
Prof Ts Dr Norazah Mohd Suki: Saintis Hebat Malaysia Dalam Senarai World’s Top 2% Scientists
Orangnya kecil molek dan apabila bertutur pula nadanya sentiasa lembut, namun di sebalik semua itu Prof Ts Dr Norazah Mohd Suki bukan wanita yang calang-calang.
Penyelidik dan juga profesor daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) Kampus Kuala Lumpur ini mencipta sejarah sebagai wanita pertama negara tersenarai dalam kelompok dua peratus saintis terbaik dunia selama tujuh tahun berturut-turut dari 2019 hingga tahun ini.
Senarai berprestij itu diterbitkan oleh Universiti Stanford dan penerbit akademik Elsevier yang menilai lebih sembilan juta penyelidik dari seluruh dunia, namun hanya sekitar 100,000 saintis berimpak tinggi dipilih berdasarkan citation (petikan), indeks-H, kolaborasi antarabangsa dan peranan kepengarangan utama.
Kejayaan Prof Ts Dr Norazah Mohd Suki Bawa Nama Malaysia ke Peringkat Dunia
Bagi dirinya, pencapaian itu bukan sekadar pengiktirafan peribadi tetapi juga kebanggaan buat Malaysia.
“Apabila saya mengetahui disenaraikan buat kali ketujuh, saya amat bersyukur. Ia bukan hanya penghargaan terhadap kerja keras saya, tetapi juga legasi untuk UUM dan Malaysia, membuktikan bahawa kita mampu berdiri setaraf dengan saintis antarabangsa,” katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.
Pencapaian beliau bukan sahaja menzahirkan kecemerlangan peribadi, malah mengukuhkan profil penyelidikan Malaysia di persada global selain menjadi simbol kecekalan wanita Malaysia dalam dunia akademik yang kompetitif dan lazimnya didominasi kaum lelaki.

World’s Top 2% Scientists dan Indeks H Prof Ts Dr Norazah Mohd Suki
Prof Ts Dr Norazah Mohd Suki tersenarai dalam World’s Top 2% Scientists sejak pengiktirafan itu diperkenalkan oleh Universiti Stanford dan Elsevier pada 2019. Beliau kini di kedudukan 167 dunia dalam bidang Perniagaan dan Pengurusan serta ke-5,173 secara keseluruhan dalam kalangan 100,000 saintis berimpak tinggi di seluruh dunia.
Berdasarkan pangkalan data Scopus, beliau mencatatkan H-Index 39 dengan lebih 196 artikel diterbitkan dan lebih 5,000 petikan oleh penyelidik lain di seluruh dunia, iaitu satu pencapaian luar biasa dalam bidang sains sosial dan pengurusan yang biasanya tidak mencatat kadar rujukan setinggi bidang sains tulen.
Menjelaskan dengan lebih lanjut pencapaiannya kepada Bernama, beliau berkata, H-Index 39 bermaksud sekurang-kurangya 39 artikel beliau yang masing-masing dirujuk sekurang-kurangnya 39 kali oleh penyelidik lain.
“Realitinya, bukan semua orang boleh mencapai Scopus H-Index 30 ke atas, apatah lagi 39. Ia satu angka yang sangat tinggi, terutama dalam bidang sains sosial dan pengurusan kerana bidang ini tidak mempunyai jumlah penyelidik dan kadar rujukan setinggi bidang sains tulen.
“Angka itu menunjukkan hasil penyelidikan saya bukan sahaja diterbitkan, tetapi turut digunakan dan dirujuk secara meluas oleh komuniti akademik antarabangsa,” jelasnya.
Disiplin Dan Konsistensi Jadi Rahsia Kejayaan
Tegas beliau lagi, pemilihan ke dalam kelompok dua peratus saintis terbaik dunia tidak bergantung pada jumlah penerbitan semata-mata, sebaliknya kualiti dan impak sebenar penyelidikan.
“Tiada permohonan, tiada pencalonan, semuanya berpaksikan data penerbitan yang sahih dan berimpak tinggi. Jadi, apabila nama kita muncul dalam senarai itu, ia benar-benar hasil kerja keras bertahun-tahun,” jelas beliau lagi, menambah pencapaiannya itu juga membuktikan disiplin, konsistensi dan rasa ingin tahu yang tinggi adalah kunci kejayaan.
“Untuk kekal dalam senarai ini bukan mudah. Kita perlu terus aktif menjalankan penyelidikan berimpak tinggi, menulis, menerbitkan dan berkolaborasi di peringkat antarabangsa. Walau sesibuk mana pun saya sentiasa pastikan setiap hari ada masa diperuntukkan untuk menulis atau menyemak data penyelidikan dengan penuh disiplin,” kongsi beliau.
Latar Belakang Prof Ts Dr Norazah Mohd Suki
Dilahirkan di Kluang, Johor pada 1977, anak kedua daripada tiga beradik ini membesar dan menerima pendidikan awal di Jasin, Melaka. Sejak kecil, beliau dan adik-beradik diasuh dalam suasana keluarga yang menekankan disiplin dan pendidikan.
Bukan sesuatu yang menghairankan kerana ibunya, Azbah Semat, merupakan ‘Special Grade Midwife’ di Hospital Melaka sebelum bersara, manakala arwah bapanya, Mohd Suki Umbi pernah berkhidmat sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia sebelum menjadi penguasa asrama di Institut Kemahiran Mara Jasin.
“Ibu dan arwah bapa menjadi tulang belakang kejayaan saya. Mereka menghantar saya dan kakak saya, Prof Madya Ts Dr Norbayah, ke kampus setiap hari di Universiti Multimedia (MMU) Melaka dan kemudian ke MMU Cyberjaya. Mereka tidak pernah jemu memberi semangat untuk kami menimba ilmu hingga ke peringkat tertinggi,” ujarnya penuh syukur.
Kakaknya juga bertugas di UUM Kampus Kuala Lumpur, manakala adik bongsu mereka, Mohamad Syukri seorang cef terlatih.
Perjalanan Akademik Dan Pengiktirafan
Merupakan lepasan Institut Perdagangan Mara, Prof Ts Dr Norazah Mohd Suki menyambung pengajian ijazah pertama di MMU dan menamatkan pengajian pada 2000. Beliau kemudian meneruskan pengajian di peringkat sarjana dan doktor falsafah dalam bidang pemasaran dan e-dagang di universiti sama dan menamatkan pendidikan pada 2006 ketika berusia 29 tahun.
Sepanjang 25 tahun dalam dunia akademik, beliau menempuh perjalanan dengan penuh dedikasi, di beberapa institusi pengajian tinggi di negara ini.
Pada 2018, beliau menerima pengiktirafan Malaysia’s Research Star Award (MRSA), satu penghargaan berprestij daripada penerbit akademik Elsevier dan Kementerian Pendidikan Tinggi kepada penyelidik Malaysia yang menghasilkan penerbitan berkualiti tinggi di peringkat antarabangsa.
Kini, pada usia 48 tahun, beliau bukan sahaja bergelar profesor tetapi turut memegang jawatan Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi & Hubungan Korporat) di Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), UUM – simbol kepada disiplin, fokus dan minat mendalam yang mengangkatnya ke puncak dunia akademik.
Memupuk Generasi Penyelidik Baharu
Bagi beliau, kejayaan dalam penyelidikan bukanlah kerja individu, tetapi hasil ekosistem universiti dan pasukan yang menyokong sepenuhnya. Beliau banyak menjalankan kerjasama penyelidikan rentas negara serta menekankan kepentingan menjadi pengarang utama dalam penerbitan berimpak tinggi.
Bukan setakat itu, Prof Ts Dr Norazah Mohd Suki juga membantu pelajarnya mencipta kejayaan dan antara pencapaian besar yang masih diingatinya ialah membantu 105 penuntut sarjana muda menerbitkan artikel berindeks Scopus, satu pencapaian yang sangat jarang berlaku dalam dunia pendidikan.
Buku mereka yang bertajuk ‘Handbook of Research on Leveraging Consumer Psychology for Effective Customer Engagement’ diterbitkan oleh IGI Global pada 2017 dan membabitkan pelajarnya yang beliau latih sejak awal pengajian.
Komitmen Sosial Dan Patriotisme
Sejak 2013, beliau berkhidmat sebagai Pegawai Bersekutu APM dengan pangkat Leftenan Kolonel Bersekutu dan kini menjawat jawatan Timbalan Komandan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (KorSispa) UUM. Melaluinya, beliau memupuk semangat kesukarelawanan dan patriotik dalam kalangan mahasiswa dan generasi muda.
Ketika pandemik COVID-19, beliau bertugas di Home Surveillance Centre (HSC) di Institut Aminuddin Baki, Jitra, Kedah. Peranan besar ini menyaksikannya dianugerahi Pingat Bakti Pertahanan Awam pada 2021 sebagai penghargaan atas sumbangan dan jasanya kepada masyarakat.
“Ilmu dan pangkat tidak bermakna jika kita tidak kembali menyumbang kepada masyarakat,” katanya, menutup bicara penuh inspirasi.
Sumber: Harian Metro
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di

















