Isu ibu bapa yang sering bertanya mengenai kerja rumah anak kini menjadi perbincangan hangat, seolah-olah mereka yang hadir ke sekolah menggantikan anak-anak.
Begitulah luahan seorang guru yang tular di media sosial, mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.
Ramai yang bersetuju bahawa sikap terlalu memanjakan anak dengan kerap bertanya dan membantu mereka secara berlebihan boleh menghalang mereka daripada belajar berdikari. Sekolah sepatutnya menjadi tempat untuk anak-anak belajar bertanggungjawab, bukan sekadar menerima arahan ibu bapa dari jauh.
Perkongsian mengenai isu ini di laman X oleh Amran Fans turut menarik perhatian ramai, dengan pelbagai pendapat dan pengalaman yang dikongsikan.
“Salam. Saya Cikgu Z**. Maaf tanyalah, apa masalah mak-mak kat sini yang nak sangat melayan anak tak siap kerja? Patutnya kita ajarkan anak-anak erti tanggungjawab, bukan kita yang memanjakan.
“Memang menjadi tanggungjawab cikgu ke untuk maklumkan setiap kerja sekolah yang diberi? Bukan tanggungjawab anak-anak untuk fokus dan peka dalam kelas?
Ads
“Kalau Darjah Satu saya boleh faham lagi, ini dah Darjah Empat kot,” luah beliau.
Hampa dengan situasi yang berlaku, guru berkenaan menegaskan grup berkenaan bertujuan sebagai medium hebahan sahaja.
“Tolong ya, ini grup untuk makluman penting berkaitan sekolah. Bukan untuk emak-emak mengadu anak tidak siap kerja apa bagai.
“Saya harap semua ibu bapa boleh bagi kerjasama, terima kasih,” kongsinya.
Ads
Yang Pernah Jadi Cikgu Je Paham Perasaan Bila Hadap Parent.” – Netizen
Meninjau di ruangan komen, ramai yang memberikan pandangan mengenai isu yang dibincangkan. Rata-rata berpendapat bahawa ada segelintir ibu bapa yang terlalu memanjakan anak, sehingga kurang memberi ruang untuk mereka belajar berdikari.
Antara komen yang menarik perhatian ialah:
“Adik saya pun sama. Masa saya bersekolah di SJKC dulu, semuanya okay sahaja, tak ada pun kumpulan ibu bapa seperti sekarang. Dari tadika hingga sekarang, saya belajar berdikari.”
“Hanya yang pernah menjadi cikgu sahaja yang faham perasaan apabila berhadapan dengan ibu bapa yang terlalu memanjakan anak.”
Ads
“Dulu semasa saya di sekolah rendah, kami siap ada buku 555 untuk mencatat kerja rumah yang diberikan.”
“Terlalu memanjakan anak hingga akhirnya anak menjadi ‘tuan’ kepada ibu bapa sendiri.”
Kes Zara Qairina: Tidak Seperti Diviralkan, Jenazah Alami Pereputan, Ini Pandangan Sudut Syarak. Kes Zara Qairina mendapat perhatian bukan sahaja di kalangan masyarakat tempatan tetapi juga di luar negara. Ketika penggalian semula kubur arwah, ramai yang memperkatakan tentang pelbagai keajaiban antaranya jenazah tidak reput dan berbau harum.
Memetik laporan Harian Metro, jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengalami tahap pereputan sederhana hingga lanjut selepas dikeluarkan semula dari kuburnya untuk proses bedah siasat pada 9 Ogos lalu.
Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE) Dr Jessie Hiu berkata, tahap pereputan tubuh adalah konsisten dengan tempoh pengebumian dalam tanah. Bagaimanapun, katanya keadaan jenazah arwah, kecuali otak masih dalam keadaan baik dan membolehkan bedah siasat dijalankan dengan baik.
“Walaupun badan telah mereput, tisu-tisu kecuali otak masih agak utuh, membolehkan pemeriksaan luaran dan dalaman serta pendokumentasian kecederaan dijalankan,” katanya ketika membacakan keterangan bertulis di Mahkamah Koroner.
Dr Jessie berkata, penggalian semula jenazah arwah dijalankan pada 9 Ogos lalu di Tanah Perkuburan Tanjung Ubi Mesapol, Sipitang. Beliau berkata, pengecaman jenazah disahkan oleh ibunya, Noraidah Lamat selepas proses penggalian semula dan sebelum pemeriksaan bedah siasat di HQE.
1. Saya tidak berbicara isu ini ketika ia viral awal dahulu. Sewaktu itu orang masih bersemangat dan mungkin tidak dapat menilai dengan pemikiran yang waras. Isu apakah itu?
Isu berikut:
I: Berkaitan bau harum di perkuburan Zara.
II: Jasad Zara elok seperti baru dikebumikan.
2. Saya mula rasa “sesuatu” dengan dua dakwaan ini. Ini kerana Peguam yang bersama keluarga Zara bermula sejak penggalian semula kubur, post mortem hingga dikebumikan semula tidak keluarkan maklumat terperinci seperti yang viral tersebut.
Sebelum ini viral berkaitan orang yang dikaitkan terlibat menggali semula kubur Zara, mengatakan terdapat bau haruman ketika proses itu dan perkara ini sendiri disebutkan oleh Timbalan Mufti Sabah. Itu dakwaan mereka. Mereka menjual nama Timbalan Mufti.
Baru-baru ini, Jabatan Mufti Sabah pula telah menafikan dan menyangkal dakwaan itu. Mufti dan Timbalan Mufti tidak hadir pada majlis tersebut. Jadi bagaimana mereka boleh menjual nama Timbalan Mufti mengatakan ada bau harum pada mayat Zara?
Kebiasaannya jika orang biasa yang claim perkara sebegini, ia sukar dipercayai. Namun apabila ditempelkan nama Timbalan Mufti, ia akan menambah keyakinan masyarakat. Tuan-tuan, dalam bersolidariti jangan mengaitkan unsur menipu dan “nasi tambah”.
Cukuplah dengan memberikan fakta dan maklumat yang dapat membantu pendakwaan.
Nabi sallallah alaih wasallam bersabda: وإياكم والكذب، فإن الكذب يهدي إلى الفجور، وإن الفجور يهدي إلى النار وما يزال العبد يكذب ويتحرى الكذب حتى يكتب عند الله كذابا
“Jauhilah penipuan, sesungguhnya penipuan membawa kepada kejahatan dan sesungguhnya kejahatan membawa ke neraka. Seseorang yang menipu dan sentiasa menipu sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang penipu”. [HR al-Bukhari]
3. Kita dituntut menutup aib jenazah, tapi kita juga berdosa jika menipu dalam menyebutkan tentang sesuatu perkara berkaitan jenazah yang tidak benar walaupun tujuan dan niat yang baik.
Peguam Zara yang terlibat dalam urusan ini sejak kubur dibongkar semula hingga masuk bersama-sama dalam bilik post mortem, tidak melaporkan bau harum dan lain-lain. Jika beliau sebut ‘ada sedikit kesan reputan sederhana’, ini akan mendatangkan tohmahan.
Kerana ada sesetengah masyarakat kita memandang nilai iman kedudukan seseorang di sisi Allah berdasarkan keadaan fizikal jenazah.
4. Sejak insiden yang menimpa pelajar UPSI iaitu kemalangan bas sebelum ini, trend mengaitkan kubur atau jenazah harum ini semakin menjadi-jadi dalam negara kita.
Apabila diteliti dalam teks ulamak terdahulu, memang ada jasad atau kubur yang wangi ini. Itu tidak kita nafikan. Adapun pada zaman sekarang, kelihatan seolah-olah berlumba-lumba hendak menyampaikan maklumat pada masyarakat walaupun diragui kebenarannya.
5. Trend menilai zahir jasad jenazah, lalu dikaitkan dengan baik atau buruk kedudukan jenazah itu telah ada dilakukan pada zaman terdahulu. Antaranya ia dilakukan oleh golongan munafik.
Lihat pada kisah ketika kewafatan Saad bin Muaz. Beliau merupakan salah seorang sahabat baginda yang mempunyai banyak kelebihan pada dirinya. Orang munafik membenci Saad.
Lalu orang-orang munafik mengambil kesempatan menyindir jenazahnya yang ringan, disebabkan dendam kesumat mereka terhadap diri Saad.
لما حملت جنازة سعد بن معاذ، قال المنافقون: ما أخف جنازته، وذلك لحكمه في بني قريظة
Tatkala dipikul jenazah Saad bin Muaz, orang munafik berkata: “Alangkah ringannya jenazah Saad ini. Itu merupakan balasan terhadap apa yang diputuskan oleh Saad terhadap bani Quraizah”.
Perkataan orang munafik ini sampai kepada Rasulullah, lalu baginda bersabda:
إن الملائكة كانت تحمله “Sesungguhnya malaikat yang memikul jenazah Saad”. [HR al-Tirmizi, hasan sahih gharib]
Ya, orang munafik telah lama ambil kesempatan menilai zahir jasad jenazah sama ada baik atau sebaliknya. Kalau dalam konteks sesetengah masyarakat kita, jenazah berat atau kubur berair dan lain-lain itu tanda ada sesuatu yang buruk pada jenazah. Seeloknya tinggalkan sangkaan buruk sebegitu.
6. Keadaan jasad yang nampak seolah-olah terseksa atau buruk di mata kita ketika kematian, tidak semestinya ia tanda seseorang itu hina di sisi Allah. Tidak sama sekali. Jaafar bin Abi Talib adalah sahabat baginda. Kedua-dua tangannya kudung kerana dicantas oleh musuh dalam peperangan Mu’tah. Bayangkan beliau meninggal dunia dalam keadaan kudung.
Tangan ditebas musuh. Namun terdapat riwayat dengan Sanad yang Hasan menunjukkan beliau terbang bersama malaikat, ada juga menunjukkan beliau mempunyai sayap. Ini semua di alam sana setelah kematiannya.
Setelah kewafatan Jaafar, Ibn Umar ketika bertemu dengan keluarga Jaafar beliau akan tegur anak Jaafar.
كان إذا سلم على ابن جعفر، قال: السلام عليك يا ابن ذي الجناحين
Ibn Umar apabila memberi salam keatas anak Jaafar beliau akan berkata ‘Assalam Alaik wahai anak pemilik dua sayap’. [HR al-Bukhari]
7. Dalam hadis memang ada disebutkan ciri-ciri kematian baik yang dapat dinilai dari zahirnya, tapi bukan sepertimana yang difahami oleh masyarakat kita. Antara syarahan ulamak terhadap hadis tanda kematian seorang itu mukmin adalah dengan berpeluh dahinya:
هو عبارة عن شدة الموت، وقيل هو علامة الخير عند الموت
“Ia menunjukkan terhadap dasyatnya (kesakitan) ketika menghadapi kematian. Dikatakan juga itu tanda kebaikan saat kematiannya”.
Dahi berpeluh merupakan tanda dasyatnya kematian seseorang. Bukan semestinya ia tanda seseorang itu diazab. Bukan tanda kurangnya nilai kedudukan seseorang di sisi Allah.
8. Selain itu, terdapat juga teks dari para ulamak yang menyebutkan kisah jenazah golongan terkorban dalam peperangan masih utuh dan sebagainya. Bahkan memang terdapat riwayat pada zaman Rasulullah berkaitan sahabat yang terkorban ketika perang
UHUD, jasadnya masih utuh dan elok lagi setelah digali semula. Jabir berkata:
فكان أول قتيل ودفن معه آخر في قبر ثم لم تطب نفسي أن أتركه مع الآخر فاستخرجته بعد ستة أشهر، فإذا هو كيوم وضعته هنية غير أذنه
“Ayah aku merupakan orang pertama yang terkorban dalam peperangan dan dia dikebumikan bersama-sama jenazah yang lain dalam satu kubur. Kemudian aku rasa tak sedap hati meninggalkan jasad bapa aku bersama jenazah lain. Lalu aku mengeluarkannya (korek kubur) setelah enam bulan (dari dikebumikan). Keadaan ayah aku elok seperti hari aku meletakkannya (ke dalam kubur) kecuali pada telinganya”. [Sahih al-Bukhari]
Namun pada hari ini, bukan tugas kita untuk menyebutkan secara pasti seseorang itu syahid atau tidak tanpa nas spesifik. Kita tidak ada kelayakan dan hak.
9. Saya masih ingat perbahasan dalam parlimen berkaitan isu Memali. Ada suara dalam parlimen ketika itu mengusulkan dibongkar kembali kubur tersebut (Ibrahim Libya) untuk melihat semula jasad mereka setelah hampir 20 tahun dikebumikan.
Cadangan datang dari pihak MP Kerajaan memerintah sewaktu itu. Jika jasadnya utuh itu tanda mereka di pihak benar. Sekiranya sebaliknya, itu tanda mereka bukan syahid. Hingga begitu sekali cadangan yang diutarakan oleh ahli parlimen pada saat itu. Bagaimana pun keadaan jasad itu elok atau tidak, bukan tugas kita menilai kedudukannya di sisi Allah.
10. Untuk isu Zara, doktor yang bertugas berkata badan Zara ada kesan reputan sederhana, beliau berkata:
“Walaupun badan telah mereput, tisu-tisu kecuali otak masih agak utuh, membolehkan pemeriksaan luaran dan dalaman serta pendokumentasian kecederaan dijalankan”. Itu kenyataan doktor yang bertanggungjawab dalam hal ini. Selain itu, akhbar Metro juga berkata:
“Bagaimanapun, katanya keadaan jenazah arwah, kecuali otak masih dalam keadaan baik dan membolehkan bedah siasat dijalankan dengan baik”. Akhbar Bernama melaporkan bahawa jasad Zara mula mengalami pereputan iaitu pereputan sederhana.
Tuan-tuan, jasad Zara yang ada kesan mereput itu bukan semestinya tanda yang buruk. Itu memang keadaan yang berlaku bagi orang meninggal dunia. Sebab itu saya kurang gemar mengaitkan semata-mata keadaan jasad jenazah semata-mata untuk mengukur iman dan kedudukan seseorang di syurga atau sebaliknya.
Perkara utama yang penting sekarang ini ialah kita hendak pembuli dihadapkan ke pengadilan dan mendapat hukuman yang selayaknya jika benar ada unsur buli. Kita tidak perlu nasi tambah yang menambah cerita misalnya keadaan jasad seperti baru dikebumikan semalam dan lain-lain ketika bersolidariti.
Lagipun doktor juga telah menyatakan ada kesan pereputan sederhana. Perkara utama yang kita harapkan agar keadilan dapat ditegakkan. Emosi penting, tapi jangan emosi digunakan dengan cara yang salah.
“Saya tak tidur, ‘last contact’ jam 1.40 pagi tadi”- Yusuf Bahrin kongsi detik terakhir sebelum Zizi Kirana ditahan. Pelakon Yusuf Bahrin mengakui dirinya tidak dapat melelapkan mata sejak malam tadi kerana terlalu bimbang dengan keadaan isterinya, penyanyi Zizi Kirana, yang kini berada dalam tahanan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Menurut Yusuf atau nama sebenarnya Muhammad Yusuf Bahrin, 33, dia sempat menghubungi Zizi buat kali terakhir pada jam 1.40 pagi sebelum talian komunikasi terputus sepenuhnya.
“Kita sama-sama tak tidur malam ini. Saya rasa dah buang telefon sebab tak dapat nak hubungi dia dah, saya cuba mesej dan ‘call’ dia.
“Status kapal Zizi kali terakhir adalah kecemasan. Setakat ini saya cuba sedaya upaya untuk kuatkan semangat di sini, doa banyak-banyak.
“Kali terakhir berhubung pada 1.40 pagi tadi. Kapal Heliza dekat belakang sebab itu dia masih boleh buat siaran langsung,” katanya sebak.
Bintang drama Seindah Hujan Cinta itu berkata misi GSF seharusnya membuka mata masyarakat dunia bahawa tujuan utama mereka hanyalah untuk membawa bantuan kemanusiaan, bukannya mencetuskan perbalahan.
Lebih menyentuh hati, Yusuf memaklumkan bahawa penduduk Gaza sudah menunggu di tepian pantai untuk menyambut ketibaan rombongan flotila, termasuk kanak-kanak kecil yang menaruh harapan tinggi.
“Satu dunia pandang G sebab tak semua ada media sosial. Bila tengok GSF tengah tular, mereka tahu ada orang peduli,” jelasnya lagi.
Yusuf turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersatu menunaikan solat hajat serta mendoakan keselamatan semua sukarelawan yang menyertai misi berkenaan.
Difahamkan, kapal yang dinaiki Zizi iaitu Huga telah dipintas tentera Israel, manakala dua lagi kapal iaitu Sirius dan Alma yang membawa tujuh delegasi Malaysia turut ditahan dalam misi GSF.
Hilang kaki bukan penghalang semangat Nik Haziera Saffiya terus beruaha. Kehilangan kaki bukanlah pengakhiran segalanya, malah ia tidak mematahkan semangat seorang remaja, Nik Haziera Saffiya Nik Husmadi untuk terus berusaha dan mencipta peluang baru dalam hidup.
Walaupun berdepan dugaan besar, gadis berusia 18 tahun itu tetap optimis dan mula merancang langkah untuk meneruskan kehidupannya sebaik sahaja kesihatannya semakin pulih. Dengan menggunakan tongkat dan alat bantuan lain, dia kini sedang belajar menyesuaikan diri dengan keadaannya.
“Setahun lalu, kaki saya kehilangan keupayaan untuk bergerak selepas dilenyek lori dalam satu kemalangan yang turut melibatkan kakak saya. Namun, saya menerima takdir ini dengan hati yang reda dan tidak pernah meratapi nasib. Ini adalah ujian Allah yang harus saya tempuh dengan sabar,” katanya.
Menurut Haziera, kakaknya, Nik Haznita Saffiya, 20, turut mengalami kecederaan parah dalam kemalangan tersebut. Akibatnya, kaki kanan Haznita terpaksa dipotong hingga ke paras pinggul pada Februari 2024.
“Walaupun ramai yang simpati dengan keadaan kami, kami menerima ketentuan ini dengan lapang dada. Kehidupan kami berjalan seperti biasa. Kakak teruskan perniagaannya, manakala saya masih menjalani rawatan susulan sebelum kaki saya dipotong pada pertengahan Januari lalu,” tambahnya.
Haziera kini sedang menjalani rawatan di Hospital Temerloh selepas kemalangan tragis yang berlaku pada Februari 2024 itu. Dalam insiden tersebut, Haznita yang membonceng motosikal mengalami kecederaan serius pada kaki kanan, manakala Haziera pula mengalami komplikasi darah beku di paru-paru, patah bahu, serta kecederaan pada tulang pelvis dan pinggang.
Walaupun diuji dengan keadaan fizikal yang berubah, Haziera tidak pernah hilang semangat. Dia kini sibuk merancang masa depannya selepas pulih sepenuhnya.
“Saya sepatutnya berada di Tingkatan 5 ketika kemalangan berlaku. Namun, kerana keadaan saya, saya terpaksa menangguhkan persekolahan selama setahun. Insya-Allah, saya akan kembali ke sekolah pada sesi baru nanti untuk menamatkan pelajaran hingga ke peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Sebelum itu, saya akan melatih diri menggunakan tongkat sehingga mahir. Meskipun impian saya untuk menjadi seorang askar kini tidak dapat dicapai, saya tetap bersemangat untuk mencuba perkara baharu. Baru-baru ini, saya mendapat tawaran untuk menyertai latihan sukan memanah bagi paralimpik, dan saya sangat teruja untuk mencuba bidang tersebut,” katanya dengan senyuman penuh keyakinan.
Haziera turut menjelaskan bahawa keluarga, terutamanya ibu bapa dan adik-beradiknya, adalah sumber kekuatannya.
“Ayah pernah berkata, walaupun kami kehilangan kaki, kami tetap ada ‘tiga kaki’ kerana sokongan daripada keluarga. Kata-kata itu benar-benar memberi semangat kepada saya dan kakak untuk teruskan hidup tanpa rasa kekurangan,” ujarnya.
Haziera juga mendapat sokongan moral daripada rakan-rakan dan guru-guru yang sentiasa menghulurkan bantuan serta melawat mereka dari semasa ke semasa.
Bagi Haziera, pengalaman ini bukan sahaja mendidiknya untuk lebih tabah, malah mengajarnya bahawa kekuatan sebenar datang daripada hati yang reda dan fikiran yang positif.
Walaupun laluan hidupnya kini berbeza, Haziera yakin setiap cabaran yang dihadapinya adalah peluang untuk membina masa depan yang lebih cerah. Dengan sokongan keluarga, rakan, dan semangat yang tidak pernah luntur, Haziera terus melangkah ke hadapan, membuktikan bahawa kehilangan kaki bukan penghalang untuk mencapai kejayaan.
“Saya percaya, selagi ada usaha, pasti ada jalan. Ujian ini adalah peluang untuk saya bangkit dan menunjukkan bahawa kekurangan fizikal bukan alasan untuk menyerah,” katanya penuh azam.
Zara Qairina kembali menjadi perhatian apabila ucapan “Sanah Helwah Raa” daripada ibunya mengundang sebak ramai, menggambarkan rindu yang tidak pernah padam.