
Rakan terjun sungai cari pempengaruh hilang bersama kereta tenggelam di Bukit Kepong. “Saya tak fikir panjang, terus berenang nak pastikan Ija ada atau tidak dalam kereta itu.” Demikian luahan Muhammad Syahmi Mansur, 30, yang nekad meredah Sungai Tui, Bukit Kepong selepas menemui sebuah kenderaan tenggelam di kawasan kebun berhampiran sungai tersebut.
Rakan Terjun Sungai Cari Pempengaruh Hilang Bersama Kereta Tenggelam Di Bukit Kepong
Kereta itu dipercayai milik sahabatnya, pempengaruh media sosial Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, yang lebih dikenali sebagai Ija.

Menurut Syahmi, dia dan beberapa rakan lain mula menjalankan pencarian sebaik sahaja dimaklumkan tentang kehilangan Ija pada malam Isnin.
“Kami dapat tahu kereta dia hilang, jadi malam itu juga saya bersama sembilan rakan lain mencari Ija berdasarkan lokasi terakhir melalui sistem GPS yang diberikan oleh isterinya.
“Disebabkan keadaan gelap dan kawasan kebun yang sukar dimasuki, kami tak dapat masuk jauh. Pencarian diteruskan hingga ke Muar tapi masih tak jumpa,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada Rabu.
Tambahnya lagi, pencarian disambung pada hari berikutnya dan mereka dimaklumkan oleh anggota RELA bahawa terdapat sebuah kereta kelihatan di dalam sungai berdekatan.
“Kebetulan anggota Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) beritahu ada nampak kereta dalam sungai. Bila saya tengok betul-betul, saya terus berenang ke arah kereta.

“Saya nampak pelekat nama kedai aksesori kereta milik Ija di cermin belakang, memang sah kereta dia,” jelasnya.
Syahmi berkata, sewaktu mendekati kenderaan tersebut, cermin sisi depan kiri dan kanan didapati terbuka manakala pintu kereta juga tidak berkunci. Namun begitu, air sungai yang keruh menyukarkan pandangan dan menyulitkan usaha mengesan keberadaan mangsa.
“Saya cuba selam dan rasa macam ada benda masa hulur kaki, tapi tak pasti. Saya terus maklumkan kepada polis dan pasukan bomba datang untuk pemeriksaan,” katanya.

Katanya lagi, sebelum kejadian, Ija difahamkan dalam perjalanan ke Muar untuk menghantar keretanya ke bengkel milik rakan sebelum singgah bertemu adik lelakinya, Tengku Abdul Aziz, 30, di Bukit Kepong.
“Dia tak pernah ada musuh. Kami dah lama kenal, susah senang bersama. Ija memang seorang yang sangat positif.
“Kali terakhir saya jumpa Ija ialah pada Ahad minggu lalu, dan malam itu kami sempat berbincang tentang baju menerusi telefon,” ujar Syahmi sambil berharap sahabatnya segera ditemui dengan selamat.

Dalam perkembangan berkaitan, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Nor Alfatah Omar memaklumkan pihaknya menerima laporan dan terus ke lokasi kejadian pada petang Selasa.
“Kami dapati sebuah Perodua Axia terjunam ke dalam sungai dengan kedalaman kira-kira dua meter,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz turut mengesahkan kejadian dan memaklumkan bahawa operasi SAR sedang giat dijalankan.
“Polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar bagi membantu siasatan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Baca artikel lain juga: Ibu Sebak Anak Maut Dihempap Pokok Kelapa Sawit -Dia Pakai Cantik, Wangi Sangat
Dulu Dipisahkan Sebagai Kembar Siam, Kini Muhammad Jalani Rawatan Kanser Di Riyadh
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di













