Sejuk perut ibu yang mengandung. Demikian ungkapan yang sesuai digambarkan kepada wanita yang bertuah ini. Memiliki anak ramai namun kesemuanya berjaya adalah satu pencapaian yang cukup hebat.
Enam dari 8 anak wanita ini berjaya bergelar hafiz dan menghafaz 30 juzuk al-Quran. Hebatnya cara didikan ibu bapa anak-anak ini.
Berkongsi tip dan rahsia anak-anaknya berjaya, akui Nor Latifah Abdul Rahman, 50, dari Teluk Kalong, Kemaman, selain menjadikan bacaan al-Quran amalan harian, pemakanan anak-anaknya juga dijaga dengan rapi.
“Saya mula perdengarkan bacaan ayat suci al-Quran kepada anak-anak sejak mereka dalam kandungan, selain jaga makan bagi menguatkan daya ingatan,” demikian kata ibu kepada lapan anak ketika diminta berkongsi amalan dilakukan sehingga enam daripada lapan anaknya kini bergelar hafiz 30 juzuk al-Quran.
“Saya akan pastikan mereka ambil susu kambing dan madu. Badam pun baik untuk daya ingatan anak-anak.
Ads
“Saya juga akan pastikan mereka makan makanan yang saya masak. Kalau pergi mana-mana, memang saya bawa bekal dari rumah,” katanya lagi.
Nor Latifah berkata demikian dalam satu majlis sempena Haflah Takrimi Akademi Al-Quran Amalillah kali pertama di Taman Tamadun Islam (TTI), hari ini.
Pada majlis itu, anaknya, Engku Sofiah Engku Saharuumnizam, 14, dinobatkan sebagai pelajar cemerlang setelah berjaya menguasai 30 juzuk al-Quran dalam tempoh lima bulan 10 hari di Akademi Al-Quran Amalillah (AKMAL) yang beroperasi di Bukit Payong, Marang.
Ads
Selain Engku Sofiah, lima lagi anaknya yang telah menyempurnakan hafalan 30 juzuk al-Quran ialah Solehah Radhiah, 25; Engku Mahmud Nasri, 23; Engku Muhammad Luthfi, 20; Engku Ahmad Syafiq, 17; Engku Sofiah, 14 dan Engku Daud Shauqi, 12.
Menurut Nor Latifah, dia dan suaminya yang merupakan seorang pesara, Engku Saharuumnizam Engku Abd Aziz, 57, tidak kisah berbelanja besar demi pendidikan anak-anak.
Ads
“Disebabkan memilih hantar anak-anak ke pusat pengajian swasta, secara kasar, belanja sekolah kelima-lima mereka dalam RM3,000 setiap bulan.
“Suami saya tak kisah anak-anak nak ambil jurusan apa sekalipun, asalkan ayat-ayat al-Quran tersemat di dada,” katanya yang kini berkhidmat dengan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Kijal.
Sumber: Sinar Harian & Gps Bestari
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Daun pandan yang dibeli biasanya akan kering jika disimpan begitu sahaja di dalam peti sejuk. Bimbang berlaku pembaziran, ada cara untuk anda simpan daun pandan ini pada tempoh yang lebih lama. Malah lebih segar.
Dan bila hendak digunakan dalam masakan, keluarkan sahaja malah strukturnya masih lagi sama. Soalnya bagaimana hendak menyimpan daun pandan ini lebih lama dan tidak kering?
3 petua mudah yang dikongsikan oleh Helina Ahmad, Shaz Abdul dan Nora Sheka di facebook ini patut kita cuba untuk melambatkan sedikit jangka waktunya kering. Memang menarik.
Cara 1
Cara mudah ini dikongsikan oleh Helina Ahmad. Guna kertas surat khabar je.
Bahan-Bahan:
Daun pandan
Kertas surat khabar
Caranya:
1. Basuh daun pandan dalam air mengalir hingga bersih.
2. Bungkuskan daun pandan di dalam surat khabar kemas-kemas.
3. Masukkan ke dalam bekas bertutup dan simpan di dalam peti sejuk.
4. Bila hendak memasak, keluarkan dan lihatlah hasilnya. Masih segar dan tidak kering seperti selalu.
Cara 2
Ini pula cara yang dikongsikan oleh Shaz Abdul. Simple je.
Sekadar perkongsian cara saya simpan jus pandan dan supaya tahan lama. Daun pandan yang sudah dikisar dan ditapis. Masukkan dalam plastik aiskrim dan simpan dalam tempat beku. Tapi awas, jangan sampai anak-anak ambik makan macam aiskrim.
Cara 3
Ini pula cara yang dilakukan oleh saudari kita, Aniza Dzahir.
Ni cara saya simpan daun pandan tahan lama dan fresh sentiasa, kot ada peniaga nasi lemak atau suri-suri rumah nak cuba dipersilakan. Daun pandan tu basuh bersih-bersih, simpul dan letak kat tempat sejuk beku. Siap! Berbulan-bulan pun fresh gitu.
Cara 4
Menarik juga cara yang dilakukan oleh Nora Sheka ni. Guna plastik susu je. Senang.
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Siapa yang tak kenal dengan pasnagan ‘gila-gila’ dan boleh dianggap loving couple ini. Karekter sang suami juga turut mencuit hati. Tidak sekadar itu, anak sulung pasangan ini sangat berbakat dalam bidang seni dan dilihat banyak mewarisi perangai si ayah yang ‘gila-gila’ orangnya.
Azad Jasmin dan Eira Syazira mendirikan rumah tangga pada 16 September 2011 dan hasil perkongsian hidup bersama, pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata, Amarra Sofea Rose, Ameisya Leann Rose dan Areisya Suri Rose.
Terbaru, pasangan ini mengadakan majlis ulang tahun perkahwinan ke-9. Istimewanya, perancangan itu dibuat sejak dua bulan lalu oleh Azad Jasmin bagi memberikan kejutan buat sang isteri tersayang, Eira Syazira. Dalam ‘surprise’ tersebut, Azad dan Eira sekali lagi bersanding buat pertama kali di atas pelamin dan makan beradab.
Malah kejutan menjadi lebih berganda apabila pihak Emas Rozita beroperasi di Ipoh menghadiahkan set barang kemas berupa cincin, rantai, gelang dan anting anting bernilai RM15,000 kepada Eira.
“Jika selama ini saya yang lebih ke depan dalam bab menganjurkan sesuatu termasuk meraikan ulang tahun perkahwinan kami. Dia (Azad) hanya bersetuju dan menjadi ‘Mr Okey’.
“Cuma sekitar dua bulan lalu, dia cakap nak buat sesuatu kononnya nak menghabiskan masa bersama menikmati ‘candle light dinner’. Syaratnya saya tak boleh tanya apa pun dan tengok telefon bimbitnya.
“Malah serba serbi persiapan daripada memilih gaun yang nak dipakai dan jurusolek pun dia sediakan. Saya tak sangka pula rupa rupanya dia buat sesuatu yang di luar kotak fikiran. Memang terkejut hingga rasa sebak apatah lagi ada keluarga, teman rapat dan pihak media serta blogger yang ‘bersengkongkol’ dengannya,” kata Eira.
Pelakon dan penyanyi yang juga ibu kepada tiga cahaya mata perempuan ini bagaimanapun turut mengakui cuba untuk merosakkan perancangan kejutan suaminya.
“Saya terlebih dulu meraikan ulang tahun perkahwinan kami di Pulau Langkawi, dua hari sebelum kejutan ini terjadi.
“Dalam hati cuba mengorek dan menyiasat apalah yang cuba dilakukan suami. Kami tiba di Kuala Lumpur dari Langkawi pada sebelah siang sebelum kejutan ini terjadi.
“Saya sampai cakap keletihan sekembalinya dari pulau itu dan meminta ditunda saja ‘candle light dinner’ ini. Malah saya sampai minta percutian di Langkawi dilanjutkan beberapa hari. Tapi dia berkeras cakap tak boleh kerana semua sudah diatur. Mahu atau tidak saya terpaksa menurut,” kata Eira. Bagi Eira, sepanjang perkahwinannya yang dibina bersama Azad sejak 16 September 2011, pasti ada turun naik
“Awal perkahwinan pasti ada rasa cemburu kalau suami balik lewat contohnya. Cuma lama lama kita susah mula faham rentak suami. Perasaan risau dan tak yakin itu sudah kian terhakis. Cuba elak daripada fikir bukan bukan. Kepercayaan jadi teras utama.
“Apabila hidup bersama kita mula tahu sisi baik dan buruk pasangan. Kena terima, hadap dan biasakan. Saya dulu sebelum kahwin lebih serius dan dramatik. Tapi dapat pula suami yang gila gila dan penuh humor, saya mula mengikut rentaknya. Tahulah perangai dia macam kita tengok di Instagram bagaimana pula. Ada saja modal lawak dan usikan buat kita ketawa sampai terbahak bahak.
“Lebih utama apabila berkahwin, kita juga kena akrab dengan keluarga mentua. Ibu mentua pun saya sudah anggap ibu kandung sendiri. Adik lelaki nya pun sudah jadi seperti teman BFF saya,” katanya.
Eira juga mengakui kehadiran tiga anak perempuannya, Amarra Sofea Rose, 7, Ameisya Leanne Rose, 4 dan
Areisya Suri Rose, 2 sudah mencukupi jadi pelengkap rumah tangga mereka.
“Tapi saya tahu suami memang kalau boleh nak anak lelaki pula. Saya dalam hal ini hanya berserah. Kalau ada rezeki hamil, saya tak tolak. Ikut hati cukuplah tiga anak perempuan.
“Cuma apabila bersalin ketiga anak itu dengan cara pembedahan, doktor memang minta jarakkan tempoh masa kalau nak hamil lagi,” katanya.
Sementara itu, Azad mengakui niat bersanding balik itu sudah lama terpendam. “Tapi saya lihat angka kesembilan dengan tiga anak ini waktu terbaik untuk realisasikannya. Memang teringin nak ‘menikah’ lagi. Isteri saya tak kisah nak menikah berapa kali pun dan izinkannya, dengan syarat kena bersanding dengan orang sama iaitu dengan dia.
“Alhamdulillah berkat bantuan adik kandung, adik ipar dan rakan kongsi produk Bobba Fitz. Dengan bantuan penaja lain termasuk Rass Deco, jadilah apa yang saya impikan,” katanya.
Kata Azad, apa yang dilakukannya juga sebagai menghargai Eira.
“Saya bersyukur ditemukan isteri. Dialah ‘supermom’ kepada anak kami. Biarpun kami berbeza sikap, tapi apabila masuk dalam dunia perkahwinan, kami saling percaya.
“Kami kini lebih matang. Elakkan hal negatif dan tak perlu. Tak sangka juga perkahwinan kami sudah melepasi angka sembilan. Rasa macam baru saja kahwin dan bercinta dengannya,” kata Azad.
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
“Orang kata ini ujian, tetapi saya kata ini adalah cabaran dan gurauan Allah kepada saya… kenapa kata gurauan, kerana kita hanya bergurau dengan orang yang kita sayang… bila anggap ujian ini sebagai gurauan kita akan rasa Allah sayangkan kita.”
Itu kata-kata yang dilontarkan oleh Masitah Mohd Afandy, 32, yang diduga hilang penglihatan akibat kemalangan yang berlaku lebih sebulan lalu.
Kecacatan kekal itu mendorong Masitah yang juga Ketua Pegawai Eksekutif NM Aircond Sdn Bhd lebih bersemangat memberikan motivasi kepada orang lain dan tidak patah semangat walaupun ujian yang dihadapi amat besar.
“Saya tak anggap ujian ini sebagai bala atau musibah tetapi hadiah daripada Allah SWT dan tanda sayangNya dengan cara yang berbeza,” kata usahawan, Masitah Mohd Affandy.
Dahulunya wanita ini normal namun buta kedua matanya selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 21 Mac lalu iaitu dua hari sebelum Ramadan yang mengorbankan seorang pekerjanya.
“Ketika baru kemalangan dan mengetahui seorang pekerja saya meninggal dunia akibat kemalangan itu saya ada beritahu kepada suami bahawa Allah lebih sayangkan Mok. Disebabkan itulah Allah ambil dia.
“Namun dalam hati saya ada cakap, mungkin Allah tak sayangkan saya tu sebab dia tak nak ambil saya, namun belum sempat saya rasa sedih suami terus kata yang memang betul Allah sayangkan Mok namun Allah sayangkan saya dengan cara berbeza dan ia menjadi sumber positif saya sehingga sekarang.
Aura positifnya dapat dilihat menerusi perkongsian video di TikTok dengan rata-rata netizen kagum dan memuji Masitah yang nampak tenang walaupun selepas berdepan ujian hebat.
Mengimbas detik hitam itu, Masitah berkata, kemalangan berlaku ketika dia menaiki kereta dipandu oleh kakitangannya dan suaminya, Nik Nazri Abidin, 36, tiada bersama kerana ada urusan di Batu Pahat, Johor.
“Kejadian berlaku ketika saya dalam perjalanan pulang dari Sabak Bernam, Selangor ke Johor Bahru, Johor selepas kereta dinaiki saya hilang kawalan sebelum terbabas ke lori di laluan bersebelahan.
“Saya sedar selepas kemalangan cuma serta merta buta dan berulang kali tanya kepada kakitangan apa yang berlaku.
“Di hospital, doktor beritahu suami ada kebarangkalian untuk saya melihat tetapi 20 peratus saja dan peratusan semakin menurun hingga disahkan buta sepenuhnya.
“Selepas dapat tahu, saya beritahu suami yang saya okay saja, malah selama 24 hari di wad, hanya 12 hari saja saya berehat.
“Selebihnya, saya buat kerja macam biasa walaupun tak berada di pejabat.”
Masitah mengakui sedih dengan apa yang berlaku namun menganggap ia bukan pengakhiran buatnya, malah bersyukur kerana diberi peluang kedua untuk terus hidup.
“Tipu kalau saya katakan tak sedih langsung namun hidup perlu diteruskan dan saya percaya Allah SWT tak ambil nyawa saya kerana ada tugas besar menanti buat saya di hadapan.
“Ikutkan, saya memang tak dapat dibantu kerana masalah membabitkan saraf mata jadi saya reda dan selepas buta, saya pernah mimpi dapat melihat tetapi anggap ia rezeki yang Allah SWT beri walaupun bukan dalam dunia nyata.
“Alhamdulillah, suami sentiasa ada di sisi malah dia kini yang memasak dan buat kerja rumah jadi saya berdoa semoga Allah beri ganjaran baik buatnya,” katanya.
Bagaimanapun Masitah berkata, sekiranya masih ada rasa sedih itu dalam dirinya, beliau tidak akan membiarkan ia berlarutan.
“Orang terdekat amat mengenali saya dan saya adalah seorang yang susah nak rasa sedih.
“Kalau ada pun, saya akan lihat kembali tujuan dan impian saya antaranya saya mahu beri manfaat kepada orang ramai jadi kalau saya ‘down’ saya akan tanya balik diri saya.
“Saya juga akan hadkan masa sedih itu, beri masa kepada diri saya berapa minit atau berapa jam boleh bersedih. Sebab saya rasa berapa jam yang saya ada untuk bersedih itu sebenarnya banyak orang yang boleh saya bantu dan beri manfaat kepada mereka.
“Saya juga tidak akan tenggelam dalam fasa ‘down’ itu terlalu lama,” katanya.
Dalam pada itu, Masitah menasihatkan orang ramai supaya mencari setiap hikmah dalam cabaran diberikan Allah.
“Kalau kita sentiasa mencari hikmah atau mencipta hikmah dalam perspektif positif, insya-Allah kita akan lebih kuat menghadapi kehidupan serta bersyukur atas segala nikmat diberikan.
“Sebab kadang-kadang apa kita rasa itu seronok namun ia bukanlah terbaik untuk kita namun yang kita tidak suka itulah sebenarnya yang terbaik,” katanya.
Sementara itu, suaminya, Nik Nazri berkata, apa yang berlaku tidak mengubah perasaan cintanya terhadap isteri malah menambah rasa sayang.
“Kehidupan perlu diteruskan dan saya tak pernah terlintas untuk cari wanita lain hanya kerana keadaannya (isteri) begitu atau putus asa.
“Bagi saya, dia (isteri) masih orang yang sama, tiada kekurangan pun cuma tak dapat melihat, itu saja.
“Jadi, biar saya menjaganya dan memang itu yang dilakukan daripada awal dia bangun hingga tidur,” katanya.
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.