Seorang pelajar perempuan yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditemui meninggal dunia di rumahnya di Kuala Klawang pada Sabtu, dalam satu kejadian yang kini disahkan sebagai kes mati mengejut oleh pihak polis.
Polis Terima Laporan Pelajar SPM Meninggal Dunia
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, sekitar jam 11.50 malam, kaunter aduan Balai Polis Kuala Klawang menerima panggilan daripada pegawai perubatan Hospital Jelebu memaklumkan mengenai kejadian membabitkan remaja perempuan berusia 17 tahun itu.
Menurut beliau, siasatan awal polis mendapati mangsa merupakan seorang pelajar sekolah dan telah dijumpai tidak sedarkan diri di dalam bilik pertama rumah teres setingkat milik keluarganya.
Tiada Unsur Jenayah Dikesan Dalam Kes Mati Mengejut
“Rumah tersebut merupakan kediaman keluarga dan si mati telah mengunci pintu bilik dari dalam,” katanya menerusi kenyataan.
Ads
Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas tubuh badan mangsa tidak menemui sebarang kesan pergelutan atau unsur jenayah. Selain itu, tiada kesan geledah mahupun kehilangan barang peribadi milik mangsa ditemui di lokasi kejadian.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad.
Bedah Siasat Sahkan Kes Mati Mengejut
“Pada Ahad sekitar jam 10 pagi, prosedur bedah siasat telah dijalankan di Hospital Jelebu. Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” jelas beliau.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung pelajar SPM meninggal dunia di Kuala Klawang ini, bagi mengelakkan kegusaran awam serta menjaga sensitiviti keluarga mangsa.
Ads
Nasihat Polis Kepada Orang Ramai
Pihak polis menggesa masyarakat untuk menghormati privasi keluarga mangsa serta menunggu maklumat rasmi sekiranya terdapat perkembangan lanjut dalam kes mati mengejut pelajar SPM ini.
Ibu tunggal desak siasat kematian anak, disyaki dipukul hingga maut selepas jalani latihan Palapes. Seorang ibu tunggal mendesak agar siasatan segera dan menyeluruh dijalankan berhubung kematian anak sulungnya, Syamsul Haris Shamsudin.
Pemuda berusia 22 itu meninggal dunia ketika menjalani latihan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, Johor pada Isnin lalu.
Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, berkata kematian anaknya berlaku semasa sesi latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pulada, Ulu Tiram, Johor. Namun, punca sebenar kematian masih belum dikenal pasti dan menimbulkan pelbagai persoalan.
Menurut beliau, hasil pemerhatian terhadap jenazah semasa proses bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, mendapati terdapat kecederaan fizikal yang serius pada tubuh anaknya, tidak selari dengan penjelasan awal yang diberikan bahawa kematian berpunca daripada sawan.
“Pada awalnya saya dimaklumkan oleh pihak PALAPES bahawa sebab kematian anak saya adalah kerana kekejangan dan sawan ketika menyertai latihan itu pada hari ketiga, sedangkan ketika saya melihat jenazah anak saya, keadaannya sangat menyayat hati dengan kecederaan yang dialami pada tubuhnya.
“Darah membuak-buak mengalir dari hidung dan matanya dengan kesan lebam pada tubuh dilihat seperti dibelasah. Saya tak berpuas hati dengan alasan diberikan pihak PALAPES UTM bahawa keadaan anak saya itu berpunca daripada sawan,” katanya dalam satu sidang media di firma guaman Naran Singh & Co, di ibu negara.
Turut hadir peguam yang mewakilinya, Datuk Naran Singh.
Ummu Haiman turut mendedahkan bahawa selain kesan pendarahan yang banyak pada hidung dan mata yang dipercayai berpunca daripada hentakan kuat pada bahagian kepala, jenazah anaknya juga mempunyai kesan lebam serta luka di beberapa bahagian badan termasuk leher dan bahu.
Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada 31 Julai bagi mendesak siasatan dijalankan segera bagi mengetahui punca sebenar kematian Syamsul Haris.
“Saya syak anak saya dicederakan, dipukul atau dibelasah atau dengan kata lain dibunuh oleh mereka yang turut menyertai kem PALAPES berkenaan.
“Setakat ini punca kematian diklasifikasi sebagai ‘pending laboratory investigation’ (menunggu hasil penyelidikan makmal) dan saya difahamkan laporan sampel yang dihantar ke makmal itu diperoleh dalam masa tiga bulan,” ujarnya.
Syamsul Haris merupakan pelajar Semester 2 Ijazah Sarjana Muda Sekuriti Siber UTM dan baru sahaja menyertai latihan PALAPES bermula Sabtu lalu, yang dijadualkan berlangsung selama sembilan hari dan sepatutnya berakhir pada Ahad ini.
Tambah Ummu Haiman, perbualan terakhir mereka berlaku pada malam sebelum kejadian, apabila arwah menghubunginya melalui WhatsApp bagi memaklumkan tentang tugasan yang perlu diselesaikan segera dan menyerahkan telefon bimbit kepada pihak PALAPES.
“Malam sebelum hari kejadian arwah ada WhatsApp saya memandangkan dia perlu segera menghantar dan menyiapkan tugasan yang diarahkan oleh pensyarah.
Waktu itu dia sempat mengatakan dia perlu menyerahkan semula telefon kepada pegawai PALAPES.
“Sempat juga dia berpesan ‘Maa (emak), saya dah nak masuk baris… Saya kena serah telefon sekarang… Maa jaga diri baik-baik…’ Dia juga ada katakan yang dia gembira apabila berjaya buat latihan tembakan pada hari Ahad itu juga dan kemudian hari berikutnya (Isnin) saya terima berita anak saya meninggal dunia,” katanya dalam nada sebak.
Jenazah Syamsul Haris telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor. Pihak keluarga kini berharap agar keadilan dapat ditegakkan demi mengenal pasti punca sebenar kejadian tragis ini.
Hati seorang bapa luluh apabila mengetahui anak lelakinya yang berusia 14 tahun kini disiasat polis selepas didakwa membunuh rakan sekolah sendiri dalam kejadian tragis kes tikam pelajar di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, semalam.
Dalam temu bual bersama China Press, lelaki berusia 40 tahun itu mengakui masih sukar menerima hakikat bahawa anaknya mampu bertindak sedemikian. Menurutnya, remaja itu seorang yang pendiam dan lebih suka memendam perasaan.
“Saya tidak sangka dia mampu melakukan perkara seperti ini. Anak saya seorang yang pendiam dan introvert,” katanya sebak.
Bapa itu turut mengakui, tiada kata maaf yang mampu menebus kehilangan nyawa pelajar perempuan berusia 16 tahun itu.
“Tidak kira apa yang saya lakukan, ia tidak akan mengembalikan anak perempuan mereka. Saya tidak tahu bagaimana hendak berdepan dengan mereka,” katanya lagi sambil menahan tangisan.
Semalam, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengesahkan penahanan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun bagi membantu siasatan kes pembunuhan berkenaan. Siasatan awal mendapati mangsa mengalami beberapa kesan tikaman pada bahagian badan.
Beliau menjelaskan, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Polis kini sedang mendapatkan laporan forensik dan keterangan daripada rakan-rakan sekelas mangsa bagi melengkapkan siasatan.
Mengimbas kembali detik sebelum kejadian, bapa remaja itu berkata pagi tersebut bermula seperti biasa. Dia menghantar anaknya ke sekolah tanpa menyedari sebarang perubahan sikap.
Katanya, anaknya tidak menunjukkan tingkah laku luar biasa meskipun prestasi akademiknya agak lemah dan kadangkala kurang memberi tumpuan dalam kelas. Namun, anaknya bukan jenis yang gemar menimbulkan masalah.
“Anak saya tidak pernah bercerita tentang mangsa kepada saya sebelum ini,” katanya.
Tambah lelaki itu, insiden ini meninggalkan kesan yang sangat mendalam dan mematahkan semangatnya sebagai seorang bapa.
“Anak saya seorang yang pendiam dan introvert. Walaupun ada sesuatu berlaku di sekolah sama ada dia dibuli atau tidak, dia tidak akan memberitahu saya.
Saya tahu berkata apa-apa sekarang sudah tidak berguna. Tiada apa yang boleh mengembalikan anak perempuan mereka,” katanya penuh kesal dan sebak.
Seorang bayi perempuan berusia setahun, Nur Nadine Mikayla Mohamad Shahril, disahkan menghidap penyakit genetik jarang ditemui iaitu atrofi otot spina (SMA) dan kini memerlukan bantuan kewangan sebanyak RM85,400 bagi menampung kos ubatan serta rawatan untuk melambatkan kemerosotan penyakitnya.
SMA merupakan penyakit genetik yang menjejaskan sel saraf di saraf tunjang. Akibatnya, otot-otot badan semakin lemah dan pesakit kehilangan keupayaan untuk bergerak, meniarap, atau mengangkat kepala. Penyakit ini boleh menyerang bayi seawal usia beberapa bulan dan dikategorikan mengikut tahap keparahan seperti Type 1C yang paling serius.
Ibunya, Nurul Farhana Mat Zaid, 34, berkata anak tunggalnya itu mewarisi penyakit berkenaan selepas keputusan pemeriksaan mendapati beliau dan suaminya, Mohamad Shahril Mohd Ghouse, 33, adalah pembawa gen SMA.
“Pada awalnya, doktor menyangka perkembangannya sedikit lambat. Namun selepas tiga bulan tanpa perubahan, Nur Nadine Mikayla dirujuk ke hospital besar untuk pemeriksaan lanjut. Ujian darah dan genetik akhirnya mengesahkan bahawa dia menghidap SMA Type 1C,” katanya.
Menurut Nurul Farhana, anaknya dilahirkan cukup bulan dan dalam keadaan sihat. Namun sekitar usia enam bulan, mereka mula menyedari sesuatu yang tidak normal apabila bayi mereka tidak mampu meniarap, memusingkan badan atau mengangkat kepala seperti kanak-kanak seusianya.
Kini keadaan Nur Nadine Mikayla semakin merosot. Lehernya tidak lagi mampu ditegakkan, kakinya tidak boleh digerakkan dan hanya tangannya yang masih boleh bergerak sedikit. Walaupun begitu, bayi kecil itu masih aktif belajar bertutur dan menunjukkan semangat luar biasa.
Anak kecil itu kerap mengalami batuk berkahak dan memerlukan bantuan alat penyedut kahak. Malah, dia perlu bergantung kepada mesin oksigen setiap kali sesak nafas menyerang. Menurut doktor, hanya ubat khas mampu memperlahankan kemerosotan penyakit SMA ini. Tanpa rawatan, fungsi organ akan terus merosot dan pesakit mungkin tidak dapat bertahan melebihi usia dua tahun.
Ibunya turut menjelaskan bahawa kos rawatan termasuk ubat, rawatan hospital dan fisioterapi mencecah RM85,400 setahun. Disebabkan perlu menjaga anak sepenuh masa, Nurul Farhana telah berhenti kerja sebagai operator kilang, manakala suaminya bekerja sebagai juruteknik dengan pendapatan yang tidak mencukupi.
Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau, berkata pihaknya akan membantu keluarga yang tinggal di George Town itu bagi mengumpul dana setelah menilai keadaan mereka yang benar-benar memerlukan.
“Dengan beban kewangan sedia ada, mereka tidak mampu menanggung kos rawatan tersebut dan kini merayu bantuan orang ramai,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi membantu rawatan SMA Nur Nadine Mikayla boleh menyalurkan sumbangan ke akaun berikut:
Setiap sumbangan amat bermakna dalam membantu bayi kecil ini terus berjuang melawan penyakit atrofi otot spina (SMA). Semoga keprihatinan masyarakat dapat memberi sinar harapan buat Nur Nadine Mikayla untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik.