
Tular di media sosial khususnya TikTok kisah seorang remaja berusia 17 tahun, Muhammad Zufar Azman, yang mengusahakan jualan air tembikai segar dengan konsep cukup unik iaitu “bayar seikhlas hati”.
Kisahnya bukan sahaja mencuri perhatian kerana pendekatan jualan yang berbeza, malah menyentuh hati ramai apabila mengetahui usaha kecil itu dilakukan oleh seorang remaja disleksia yang sedang belajar berdikari demi masa depannya.
Muhammad Zufar Azman Jual Air Tembikai Dengan Bayaran Seikhlas Hati
Bagi sesetengah orang, berniaga mungkin kelihatan mudah. Namun buat Zufar, ia adalah satu proses pembelajaran yang besar kerana dia berdepan kesukaran dalam membaca, mengenal nombor dan mengira dengan tepat.
Menurut perkongsian keluarga, konsep tanpa harga tetap itu diperkenalkan sebagai langkah lebih praktikal dan selamat buat Zufar. Ini bagi mengelakkan sebarang kesilapan dalam urusan jual beli, termasuk ketika menerima bayaran atau memberi baki wang kepada pelanggan.
Walaupun nampak ringkas, usaha ini sebenarnya cukup besar maknanya buat Zufar. Dari situ, dia belajar berkomunikasi dengan orang ramai, membina keyakinan diri dan memahami nilai usaha dalam mencari rezeki.

Usaha Keluarga Bantu Bina Masa Depan
Kakaknya, Haziqah Azman, menjelaskan bahawa gerai air tembikai tersebut diusahakan secara bersama sejak awal tahun dengan bantuan adik-beradik lain. Gerai kecil itu beroperasi di tepi jalan kawasan kediaman mereka.
Bagi keluarga ini, perniagaan tersebut bukan semata-mata untuk meraih keuntungan. Sebaliknya, ia adalah satu latihan hidup buat Zufar yang kini hampir menamatkan alam persekolahan.
“Adik saya tidak dapat mengira dengan baik, jadi kami bimbang jika dia terdedah kepada situasi yang boleh dimanipulasi. Sebab itu kami gunakan konsep bayaran ikhlas supaya lebih selamat dan mudah,” jelasnya.
Kata-kata itu jelas menggambarkan keprihatinan keluarga terhadap masa depan Zufar. Mereka tidak hanya melihat kekurangan yang ada, sebaliknya berusaha mencari jalan agar dia tetap diberi ruang untuk belajar, mencuba dan membina kehidupan sendiri.
Bayar 10 Sen Pun Tetap Diterima
Difahamkan, jualan harian air tembikai tersebut boleh mencecah sekitar 50 cawan sehari dan meningkat sehingga 100 cawan pada waktu tertentu seperti musim persekolahan serta bulan Ramadan.
Namun begitu, jumlah jualan tetap bergantung kepada keadaan cuaca dan kehadiran pelanggan. Ada hari jualan memberangsangkan, ada juga hari yang perlahan terutama ketika hujan.
Apa yang lebih menyentuh hati, walaupun ada pelanggan yang membayar serendah 10 sen atau 50 sen, keluarga Zufar tetap menerima dengan hati terbuka tanpa sebarang rungutan. Bagi mereka, setiap bayaran adalah rezeki. Lebih daripada itu, pengalaman berniaga inilah yang menjadi hadiah paling bermakna buat Zufar kerana dia dapat belajar tentang kehidupan sebenar.
Malah, ketika jualan kurang mendapat sambutan, keluarga ini memilih untuk melakukan kebaikan dengan mengagihkan minuman secara percuma di masjid sebagai satu bentuk sedekah.

Berdepan Cabaran Kesihatan
Di sebalik semangatnya berniaga, Zufar turut berdepan cabaran kesihatan. Dia kini menerima pemantauan kesihatan berikutan masalah kencing manis, darah tinggi dan obesiti.
Selain itu, Zufar juga perlu bergantung kepada rawatan dan ubat-ubatan secara berkala. Namun, segala cabaran itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus belajar berdikari.
Apa yang membuatkan ramai sebak, Zufar pernah menyatakan hasratnya yang cukup sederhana tetapi penuh makna, iaitu mahu menjaga ibu dan ayahnya terlebih dahulu sebelum memikirkan masa depan diri sendiri.
@zufar.azmanZufar nak mohon maaf. Maaf kerana Zufar bukan penjual yang sempurna. Ada masa Zufar lambat faham apa yang pelanggan cakap. Ada masa Zufar mengambil masa yang lama untuk menyiapkan pesanan sebab Zufar nak pastikan semuanya elok dan sempurna untuk kalian. Otak Zufar tak sama dengan orang lain. Ia bekerja dengan caranya yang tersendiri — cara yang orang panggil Specific Learning Disability. Membaca itu susah bagi Zufar. Mengira itu berat bagi Zufar. Itulah sebabnya Zufar tidak menetapkan harga. Zufar serahkan kepada keikhlasan hati kalian — bayar apa yang kalian rasa mampu, bayar apa yang datang dari hati yang tulus. Bukan kerana Zufar tidak menghargai hasil titik peluh ini. Tapi kerana Zufar percaya — hati yang ikhlas itu lebih berharga dari mana-mana nombor yang Zufar tidak mampu nak tentukan sendiri. Tapi kemudian… Zufar teringat kalian. Teringat yang datang dan hulurkan pembayaran dengan senyuman ikhlas tanpa memandang rendah pada Zufar. Teringat yang doakan Zufar dalam komen dengan kata-kata yang buat hati Zufar sebak. Teringat yang share video Zufar supaya lebih ramai tahu tentang perjuangan kecil ini. Teringat yang pandang mata Zufar dan cakap dengan penuh ikhlas, “Bagus Zufar, teruskan.” Dan air mata Zufar hampir jatuh setiap kali Zufar terkenang semua itu. Bukan sebab sedih. Tapi sebab terharu sangat dengan manusia-manusia baik yang Allah hantar dalam perjalanan hidup Zufar yang penuh cabaran ini. Terima kasih kepada yang mendoakan Zufar dalam solat kalian. Doa kalian itu yang buat Zufar bangun setiap pagi walaupun kaki rasa berat dan hati penuh keraguan. Terima kasih kepada yang hulurkan infak dan sokongan dengan hati yang lapang. Setiap kebaikan yang kalian berikan, Zufar jadikan bahan bakar semangat untuk terus berdiri di sini, di gerai kecil ini, di bawah panas terik ini. Terima kasih kepada yang faham bahawa Zufar bukan tidak mahu sempurna. Zufar hanya tidak mampu untuk sempurna. Dan kalian terima Zufar seadanya — dan itu, adalah hadiah paling berharga yang pernah Zufar terima dalam hidup ini. Zufar sebenarnya sedang berdoa. Moga Allah balas semua kebaikan kalian. Moga setiap titis keikhlasan kalian menjadi cahaya di hari yang gelap nanti. Dari Zufar, dengan hati yang patah tapi tidak putus… Maafkan Zufar. Dan terima kasih, dari lubuk hati yang paling dalam. 🤲🍉💚 Aamiin Ya Rabbal Alamin.
Kisah Muhammad Zufar Azman Terima Sokongan Netizen
Sejak kisah Zufar tular, ramai netizen tampil memberikan sokongan. Ada yang datang membeli air tembikai, ada juga yang menghulurkan sumbangan berbentuk infak bagi membantu kelangsungan perniagaan kecil tersebut.
Rata-rata masyarakat turut menyatakan rasa kagum terhadap semangat juang remaja ini yang tetap berusaha mencari rezeki secara jujur walaupun berdepan kekangan pembelajaran.
Di ruangan komen media sosial, ramai menitipkan doa agar urusan Zufar dan keluarganya terus dipermudahkan. Tidak kurang juga yang berharap lebih banyak pihak tampil memberi sokongan kepada usaha murni remaja ini.
Kisah Muhammad Zufar Azman membuktikan bahawa kekurangan bukan penghalang untuk berusaha. Dengan kasih sayang keluarga dan sokongan masyarakat, segelas air tembikai yang dijual seikhlas hati mampu membawa mesej besar tentang cinta, ketabahan dan rezeki yang penuh keberkatan.
BACA LAGI : Tawan Tujuh Gunung Tertinggi Pada Usia 5 Tahun. Anak Ni Disleksia, Namun Cukup Luar Biasa!
Sumber : Berita Harian dan Tiktok @zufar.azman
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di




