
Syasya Rizal berkongsi pandangan mengenai keputusan berkahwin muda yang tidak pernah disesalinya. Tidak semua perjalanan hidup orang sama. Ada yang bertemu jodoh pada usia matang, ada pula yang Allah susun rezekinya untuk mendirikan rumah tangga lebih awal.
Bagi penyanyi ini, keputusan berkahwin muda bukan sesuatu yang pernah disesalinya. Malah, bekas anggota kumpulan Dolla itu mengakui fasa menjadi isteri dan ibu pada usia muda banyak mengajar dirinya tentang erti kematangan, tanggungjawab dan keindahan sebuah keluarga.

Syasya Rizal atau nama sebenarnya Norsyasya Afiqah Shahrizal, 25, berkata, tanggapan segelintir pihak bahawa berkahwin muda akan menamatkan kehidupan menyeronokkan adalah kurang tepat.
Menurutnya, tidak ramai yang melihat sisi lain dalam perkahwinan, iaitu bagaimana pasangan sama-sama belajar dan berkembang menjadi insan yang lebih baik.
“Orang ingat kahwin muda terus kehidupan seronok tamat. Hakikatnya, tiada siapa bercerita bagaimana kita belajar dan mencuba menjadi versi diri lebih baik bersama pasangan.
“Siapa kata kahwin muda dan ada anak itu tidak indah? Orang nampak penat, sibuk dan tiada masa manis seperti dahulu,” katanya menerusi perkongsian di TikTok.
Syasya Rizal Akui Fasa Rumah Tangga Banyak Mematangkan
Biarpun kehidupan selepas berkahwin tidak lagi sama seperti dahulu, Syasya Rizal tidak melihat perubahan itu sebagai satu kekurangan. Sebaliknya, dia percaya setiap tanggungjawab yang hadir bersama gelaran isteri dan ibu telah membentuk dirinya menjadi lebih matang.
“Fasa ini sebenarnya sangat mematangkan kita.
“Memanglah tidak akan sama seperti dulu, tetapi lebih baik. Insya-Allah,” ujarnya.
Benarlah, alam perkahwinan bukan hanya tentang hidup berdua semata-mata. Ia tentang belajar memahami pasangan, mengurus emosi, membahagi masa, menyesuaikan diri dengan tanggungjawab baharu dan dalam masa sama terus memperbaiki diri.
Apatah lagi apabila sudah bergelar ibu, dunia seorang wanita pasti berubah. Tidur tidak lagi seperti biasa, masa sendiri semakin terbatas dan banyak keputusan perlu dibuat dengan memikirkan keluarga. Namun di sebalik penat itu, ada bahagia yang sukar digambarkan.

Netizen Setuju Kahwin Dengan Orang Tepat Buat Hidup Lebih Tenang
Perkongsian Syasya Rizal meraih perhatian ramai apabila rata-rata netizen tampil memberi sokongan. Ramai yang bersetuju bahawa perkahwinan muda bukan semestinya menjadi penghalang untuk bahagia, terutama apabila seseorang itu bertemu pasangan yang tepat.
Ada yang berkongsi pengalaman sendiri, sebelum berkahwin hidup terasa sunyi dan tidak banyak tempat untuk bergantung. Namun selepas mempunyai suami, kehidupan menjadi lebih tenang kerana ada teman untuk berkongsi suka duka.
Malah, doa yang baik-baik turut dititipkan buat Syasya dan suami agar rumah tangga yang dibina terus kekal bahagia serta diberkati.
@syasya.rzlOrang ingat kahwin muda terus fun life habis. But no one talks about how we learn and grow to be a better version of us together🤍 Siapa geng kahwin muda?♬ original sound – 🧸
Keluarga Kecil Jadi Sumber Kekuatan Syasya Rizal
Untuk rekod, Syasya mendirikan rumah tangga bersama suami, Nasrullah Mohd Sapie pada 20 April 2024. Hasil perkahwinan itu, pasangan tersebut dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Yassir Hayyan, 1, dan Yara yang dilahirkan hujung tahun lalu.
Setiap orang ada jalan hidup masing-masing. Yang penting bukan usia ketika melangkah ke alam perkahwinan, tetapi kesediaan hati untuk memikul amanah, saling melengkapi dan terus memilih untuk menjadi lebih baik demi keluarga tercinta.
BACA LAGI : Syasya Rizal Cerita Detik Cemas, Bayi Mungkin Tak Bertahan Jika Lahir Pra-Matang
Sumber : Tiktok Syasya Rizal
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di




