Seorang pelajar perempuan yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditemui meninggal dunia di rumahnya di Kuala Klawang pada Sabtu, dalam satu kejadian yang kini disahkan sebagai kes mati mengejut oleh pihak polis.
Polis Terima Laporan Pelajar SPM Meninggal Dunia
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, sekitar jam 11.50 malam, kaunter aduan Balai Polis Kuala Klawang menerima panggilan daripada pegawai perubatan Hospital Jelebu memaklumkan mengenai kejadian membabitkan remaja perempuan berusia 17 tahun itu.
Menurut beliau, siasatan awal polis mendapati mangsa merupakan seorang pelajar sekolah dan telah dijumpai tidak sedarkan diri di dalam bilik pertama rumah teres setingkat milik keluarganya.
Tiada Unsur Jenayah Dikesan Dalam Kes Mati Mengejut
“Rumah tersebut merupakan kediaman keluarga dan si mati telah mengunci pintu bilik dari dalam,” katanya menerusi kenyataan.
Ads
Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas tubuh badan mangsa tidak menemui sebarang kesan pergelutan atau unsur jenayah. Selain itu, tiada kesan geledah mahupun kehilangan barang peribadi milik mangsa ditemui di lokasi kejadian.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad.
Bedah Siasat Sahkan Kes Mati Mengejut
“Pada Ahad sekitar jam 10 pagi, prosedur bedah siasat telah dijalankan di Hospital Jelebu. Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” jelas beliau.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung pelajar SPM meninggal dunia di Kuala Klawang ini, bagi mengelakkan kegusaran awam serta menjaga sensitiviti keluarga mangsa.
Ads
Nasihat Polis Kepada Orang Ramai
Pihak polis menggesa masyarakat untuk menghormati privasi keluarga mangsa serta menunggu maklumat rasmi sekiranya terdapat perkembangan lanjut dalam kes mati mengejut pelajar SPM ini.
Seorang pesara swasta mengalami kerugian sebanyak RM4 juta selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang dipromosikan di Facebook.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan bahawa Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor telah menerima laporan polis mengenai kes tersebut di Petaling Jaya.
Memetik laporan Sinar Harian, wanita berusia 73 tahun itu telah berminat untuk menyertai pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi antara lapan hingga 10 peratus sehari.
“Mangsa kemudian dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp yang dikendalikan individu bernama Alya dan Christopher,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.
Seterusnya, Hussein berkata, mangsa telah diminta membuat bayaran ke dalam 10 akaun bank berbeza menerusi 62 transaksi berjumlah RM4 juta.
“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila diminta membuat pelbagai bayaran tambahan untuk mengeluarkan keuntungan yang dijanjikan,” katanya.
Menurutnya, mangsa berasa tertipu dan tampil membuat laporan dan polis telah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Tambahnya, orang ramai diingatkan agar sentiasa berwaspada terhadap mana-mana tawaran berkaitan pelaburan di media sosial yang menjanjikan pulangan tidak munasabah.
“Sebarang panggilan atau tawaran mencurigakan boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk semakan, nasihat atau aduan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Kucing curi ikan jadi asbab tujuh beranak selamat daripada kebakaran dalam satu kejadian yang berlaku di Kampung Solok Wan Moh, semalam, sekali gus menyentuh hati ramai apabila tindakan luar biasa seekor haiwan menjadi perantara penyelamat nyawa.
Dalam kejadian yang membabitkan kebakaran empat buah rumah itu, seorang mangsa, Muhammad Norsham Bibin, 31, tidak menyangka kehadiran seekor kucing yang bukan peliharaannya membawa makna besar buat keselamatan keluarganya.
Menurut Muhammad Norsham, ketika kejadian dia berada di dalam rumah bersama isteri dan tiga orang anak. Tanpa diduga, seekor kucing masuk ke dalam rumah dan melarikan seekor ikan yang diletakkan di atas meja.
Apa yang menghairankan, kucing tersebut tidak memakan ikan berkenaan sebaliknya membawanya keluar rumah dan meninggalkannya begitu sahaja, seolah-olah cuba memberi isyarat tentang sesuatu yang tidak kena.
Tindakan luar biasa itu membuatkan Muhammad Norsham keluar untuk mengambil semula ikan tersebut. Namun, alangkah terkejutnya dia apabila melihat kepulan asap tebal dari rumah jiran bersebelahan yang sedang terbakar.
Tanpa berlengah, dia segera memaklumkan kepada isterinya sebelum menarik tangan anak-anak keluar menyelamatkan diri, hanya beberapa ketika sebelum api merebak ke kawasan rumah mereka.
Jika tindakan pantas itu tidak diambil, keadaan mungkin menjadi lebih buruk memandangkan api sedang marak dan merebak dengan cepat.
“Saya cukup tersentuh dengan kelakuan kucing ini. Kebiasaannya kucing ini datang ke rumah dan tak pernah usik makanan di atas meja. Tetapi pada hari kejadian, ia melarikan ikan seolah-olah hendak memberitahu ada bencana sedang berlaku,” katanya ketika ditemui.
Walaupun gagal menyelamatkan harta benda, Muhammad Norsham bersyukur kerana Allah SWT melindungi keluarganya melalui asbab yang tidak disangka.
“Saya bersyukur kerana asbab kucing, kami sekeluarga terselamat. Kucing itu datang bukan untuk makan, tapi seolah-olah nak beritahu apa yang sedang berlaku. Jika tidak, saya pun tidak tahu apa nasib kami sekeluarga,” ujarnya dengan nada sebak.
Dalam kebakaran tersebut, sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback serta basikal anak-anaknya untuk ke sekolah musnah terbakar. Namun baginya, kehilangan harta benda tidak mampu menandingi nilai sebuah nyawa.
“Saya reda dengan ujian ini. Yang penting semua ahli keluarga selamat walaupun peralatan rumah dan kelengkapan persekolahan anak-anak musnah sepenuhnya,” katanya lagi.
Sementara itu, seorang lagi mangsa yang telah menetap di kawasan berkenaan lebih dua dekad memaklumkan bahawa dia hanya mengetahui rumahnya terbakar kira-kira 10 minit selepas keluar ke tempat kerja.
“Saya dan isteri tidak sempat menyelamatkan apa-apa. Yang tinggal cuma baju yang dipakai ke tempat kerja. Apabila dimaklumkan jiran, saya segera pulang namun api sudah membesar,” katanya.
Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Penggaram, Norazizan Awang berkata seramai 19 anggota bomba dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8.53 pagi.
Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 9.20 pagi. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, manakala punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Kisah kucing curi ikan jadi asbab tujuh beranak selamat ini menjadi peringatan bahawa setiap musibah hadir dengan hikmah tersendiri.
Kadangkala, pertolongan Allah SWT datang dalam bentuk yang tidak disangka-sangka — termasuk melalui seekor kucing yang mencuri ikan, namun menjadi asbab keselamatan tujuh nyawa sekeluarga.
Peniaga makanan perlu pakai sarung tangan atau tak? Doktor ini kongsikan faktanya. Kalau pergi ke gerai makanan atau restoran, pernah tak kita perasan ada peniaga yang pakai sarung tangan dan ada yang tak? Mungkin ada yang tertanya-tanya, sebenarnya perlu ke pakai sarung tangan atau sekadar pilihan sahaja?
Sarung tangan memang boleh bantu mengurangkan risiko pencemaran makanan. Ia bertindak sebagai penghalang antara tangan peniaga dan makanan yang dihidangkan kepada pelanggan.
✅ Elak pencemaran silang – Kadang-kadang peniaga pegang duit, plastik, atau bahan mentah, kemudian terus pegang makanan yang dah siap. Ini boleh sebabkan pencemaran.
✅ Lebih bersih & selamat – Sarung tangan membantu mengelakkan bakteria daripada tangan masuk ke dalam makanan, terutamanya kalau tangan peniaga ada luka atau kotor.
✅ Keyakinan pelanggan – Bila pelanggan nampak peniaga pakai sarung tangan, mereka rasa lebih yakin dan percaya makanan itu bersih.
Peniaga makanan perlu pakai sarung tangan atau tak? Sebenarnya, apa yang kita kena lihat adalah bagaimana peniaga mengendalikan makanan dari A-Z. Bukan sekadar lihat sarung tangan.
Kalau dia tak pakai sarung tangan, belum tentu kotor. Kalau dia pakai sarung tangan, belum tentu bersih.
Jika peniaga tak pakai sarung tangan, kita kena lihat adakah dia cuci tangan dengan sempurna, sebelum menyentuh makanan.
Tangan bukan sesuatu yang kotor. Cuma kita kadang-kadang sentuh permukaan yang tak bersih, jadi kekotoran tu berpindah ke tangan.
Kekotoran yang dimaksudkan adalah kuman (bakteria, virus, kulat) berbahaya, debu, racun, najis dan sebagainya.
Jadi, jika kita cuci tangan dengan sempurna sebelum menyentuh makanan, maka ia tidak jadi masalah.
Nak cuci tangan perlukan air dan sabun (atau pembasmi kuman), dan kadang-kadang di tempat niaga, bekalannya terhad.
Maka peniaga ambil alternatif untuk memakai sarung tangan agar tak menyentuh makanan dengan tangan yang dah dicemari.
Namun, ramai peniaga terlupa atau tidak sedar bahawa permukaan sarung tangan juga boleh dicemari kekotoran.
Mereka sentuh sana-sini, guna sarung tangan itu, kemudian sentuh semula makanan. Maka terbatal tujuan sebenar pakai sarung tangan.
Jika pakai sarung tangan, kena selalu tukar. Asalkan tersentuh permukaan yang tak bersih, kena tukar baru.
Sarung tangan tersentuh duit, kena buang dan tukar baru. Tersentuh kalkulator, kena buang dan tukar baru. Begitulah.
Tak bolehlah pakai sarung tangan sama dari mula buka kedai, sampailah tutup kedai. Sedangkan kita sentuh sana-sini. Sebab itu pentingnya menyusun tempat meniaga itu agar ada seksyen bersih dan seksyen ‘kotor.’
Kawasan dan peralatan persediaan makanan hanya boleh ada di seksyen bersih. Peralatan lain boleh di seksyen kotor.
Seksyen kotor itu bukanlah maksudnya tempat tu kotor sehingga menjijikkan, tapi permukaannya mungkin ada kekotoran.
Jika tersentuh kawasan atau alatan dari seksyen kotor, maka perlu cuci tangan atau tukar sarung tangan sebelum sentuh makanan.
Alternatifnya, seorang pengendali makanan ditugaskan di seksyen bersih, seorang lagi di seksyen kotor. Jangan silang seksyen.
Alternatif kedua, guna peralatan untuk sentuh makanan. Cuma bahagian alat yang sentuh makanan jangan bersentuh kawasan kotor.
Kalau buat macam ni, boleh kurangkan kekerapan cuci tangan atau tukar sarung tangan. Masih kena buat, tapi kurang.
Sebab itu saya kata, kalau nak tahu bersih ke tak sesuatu makanan tu, kena tengok pengendalian makanan tu dari A-Z.
Kesimpulannya kalau peniaga tak pakai sarung tangan, dan dia tak cuci/bersihkan tangan sebelum sentuh makanan, maka makanan akan tercemar. Jika peniaga pakai sarung tangan, dan dia tak tukar sarung tangan sebelum sentuh makanan, maka makanan akan tercemar.
Paling penting, peniaga kena amalkan kebersihan diri dan makanan dengan betul. Barulah pelanggan yakin dan makanan selamat dimakan.
Zara Qairina kembali menjadi perhatian apabila ucapan “Sanah Helwah Raa” daripada ibunya mengundang sebak ramai, menggambarkan rindu yang tidak pernah padam.