“Hampir setiap hari selama enam tahun saya memendam cita-cita untuk menjadi doktor perubatan suatu hari nanti. Hari ini impian itu menjadi kenyataan,” kata Doktor Abdul Manaf Abdul Aziz, 24, ketika ditemui pada Majlis Angkat Sumpah Doktor Perubatan Kulliyyah Perubatan UIAM, Kuantan.
Pelajar Miskin Tunai Janji Pada Ayah Jadi Doktor, Buktikan Anak Yang Tinggal Di PPR Pun Boleh Berjaya
Anak ketiga daripada lima beradik itu mengakui dirinya cukup bersyukur kerana janji yang dibuat kepada ayahnya, Abdul Aziz Osman pada tahun 2019 akhirnya dapat ditunaikan. Lebih membanggakan, kejayaan itu tidak pernah membebankan keluarganya kerana turut dibantu oleh pelbagai pihak yang prihatin dengan nasibnya.
Menurutnya, tanpa sokongan semua pihak dan bantuan kewangan yang diterima, mustahil dia mampu melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
“Saya bersyukur Allah telah makbulkan doa saya selama ini untuk menjadi doktor bagi membantu memberi rawatan pada golongan pesakit. Kepayahan dan cabaran selama enam tahun di UIAM telah berjaya diharungi.
“Selepas ini saya akan mengikuti latihan kedoktoran di hospital selama dua tahun sebelum bertugas sebagai pegawai perubatan bertauliyah,” katanya.
Majlis angkat sumpah itu menyaksikan seramai 131 graduan diraikan, selain menerima pelbagai anugerah di hadapan keluarga masing-masing.
Ads
Kisah Abdul Manaf bukanlah asing, kerana enam tahun lalu dia pernah mendapat perhatian selepas kisah kehidupannya sebagai pelajar miskin dari Projek Perumahan Rakyat Kampung Temai, Pekan disiarkan media.
Walaupun memperoleh keputusan cemerlang 10A dalam SPM, impian menyambung pengajian hampir musnah kerana kesempitan hidup. Mujurlah dengan bantuan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kerajaan Pahang, Yayasan Bank Rakyat serta Tabung Penyayang UIAM, dia akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke UIAM.
Hari ini, kejayaan itu diraikan dengan penuh syukur. Malah, Abdul Manaf yang juga ketua graduan lulus dengan cemerlang sekali gus menerima Anugerah Pelajar Terbaik daripada 11 penuntut Kulliyyah Perubatan.
Dr Abdul Manaf mengakui dirinya seakan masih tidak percaya kini bergelar seorang doktor. Impiannya selepas ini adalah untuk melanjutkan pengajian di peringkat kepakaran selain terus berbakti kepada keluarga yang sentiasa menjadi tulang belakang kejayaannya.
“Saya bersyukur detik manis hari ini dapat dikongsi dengan ayah dan kakak (Ramlah), mereka merupakan insan yang menjadi pembakar semangat saya untuk berjaya dalam pelajaran seterusnya berjaya bergelar doktor.
Ads
“Saya kini tidak sabar untuk berkhidmat sebagai doktor di hospital kerajaan di daerah ini walaupun hanya berstatus sebagai doktor pelatih,” ujarnya penuh terharu.
Sementara itu, rakan karibnya, Dr Nur Affisa Emalin Mohd Roshanaffi, 23, yang turut menerima Anugerah Tahir Azhar, menyifatkan perjalanan mereka selama enam tahun di Kulliyyah Perubatan begitu bermakna.
“Kami saling berbincang dan bertukar pendapat dalam pelajaran.
Ads
“Saya bercita-cita untuk menjadi doktor pakar sakit puan suatu hari nanti, walaupun langkah berkenaan sukar namun usaha kearah itu tetap diteruskan,” kata anak kelahiran Pulau Pinang itu.
Kanak-kanak 7 tahun lemas dalam kolam renang, Ahmad Firdaus Iqbal akhirnya pergi jua. Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang sebelum ini dirawat di Hospital Melaka akibat insiden lemas di sebuah kolam renang, disahkan meninggal dunia pada pagi Selasa.
Kanak-kanak 7 Tahun Lemas Dalam Kolam Renang, Ahmad Firdaus Iqbal Akhirnya Pergi Jua
Perkhabaran duka itu dimaklumkan sendiri oleh bapanya, Ahmad Ridzuan Supian, 36, yang turut mengesahkan kesahihan poster tular daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Rinting 3, Johor mengenai pemergian anaknya, Ahmad Firdaus Iqbal.
Menurut Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Melaka, Datuk Ngwe Hee Sem, jenazah kanak-kanak tersebut yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik telah diserahkan kepada keluarganya pada jam 12.05 tengah hari untuk urusan selanjutnya.
“Waris membawa pulang jenazah ke rumahnya di Taman Rinting, Pasir Gudang, Johor bagi urusan pengebumian,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, media melaporkan tentang insiden malang yang menimpa sebuah keluarga apabila percutian mereka bertukar menjadi tragedi. Dalam kejadian pada Ahad itu, Ahmad Firdaus Iqbal ditemui dalam keadaan kritikal selepas dipercayai lemas di kolam renang sebuah rumah inap yang terletak di kondominium Taman Kota Shahbandar, Kota Laksamana.
Bayi 11 Bulan Maut Dalam Tragedi Rempuhan Lembu Di Bera
Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan maut dalam pangkuan ibunya selepas kereta dinaiki keluarga itu terbabas akibat merempuh sekumpulan lembu di Kilometer 49 Jalan Kerayong–Simpang Kepayang, Bera, malam tadi. Kejadian menyayat hati ini menimbulkan rasa sebak ramai apabila bayi malang itu meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.
Perjalanan Beli Susu Bertukar Tragedi
Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 malam, mangsa, Nur Adriana Amira Mohamad Norismail, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Bandar 32. Menurut Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir, kemalangan berlaku apabila kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu bapa mangsa, Mohamad Norismail Sani, 22, bersama isterinya, Nik Nur Aini Azierah Che Azeman, 21, sedang dalam perjalanan dari arah Kepayang menuju ke Kerayong untuk membeli susu anak mereka.
Lembu Meluru Secara Mengejut Di Tengah Jalan
“Siasatan awal mendapati ketika tiba di lokasi, sekumpulan lembu tiba-tiba keluar dari arah kiri ke kanan jalan menyebabkan pemandu hilang kawalan sebelum melanggar haiwan berkenaan dan terbabas ke bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini. Kejadian rempuhan lembu itu berlaku dalam sekelip mata tanpa sempat pemandu mengelak.
Tambahnya lagi, bayi berkenaan masih berada dalam pangkuan ibunya ketika kejadian dan tidak tercampak keluar dari kenderaan. “Dua daripada tiga lembu yang dilanggar mati di tempat kejadian manakala seekor lagi cedera,” katanya.
Punca Kemalangan & Operasi Menangani Haiwan Berkeliaran
Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu yang gagal mengawal kenderaan ketika melalui kawasan berkenaan. “Pihak polis bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Bera turut mengadakan operasi menangani masalah lembu dan kerbau berkeliaran di jalan raya pada malam sama, namun kejadian berlaku lebih awal sebelum operasi bermula,” ujar beliau.
Beliau menambah, pihak berkuasa kini sedang memperhebat operasi kawalan haiwan berkeliaran bagi memastikan kejadian seperti kereta rempuh lembu tidak berulang di kawasan Bera dan sekitarnya.
Seruan Kesedaran Keselamatan Jalan Raya
Kes tragis ini sekali lagi membangkitkan isu keselamatan jalan raya di kawasan luar bandar yang sering menjadi laluan haiwan ternakan pada waktu malam. Penduduk setempat berharap agar pihak berkuasa tempatan lebih tegas dalam menguatkuasakan undang-undang terhadap pemilik ternakan yang cuai membiarkan haiwan mereka berkeliaran di jalan raya.
Tragedi kereta rempuh lembu ini menjadi pengajaran besar buat semua pihak bahawa aspek keselamatan tidak boleh dipandang ringan, terutama bagi mereka yang sering melalui jalan luar bandar pada waktu malam. Semoga keluarga mangsa tabah menghadapi kehilangan ini dan semoga roh kecil Nur Adriana Amira ditempatkan dalam kalangan insan beriman.
Pilu hati apabila disahkan mengidap dua kanser. Berdamai dengan takdi menjadikan wanita ini terus cekal untuk meneruskan kehidupan walaupun pahit untuk ditelan.
Dua jenis kanser yang mengubah hidupnya 360 darjah. Bayangkan betapa beratnya ujian yang dilalui oleh Rosliza, 54, apabila di saat dirinya masih berjuang melawan kanser payudara tahap empat yang dikesan pada 2020, dia disahkan pula menghidap barah tulang pada awal tahun ini. Dalam keadaan tubuh yang sudah lemah, dia terpaksa berhadapan dengan satu lagi berita yang meruntun jiwa.
Memetik laporan Berita Harian,didiagnos menghidap kanser payudara pada 2020 dan sudah sembilan kali menjalani rawatan kemoterapi dan 15 kali radioterapi bagi mematikan sel barah itu. Selepas 4 tahun, tahun ini doktor sahkan pula dia menghidap kanser tulang.
“Saya berdamai dengan takdir meskipun disahkan menghidap dua jenis penyakit kanser. Ini semua kuasa Allah SWT,” kata ibu tunggal, Rosliza Muhamad Amin.
“Namun, penderitaan itu tidak terhenti di situ apabila pada awal tahun ini, doktor mengesahkan saya menghidap kanser tulang pula. Ketika itu, saya terasa dunia gelap sekejap sehingga longlai seluruh badan.”
Berikutan itu, Rosliza berkata, beliau sekali lagi perlu menjalani sesi rawatan kemoterapi tetapi secara oral di rumah saja dengan mengambil pil bagi mematikan sel kanser berkenaan.
“Pada Mei lalu, saya mengalami sakit amat teruk pada tulang kaki kiri apabila berdiri atau berjalan atau duduk terlalu lama,” katanya yang telah menjalani pembedahan membuang payudara kiri, dua tahun lalu.
TERIMA BANTUAN
Selepas berpisah dengan bekas suami empat tahun lalu, dia berusaha menguruskan diri sendiri kerana tidak mahu menyusahkan dua anak yang turut berdepan kekangan kehidupan di luar Kelantan.
Rosliza yang tidak bekerja dan menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan, bagaimanapun bersyukur kerana segala kos rawatan penyakit kanser ditanggung sepenuhnya oleh Majlis Kanser Nasional (MAKNA).
Selain itu, beliau turut menerima faedah elaun keuzuran sebanyak RM300 sebulan melalui Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Rosliza merupakan pencarum SKSSR melalui tajaan kerajaan.
“Alhamdulillah dengan inisiatif bantuan yang diterima, saya dapat meneruskan hidup walaupun tanpa suami dan menghidap dua jenis penyakit kanser… RM300 sebulan sangat besar maknanya buat saya.”
“Saya juga bersyukur kerana pada saat ujian datang bertimpa-timpa, masih ada individu di sekeliling yang prihatin dan sering bertanya khabar serta berdoa supaya penyakit saya sembuh.”
Terdahulu Pengarah PERKESO Kelantan, Nora Yaacob, menyampaikan sumbangan makanan, keperluan asas serta kerusi roda kepada Rosliza di kediamannya di Kampung Manek Urai Baru, di sini, dengan turut dihadiri Pengurus Pejabat PERKESO Kuala Krai, Mohd Azran Che Nuri. Orang ramai yang ingin memberi sumbangan bagi meringankan beban Rosliza, boleh menghubungi beliau melalui talian 019-3416536.