Gara-gara khayal selepas hisap vape, seorang pelajar Tingkatan Dua dilaporkan cedera ringan selepas terjatuh dari bumbung sekolahnya di sini.
Pengarah Pendidikan Perlis, Rose Aza Che Ariffin, memaklumkan bahawa insiden berlaku sekitar jam 11 pagi di bangunan sekolah tersebut.
“Berdasarkan keterangan pelajar itu, dia mengaku menggunakan vape di dalam kelas sewaktu hujung waktu rehat. Akibat berasa tidak stabil, dia turun ke bumbung dari tingkat satu bangunan, tetapi kemudian terjatuh ke tanah, menyebabkan luka ringan di bahagian kakinya,” jelasnya ketika dihubungi Astro Awani.
Ads
Tambah beliau, selepas insiden itu, pelajar tersebut menunjukkan tingkah laku tidak terkawal sehingga pihak sekolah terpaksa menghubungi polis.
“Pelajar berkenaan telah dibawa ke Klinik Kesihatan Kangar untuk pemeriksaan lanjut, termasuk ujian saringan dadah. Bagaimanapun, keputusan ujian air kencingnya didapati negatif. Dia kemudiannya diserahkan kepada warisnya dan kini berada dalam keadaan stabil,” katanya.
Ads
Menurut Rose Aza, pihak sekolah bersama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis sedang bekerjasama dengan pihak polis untuk menyiasat kejadian ini dengan lebih mendalam.
“Guru disiplin telah diarahkan untuk menyiasat punca kejadian, termasuk mengenal pasti individu yang mungkin membekalkan vape kepada pelajar tersebut. Laporan awal juga akan dihantar kepada Unit Hal Ehwal Murid, Sektor Pembangunan Murid untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa jabatan akan memberi sokongan kepada pihak sekolah dalam menyediakan laporan awal dan tindakan susulan di bawah Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM). Pelajar tersebut juga akan terus dipantau bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraannya terjamin. – Astro Awani
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
58 Maktab Rendah Sains MARA dijangka akan ada warden sepenuh masa dijangka mula dilaksanakan di bermula tahun hadapan sebagai satu langkah tegas untuk memperkukuh pengurusan pelajar di asrama. Inisiatif ini dilihat sebagai pendekatan lebih sistematik dalam memastikan aspek disiplin, kebajikan serta pemantauan pelajar dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan di seluruh institusi berkenaan.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelantikan warden itu akan melibatkan bekas anggota beruniform yang melalui proses pemilihan ketat serta latihan khusus. Menurut beliau, semua individu yang dipilih bukan sahaja perlu memiliki pengalaman dan ketegasan, malah wajib memahami pendekatan pendidikan MARA sebelum memulakan tanggungjawab mereka di asrama.
Menurut beliau lagi, semua warden yang dilantik juga diwajibkan menjalani latihan bagi memahami Falsafah Pendidikan MARA sebelum memulakan tugas. Perkara ini penting supaya pelaksanaan tugas tidak hanya tertumpu kepada soal kawalan disiplin semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira aspek pembentukan sahsiah, pembangunan emosi dan kemenjadian pelajar secara menyeluruh.
Katanya, pelaksanaan itu membolehkan guru-guru tidak lagi dibebankan dengan tugas sebagai warden, sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas mengajar, mendidik dan membentuk kemenjadian pelajar. Langkah ini dilihat sangat signifikan kerana selama ini sebahagian guru bukan sahaja memikul tanggungjawab akademik di bilik darjah, malah turut perlu mengurus hal ehwal asrama yang memerlukan masa, tenaga dan komitmen tinggi.
Dengan adanya warden sepenuh masa MRSM, guru dapat menumpukan perhatian secara lebih mendalam kepada kualiti pengajaran, pembangunan potensi pelajar serta aspek pembelajaran yang lebih berfokus.
Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook. Kenyataan itu sekali gus menarik perhatian ramai kerana ia memperlihatkan usaha MARA untuk menstruktur semula pengurusan institusi pendidikan berasrama dengan lebih profesional dan tersusun.
Asyraf Wajdi turut memaklumkan bahawa langkah berkenaan merupakan kesinambungan daripada projek rintis yang dilaksanakan sebelum ini melibatkan pelantikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai warden di dua MRSM sejak Ogos tahun lalu. Projek perintis itu dilihat sebagai medan awal untuk menilai sejauh mana pendekatan melibatkan bekas anggota beruniform mampu memberi impak positif terhadap pengurusan disiplin dan suasana kehidupan pelajar di asrama.
Tambah beliau, tempoh enam bulan pelaksanaan projek rintis itu penting bagi membolehkan pihak penyelidik dari Universiti Putra Malaysia menilai keberkesanannya sebelum laporan penuh dibentangkan.
Sekiranya hasil penilaian menunjukkan impak positif, pelaksanaan tersebut akan diperluaskan ke semua MRSM di seluruh negara. Ini menunjukkan bahawa MARA mengambil pendekatan berhati-hati tetapi progresif dalam memastikan sesuatu dasar benar-benar memberi manfaat kepada institusi, guru dan pelajar sebelum ia dilaksanakan secara menyeluruh.
Dalam masa sama, inisiatif itu bukan sahaja bertujuan menangani isu disiplin seperti buli, malah membantu mengurangkan beban tugas guru yang sebelum ini turut memikul tanggungjawab sebagai warden asrama. Peranan warden dalam konteks sekolah berasrama amat besar kerana mereka bukan sekadar menjaga peraturan, tetapi juga menjadi individu yang paling hampir dengan pelajar di luar waktu persekolahan.
Melalui pelantikan warden sepenuh masa MRSM, pemantauan terhadap tingkah laku, keselamatan dan kesejahteraan pelajar dijangka dapat dipertingkatkan. Kehadiran warden yang benar-benar fokus kepada tugasan asrama boleh membantu mewujudkan persekitaran yang lebih selamat, lebih teratur dan lebih kondusif untuk perkembangan pelajar.
Pemandu Pelancong dakwa dipukul dan diugut bunuh oleh pengusaha pelancongan di Jepun. Seorang wanita yang bekerja sebagai pemandu pelancong sambilan mendakwa menjadi mangsa serangan fizikal dan ugutan bunuh oleh seorang lelaki warga Malaysia yang juga dikenali sebagai pengusaha pelancongan dalam satu insiden di Jepun pada 24 Januari lalu.
Mangsa, Noornabilla Azemi, 36, dari Cyberjaya, berkata dia dipukul, ditarik rambut dan kepalanya dihentak ke besi katil. Lebih menyayat hati, dia turut dipijak dengan kasut but sehingga menyebabkan lebam di tubuhnya. Kejadian itu didakwa dirakam oleh rakan lelaki terbabit menggunakan telefon bimbit.
Menurut Noornabilla, lelaki berkenaan merupakan individu yang dikenali ramai sebagai penulis buku panduan pelancongan ke Jepun dan aktif berkongsi kandungan berkaitan pelancongan di media sosial.
Menceritakan kejadian, Noornabilla berkata dia berada di Tokyo ketika itu kerana ditugaskan oleh sebuah agensi pelancongan tempatan (TA) untuk menguruskan sekumpulan pelancong dari Malaysia.
Dia memaklumkan sudah mengenali lelaki tersebut sejak dua tahun lalu dan pernah beberapa kali ditawarkan bekerjasama dalam tugasan pelancongan.
Namun katanya, tidak menyangka akan diperlakukan sebegitu hanya kerana isu ketidakpuasan hati.
“Ketika kejadian, suami, Mohamad Zhaza Mohamad, berusia 34 tahun, bersama seorang lagi rakan dari Malaysia yang menetap di sana, turut dibelasah.
Lelaki itu turut merampas wang 75,000 yen (kira-kira RM2,300) dan mengarahkan kami segera pulang ke Malaysia,” katanya dalam sidang media yang berlangsung semalam.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengarah Mind Pro Management, Ena Awil dan aktivis masyarakat, Mona Din.
Selepas insiden tersebut, Noornabilla membuat laporan kepada pihak berkuasa Jepun serta memaklumkan kejadian itu kepada Kedutaan Malaysia di Tokyo.
Setibanya di tanah air, beliau membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang serta mendapatkan rawatan kesihatan di klinik dan Hospital Cyberjaya.
Noornabilla memaklumkan bahawa beliau kembali ke Jepun pada April lalu untuk mengikuti perkembangan kes, dan pihak berkuasa Jepun memaklumkan bahawa siasatan masih berjalan serta memerlukan sokongan dan kerjasama daripada pihak Kedutaan Malaysia.
Menurutnya lagi, beliau mempunyai bukti dan saksi kejadian tersebut, dan bersedia memberikan kerjasama penuh bagi membantu siasatan lanjut.
“Kejadian ini sangat memberi kesan kepada saya menyebabkan saya trauma dan hanya boleh tidur selepas mengambil ubat tidur sekiranya berdepan rasa takut.
Saya berharap pihak berkuasa Malaysia dapat membantu membawa lelaki itu pulang dan melakukan siasatan bagi memastikan insiden sama tidak berulang kepada wanita lain,” katanya.
Ibu hilang 4 anak, seorang menantu sekali gus, “Saya dah larang mereka banyak kali jangan ergi…” Perjalanan yang sepatutnya menjadi detik menggembirakan bertukar menjadi peristiwa hitam apabila lima sekeluarga terkorban dalam kemalangan tragis melibatkan dua kenderaan di Kilometer 7, Jalan Jerantut-Maran, tengah malam semalam.
Tragedi ini bukan sekadar satu kemalangan ngeri, ia meragut nyawa satu pasangan suami isteri muda bersama tiga adik ipar mereka, sekali gus menghancurkan harapan dan kebahagiaan sebuah keluarga yang merancang untuk berhari raya bersama sanak saudara di kampung.
Mangsa-mangsa yang maut menaiki kereta jenis Perodua Bezza dan dalam perjalanan ke rumah bapa saudara mereka di Jerantut bagi menghadiri kenduri korban keluarga. Mereka ialah Muhammad Ikmal Ishak, 26, pemandu kenderaan dan suami kepada Nur Arfiqah, Nur Arfiqah Aziz Jaafar, 23, isteri Ikmal dan tiga adik Nur Arfiqah iaitu Mohammad Zulkifli Aziz Jaafar, 21, Mohamad Azizul, Hakimi Aziz Jaafar, 19 dan Nurul Hazwani Aziz Jaafar, 17
Kemalangan berlaku sekitar jam 12.40 tengah malam apabila kereta mereka bertembung dengan sebuah Toyota Alphard. Menurut Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad, kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ibu kepada empat daripada mangsa, Zaini Noh, 52, menyatakan bahawa sejak awal dia sudah merasakan sesuatu yang tidak kena. Beliau beberapa kali melarang anak-anaknya untuk pergi, lebih-lebih lagi kerana beliau sendiri tidak sihat dan tidak dapat menyertai perjalanan itu.
“SAYA CAKAP DENGAN MEREKA, KALAU MAK TAK PERGI, TAK PAYAHLAH PERGI. TAPI MEREKA BERSUNGGUH-SUNGGUH SANGAT NAK PERGI.”
Namun dek keinginan untuk bersama keluarga dan menyertai kenduri korban yang dianjurkan oleh bapa saudara mereka, mereka tetap meneruskan perjalanan. Saudara-mara lain termasuk anak bongsu pasangan itu telah bertolak sehari lebih awal menaiki dua lagi kenderaan.
Kali terakhir Zaini melihat anak-anaknya ialah pada hari Selasa, apabila mereka datang mengambil barang sebelum bertolak. Mereka semua kelihatan ceria, tanpa menunjukkan sebarang petanda akan berlaku sesuatu yang buruk.
Beliau mengingati kisah yang diceritakan oleh rakan-rakan arwah anaknya, bahawa anak ketiganya, Mohammad Zulkifli, sempat membelanja 10 orang kawannya makan nasi bungkus sebelum bertolak. Tindakan itu kini menjadi kenangan terakhir yang amat menyentuh hati mereka yang mengenalinya.
“Saya tengok mereka semua ceria masa kali terakhir jumpa… saya tak sangka itu kali terakhir.”
Abang kepada Muhammad Ikmal, Muhammad Ridzuan Ishak, 33, masih terkesan dengan apa yang dilihatnya pada malam kejadian. Sekitar jam 10 malam, beliau sempat melihat status WhatsApp adiknya yang berbunyi:
“ITULAH JALAN PERTAMA DAN TERAKHIR AKAN DILALUINYA.”
Kata-kata itu yang pada mulanya dianggap biasa, rupa-rupanya menjadi petanda bahawa perjalanan malam itu adalah yang terakhir buat mereka berlima.
Ridzuan yang bekerja sendiri berkata, kali terakhir dia bertemu adiknya adalah pada hari Rabu, ketika semua adik-beradik berkumpul di Taman Malar, Tambun, Perak. Ia merupakan pertemuan yang tidak disangka akan menjadi kali terakhir mereka berjumpa.
“Arwah memang periang dan sangat disenangi keluarga. Saya tergamam bila terima berita.”
Berita kemalangan diterima keluarga dalam suasana yang sangat mengharukan. Ridzuan menerima panggilan telefon daripada abang kepada isteri adiknya sekitar jam 1.30 pagi. Pada mulanya beliau tidak percaya, namun setelah mendapat penjelasan, hatinya luluh dan tidak mampu berkata apa-apa.
Sementara itu, Zaini dan suaminya menerima berita itu melalui jiran mereka yang menghubungi dan memberitahu tentang kemalangan. Namun, berita sebenar bahawa semua anaknya telah meninggal dunia hanya diketahui kemudian. Detik itu menghancurkan hati seorang ibu yang baru sahaja melihat anak-anaknya ceria beberapa jam sebelumnya.
“Jiran telefon, kata anak eksiden, tetapi dia tak cakap lagi pasal meninggal. Dah lama lepas itu baru kami tahu semua dah tak ada.”
Keadaan kereta Perodua Bezza dinaiki mangsa selepas terbabit kemalangan dengan MPV di Jalan Jerantut Feri, Jerantut pada Sabtu.
Pada mulanya, keluarga bercadang mengebumikan jenazah di Tambun, namun atas permintaan keluarga mentua arwah, jenazah kelima-lima mangsa akhirnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Selat, Bota Kanan, Perak.
Solat jenazah dilakukan di Masjid Jamek Bota Kanan pada hari Sabtu, dalam suasana penuh pilu. Sanak saudara, rakan-rakan dan penduduk setempat hadir memberi penghormatan terakhir kepada lima insan yang pergi serentak dalam tragedi yang menyayat hati ini.
Kini, Zaini dan suaminya hanya tinggal dua orang anak, anak sulung dan anak bongsu. Walaupun berat, mereka memilih untuk reda dengan takdir Tuhan.
“Apa saya boleh kata… saya reda,” ujar Zaini dalam esak tangis yang ditahan, menunjukkan ketabahan luar biasa seorang ibu yang kehilangan hampir seluruh isi rumahnya dalam sekelip mata.
Aaron Aziz mengakui berdepan rasa sunyi apabila anak-anak semakin dewasa dan melanjutkan pengajian di luar negara. Luahan menyentuh hati ini dekat dengan pengalaman ramai ibu bapa.