
Perkahwinan dengan beza usia sering mencetuskan pelbagai persepsi dalam masyarakat. Ada yang menerima dengan hati terbuka, namun tidak kurang juga yang mudah membuat andaian tanpa mengetahui kisah sebenar pasangan tersebut.
Itulah yang dilalui oleh Che Zainun Che Ahmad, 32, apabila dia sering disangka sebagai anak kepada suaminya sendiri, Hazlan Hajar, 80, gara-gara perbezaan usia mereka yang mencecah 48 tahun.
Menurut Che Zainun, pada mulanya dia mengakui berasa janggal apabila sering berdepan tanggapan sedemikian. Namun selepas 10 tahun melayari bahtera rumah tangga, wanita yang menetap di Kelantan itu sudah dapat menyesuaikan diri dengan situasi tersebut.
“Saya mendirikan rumah tangga dengan suami, Hazlan Hajar, 80, sejak 10 tahun lalu, selepas beberapa tahun berkenalan di Facebook.
“Pada mulanya, kami sekadar kenalan biasa tetapi sikap penyabar dan kematangan suami berjaya menambat hati dan saya bersetuju melangkah ke fasa seterusnya iaitu perkahwinan.
“Tambahan pula saya memang lebih meminati lelaki lebih berusia untuk dijadikan pasangan,” katanya.
Che Zainun berkata, sebelum berkahwin dia pernah berkenalan dengan lelaki sebaya, namun tidak menemui keserasian. Disebabkan itu, dia akhirnya memilih Hazlan sebagai teman hidup kerana tertarik dengan sikap matang dan penyabar lelaki berkenaan.
Bagaimanapun, keputusan untuk mendirikan rumah tangga dengan lelaki yang jauh lebih berusia pada awalnya mengejutkan keluarga. Mereka merestui hubungan tersebut, namun tetap meluahkan rasa gusar memikirkan faktor usia Hazlan yang ketika itu sudah berumur 70 tahun, manakala Che Zainun pula baru berusia 22 tahun.
“Keluarga merestui, cuma mereka gusar dengan kemampuan suami untuk memberi nafkah batin berikutan faktor usia suami.
“Namun bagi saya, umur hanyalah angka. Alhamdulillah, kami dikurniakan dua cahaya mata iaitu seorang berusia sembilan tahun, manakala yang bongsu berumur satu bulan.
“Suami saya sangat menjaga pemakanan dan Alhamdulillah kesihatannya masih baik serta bebas daripada sebarang penyakit,” katanya.
Bercerita mengenai kehidupan berumah tangga, Che Zainun mengakui suaminya bukan seorang yang romantik. Namun sikap Hazlan yang berterus terang membuatkan rumah tangga mereka lebih tenang dan jauh daripada drama.
Jelasnya, perbezaan usia yang besar sememangnya datang dengan cabaran tersendiri. Minat, gaya hidup dan cara berfikir antara mereka juga tidak sama. Namun demi keharmonian rumah tangga, Che Zainun memilih untuk lebih banyak bertolak ansur.
“Memandangkan jurang usia yang jauh, maka minat dan gaya hidup kami juga berbeza. Namun, saya memilih lebih banyak mengalah demi keharmonian rumah tangga kerana ego lelaki berusia agak tinggi,” katanya.
Walaupun bahagia dengan pilihan hatinya, Che Zainun tetap menasihatkan wanita lain agar tidak terlalu mudah membuat keputusan untuk berkahwin dengan pasangan yang mempunyai jurang usia terlalu jauh, lebih-lebih lagi jika lelaki tersebut sudah berusia dan berstatus duda.
Katanya, hubungan seperti itu memerlukan kekuatan emosi yang tinggi kerana cabarannya bukan sedikit. Tanpa kesabaran, kefahaman dan emosi yang stabil, rumah tangga yang dibina mungkin sukar bertahan lama.
“Apatah lagi dengan lelaki berusia dan berstatus duda seperti suami saya. Hubungan seperti ini memerlukan kekuatan emosi yang tinggi kerana jika emosi tidak stabil, dikhuatiri rumah tangga dibina tidak dapat bertahan lama.
“Carilah pasangan yang matang, sekufu dan jarak umur tidak terlalu jauh,” katanya.
Bagi Che Zainun, kebahagiaan bukan diukur melalui umur pasangan, sebaliknya bergantung kepada sejauh mana kedua-dua pihak mampu memahami, menerima kekurangan dan terus menyokong antara satu sama lain sepanjang kehidupan berumah tangga.
BACA LAGI : Jodoh Beza Usia 37 Tahun, Suami Muda Nekad Jaga Isteri Hingga Akhir Hayat
Sumber : Harian Metro