Cukup mudah untuk mengatur pertemuan bersama personaliti Arena Wan Mun-Yi Iman Wan yang juga merangkap Dewi Favorite bagi Dewi Remaja 2018/2019 baru-baru ini. Tahniah Arena!
Cantik, yakin dan penuh motivasi antara keistimewaaan yang dimiliki oleh anak sulung daripada tiga beradik ini. Mesra disapa sebagai Arena, gadis berusia 19 tahun seorang yang merendah diri serta tidak lokek dengan senyuman. Tapi siapa sangka, gadis manis ini bertubuh kecil ini seorang yang tabah dan kuat semangat bagi memberikan yang terbaik buat adik beradik dan ibu bapa.
Arena merupakan kakak kepada Adam Wan ‘Adam Autism Family’ , menyifatkan keluarganya adalah inspirasinya untuk mengorak langkah lebih yakin dalam hala tuju kehidupannya.
Photo: Instagram @arenalieya
Kisah keluarganya yang pernah viral sebelum ini berkisar adiknya Adam, seorang Autisme telah mendapat perhatian ramai, Arena menyifatkan itu sebagai perkongsian yang bermanfaat supaya mendapat kesedaran daripada masyarakat apa itu Autisme ini. Malah ketika ditembual oleh Keluarga, kelihatan tangan Arena ada kesan luka selepas Adam mengamuk di rumah.
“Bagi saya, ada segelintir masyarakat segelintir yang tidak tahu apa sebenarnya autisme. Ada yang kata down syndrom atau penyakit dan boleh sembuh. Hakikatnya autsime adalah kekurangan dalam diri yang dialami oleh seseorang individu.
“Kita tak boleh mengira sejauh mana kekurangan itu tetapi boleh membaikinya. Ia bukan penyakit. Autisme ini ada karektor. Ada yang boleh jaga diri sendiri , bercakap, melakukan rutin, boleh faham dan menjaga diri.
“Manakala bagi yang jenis memerlukan perhatian lebih, mudah mengamuk. Paling menyedihkan ada segelintir mengatakan mereka ini tidak waras. Saya berharap masyarakat jangan mudah menghukum tanpa mengetahui punca sebenar ia berlaku.
“Saya dan ibu bapa sendiri mengalami situasi yang sama apabila masyarakat tidak faham apa yang kami lalui. Saya masih ingat, ketika adik saya, Adam mengamuk sehingga ayah terpaksa meredakan keadaan Adam dengan cubaan untuk baringkannya ke lantai. Ia bertujuan untuk mengelak Adam secara tidak sengeja mencederakan orang awam yang berdekatan.
Tanpa diduga, ada individu telah menghubungi pihak polis setelah menganggap ia unsur penderaan.
“Saya mohon masyarakat, jika melihat situasi ini, tolonglah bertanya dan jangan mudah menghukum. Tak tahu tolong tanya dan jangan buat andaian yang salah mengenai austime ini,” jelasnya dengan mata yang berkaca.
Hampir putus asas
Ads
Menyentuh pula mengenai kejayaannya yang meraih gelaran Dewi Favorite bagi Dewi Remaja 2018/2019, anak kepada komposer terkenal, Iman Wan ini, tidak menyangka mendapat gelaran khas melalui pertandingan anjuran Majalah Remaja itu setelah beliau hampir putus dan keadan emosi yang tidak stabil ketika menghadiri uji bakat buat pertama kali.
Sebelum tersenarai sebagai 12 finalis Dewi Remaja 2018 / 2019, Arena telah terlebih dahulu dipilih sebagai peserta Top 20.
“Ibu bapa saya memang memberi galakkan untuk saya menyertai pertandingan ini. Cuma pada hari uji bakat yang melibatkan ratusan calon, saya hampir putus asas.
Photo: Instagram @arenalieya
“Ketika itu Adam mengamuk. Ayah pula kerja luar kawasan. Melihat situasi itu membuatkan saya putus asas untuk menghadiri casting itu. Lebih-lebih lagi ketika itu Adam sudah mula semakin agresif.
“Ibu tetap mahu saya menghadiri uji bakat itu. Dalam kereta Adam mula menendang kerusi, Saya mula risau Adam akan mencederakan ibu dan adik yang baru berusia 7 tahun. Ibu hanya sempat menghantar saya separuh jalan. Selebihnya saya pergi sendiri menaiki kenderaan awam.
“Saya tak sangka terpilih. Walaupun ketika itu emosi saya tidak stabil. Malah saya amat bersyukur, walaupun ini adalah casting pertama buat saya, saya terpilih,” ujarnya mahir bermain gamelan, piano, ukulele dan gitar.
Ads
Anak sulung yang tabah
Arena juga tidak menafikan kehidupannya banyak tertumpu kepada keluarganya setelah Adam disahkan autisme seawal tiga tahun.
“Dulu saya mempunyai perasaan malu apabila mempunyai adik sebegini. Biasalah perasaan seorang remaja. Namun, saya belajar untuk lebih bersabar dan redha. Belajar untuk terima seadanya.
“Oleh kerana anak sulung, saya banyak memberi tumpuan kepada keluarga sehingga saya tidak pandai bersosial dan tidak ramai kawan. Malah ada yang kata, saya tak pandai bersosial.
“Saya tidak berkecil hati jika dikatakan begitu. Bagi saya jika mempunyai ahli keluarga yang ‘istimewa’ sebegini, saya perlu berkorban. Saya lihat bagaimana ibu dan ayah saya berhenti kerja untuk memberi fokus kepada Adam. Begitu juga saya,” katanya dengan nada sebak.
Ads
Harapan
“Selalu saya berbual dengan ibu bapa dengan membayangkan jika Adam seorang anak yang normal tentu kami akan pergi melancong, Adam punya ramai peminat dan pastinya akan buli saya.
Setiap kali selepas solat, saya doakan Adam kurang agresif masa hadapan.
“Apa yang saya bimbangkan adalah mengelak daripada mencederakan ibu ayah. Masa sentiasa bergerak, usia ibu ayah saya semakin meningkat. Mereka akan berusia dan mudah letih dan adik bongsu pula semakin membesar.
“Dan ini semua adalah tanggungjawab saya untuk menjaga mereka. Saya berharap dapat melangkah lebih jauh dalam industri ini supaya dapat membantu menambah pendapatan keluarga terutaman kos pengurusan terapi Adam agak mahal.
“Saya ikut the flow, Ingat tuhan dan mengharapkan yang terbaik buat keluarga,” jelasnya yang mengharapkan sinar kejayaan akan mengiringinya kelak.
Sumber: Majalah Keluarga Mac 2019
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Pasti ada antara kita yang menghadapi masalah baju berbintik-bintik hitam kan? Ketahuilah itu sebenarnya kulat yang tumbuh pada baju akibat baju tersebut tidak kering atau lembap.
Dah basuh banyak kali pun masih tidak hilang? Jangan risau , kami ada petua untuk korang hilangkan bintik hitam tersebut. Ikut cara ini :
1. Campur cuka dalam setengah liter air
2. Rendam pakaian yang berbintik hitam ke dalam air campuran cuka semalaman.
3. Keesokannya, cuci dengan sabun atau detergen seperti biasa.
4. Sediakan air panas yang dah dicampur dengan limau nipis.
5. Bilas pakaian dengan air suam hangat campuran limau nipis tadi.
6. Biar pakaian anda seketika dalam air suam campuran limau nipis.
7. Kemudian, cuci kembali guna sabun atau detergen
8. Bilas guna air bersih
9. Kemudian, jemur sampai kering
Info
Asid pada cuka dan limau nipis dipercayai boleh menghilangkan bintik hitam atau jeragat hitam pada pakaian.
Tip elak bintik hitam pada pakaian
Kalau anda seorang yang kuat berpeluh, pastikan baju tersebut terus dicuci. Jangan biarkan terperuk dalam bakul.
Selepas cuci baju, jangan biarkan hingga dua atau tiga hari baru dijemur. Siap cuci terus jemur tau!
Pastikan baju yang dijemur kering dengan betul, jangan angkat selagi baju tidak kering.
Sumber mynewsvibes
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Baru-baru ini viral kisah seorang ibu yang di jemput Sang Pencipta ketika sedang mengandung anak kedua. Di sisinya kelihatan si abang sulung yang teruja menantikan adik namun sebaliknya yang terjadi.
Biar sedar sudah kehilangan ibu dan adik, namun si abang cukup tabah dan positif walaupun baru berusia 7 tahun. Tidak semua kanak-kanak memiliki jiwa sedemikian, lebih-lebih lagi kehilangan orang yang cukup disayangi.
Rupanya si ibu seakan sudah tahu ajalnya bakal tiba. Itu yang diceritakan oleh abangnya yang memuat naik kisah tersebut di laman facebooknya semalam.
Allahyarham Norashida Abd Karim, 33, meninggal dunia akibat Pulmonary Embolism iaitu darah beku dalam saluran darah ke paru-paru, bukan disebabkan pendarahan seperti yang ditularkan di laman sosial.
Selain itu, bayi dalam kandungannya turut meninggal dunia sebelum dilahirkan pada Ahad lalu dipercayai berpunca daripada tali pusat terbelit di lehernya. Usia kandungan ketika itu adalah 34 minggu. Arwah meninggalkan suami dan anak lelaki Muhammad Adif Isyhraf Mohd Syukri , berusia 7 tahun
Semoga keluarga ini tabah menghadapi dugaan yang cukup hebat ini. Alfatihah buat arwah dan semoga rohnya dicucuri rahmatNya.
Berikut adalah coretan lelaki bernama Erry yang mesra dengan panggilan Alang oleh arwah.
Coretan aku bersama arwah adik aku.
Khamis 19.7.2018
Arwah sampai kat rumah mak lebih kurang jam 5 petang selepas arwah ke Klinik Kesihatan Beranang.Arwah kata dia deman dan badannya sakit-sakit. Doktor cakap kencing kotor.Arwah minta adik belikan biji barli.Nak minum air barli.Mak rebuskan barli untuk arwah.
Jumaat 20.7.2018
Arwah mengadu dia demam menggigil pada malam tadi.Pagi ni arwah nampak ok dah.Boleh bangun.Arwah cakap badannya masih sakit-sakit.Arwah banyak berbaring saja.
Sabtu 21.7.2018
Arwah demam sekejap-sekejap.Malam demam siang baik dah tu tengah malam tu demam balik.Arwah mengadu badannya semakin sakit.Dalam sakitnya tu arwah sempat gak masakkan nasik lemak untuk adik pada pagi tu.Hari tu adik ada buat makan-makan ditempat kerjanya.Bab masak memasak ni memang kesukaan arwah.Arwah pasti akan rasa suka dan puas hati jika hasil air tangannya habis dimakan orang.Aku ajak ke hospital tetapi arwah enggan.Demam biasa jer katanya.
Sebelah malam badanya bertambah sakit.Angin katanya.Arwah minta adik urut kaki dan badannya.Masa adik urut kaki arwah,aku tengok kesan luka dikakinya. Nampak merah.Masih sakit katanya.Arwah ada jatuh beberapa minggu sebelum itu.Sekali lagi aku ajak arwah ke hospital tapi arwah tetap menolak. Sikit jer ni.. angin je dalam badan katanya.
Ahad 22.7.2018
Pagi tu arwah kata dia tak demam dah tapi badannya masih sakit sakit. Kakinya ada rasa kebas sikit.Sebelum adik keluar hantar mak ke pasar, arwah minta adik buatkan teh o.Nak makan biskut cicah teh o katanya tapi dia tak sentuh pun teh o tu.Masa adik nak keluar hantar mak ke pasar arwah ada cakap lepas ni kau je la yang hantar mak gi pasar.Aku tak boleh dah nak hantar lagi nanti.Guna kereta aku jer.Pagi tu aku tanya arwah macamana keadaan baby.Baby ok.Ada gerak katanya.
Arwah ada cakap nak cari tukang urut.Nak urut badan.Tengahari tu arwah minta adik buatkan air halia.Arwah minun sikit je.Aku tengok arwah semakin lemah.Aku ajak ke hospital lagi tapi arwah buat tak tahu jer. Arwah baring kat katil dibilik mak.Berulang kali aku ajak ke hospital sampai aku takut- takutkan arwah.Jam 1 tghari cmtu barulah arwah ajak ke hospital tapi arwah masih juga lewat lewatkan masa.Nak mandilah, nak rehat sekejaplah.Aku panggil ambulans je sebab tengok keadaan arwah yang lemah.Takut apa-apa terjadi kalau naik kereta nanti.
Sementara menunggu ambulas sampai arwah baring disofa.Katanya perutnya mengeras.Ari-arinya sakit.Aku tanya baby ada gerak tak.Arwah kata takde dah.Sejak bila soal aku.Pagi tadi jer gerak tu la last gerak.Ni tak gerak lagi dah.Aku mengucap panjang.Kenapa la kau tak cakap awal-awal lang yang adik baby tak gerak. Arwah diam jer.Lepas tu arwah minta buatkan air milo.Nak minum milo katanya.Aku cakap tak boleh minum dan makan dah.Tu pesan petugas masa call minta bantuan ambulans.
Bila ambulans sampai nurse terus buat pemeriksaan kat arwah.Tekanan darahnya tak dapat dibaca.Terus arwah dibawa ke Hospital Kajang. Aku,adik,mak dan anaknya ke hospital dengan kereta.Adik telefon suami arwah bagitau yang kami hantar arwah ke hospital.Sampai di hospital lama juga kami menunggu untuk mendengar khabar berita tentang arwah.Nak masuk tak boleh la pulak.
Khabar pertama yang terima doktor sedang scan kandungan arwah. Doktor kata doktor tak dapat kesan degup jantung baby.Masa tu dah buka 3 cm dah.Tak lama selepas tu dapat berita confirm baby dah takde dah.Arwah pun dah masuk bilik bersalin.Dah buka 5 cm.Arwah lahirkan babynya secara normal.
Doktor panggil kami untuk tengok jasad adik baby.Masa tu tu kami menangis melihat jasad adik baby.Sempurna jasadnya cuma tak bernyawa.Comel seperti abangnya.Doktor kata arwah dah tahu anaknya sudah tiada.Baby meninggal sebab lehernya terjerut tali pusat kuat sangat diusia 34 minggu.Masa tengok jasad adik baby aku dengar suara arwah.Aku minta nak jumpa arwah tapi doktor cakap diorang nak jahit dulu.
Nanti selesai dorang akan hantar arwah ke wad.Masa tu boleh melawat.Kami pun keluarlah.Bagi mereka jalankan tugas mereka.Mereka nak urus jasad adik baby lagi.Kami pun tunggu kat luar dan aku terus hubungi kawan dibilik mayat hospital untuk pengurusan mandi dan kafan jasad adik baby.Tidak lama kemudian nurse panggil suaminya bagitau yang arwah minta makan, minum dan selipar.
Lega aku dengar perkhabaran tu.Aku pun suruh mak dengan adik balik dulu untuk siap sedia dirumah.Biar aku saja yang uruskan jasad adik baby dihospital.Kalau boleh aku nak kebumikan adik baby malam tu juga. Hampir maghrib jasad adik baby masih belum dihantar ke bilik mayat. Lamanya..bisik hati aku.
Tidak lama selepas tu ada seorang doktor keluar menyampaikan berita sedih.Dia kata arwah dalam keadaan kritikal.Dia kata mereka didalam pun terkejut sebab keadaan arwah pada awalnya baik, tiba-tiba arwah mengadu matanya kabur dan arwah terus collapse.
Doktor dah buat cpr dan masukan tiub penafasan namun keadaan arwah masih tidak memuaskan. Kata doktor jantung arwah lemah, sel darah putih tinggi, gula dalam darah rendah, tekanan darah rendah.Arwah dalam keadaan koma.Mengigil rasa kepala lutut aku mendengarnya.Baru sebentar tadi dengar keadaan arwah dalam keadaan baik kini sebaliknya. Pelbagai soalan diajukan kepada aku untuk membantu doktor mengenal pasti punca arwah jadi begitu.
Aku meminta izin untuk melihat keadaan arwah tetapi doktor tidak mengizinkan.Katanya semua doktor pakar sedang berusaha melakukan yang terbaik untuk arwah.Aku diminta tunggu diluar dan jangan pergi kemana-mana.
Dalam masa yang sama, jasad adik baby telah siap untuk dihantar kebilik mayat.Ditemani seorang sahabat,aku bawa adik baby ke bilik mayat.Perjalanan ke bilik mayat terasa singkat.Tak puas rasanya aku mendukung dan memeluk adik baby.Jasad adik baby aku tinggalkan dibilik mayat sementara menunggu kedatangan ustaz yang akan menguruskan jasadnya.Selepas itu aku bergegas semula ke dewan bersalin.
Dalam jam 9.30 malam doktor keluar lagi.Dia kata keadaan arwah masih begitu.Tidak bertambah baik tak bertambah buruk namum doktor masih berusaha.Sekali lagi aku minta izin untuk melihat arwah tapi masih doktor tidak izinkan.Dalam 10.20 malam doktor keluar menyampaikan berita yang arwah telah pergi buat selamanya.
Aku macam tak percaya apa yang doktor sampaikan.Doktor kata punca kematian akibat saluran darah di paru-paru tersumbat serta ada juga jangkitan kuman. Aku meminta untuk melihat arwah.Doktor meminta diberi masa 15 minit untuk mereka mempersiapkan jasad arwah terlebih dahulu.Terkilan juga rasanya tidak dapat berada disisi arwah saat arwah menghembuskan nafas terakhirnya.
Tidak lama selepas tu doktor panggil masuk.Masa tu kami bertiga masuk. Aku,suaminya dan mak mertua arwah.Kami dibawa ke bilik jasad arwah ditempatkan. Seperti mimpi aku melihat jasad arwah telah siap dibungkus. Rasa tak percaya yang terbaring kaku dihadapan aku adalah adik aku. Wajah arwah nampak tenang.Matanya terpejam rapat.Aku peluk tubuhnya dan aku cium pipinya.Sejuk.
Air mata tak mampu aku tahankan lagi. Mencurah laju.Pipi dan dahi arwah aku cium sepuasnya.Masa itu saja yang ada.Lepas ni aku takkan berpeluang lagi. Teringat pada pagi tadi arwah meminta aku mengambilkan air minum.Aku tadahkan air dari penapais air tapi arwah tak nak.Arwah nak air masak dalam jug.Ko ni mengada ngada la lang kata aku. Alah aku nak manja-manja dengan kau pun takkan tak boleh ngah jawab arwah. Tak pernah arwah berperangai sebegitu sebelum ni.
Pada masa yang sama kakitangan bilik mayat menghubungi aku dan memberi tahu ustaz yang menguruskan adik baby dah sampai.Aku tinggalkan sementara arwah dan kebilik mayat untuk menyelesaikan urusan jasad adik baby.Aku turut memaklumkan kepada kakitangan bilik mayat meminta mereka menghubungi ustazah yang boleh menguruskan jasad arwah pada malam itu juga.
Di luar dewan bersalin ramai kawan-kawan arwah dan saudara mara turut hadir bilamana mengetahui arwah sudah tiada.Jasad arwah dihantar ke bilik mayat lebih kurang jam 12 tghmlm.Ramai yang turut sama mengiringi jasadnya ke bilik mayat.Ustazah yang menguruskan jasad arwah tiba hampir jam 1.30 pagi.
Selesai menguruskan arwah lebih kurang jam 3.15 pagi.Selapas itu aku ke kuanter hasil untuk membuat bayaran van jenazah hospital.Aku bersama kak long serta adif,anak sulung arwah menemani jasad arwah dan adik baby menaiki van jenazah yang bergerak meninggalkan bilik mayat lebih kurang jam 3.45 pagi.Telentok-lentok kepala adif. Keletihan dan mengantuk dia.
Selalunya waktu sebegini dia sedang lena di atas tilam. Sesekali dia terjaga dan mengintai lubang ditepi keranda.Pak ngah mama ok kan? tanya adif.Sedih dan kasihan aku melihatkan anak buah aku ni.Di usia 7 tahun sudah kehilangan kasih sayang seorang ibu.
Sesampai dirumah kami meletakkan jasad arwah bersama adik baby diatas tilam yang baru arwah beli.Ingat masa kami beli tilam tu ditesco, arwah ada cakap dia dengan adik baby nak tidur atas tilam tu sekali jer.Adif ambil bantal dan tidur sekali berhampiran jasad arwah dan adik baby.Ni malam last nak tidur dengan mama.Esok dah tak boleh lagi dah…
Jasad arwah dan adik baby selamat dikebumikan sebelum jam 11.30 pagi.Ramai betul kawan-kawan arwah yang datang menziarahi arwah pagi tu.Semuanya menangis kesedihan tapi adif kelihatan biasa saja.Dia hanya menangis bila pertama kali melihat jasad adik baby dan semasa melihat jasad mamanya terbaring kaku didewan bersalin.Selepas itu takde pula aku tengok dia menangis.Tengok dia biasa saja seperti hari-hari sebelumnya atau dia masih belum lagi merasai kehilangan mamanya.
Sebenarnya sejak dari bulan puasa aku perasan arwah dah ada memberikan petanda yang dia akan pergi buat selamanya tapi aku saja yang tidak mengerti.Aku tengok arwah tak berapa teruja dan bersungguh bilamana mengetahui dirinya mengandung kali ini.Persiapan baby pun dibuat semasa kandungannya berusia 32 minggu itu pun setelah dipaksa oleh aku dan adik.Sebelum itu takde apa pun yang arwah beli.Satu pun takde.Masa pilih baju baby arwah ada kata buat apa beli banyak-banyak,bukan nak pakai pun nanti.
Pada anaknya selalu arwah berpesan supaya jangan nakal-nakal.Dengar cakap uwan, pak ngah dan ocu jika dia tiada lagi nanti.Selalu jugak arwah cakap dengan aku supaya tolong jaga adif dan besarkan adif dengan cara kami adik-beradik dibesarkan.Aku beranggapan perkara itu biasa saja.Maklumlah kami yang banyak menjaga adif sejak dia dilahirkan.
Banyak lagi pentanda ingin aku coretkan tapi air mata ini tidak dapat aku tahan bila hendak aku imbau kembali satu persatu kenangan bersama arwah.
Akhir coretan, dikesempatan ini aku ingin mengucapkan berbanyak terima kasih di atas ucapan, kata semangat serta sumbangan dan bantuan yang sahabat dan saudara-mara semua telah dihulurkan. Jasa baik kalian semua mungkin tidak dapat aku balas.Semoga Allah memberkati dan merahmati kita semua.InshaAllah.Terima kasih.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Sesungguhnya mereka bukanlah sedarah sedaging tetapi mempunyai hubungan paling dekat dengan salah seorang adik beradik kita.
Namun pesona kasih sayang mereka juga bukan calang-calang. Biarpun ipar dianggap ‘orang luar’ dalam keluarga namun kasih sayangnya tiada sempadan buat ahli keluarga pasangannya.
Begitulah kasih sejati yang ditunjukkan oleh seorang kakak ipar yang sanggup berhenti kerja demi menguruskan adik iparnya yang parah akibat kemalangan jalan raya.
Sebagaimana petikan sebuah berita ini yang meruntun jiwa mengenai kasih sayang kakak ipar yang sanggup berhenti kerja demi menguruskan adik ipar.
Raja Aniatikah Raja Ahmad Terjudin merupakan kakak ipar kepada Muhammad Hairril Ashraff Mohd Hairry, 18, yang terlantar selepas terbabit dalam kemalangan pada 28 Jun lalu.
Namun suami kepada Nia yang juga abang kepada adik iparnya turut membantu, Muhammad Hairril Asren Mohd Hairry, 25. Dalam pada itu, tanggungjawab menjaga adik kerana emak dan ayah sudah meninggal dunia. ,
Dapatkan My Qalam Elite Digital Perjuzuk Set dengan diskaun RM5 apabila anda menggunakan kod KELGST5 di sini
Di Sebalik Populariti Kerjaya Sebagai “Mr. Pilot”.
RUTIN HARIAN
Diifahamkan selama dua minggu Muhammad Hairill Ashraf koma di wad dan tiada apa dapat dilakukannya selepas pulang dari hospital melainkan terbaring di katil, malah lehernya terpaksa ditebuk untuk pernafasan manakala minum susu pula melalui tiub pada hidung.
Nia yang mengakui tiada pengalaman menjaga ahli keluarga sakit, pada mulanya agak kekok untuk membiasakan diri.
“Sebelum ini, saya bekerja sebagai kerani namun ambil keputusan berhenti untuk bantu suami menjaga adik.
“Kini, 24 jam saya di rumah dengan adik di samping memasak dan menguruskan kerja rumah.
“Ikutkan tiada pengalaman malah apabila doktor minta sedut kahak (adik) agak terduduk juga tetapi saya cuba dan Alhamdulillah dapat lakukannya cuma tetap perlukan bantuan suami kerana tidak larat untuk uruskan sendiri.
“Rutin harian saya adalah menguruskannya termasuk memberinya minum susu formula dan setiap bulan, perlu memerlukan 14 tin susu yang setiap satunya berharga RM98.
“Menurut doktor, adik memang boleh sembuh dan tiada risiko lumpuh jadi itu beri harapan kepada saya.
“Disebabkan itu, saya ikhtiar dengan memanggil jurufisioterapi datang ke rumah selain berborak dengannya untuk bantu pulihkan ingatannya.
“Sebagai abang, saya tentunya nak dia (adik) sembuh macam dulu dan berdikari, cukup dengan boleh pergi tandas, makan serta urus diri sendiri.”
@rajania96 Terimakasih korang mana yang tanya khabar acap harini . Harini acap happy ramai orang sayang diaa 🫶🏻 Esok kita jumpa lagi yaa .. Tq mana yg support bisnes , gift dan share ❤️ #fyp♬ Di Luar Kemampuanku – Ukays
BANTUAN
Dalam pada itu, Nia meluahkan rasa terkilan apabila ada netizen mengatakan dia sengaja meraih simpati atas kesusahan adik iparnya. Namun dia yang berkongsi kisah adik ipar di TikTok meluahkan rasa syukur ada yang mendoakan kesejahteraan adik iparnya.
“Selain wang simpanan, Nia bersyukur kerana mendapat bantuan keluarga dan jiran sekeliling yang prihatin dengan nasib menimpa adiknya.
“Sejak hari kejadian hingga sekarang saya tidak bekerja namun majikan ada beri gaji pada awalnya selain sumbangan duit rawatan buat adik.”
Difahamkan mereka juga sudah memohon bantuan zakat untuk adiknya dan sedang menunggu kelulusan.