan membeli hadiah bunga, coklat, alatan solek, beg, set barang dapur, kasut atau makan malam istimewa. Jika dikira jumlah hampir ratusan atau ada yang mencecah ribuan. Maklumlah jika beli beg pun berjenama mewah.
Bagaimanapun, bagi seorang peguam ini, beliau mencadangkan para suami beralih pemberian hadiah kepada barangan kemas. Tak perlu mahal katanya cukup sekadar sebentuk cincin. Namun jika disimpan dalam tempoh lama dan dikumpul sehingga 10 tahun jumlah aset ini akan bertambah. Malah katanya kemungkinan boleh mencecah kepada RM36,000!
Mungkin ada relevannya cara yang disarankan oleh peguam bernama Hayat Muhamad ini.
IKUTI PERKONGSIAN INI.

Pokyat, aku duduk terfikir nak belikan isteri aku hadiah. Apa hadiah yang sesuai untuk isteri?
Jawapan:
Korang beli bunga tak salah.
Korang belanja tempat makan sedap- sedap tak salah. Semua ada kenangan.
Tapi bunga akan layu. Makanan yang sedap akhirnya jadi najis.
Jawapan Pokyat ialah beli emas kat isteri. Cuba untuk tiap- tiap bulan beli emas kat isteri.
Kenapa pulak Pokyat? Habislah duit macam tu!
Korang tau,emas tidak akan susut nilai. Didik isteri kalau dia ada duit, beli lah emas. Kalau tak ada duit banyak, cukuplah beli cincin kosong RM 300 ringgit. Cuma pastikan emas 916. at least.
Aku nak cakap, orang kita kurang kesedaran menyimpan emas. Bagi Pokyat, emas kalis inflasi. Emas sepanjang masa, sepanjang zaman, kat manapun kat dunia, ia masih ada nilai.
InsyaAllah kalau ikutkan harga emas, ia akan berterusan meningkat. Jadi sesiapa yang menyimpan emas, dia akan beruntung.
Gelang Emas RM10k zaman mak- mak kita sekarang mungkin dah menjangkau RM17k pada zaman kita.
Kedua, Tadi Pokyat cakap kenapa emas mestilah at least 916? ( Ada emas yang lagi tinggi dan padu iaitu 99.9.)
Cara nak cairkan emas mudah sahaja iaitu jual pada Tukang Emas. Kalau emas bermutu rendah, anda juga akan dapat harga yang rendah.
Kalau 916, anda akan dapati harga dia maintain ok. Walaupun emas anda buruk, ia tetap ada harga.
ASET BERNILAI
Didik isteri supaya jangan membazir membeli perkara yang tidak berfaedah. Beli emas sebanyak mungkin.
Kalau cincin berharga RM300, pastu beli sebentuk setiap bulan, dalam setahun dah ada RM3600. Ada bonus beli rantai tangan pulak.
Perkara paling penting ialah, emas boleh digadai apabila susah atau terdesak. Kalau harga RM300, nak dapat RM200 segera memang kacang. Itulah manfaat yg orang tak nampak. Kalau ada 10 bentuk cincin, nak dapat RM2000 memang mudah. Cari yang kos simpan rendah.
Lepastu kesemua cincin- cincin tu boleh trade in pastu tambah sikit duit, untuk dapat gelang emas yang lebih besar.
Korang nampak macam Pokyat mengarut kan, tapi kalau betul- betul fokus dengan “ satu cincin setiap bulan”, nanti tengok lah 10-20 tahun, aset ini akan bertambah. Setahun RM3600, kalau 10 tahun = RM36,000. Pastu harga naik pulak.
Orang perempuan dan orang kedai emas mesti suka dengan plan dan cadangan Pokyat ni.
Percayalah, kalau kita susah masa tinggal batu je, isteri boleh bantu kita dengan hadiah- hadiah yang kita pernah bagi ni lah.
Sumber: Hayat Muhamad
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
“Satu Kerja Pepagi Cari Kedai”- Tindakan Ayah Ni Layan Ragam Anak Sebab Kicap, Dapat Pujian!

Bagi sesetengah orang, kalau makan nasi tanpa ada kicap tidak lengkap jadinya dan disebabkan kicap ini juga ada satu kisah antara seorang ayah dan anak perempuannya menjadi viral di media sosial.
Warganet bukan sahaja terhibur dengan ragam anak perempuannya yang ketika itu sedang dalam perjalanan untuk dihantar ke sekolah namun tiba-tiba menangis dek kerana bekal mee hoon goreng telur yang disediakan oleh ibunya tidak diletakkan kicap.
Tidak dengan itu, malah ramai yang memuji tindakan ayah ini yang dilihat begitu sabar melayan karenah anak meskipun berdepan dengan jalan yang jem hingga sanggup mencari kedai untuk membeli kicap tersebut daripada berpatah balik ke rumah.
Betullah kata pepatah kasih ibu hingga ke syurga kasih ayah sepanjang masa. Sanggup berkorban apa sahaja demi anak-anak.
“Takpelah, abah pun dah lambat ni, kita beli je ya kicap”
Pagi tadi, maknya buatkan bekal. Mee hoon goreng telur. Disebabkan maknya tak berapa sihat, jadi harini saya lah bertugas menghantar dia ke sekolah.
Otw ke sekolah, disebabkan jem. Dia beritahu saya nak makan bekal dia dulu dalam kereta. Saya iyakan sahajalah. Tiba-tiba, terdengar dia menangis.
“Hani kenapa menangis”
“Ibu bawakkan bekal tak letak kicap”
Lahaullawalla…
Pepagi dah mulakan hal nampaknya ni. Tapi sebagai ayah yang bijak saya beritahu.
“Hani nanti tanya cikgu lah kot dekat pantry school ada kicap”
“Taknaklah, nak abah patah balik rumah ambil kicap”
BACA ARTIKEL MENARIK INI JUGA
- Bila Adik Lunaskan Hutang Dengan Kumpul Duit Syiling, RM1 & RM5. Tarik Perhatian Warganet, Jadikan Inspirasi!
- Berkongsi Rezeki Perniagaan, Amir Bayar Zakat. Raih Pujian & Buat Ramai Terinspirasi!
- Keluarga Selebriti Ni Sanggup Buat Yang Terbaik Demi Anak Autisme. Ramai Terinspirasi!
Lailahaillallah..
Time ni saya dah tak jadi ayah dah. Saya berfikiran sebagai seorang lelaki, gaduh dengan perempuan macam mana pun tak akan menang.
“Takpelah, abah pun dah lambat ni, kita beli je ya kicap”
Mengangguk Hani perlahan.
Dah satu kerja pepagi cari kedai runcit yang buka, mujurlah ada.
Dan taraaaa. Tuangkan kicap selesai masalah. Kemain happy dia.

Pengajaran hari ini.
- Perempuan kalau dia minta apa saja, lelaki kena usahakan dapatkan.
- Perempuan dengan perempuan punya masalah, lelaki kena settlekan.
Sekian.
Sumber : Syafiq Ridzwan
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
‘Speaking Berabok’, Ikut Cara Perkongsian Budak Kampung Ni. Tiada Apa Pun Mustahil, Pasti Boleh!

Tepuk dada tanya selera dan ada juga peribahasa Melayu menyebut; hendak serubu daya, tak hendak seribu dalih. Ini jelas menggambarkan tentang tekad dan kesungguhan seorang anak kampung ini dalam menguasai bahasa inggeris, nyata tiada apa yang mustahil.
Perkongsian di akaun fn biliknya cukup memberi inspirasi kepada semua dan ini kisahnya, semoga bermanfaat.
BUDAK KAMPUNG BELAJAR BAHASA INGGERIS
Sekitar Darjah 2 dulu, baru dapat keputusan peperiksaan pertengahan tahun. Saya dapat Nombor 1 dalam kelas, tetapi hanya dapat B dalam Bahasa Inggeris. Saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Semut Api, sebuah sekolah rendah di Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu, Kelantan. Saya ‘ada rasa nak marahkan’ guru ketika itu kerana telah beri homework yang sangat banyak bagi subjek Bahasa Inggeris, sedangkan minggu depan cuti sekolah bermula. Sepatutnya cuti tak perlulah banyak homework. Dahlah payah nak belajar English.
Tamat sesi sekolah, saya berbasikal bersama kawan-kawan, mahu pulang ke rumah. Tahun itu tahun 1995, kawasan PCB ini adalah kawasan peranginan tersohor yang dikunjungi ramai pelancong, termasuklah orang putih. Selain pantainya yang indah, perusahaan batik, songket dan makanan laut amat popular dan menjadi tarikan utama. Tengah hari itu ada kelibat sepasang orang putih sedang berjalan di bahu jalan dari perhentian bas menuju ke kawasan pantai. Sekolah terletak di tengah antara dua tempat ini.
Lelaki mat salleh itu tiba-tiba melambai-lambai ke arah kami berempat. Gayanya macam mahu kami berhenti. Saya berdebar-debar. Kalau dia suruh ‘speaking’ memang nayalah, kami semua tak reti nak cakap Inggeris.
“Hi, guys. I am Allan and this is my girlfriend, Jennifer. We come from Australia…..” saya tidak dapat mendengar dengan jelas kata-katanya. Dia bercakap dengan seorang kawan saya.
“We missed our bus but ……. Beach resort,” tak jelas apa yang ditanya.
Saya perlahan-lahan mendekati mereka. Habis si lelaki ini bercakap, semua orang diam. Senyap tanpa suara.
Tiba-tiba seorang kawan saya mencuit bahu saya, “Weh, mung jawablah (Kau jawablah). Kecek ore putih (cakap dalam Bahasa Inggeris). Dio oyak gapo pung aku tok tahu (Dia cakap apa pun aku tak tahu).”
Saya pun tak reti nak cakap, kawan-kawan lain lagilah tak tahu. Masa tu, saya dapat B dalam Bahasa Inggeris, kawan-kawan lain dapat C, ada yang tak lulus pun.
Mungkin si lelaki ini memahami keadaan kami, dia bertanya, “I thought you learn English in school. Can you speak in English at all?”
Masa itu saya dok mengagak-agak, dia nak ke ‘beach’ iaitu kawasan pantai. Beach Resort. Agak-agak, di kawasan pantailah kot.
“Go there!” saya memberi jawapan, sambil tangan menunjuk ke arah pantai. “You see …. school? Beach …. there,” sambung saya sambil tangan dok buat gaya menunjuk ke arah pantai. Tergagap-gagap macam orang tak pernah bercakap. Takut-takut macam tengah bercakap dengan raksasa.
Saat itu saya menangis malu. Menitis air mata. Entah kenapa hati saya terusik hebat. Saya rasa dijentik.
“Kenapa aku bersekolah dan belajar Inggeris tetapi aku tidak reti bercakap menggunakannya?” hati bertanya-tanya sendiri. Mempersoalkan diri sendiri.
Cerita yang lebih kurang sama berulang beberapa kali. Ada di kawasan pantai, di kedai makan, di kedai batik dan di sekolah. Ramai pelancong berBahasa Inggeris yang datang ke PCB ini. Setiap kali ditegur itulah buat saya rasa malu kerana tak mampu nak menjawab dengan ayat penuh. Rasa malu besar inilah salah satu pencetus kenapa saya MULA SERIUS belajar Bahasa Inggeris.
1) DISOKONG OLEH KELUARGA
“Umi, Abe nok belajar English biar sampai pandai (Umi, Abang nak belajar English sampai pandai). Nok biar buleh kecek supo ore putih (Nak sampai boleh cakap Inggeris macam orang Inggeris),” luah hati saya pada malam itu selepas makan malam kepada ibu saya, Umi.
Jawab Umi, “Boleh, sayang!”
Esok petangnya, saya menunggu Umi dan Abah pulang dari kerja seperti biasa. Siap terhidang di meja satu jag air oren sejuk, seperti biasa saya siapkan untuk menyambut Umi dan Abah. Umilah selalu pesan, “Kalau sayang Umi dan Abah, buatlah air sikit petang-petang, boleh Umi dan Abah minum apabila sampai di rumah.”
Terdengar sahaja bunyi kereta, saya berlari ke luar rumah. Umi keluar dari kereta, berjalan kepada saya. Dihulurkan sebuah bungkusan. Cepat-cepat saya ambil Tak fikir dah pasal air. Saya terus membuka bungkusannya. Bukan selalu dapat hadiah.
Ada dictionary!

Sebuah Kamus Dwibahasa Oxford Fajar Edisi Kedua terbitan 1991. Dan ada sebuah kamus lagi, kecil saiznya. Kamus Dwibahasa MKS sebesar tapak tangan saya ketika itu.
Alhamdulillah, KELUARGA MENYOKONG impian saya! – Ya, keluarga, terutama ibu bapa, kena beri dorongan kepada anak-anak.
2) FIKIR POSITIF “AKU BOLEH” – SELF-MOTIVATION
Saya tahu susah nak kuasai Bahasa Inggeris. Tapi setiap hari dok cakap kepada diri sendiri, “Aku boleh! Aku boleh! Kalau orang lain boleh, kenapa aku tak boleh? Mesti aku boleh juga!”
Beri semangat kepada diri sendiri. Setiap hari beri semangat.
Pernah kawan mengejek, “Oloh, kecek ore putih nah dio, bunying lucu mollek (Alahai, bercakap guna Bahasa Inggerislah dia. Dengar macam lucu sungguh)!”
Tapi saya pekakkan sahaja telinga. Buat tak tahu sahajalah. Setiap kali dengar orang cakap sebegitu, saya beri semangat kepada diri, “Aku Boleh!”
Ketika itu jiwa kanak-kanak memberontak, saya berazam dalam diri, “Ejeklah aku sekarang. Suatu hari nanti, kau akan tengok aku sudah pandai berbahasa Inggeris dan kau tak pandai pun. Ejeklah lagi..”
Geram je nak lawan ejekan kawan. Tetapi entahlah, tak melawan. Sebab pembuli tu badan lebih besar kot. Saya takut. Heheh.
3) BACA, BACA & BACA. READ, READ & READ.
Semasa kecil, setiap hari Nenek saya mengajar saya membaca al-Qur’an. Pesan Mok (nenek sebelah Abah), “Kalau nak pandai al-Qur’an, kena baca al-Qur’an setiap hari.” Samalah macam saya belajar membaca Bahasa Melayu juga. Ketika itu saya sudah pandai baca al-Qur’an dan sudah boleh membaca dalam Bahasa Melayu, walaupun merangkak-rangkak.
Untuk menguasai Bahasa Inggeris pun sama, perlu selalu baca. Setiap hari sekurang-kurangnya SATU MUKA SURAT apa-apa sahaja yang ditulis dalam Bahasa Inggeris. Surat khabar, atau buku teks, atau buku cerita, atau katalog jualan barang, atau iklan. Semuanya saya baca. Kalau tak ada apa-apa helaian untuk dibaca, saya BACA KAMUS. Baca, baca dan baca.
4) BERKAWAN RAPAT DENGAN DICTIONARY
Saya pernah ditegur oleh Tok Mek (nenek sebelah Umi) apabila saya datang ziarah ke rumahnya, saya membawa dictionary bersama saya. Sepanjang perjalanan dari rumah kami ke rumah Tok Mek, ada papan tanda dalam Bahasa Inggeris pun saya baca. Selalunya, signboard nama kedai-kedai orang Cina. Kalau tak tahu maksud, terus saya cari dalam dictionary. Tulis di buku nota kecil.
Selain membaca, saya juga menonton apa-apa sahaja tayangan dalam Bahasa Inggeris. Saya ingat ketika itu ada rancangan ‘Barney & Friends.’ Setiap harilah saya menonton rancangan tersebut. Kalau boleh anda bayangkan, saya menampal ‘selotape’ putih di bahagian televisyen yang memaparkan ‘subtitle’ Bahasa Melayu sebab saya nak melatih pendengaran saya menangkap perkataan Bahasa Inggeris yang dituturkan, sekaligus memahamkan sendiri tanpa membaca terjemahan. Kalau ada subtitle, automatik mata dan kepala saya baca subtitle. Jadi, tutup terus dengan tampal selotape supaya lebih memudahkan fokus.
5) TULIS, TULIS & TULIS. WRITE, WRITE & WRITE.

Saya ‘struggle’ nak mengingat perkataan yang saya pernah jumpa, pernah baca, pernah ingat tapi lupa selepas beberapa lama. Jadi saya tulis, tulis dan tulis. Tulis perkataan satu per satu. Jumpa perkataan yang saya rasa perlu ingat, saya baca, cari maksud, saya tulis perkataan Bahasa Inggeris tersebut bersekali dengan maksudnya dalam Bahasa Melayu.
Saya juga mula menulis AYAT. Jumpa satu perkataan Inggeris, saya akan tengok dalam kamus bagaimana penggunaannya dalam ayat. Ada masanya saya ulang berkali-kali ayat tersebut. Percayalah jika saya sebut, MENULIS ayat menjadikan saya pandai English grammar bersekali dengan kemahiran membuat ayat.
BACA DAN TULIS. Sangat sesuai dengan ajaran Islam.
6) SPEAK TO YOURSELF
Sejak bersemangat nak kuasai Bahasa Inggeris, salah satu ‘penyakit’ baru saya selain menjadi ‘kembar’ kepada dictionary adalah ‘membebel’ seorang diri. Saya baca, saya baca dengan suara kuat. Saya pastikan boleh dengar apa yang saya baca. Kalau saya tak baca kuat, saya takkan ingat.
Kalau baca kuat, saya lebih mudah nak ingat setiap perkataan yang saya sebut. Lama-kelamaan, saya dah boleh bercakap dalam Bahasa Inggeris dengan diri sendiri. Contohnya, kalau saya nak ke toilet, saya akan ‘cakap’ kepada diri, “I need to go to the toilet.”
7) BERFIKIR DALAM BAHASA INGGERIS
Ini PALING PAYAH. Dalam masa 4 bulan saya dah boleh tingkatkan vocabulary and speaking behavior. Tapi saya tak mampu nak ingat semua perkataan. Saya mula perasan kalau saya berfikir dalam Bahasa Inggeris saya akan mudah nak ingat.
“Umi and Abah will be home in 20 minutes, I should prepare the drink now,” saya betul-betul ajar diri berfikir dalam Bahasa Inggeris. Sepertimana saya selalu fikir dalam Bahasa Melayu, saya biasakan diri berfikir guna Bahasa Inggeris.
Setiap kali saya stuck, buntu dan tiada perkataan, saya gunakan kamus dwibahasa yang ada. Cari perkataan Melayu tersebut dan lihat apa perkataan Inggerisnya. Sebagai seorang anak kampung, saya tidak punya luxury atau kemewahan untuk punya electronic dictionary yang boleh tekan dan dengar bunyi sebutan Inggeris dan sebagainya. All I had that time were myself and the dictionary. Kalau tak bantu diri sendiri, siapa lagi nak bantu?
8) KNOW YOUR SURROUNDINGS AND “I CHOSE TO SPEAK TO THE MIRROR”

Ketika itu keluarga tak dapat nak bantu saya ‘berinteraksi’ dalam Bahasa Inggeris. Umi dan Abah sibuk bekerja dari pagi hingga lewat petang. Tak sempat nak sembang apa pun.
Nak bercakap Inggeris di sekolah, kawan-kawan gelakkan saya. Nak bercakap Inggeris dengan cikgu-cikgu, saya pula yang segan terlebih.
Jadi saya pilih bercakap depan cermin. Macam ‘orang pelik’ jugalah. Sendiri-sendiri. Sudahlah bercakap seorang diri, sekarang bercakap sendiri lagi depan cermin. Dalam bilik sendiri. Pelik ye, bukan gila bercakap sorang-sorang.
Umi dan Abah nampak saya berusaha, Abah belikan cermin besar. Letak di ruang depan dekat ruang tamu. Di situ saya bercakap.
Ayat-ayat ringkas sahaja. Contohnya, Umi suruh beli bawang dan santan. Selepas ambil duit daripada Abah, saya akan lalu depan cermin itu dan cakap, “Umi asks me to buy some onions and also coconut milk” – ayat ini ada dalam coretan saya di kamus dwibahasa kecil saya, sampai hari ini saya simpan.
9) ‘BROKEN ENGLISH’ IS OK, THAT IS HOW WE IMPROVE OURSELVES
Masuk pertengahan Darjah 4, saya boleh kata vocabulary saya sudah banyak peningkatan. Setahun lebih jugalah saya usaha. Masa ini keputusan peperiksaan saya sudah banyak peningkatan, sudah dapat A berkali-kali.
Saya tambahkan cabaran diri dengan menyertai pertandingan berasaskan Bahasa Inggeris. Saya masih ingat saya masuk pertandingan ‘story-telling’ dan tajuk pertama saya ialah “Butterfly Is A Beautiful Insect” di mana saya sediakan teks sendiri dan meminjam tudung Umi untuk dijadikan sebagai kepak rama-rama. Ketika itu, sudah pastilah semuanya kucar-kacir.
Our first language is not English. So it is okay if our first, second and third speeches were delivered in ‘broken English’. That is HOW we LEARN. Saya dapat hadiah tempat pertama, keyakinan “Aku Boleh!” saya makin meningkat.
Broken pun broken juga. Tapi janganlah sampai ke sudah brokeeeen je. Improve-lah sikit-sikit ye. Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.
Jika dulu “I need to go to the toilet,” lama-lama dah terbiasa, sempoi sahaja cakap, “I need to go to the loo.” Lebih sopan dan stylo gitu. Heheh.
DO IT, DON’T QUIT
Secara kesimpulannya, “Jangan hentikan sesuatu perjuangan yang kita sudah mulakan” – Abah selalu pesan. Kalau nak berlawan, berlawan sampai habis. Saya tahu saya mampu tingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris saya, sedikit demi sedikit. Jadi, saya tak mahu berhenti.
Nak kuasai Bahasa Inggeris atau mana-mana pelajaran, saya tanamkan 3 Keazaman (3K):
KEINGINAN – Kita kena pesan kepada diri sendiri, KITA MAHU DAN KITA BOLEH BUAT.
KESUNGGUHAN – Bersungguh. Tak boleh main-main. Tapi masa yang sama, tetap enjoy dan santai. Jangan malas.
KETABAHAN – Jangan malu, jangan putus asa, teruskan usaha. Kena sabar. Kena banyak sabar.
Hasilnya alhamdulillah, pernah dapat awards atas sebab English presentations di New York, Vienna, Korea, Australia dan pelbagai lagi. Hard works paid off!

Foto ihsan daripada fotografi bersama pihak Berita Harian, 10/05/2016. Dua kamus ini dibeli pada 1995. Umi dan Abah simpan sampai ke hari ini. Buat kenangan. Ada coretan perkataan-perkataan yang saya tulis dulu, dengan tulisan semasa di bangku sekolah rendah.
sumber : Syahr Musafir
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Anak Lelaki Atau Anak Perempuan, Lepas Kahwin Wajib Jaga Ibu Bapa

Tidak kira anak lelaki mahupun anak perempuan, kedua-duanya punya tanggungjawab untuk menjaga ibu bapa. Pakar motivasi dan pendakwah, Noor Laila Aniza Zakaria, berkata hukum menjaga ibu bapa terutama yang uzur terletak bukan sahaja di bahu anak lelaki, bahkan anak perempuan.
Tanggapan anak perempuan terlepas daripada tanggungjawab menjaga ibu bapa selepas berkahwin tidak benar sama sekali. Setiap anak wajib berbuat baik bukan sahaja terhadap ibu kandung, bahkan mentua, ibu angkat, ibu tiri mahupun sekadar ibu susuan.

Anak Lelaki Atau Anak Perempuan
Tidak ada sesiapa yang terlepas sekalipun wanita itu sudah berkahwin. Bukan anak lelaki sahaja perlu dipertanggungjawabkan menjaga ibu bapa yang sakit. Malah kerana tanggapan ‘wajib’ itu, tugasan berkenaan diserahkan pula kepada menantu perempuan untuk menjaganya yang sama sekali tidak benar.
SUAMI TIDAK BOLEH HALANG
Seandainya ibu bapa kandung isteri uzur atau terlantar sakit dan isteri ingin menjaganya, suami tidak boleh menghalang sebaliknya perlu membantu dalam menyediakan keperluan serta kebajikan mentua.
Apabila perempuan berkahwin, memang isteri dan segala dibawa adalah di bawah tanggungjawab suami termasuk nafkah ibu bapa isteri sekiranya mereka dalam kalangan orang miskin atau memerlukan bantuan perubatan. Nafkah itu perlu ditanggung menantu lelaki mengikut kemampuannya.
Ia menunjukkan keadilan Islam termasuk kepada ibu bapa yang tidak mempunyai anak lelaki. Bayangkan sekiranya anak lelaki sahaja dituntut menjaga ibu bapa, mungkin ramai dalam kalangan wanita yang sudah berkahwin mengabaikan orang tua mereka.
Di sinilah ditunjukkan pembelaan Allah SWT terhadap ibu bapa yang tidak berbelah bahagi dan saksama kerana ia tidak mengira sama ada kewajipan menjaga ibu bapa kandung atau mentua.

Lepas Kahwin Wajib Jaga Ibu Bapa
DOSA BESAR DERHAKA TERHADAP KEDUA ORANG TUA
Ini turut ditekankan Rasulullah SAW yang menjelaskan antara salah satu dosa besar, selain mensyirikkan Allah SWT adalah bagi orang derhaka terhadap kedua orang tua.
Rasulullah SAW bersabda: “Adakah kalian mahu aku beritahu mengenai dosa besar?” Sahabat kemudian menjawab: “Kami mahu, wahai Rasulullah SAW.” Rasulullah berkata: “Menyekutukan Allah SWT dan derhaka kepada orang tua.” (HR Bukhari dan Muslim)
Begitu juga dalam situasi suami ingin menjaga ibu bapanya yang sakit, jatuh hukum haram kepada isteri yang tidak membenarkannya. Bagaimanapun, keadaan berbeza bagi menantu perempuan yang tidak diwajibkan menjaga ibu bapa suami yang sedang sakit.
Tanggungjawab menjaga ibu bapa suami yang sakit terletak sepenuhnya kepada tangan suami. Bagaimanapun suami boleh berbincang dengan isteri atau jika mampu sediakan pembantu rumah bagi meringankan tugasan isteri.
Mengikut hukum, isteri wajib diberikan upah jika suami ingin pasangan menjaga ibu bapanya yang uzur. Oleh itu masyarakat supaya tidak sesekali bertindak melabelkan menantu perempuan yang menolak menjaga mentua sebagai kejam atau tidak berhati perut kerana ia hukum asas dalam agama.

JANGAN TERLALU BERKIRA
Amat pelik bagi sikap sesetengah pasangan suami atau isteri yang sengaja tidak mahu menjaga ibu bapa masing-masing. Hierarki membezakan ibu bapa kandung dan mentua sebenarnya tanpa berasaskan dalil sahih daripada al-Quran dan hadis, sekali gus mendorong kita berpecah-belah, bertelagah, terlalu berkira serta saling cemburu dan meragut sifat kasih-sayang mukmin sebenar.
Apabila diuji menjaga ibu bapa sakit, apa lebih penting adalah melakukan persiapan mental dan emosi dengan rapi. Ibu bapa yang tinggal bersama perlu diutamakan keselesaan mereka dengan menyediakan keperluan sepatutnya termasuk tempat tidur kondusif dan aktiviti harian yang diisi dengan perkara bermanfaat.
Perbuatan mencela, menghamburkan kata kesat atau memperlekehkan ibu bapa atau mentua perlu dielakkan dengan sentiasa mengingati azab Allah SWT kepada setiap hamba-Nya yang derhaka.
Semoga Allah SWT menjadikan kita anak-anak yang soleh dan solehah serta anak-anak yang sentiasa berbakti kepada kedua orang tuanya sama ada semasa hayat mereka atau selepas ketiadaan mereka
Sumber kredit: Hijabista via Berita Harian Online (Rencana)
Kredit foto: Freepik
Baca artikel lain di sini: Ibu Bapa Jual Sate Untuk Sara Keluarga, Kejayaan Abang Suntik Semangat Kembar Untuk Raih Cemerlang Dalam SPM
Anak Akan Deprasi Dan Murung Jika Ibu Bapa Selalu Mentertawakan Kesilapan Mereka
“Selamba Pegang Pipi Depan Ibu Bapa, Terus Dapat Kiss.” Gelagat Kanak-kanak Sweet Ini Curi Perhatian
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di

