Ads

“Pernah Menyesal Berhenti Jadi Jururawat” Aiman Aqilah Kini Raih Empat Angka Jual Tauhu Rangup

Bukan mudah untuk meninggalkan kerjaya yang dibina hasil penat lelah belajar bertahun-tahun. Namun bagi Aiman Aqilah, keputusan tersebut dibuat demi menjaga kesihatan mental dan mencari jalan kehidupan yang lebih serasi dengan dirinya.

Pernah bertugas sebagai jururawat di sebuah hospital swasta selama dua tahun selepas tamat Diploma Kejururawatan, dia memilih untuk berhenti kerja atas kehendak sendiri tanpa dipengaruhi sesiapa.

“Pernah Menyesal Berhenti Jadi Jururawat” Aiman Aqilah Kini Raih Empat Angka Jual Tauhu Rangup
AIMAN Aqilah (berdiri belakang) dibantu adiknya di gerai. FOTO Ihsan Aiman Aqilah Ahmad Kamil

Malah, suami dan keluarga turut memberikan sokongan selepas memahami sebab di sebalik pilihannya.

“Suami dan keluarga tak menghalang, cuma tanya juga untuk kepastian kerana memikirkan masa depan serta latar belakang saya yang sudah bertungkus lumus belajar dalam bidang kejururawatan.

“Tapi mereka faham dan tak persoalkan lagi selepas saya terangkan mengapa ambil keputusan berhenti,” katanya.

Aiman Aqilah Bermula Dengan Jual Nasi Lemak

Selepas berhenti kerja, Aiman Aqilah mula mencuba bidang perniagaan secara kecil-kecilan dengan menjual nasi lemak ketika sedang hamil anak sulung.

Langkah tersebut menjadi antara permulaan buat dirinya untuk mengenali dunia perniagaan dengan lebih dekat selepas meninggalkan bidang kejururawatan.

Selepas bersalin, dia berehat selama setahun sebelum kembali berniaga dengan menerima tempahan katering.

Ketika hamil anak kedua, dia kembali memikirkan cara untuk menambah pendapatan sebelum akhirnya membuka gerai menjual tauhu rangup dan kemudiannya pisang goreng bijan.

Ads

Minat terhadap bidang perniagaan sebenarnya sudah ada sejak kecil apabila dia sering membantu ibunya, Rohani Ariffin, 59, menjual makanan ketika masih bersekolah.

Justeru, walaupun kerjaya sebagai jururawat sudah ditinggalkan, dunia perniagaan bukanlah sesuatu yang asing buat dirinya.

“Pernah Menyesal Berhenti Jadi Jururawat” Aiman Aqilah Kini Raih Empat Angka Jual Tauhu Rangup
AIMAN Aqilah bersama suami, Mohamad Irfan dan anaknya mereka. FOTO Ihsan Aiman Aqilah Ahmad Kamil

Pernah Menyesal Bila Jualan Perlahan

Perjalanan Aiman Aqilah dalam dunia perniagaan tidak sentiasa mudah. Ada waktunya dia pernah terfikir kembali tentang keputusan meninggalkan pekerjaan tetap, terutama ketika jualan kurang memberangsangkan.

Perbezaan antara menerima gaji bulanan dengan pendapatan berniaga yang tidak menentu membuatkan dia pernah berasa menyesal dengan keputusan tersebut.

“Cuba berniaga ini ada naik turunnya, dan jujurnya saya pernah menyesal berhenti sebagai jururawat bila jualan perlahan kerana bila kerja tetap, ada gaji bulanan.

“Tapi bila fikir sudut positif, saya yakin keputusan dibuat itu membawa perubahan dalam hidup saya,” katanya.

Usaha dan kesungguhannya akhirnya membuahkan hasil apabila pendapatan perniagaan yang sebelum ini kurang RM500 kini mampu mencecah empat angka. Lebih membanggakan, dia juga sudah mampu mengupah dua pekerja bagi membantunya menguruskan gerai.

Ads

Suami Dan Ibu Jadi Tulang Belakang

Dalam membina perniagaan, Aiman Aqilah tidak menafikan sokongan keluarga menjadi antara kekuatan terbesar buat dirinya.

Suaminya, Mohamad Irfan Mohd Hashim, 32, banyak membantu sejak awal perniagaan, manakala ibunya pula membantu menjaga anak-anak ketika dia keluar berniaga.

“Suami banyak membantu daripada awal hingga kini, begitu juga dengan emak yang tolong menjaga anak waktu saya keluar berniaga,” katanya.

Sokongan itu membolehkannya memberikan perhatian kepada perniagaan sambil meneruskan tanggungjawab terhadap keluarga dan anak-anak. Dia kini berniaga berhampiran Taman Ara Jaya, Ara Kuda, Tasek Gelugor, Pulau Pinang dan membuka gerai setiap Selasa hingga Ahad bermula jam 2.30 petang sehingga jualan habis.

Aiman Aqilah Mahu Ubah Persepsi Terhadap Peniaga Tepi Jalan

Lebih daripada sekadar berkongsi perjalanan kerjaya, Aiman Aqilah berharap kisahnya dapat mengubah persepsi segelintir masyarakat terhadap peniaga tepi jalan.

Ads

Menurutnya, tidak semua individu yang berniaga di tepi jalan tidak mempunyai pendidikan tinggi atau kerjaya yang baik sebelum ini.

Hasrat itu semakin kuat selepas salah seorang pekerjanya pernah diperlekehkan pelanggan kerana tersilap mengira wang.

“Niat saya berkongsi mengenai peralihan kerjaya itu adalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai yang bukan semua individu berniaga di tepi jalan tiada pelajaran tinggi atau kerjaya bagus,” katanya.

Berani Memilih Haluan Kehidupan Sendiri

Aiman Aqilah turut menzahirkan penghargaan kepada suami, ibu bapa, keluarga, pelanggan dan warganet yang tidak putus-putus memberi sokongan serta mendoakan kejayaannya.

Aiman Aqilah membuktikan bahawa perubahan kerjaya bukan bererti gagal dalam pilihan terdahulu. Kadangkala, keberanian memilih jalan yang lebih serasi dengan diri sendiri, disertai usaha dan sokongan keluarga, mampu membawa seseorang ke arah kehidupan yang lebih baik.

BACA LAGI : “Bukan Raih Simpati”, Dua Beradik Hilang Kaki Kanan Tetap Gigih Jual Cendol Bantu Keluarga

Sumber: Harian Metro

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di

KLIK DI SEENI
Ads

Cerita Keluarga Lain

Masak Jimat

6 Tip Mudah Urus Kewangan Agar Keluarga Lebih Selesa

Berbelanja bijak bermula dari dapur. Ketahui 6 tip mudah mengurus barangan dapur, mengurangkan pembaziran dan mengawal kewangan keluarga.