
Kasih seorang anak terhadap ibu sememangnya tiada tandingan. Masih wujud kisah menyentuh hati yang mengingatkan kita tentang erti sebenar kasih sayang dan pengorbanan.
Itulah yang dapat digambarkan melalui kisah seorang kanak-kanak lelaki, Raziq atau lebih dikenali sebagai Eby, yang setia menjaga ibunya sepanjang lima tahun melawan penyakit kanser.
Baru-baru ini, tular satu video di TikTok yang memaparkan kisah Raziq atau Eby, seorang kanak-kanak lelaki yang setia menjaga ibunya sepanjang lima tahun bertarung dengan penyakit kanser.
Apa yang lebih menyentuh perasaan, dalam usia yang masih muda, Raziq memikul tanggungjawab besar yang mungkin sukar dilakukan oleh orang dewasa, iaitu menjadi peneman setia, penjaga dan sumber kekuatan buat ibunya sehingga ke akhir hayat.
Sepanjang tempoh ibunya sakit, Raziq tidak pernah berenggang jauh. Siang dan malam dihabiskan dengan menemani ibunya, memastikan ibunya itu tidak keseorangan menghadapi ujian berat tersebut.
Ketika kanak-kanak lain seusia dengannya sibuk dengan permainan dan dunia masing-masing, Raziq memilih untuk berada di sisi insan paling penting dalam hidupnya.
Tidur malamnya juga tidak pernah lena sepenuhnya. Setiap pergerakan ibunya seolah-olah menjadi keutamaan, seakan-akan dia sentiasa bersedia sekiranya diperlukan.
Tanpa keluh kesah, tidak menunjukkan rasa penat, hanya keikhlasan yang jelas terpancar melalui setiap tindakannya.
Salah satu momen paling menyentuh dalam kisah ini adalah apabila Raziq dengan penuh sabar membimbing ibunya dalam menunaikan solat.
Apabila penyakit semakin memberi kesan kepada ingatan ibunya, Raziq tidak pernah jemu membetulkan bacaan solat ibunya itu lima waktu sehari, setiap hari.
Dalam diam, dia bukan sahaja menjaga keperluan fizikal ibunya, tetapi juga memastikan kewajipan agama tetap terjaga. Bibirnya juga sentiasa dibasahi dengan zikir, mencerminkan didikan dan jiwa yang penuh dengan keimanan.
Pengorbanan Raziq tidak terhenti di situ. Demi memastikan ibunya sentiasa ditemani, dia sanggup ponteng sekolah semata-mata untuk menjaga wanita yang disayangi.
Bagi Raziq, ibu bukan sekadar penjaga, tetapi satu-satunya syurga yang ada di dunia ini. Katanya, ibu tidak boleh dicari ganti.
Kata-kata yang cukup ringkas, tetapi membawa makna yang sangat mendalam. Ia menggambarkan betapa besar kasih seorang anak yang sanggup meletakkan kepentingan ibunya mengatasi keperluan dirinya sendiri.
Kasih dan kesetiaan Raziq berterusan sehingga ke saat akhir hayat ibunya, Cikgu Mazriza Ridzuan, yang akhirnya menghembuskan nafas terakhir selepas lima tahun menghidap penyakit kanser.
Detik kehilangan itu jelas meninggalkan kesan yang amat mendalam buat Raziq. Pandangan kosong dan riak wajah yang sugul menggambarkan kesedihan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.
Malam pertama tanpa ibu, Raziq hanya ditemani sehelai tuala milik arwah yang menjadi pengganti sementara kepada dakapan yang telah tiada.
Situasi itu cukup untuk membuatkan ramai yang menonton turut mengalirkan air mata. Kisah Raziq jaga ibu kanser bukan sekadar kisah tular, tetapi satu peringatan tentang nilai kasih sayang yang semakin jarang dilihat dengan begitu mendalam.
@auntyzue_mazus Alfatihah untuk kakakku CIKGU MAZRIZA RIDZUAN Cinta sampai syurga ❤️❤️❤️ Bidadari syurga melahirkan ahli syurga #cancerfighter #palliativecare #Siblings #family #syurga ♬ bunyi asal – wany_hasrita.fc – Wany Hasrita Fans
Kisah ini bukan sekadar menyentuh emosi, tetapi juga penuh dengan pengajaran. Ia mengingatkan kita bahawa kasih sayang tidak mengenal usia, dan keikhlasan dalam berbakti kepada ibu bapa adalah sesuatu yang amat bernilai.
Semoga Raziq terus kuat menghadapi ujian kehilangan ini, dan semoga segala pengorbanan serta bakti yang dicurahkan menjadi asbab untuk dipertemukan kembali dengan ibunya di syurga kelak.
Al-Fatihah buat Allahyarhamah Cikgu Mazriza Ridzuan. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
BACA LAGI : Dalam Tak Sedar Menitis Air Mata Lihat Video Ni, Cara Adik Iman Jaga Ibu Strok Undang Sebak
Sumber : Tiktok @auntyzue_mazus