Seorang anggota Batalion Malaysia 850-11 (MALBATT 850-11) bagi misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan, meninggal dunia, semalam.

Markas Angkatan Tentera Malaysia (MK ATM) dalam kenyataannya, memaklumkan Sarjan Faridah Abd Rahman, 39, rebah dan tidak sedarkan diri ketika turun dari bas di Kem Marakah, kira-kira jam 7.25 pagi waktu Malaysia.

Rebah Ketika Turun Bas, Anggota Malbatt Meninggal Dunia Ketika Berkhidmat Untuk Misi UNIFIL di Lubnan
Sumber foto: BH Online ihsan ATM

Beliau berkata, Faridah yang bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam MALBATT 850-11 di Kem Marakah, baru kembali ke Lubnan selepas selesai bercuti di Malaysia.

“Jenazah Allahyarhamah akan dihantar Ke Hospital Hammoud, Saida untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Proses bedah siasat tersebut akan dilaksanakan pada 19 Mei 2024 (hari ini) jam 10.30 pagi waktu Lubnan atau jam 3.30 petang waktu Malaysia,” katanya.

IKLAN

Tambah kenyataan itu, Faridah yang berasal dari Pendang, Kedah menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai anggota Tentera Darat sejak 2007 dan ditugaskan di Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT).

“Allahyarhamah sebelum ini bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam di Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Di Raja (MEKANIZE), Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, Kedah sebelum diatur gerak menyertai Misi MALBATT 850-11 UNIFIL.

“Allahyarhamah telah mendirikan rumah tangga serta mempunyai empat anak iaitu tiga anak perempuan dan seorang anak lelaki berusia antara empat hingga 10 tahun,” katanya.

IKLAN

Kata kenyataan itu, Markas Angkatan Bersama (MK AB) akan menguruskan proses penghantaran pulang jenazah Faridah ke Malaysia.

“Sebarang perkembangan akan dimaklumkan selanjutnya,” katanya.

Untuk rekod, MK AB berperanan menyelaraskan semua keperluan operasi dan misi ATM di luar negara termasuk atur gerak MALBATT 850- 11 bagi Misi UNIFIL.

IKLAN

Sumber: BH Online 

Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA  atau join keluargagader club

Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI