Berita

Syed Saddiq & Bella Astillah Bakal Bernikah? Sudah Terima Lampu Hijau Daripada Keluarga

Share

Selepas melalui proses perundangan yang panjang selama enam tahun, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kini bersedia untuk meneruskan perancangan perkahwinannya bersama tunang, Bella Astillah. Perkembangan mengenai perkahwinan Syed Saddiq dan Bella Astillah itu mendapat perhatian ramai susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membebaskan beliau daripada semua pertuduhan.

Perkembangan tersebut dikongsikan selepas Mahkamah Persekutuan membebas dan melepaskan beliau daripada empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta serta pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).

Wakil rakyat berusia 34 tahun itu berkata, beliau sudah menerima “lampu hijau” daripada kedua-dua ibu bapanya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Al-Sagoff, untuk mendirikan rumah tangga.

Syed Saddiq Hargai Kesetiaan Bella Astillah

Dalam masa sama, Syed Saddiq turut menitipkan penghargaan buat tunangnya, Bella Astillah atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 32, yang disifatkan sentiasa setia berada di sisinya sepanjang prosiding mahkamah berlangsung.

“Saya turut ingin mengambil peluang ini mengucapkan terima kasih kepada keluarga khususnya Mama dan Buya. Kalau tahu apa yang mereka lalui, khususnya mama saya, memang bukan mudah.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada tunang saya yang setia bersama. Bukan mudah kerana sebelum dia bersama saya, saya adalah seorang yang disabitkan kesalahan di peringkat Mahkamah Tinggi.

Namun dia tetap bersama saya dan Alhamdulillah hari ini saya dapat menghargai semangat serta jasanya.”

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Istana Kehakiman sejurus keputusan mahkamah diumumkan.

Mama dan Buya Beri Isyarat Positif

Menurut Syed Saddiq, selepas selesai melakukan sujud syukur susulan keputusan mahkamah, ibu dan bapanya turut memberikan isyarat positif agar beliau meneruskan fasa seterusnya dalam kehidupan.

“Tadi ayah dengan Mama sudah memberikan isyarat positif supaya dapat meneruskan langkah seterusnya selepas ini.

Bagaimanapun, Alhamdulillah saya sudah mendapat lampu hijau daripada Mama dan Buya.”

Walaupun menerima restu keluarga, beliau memilih untuk tidak mengulas lebih lanjut mengenai perkahwinan Syed Saddiq dan Bella Astillah kerana mahu menghormati institusi kehakiman serta tidak mahu perhatian hanya tertumpu kepada kehidupan peribadinya.

Dibebaskan Daripada Empat Pertuduhan

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan membebas dan melepaskan Syed Saddiq daripada sabitan serta hukuman terhadap empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana ARMADA.

Keputusan majoriti 2-1 dibuat oleh panel tiga hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Che Mohd Ruzima dan Sequerah membentuk keputusan majoriti, manakala Abu Bakar menyampaikan keputusan berbeza.

Fasa Baharu Kehidupan Menanti

Selepas melalui cabaran yang panjang, ramai mendoakan agar segala urusan pasangan ini dipermudahkan. Semoga perancangan perkahwinan Syed Saddiq dan Bella Astillah berjalan lancar serta mereka dikurniakan rumah tangga yang penuh sakinah, mawaddah dan rahmah.

BACA LAGI : Ibu Syed Saddiq Sebak Baca Kad Tulisan Tangan Bella Astillah, “Mama Simpan Sampai Akhir Hayat”

Sumber : Harian Metro