Cinta mempunyai bahasa yang tersendiri. Ada pasangan yang berjaya menguasai Bahasa Cinta ini, tetapi ada juga yang sehingga ke hujung usia masih gagal bercakap Bahasa Cinta.

Kebahagiaan pasangan tidak boleh dinilai dengan masa. Ada yang sudah berkahwin selama 30 tahun, tetapi mereka tidak bahagia. Mereka hanya ada perkongsian kehidupan. Berkongsi rumah, berkongsi tempat tidur, berkongsi zuriat. Tetapi tidak boleh berbahasa Cinta.

Kita sering memandang orang yang baru kahwin, yang sedang romantik dan berbahagia sebagai mentah dan berbisik di dalam hati kecil yang banyak lagi ujian yang mereka bakal tempuhi. Kebahagiaan mereka itu belum tentu berkekalan terus terngiang-ngiang di dalam hati.

Sebenarnya ini adalah tanggapan yang salah. Kita takkan tahu apa yang akan terjadi di masa hadapan. Masa bukan penentu segalanya tetapi komunikasi, bahasa, faham memahami dan tolak ansur menjadi kunci utama.

Mari kita bongkar 5 Bahasa Cinta yang saya olah dari buku The Five Love Languages oleh Gary Chapman.

5 Bahasa ini jika anda dapat kuasai semuanya, kebahagiaan itu akan menjadi milik anda berdua. Tetapi jika anda berjaya kuasai bahasa yang sama dengan pasangan anda, walaupun 1 sahaja pun sudah mencukupi.

Rahsia 5 Bahasa Cinta Suami Isteri Kena Tahu. Barulah Bahagia Melimpah Ruah!

Apakah 5 Bahasa Cinta? Bagaimanakah untuk menggunakannya dan apa yang perlu dielakkan?

1. Kata Pengesahan

Anda suka dihargai secara lisan. Anda suka dipuji, diberi galakan, kata-kata semangat, dorongan, penghargaan dan ayat-ayat manis menjadi makanan utama yang membahagiakan anda.

Jika pasangan anda berbahasa begini, bercakaplah selalu. Pujilah dia bila dia buat sesuatu, mengoratlah dia supaya dia layu, gunakan ayat-ayat cinta untuk buat dia tersenyum dan beri semangat apabila dia perlukan.

IKLAN

Jangan sesekali bercakap kasar, mengherdik, mengutuk dan menjerit dengan pasangan yang berbahasa begini. Dia akan menyedut 200% dari apa perkara buruk yang kita ungkapkan.

2. Masa berkualiti

Masa, masa dan masa. Anda tidak perlukan sangat benda lain, hanya masa bersama pasangan sudah cukup. Anda suka berbuat sesuatu dengan pasangan. Anda ingin berkongsi masa dengannya. Anda tidak kisah buat apa pun asalkan bersama pasangan. Tak perlu keluar kos mahal-mahal pun tidak mengapa. Berjalan berdua di di pasar pagi pun dah jadi saat yang bahagia.

Jika pasangan anda berbahasa begini, sila ambil berat tentang masa anda. Pastikan rancang betul-betul supaya tiada masa terluang yang sepatutnya boleh dihabiskan dengan pasangan. Anda beri masa, anda akan bahagia. Semudah itu.

Jangan memandang rendah keperluan masa orang yang berbahasa begini. Masa bersama yang tidak cukup boleh membuatkan pasangan anda sunyi dan kadang-kala membawa kepada tekanan dan kemurungan.

3. Menerima Hadiah

Anda gembira menerima sesuatu dari orang yang anda sayangi. Tak perlu yang mahal-mahal pun. Asalkan ianya pemberian dari yang tersayang, anda akan sangat gembira dan menghargainya. Ia melambangkan betapa pasangan anda menghargai anda dengan memberi hadiah.

IKLAN

Jika pasangan anda berbahasa begini, amalkan memberi dan sentiasa memikirkan dia. Singgah kedai runcit? Fikirkan apa yang ingin diberi kepada dia. Keropok ke, air ke, coklat ke. Tiada masalah. Asalkan anda membeli sesuatu untuk dia. Lebih baik apabila anda tahu apa yang dia suka terima, jika dia suka bunga, belikan. Jika mampu, belikan yang mahal juga.

Jangan sesekali beri sesuatu pada orang lain tanpa ada bahagian dia. Itu akan nampak seperti meminggirkan dia. Belilah apa-apa pun sebagai penyejuk hati. Macam saya cakap tadi, tak perlu yang mahal pun.

4. Khidmat

Anda suka apabila pasangan buat sesuatu untuk anda atau bantu anda buat sesuatu. Contohnya anda suka diurut, anda suka pasangan masak untuk anda, anda suka pasangan bersihkan rumah dan lain-lain. Anda rasa dihargai apabila pasangan bantu atau buat sesuatu untuk anda.

Jika pasangan berbahasa sebegini, bantulah dia di dalam kerja-kerja rumah. Masaklah sesuatu untuknya atau masaklah makanan kegemarannya. Bantu isteri basuh pinggan, basuh baju, jagakan anak dan lain-lain. Yang si isteri pun boleh bantu suami dengan mengekalkan rumah dalam keadaan kemas atau selalu sediakan pakaian yang sudah bergosok. Jika anda buat sesuatu untuk si dia tanpa disuruh, itu lagi melambangkan betapa anda mencintai dia.

Jangan biarkan pasangan terkontang-kanting membuat kerja keseorangan. Jangan pula tidak ambil peduli mengenai keperluan pasangan seperti pakaian dan makanan.

IKLAN

5. Sentuhan fizikal

Anda suka disentuh. Anda suka dimanja, dicium, dipegang, diangkat, dipeluk, digigit dan lain-lain lagi. Satu geseran tangan memberi impak 10 kali ganda dari seribu ayat-ayat cinta.

Jika pasangan berbahasa begini, terkamlah dia. Manjakan dia. Sentuhlah dia selalu, belailah dia. Amalkan pelukan manja, ciuman mesra. Selalunya pasangan begini mempunyai tahap ghairah dan cinta yang tinggi. Gunakan penghargaan ini sepenuhnya dan anda juga akan dapat manfaatnya.

Jangan abaikan pasangan berbahasa begini. Jangan biarkan dia bersendirian tanpa sentuhan terlalu lama. Dia akan merajuk dan kecewa. Perlu ambil tahu adakah anda sudah mencium dia hari ini? Jika belum, ciumlah. Amalkan juga pelukan-pelukan sebelum ke tempat kerja dan apabila pulang dari kerja. Anda ada tugas penting untuk memuaskan keinginan dia, tunaikan tanggungjawab anda sepenuhnya.

Rahsia 5 Bahasa Cinta Suami Isteri Kena Tahu. Barulah Bahagia Melimpah Ruah!

Itulah dia 5 Bahasa Cinta. Lubuk rahsia kebahagiaan rumah tangga? Sangat betul. Bayangkan jika anda berjaya menguasai kesemuanya. Anda pasti akan diangkat setinggi-tingginya oleh pasangan anda. Dan sudah pasti anda dan pasangan akan benar-benar melayari bahtera cinta tidak kiralah berapa lama masanya.

Semoga ini semua memberi manfaat. Semoga lebih banyak pasangan menguasai 5 Bahasa Cinta ini.

Kongsikan ilmu ini kepada semua. Lebih banyak anda kongsi, lebih banyak keluarga yang akan bahagia.

Nombor berapa Bahasa Cinta anda? Tag pasangan anda dan beritahu mereka bahasa anda supaya mereka boleh menggembirakan anda.

Sumber: FB  Akhtar Syamir

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI