Seringkali kita dengar, “gagal sekali tak bermakna, gagal selama-lamanya.”  Ini kerana setiap kejayaan seseorang individu yang kita lihat hari ini, pastinya bermula dengan beribu episod kegagalan. Begitulah kisah yang dialami oleh seorang lelaki bernama Prof Dr Bustam Kamri yang merupakan Dekan di Sekolah Sains Sosial, International College of Yayasan Melaka (ICYM).  Pernah  gagal SPM 2 kali dan  STPM 7 kali tetapi akhirnya menjadi rakyat malaysia pertama miliki kelulusan tertinggi luar negara bidang pengajian awal kanak-kanak sungguh inspirasi! Ikuti hasil temubual Majalah Keluarga mengenai perjalanan suka duka lelaki yang mempunyai impian yang tinggi dalam hidupnya.

Pernah Gagal SPM 2 Kali Dan STPM 7 Kali. Kisah Rakyat Malaysia Pertama Miliki Kelulusan Tertinggi Luar Negara Bidang Pengajian Awal Kanak-Kanak Sungguh Inspirasi!
Merupakan rakyat Malaysia pertama mempunyai kelulusan tertinggi luar negara dalam bidang pengajian awal kanak-kanak.

Merupakan anak penoreh getah di kampung, hidup beliau pernah dicabar dengan kesusahan termasuk menduduki peperiksaan SPM sebanyak dua kali dan STPM tujuh kali.  Walaupun pada awalnya memilih untuk menceburi bidang perniagaan, namun tidak berjaya. Kini beliau mampu tersenyum dengan kejayaan dalam bidang akademik yang diceburinya yang sering menjadi rujukan masyarakat dalam bidang kepakarannya.

Beliau sangat berpengalaman luas dalam pendidikan prasekolah, kedoktoran dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak dari University of Massachusetts. Beliau memegang ijazah The Professional Childcare Qualification (Infant, Todler and Preschool) oleh The Commonwelth of Massachusetts Office of Child Care, USA. Lebih istimewa, merupakan rakyat malaysia pertama miliki kelulusan tertinggi luar negara dalam bidang Pengajian Awal Kanak-Kanak.

Dalam pada itu, Prof Dr Bustam juga sering diundang untuk membentang kertas kerja, menulis rencana buku-buku berkaitan prasekolah. Dengan segala kepakarannya, beliau merupakan rakyat Malaysia pertama mempunyai kelulusan tertinggi luar negara dalam bidang pengajian awal kanak-kanak.

Bukan pelajar pandai

Sejak di bangku sekolah lagi beliau bukanlah merupakan pelajar cemerlang dan setiap peperiksaan besar yang beliau duduki pastinya memberikan keputusan yang menghampakan.

“Keputusan peperiksaan SPM saya memang mengecewakan. Ada subjek yang tak lulus. Memang sedih tengok orang lain berjaya. Tetapi semangat ingin mencuba apabila melihat kejayaan orang lain dan keinginan menebus kesilapan lalu.

“Ketika itu, hanya kejayaan menerusi pendidikan  merupakan salah satu cara yang boleh mengubah kehidupan masa depan. Bagaimana pun kena  ada keyakinan diri penting biar pun berkali-kali menduduki peperiksaan. Percaya kejayaan akan diperolehi jika tabah mencuba,” ujarnya mengimbau kenangan persekolahannya.

Gagal SPM

Kegagalan adalah titik perubahan bagi semua orang yang memberi peluang kedua atau membetulkan diri semula untuk tampil lebih yakin dan berjaya.

“Setelah keputusan SPM mengecewakan, saya membantu ibu bapa di kebun getah. Setiap pagi saya akan menolong menguruskan kebun. Sehingga suatu hari, saya terfikir sampai bila saya akan jadi penoreh.

IKLAN

“Perasaan memang berat hati. Tak akan saya akan menjadi penoreh getah selama-lamanya. Keputusan teruk!  Bahasa Inggeris, Matematik, Sains saya gagal. Subjek lain cukup makan aje. Nak mintak kerja pun tak layak. Ia cabaran buat saya. Orang yang berjaya dihargai. Orang yang tidak berjaya sebaliknya. Jadi ketika ini hati kena cekal. Sebenarnya, kegagalan inilah yang menjadi pendorong.

“Sebelum itu, saya saya cuba berniaga kain di pasar pagi disekitar daerah Temerloh Pahang. Ketika itu saya mengikut bapa saudara berniaga. Kesudahannya, bidang perniagaan tidak sesuai dengan jiwa saya. Ketika inilah perasaan rasa bersalah dalam diri menguasai. Saya mula terfikir bahawa kecemerlangan akademik sahaja yang dapat mengubah nasib saya.

“Lantas  mengambil peperiksaan di sekolah persendirian untuk kali ke dua SPM. Saya lulus SPM dengan pangkat tiga buat kali kedua itu. Keputusan SPM kedua cukup makan aje untuk melayakan saya mengambil STPM,” ceritanya lagi.

STPM 7 kali demi bergelar mahasiswa

Mahu mengubah nasibnya, Prof Dr Bustam mengambil keputusan untuk menduduki peperiksaaan STPM. Namun nasib tidak menyebelahinya setiap kali menduduki STPM, beliau menemui kegagalan sehingga tujuh kali! Keputusannya itu tidak melayakkannya untuk mendapat tempat di universiti tempatan.

Beliau tidak menafikan malu dengan kawan-kawan dengan keputusan STPM. Namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk berjaya.

“Memang saya malu dengan kawan-kawan. Asyik mengulang STPM sampai tujuh kali. Tetapi saya nekad untuk belajar dan berjaya. Saya berpegang pada prinsip hidup supaya jangan mudah putus asa.

IKLAN

“Hanya menggunakan keputusan cemerlang STPM sahaja yang melayakkan seseorang itu memasuki universiti. Ketika itu, saya sedar bahawa dengan pelajaran yang cemerlang sahaja dapat membantu kehidupan baik. Rakan-rakan sudah bekerja, saya pula baru nak masuk universiti pada usia 30 tahun. Saya sentiasa membaiki diri. Sebab matlamat saya nak masuk university. Saya target untuk mendapat A, barulah boleh masuk universiti. Jika saya tidak mencuba, sebanyak tujuh kali, saya mungkin tidak berada disini. Inilah ujian bagi saya!

“Sebelum berjaya, saya belajar di kelas persendirian dan pada masa yang sama bekerja untuk mengambil peperiksaan STPM. Saya buat kerja sampingan seperti main boneka di perpustakaan, majlis sambutan hari jadi dan juga pusat membeli belah untuk tambah pendapatan.

“Dalam pada itu, saya mencuba nasib memohon maktab perguruan dan diterima. Ketika ini, guru lulusan STPM bergaji rendah dalam RM275.00. Namun dengan gaji serendah itu amat sukar untuk meneruskan kehidupan di Kuala Lumpur. Saya tinggal di rumah setinggan. Saya berfikir tak saya nak hidup begini selama-lamanya. Saya nak menjadi orang yang berilmu,” jelasnya.

Malah beliau pernah bekerja sebagai boneka jalanan selama lima tahun bagi menyara kehidupan ketika menuntut di Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK), Cheras di samping untuk menghiburkan masyarakat khususnya kanak-kanak. Dalam pada itu, beliau juga turut diundang bagi menjayakan siri rancangan boneka di beberapa stesen televisyen tempatan termasuk TV1 dan TV3.

Kejayaan masih ada walaupun pernah gagal

Apabila ditanya mengenai peluang kedua kepada mereka yang mengalami kegagalan. Beliau berpendapat, setiap yang mengalami kegagalan pasti akan menemuai kejayaan.

IKLAN

“Kita mesti yakin untuk berjaya. Jangan putus asa untuk mencuba. Kisah saya ini, misalnya. Jika saya  berputus asa menduduki peperiksaan SPM kali pertama tanpa mencuba kali ke dua, saya tidak mungkin diterima masuk ke maktab perguruan ketika itu.

Jika saya berputus asa menduduki peperiksaan STPM kAli ke tiga atau ke lima tanpa mencuba hingga kali ke tujuh maka saya tidak akan menjejaki kaki di universiti dan tidak akan jadi seperti hari ini,” ujarnya.

Tambahnya lagi, kebanyakkan pelajar salah tanggapan dengan kegagalan atau keputusan SPM yang tidak menyerlah menjadi aras untuk kecewa dan berputus asa meneruskan pengajian. Hakikatnya cara ini salah, Banyak laluan kerjaya yang boleh dilakukan dengan memilih aliran vokesional.

“Kini terdapat banyak bidang vokesional yang ditawarkan selain kerjaya menerusi bidang akademik. Namun, pemilihan haruslah mengikut kemampuan diri  dan minat bukan mengikut kawan. Lihat kepada kekuatan pada diri kita. Jika kita tak bagus geografi, kita score subjek lain. Ingatlah, bahawa setiap kita sebenarnya ada pontensi pada diri. Perlu berubah dan berani mencuba berkali-kali untuk mencapai kejayaan,” nasihatnya.

Pernah Gagal SPM 2 Kali Dan STPM 7 Kali. Kisah Rakyat Malaysia Pertama Miliki Kelulusan Tertinggi Luar Negara Bidang Pengajian Awal Kanak-Kanak Sungguh Inspirasi!
Kenangan ketika melanjutkan pelajaran di luar negara

 Kelayakan Akademik

-Doctor of Education (Early Childhood Education) University of Massachusetts, USA

-Master of Sciences (Early Childhood Education) Southern Connecticut State University, USA

-Professional Child Care Qualification (Infant, Toddler and Preschool) The Commonwelth of -Massachusetts Office of Childcare, USA

-Bachelor of Education (Teaching Malay as First Language) (Universiti Pertanian Malaysia)

-Sijil Guru (Maktab Perguruan Ilmu Khas)

*IKUTI KISAH SELANJUTNYA DALAM MAJALAH KELUARGA ISU JANUARI 2019

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI