
Proses gali semula kubur Syamsul Haris hari ini, tanah perkuburan mula dipenuhi orang ramai. Proses penggalian semula kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, dijadualkan bermula sekitar jam 8.30 pagi ini bagi tujuan bedah siasat kedua.
Proses Gali Semula Kubur Syamsul Haris Hari Ini, Tanah Perkuburan Mula Dipenuhi Orang Ramai
Seawal jam 7 pagi, suasana di luar pintu utama Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu, Semenyih, sudah mula dipenuhi ahli keluarga dan penduduk setempat yang hadir untuk mengikuti perkembangan.

Pihak polis turut mengawal ketat kawasan berkenaan bagi memastikan hanya individu berkaitan dibenarkan masuk, selain menjaga kelancaran proses penggalian semula dan mengelakkan insiden yang tidak diingini.
Sekitar jam 7.45 pagi, ibu kepada Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, dilihat tiba di lokasi dan masuk ke kawasan tanah perkuburan untuk menyaksikan proses berkenaan.
Difahamkan, kerja penggalian itu akan dipantau oleh pegawai Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), peguam keluarga, pegawai serta anggota Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman, pakar patologi dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan wakil daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Selesai sahaja proses penggalian, jasad Allahyarham Syamsul Haris akan dibawa terus ke HKL untuk tujuan bedah siasat.
Terdahulu, pada 26 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah mengarahkan kubur pelatih PALAPES Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai itu digali semula. Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet memutuskan perkara tersebut selepas menerima permohonan ibunya, Ummu Haiman Bee.

Menurut keputusan mahkamah, proses penggalian perlu dilakukan bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan.
Allahyarham Syamsul Haris, 22, meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi selepas mengikuti latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram. Jenazah beliau kemudian dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih.
Kronologi Kes Kematian Pegawai Kadet PALAPES UTM, Syamsul Haris Shamsudin
28 Julai 2025
Syamsul Haris, 22, disahkan meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, Johor ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor.
29 Julai 2025
Jenazah Syamsul Haris dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Rinching Hulu, Semenyih.
1 Ogos 2025
Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kematian Syamsul Haris berdasarkan hasil bedah siasat awal yang tidak menemui kecederaan mencurigakan dan diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).
Ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, menolak penjelasan awal bahawa anaknya meninggal dunia kerana sawan dan menuntut siasatan menyeluruh termasuk bedah siasat kedua.
2 Ogos 2025
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan Kementerian Pertahanan (Mindef) menubuhkan jawatankuasa yang turut disertai Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menyiasat kematian Syamsul Haris.
11 Ogos 2025
Ummu Haiman Bee menggesa bedah siasat kedua dijalankan dan bersedia kubur anaknya digali semula bagi mengetahui punca sebenar kematian.
Permohonan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) melalui KPT bagi membolehkan siasatan telus dilaksanakan tanpa melindungi mana-mana pihak.
13 Ogos 2025
Polis mengesahkan seramai 22 saksi sudah dirakam keterangan termasuk doktor (rawatan awal), doktor (bedah siasat), rakan sepelatih, jurulatih selain ahli keluarga mangsa bagi melengkapkan siasatan.
Mohamed Khaled memaklumkan siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui jawatankuasa siasatan mendapati semua saksi termasuk pegawai dan jurulatih mengesahkan tiada kelakuan atau tindakan berbentuk penderaan dalam insiden berkenaan.
5 Ogos 2025
Ummu Haiman Bee memfailkan notis usul bagi memohon perintah untuk menggali semula kubur anak lelakinya bagi membolehkan proses bedah siasat kedua.

19 Ogos 2025
Pendengaran hujahan permohonan notis usul supaya kubur Syamsul Haris digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
25 Ogos 2025
Ibu Allahyarham Syamsul Haris memfailkan afidavit baharu di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menyokong permohonan notis usul supaya kubur anaknya digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan.
26 Ogos 2025
Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan kubur Syamsul Haris digali semula selepas membenarkan permohonan ibu Allahyarham.
29 Ogos 2025
Kerja penggalian semula kubur Allahyarham dilaksanakan hari ini bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dilaksanakan di HKL.
Sumber: Berita Harian
Baca artikel lain juga: Kes Syamsul Haris: Ibu Dakwa Darah Pekat Membuak-buak Tanpa Henti Dari Hidung, Telinga Ketika Bedah Siasat
Ibu Allahyarham Syamsul Haris Dakwa Kecederaan Di Dada, Mata Anak Akibat Pukulan Objek Tumpul
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di









