
Pelakon dan usahawan terkenal, Rozita Che Wan atau lebih dikenali sebagai Che Ta, memilih untuk tidak terlalu mencampuri urusan rumah tangga anak sulungnya, Ammar Effendy bersama isterinya, Auni Yasmin.
Bagi Che Ta, setiap pasangan yang baru mendirikan rumah tangga perlu diberikan ruang untuk membina kehidupan sendiri tanpa terlalu banyak campur tangan daripada keluarga. Pendekatan itu, menurutnya, mampu membantu mereka belajar memikul tanggungjawab serta menyelesaikan setiap cabaran bersama.

Malah, pelakon berusia 53 tahun itu berseloroh menyifatkan dirinya sebagai seorang ibu mentua yang santai dan tidak banyak kerenah.
“Saya mak mentua dari syurga. Saya jenis yang okay sahaja. Sepanjang mereka kahwin, baru hujung minggu ini mereka balik rumah saya.
Tapi saya pula tak ada di rumah, Ammar pun sibuk dengan kejohanan golf,” katanya.
Rozita Che Wan Mahu Jadi Ibu Mentua ‘Chill’
Menurut Rozita Che Wan, sikap santainya sebagai ibu mentua banyak dipengaruhi oleh layanan yang diterimanya daripada bekas ibu mentua suatu ketika dahulu.
Beliau mengakui pengalaman itu mengajarnya bahawa hubungan yang baik antara mentua dan menantu boleh dibina melalui sikap saling menghormati serta tidak membebankan antara satu sama lain.
“Saya mak mentua yang ‘chill’ sebab bekas mak mentua saya dulu sangat ‘chill’. Dia ada pembantu rumah, kita nak basuh pinggan pun dia kata tak apa, biar pembantu yang buat,” ujarnya.
Disebabkan pengalaman tersebut, Rozita Che Wan tidak pernah menetapkan sebarang syarat atau peraturan kepada Auni apabila menantunya itu berkunjung ke rumah.
“Kalau cuti, nak bangun lambat, bangunlah. Tak ada apa pun nak buat di rumah saya.
Saya cuma buat apa yang saya rasa seronok dulu. Kalau suami tak ada, nak masak ke tak nak masak, nak tidur sampai lambat pun tak ada masalah,” katanya.

Rozita Che Wan Lebih Banyak Menasihati Anak Lelaki
Dalam pada itu, Rozita Che Wan berkata beliau lebih banyak memberikan nasihat kepada Ammar berbanding menantunya kerana percaya seorang suami memainkan peranan penting dalam menentukan kebahagiaan rumah tangga.
Sebagai seorang wanita, beliau memahami perkara yang diharapkan oleh seorang isteri daripada pasangannya dan berharap anak lelakinya sentiasa menghargai serta melayani isteri dengan baik.
“Saya perempuan, jadi saya tahu apa yang kita nak dalam rumah tangga.
Saya nasihat Ammar, kalau perangai macam ‘makhluk hampas’, macam mana nak dapat isteri syurga? You kena bagi syurga, baru you dapat syurga,” katanya.
Beliau turut memuji Auni yang disifatkan sebagai seorang menantu yang baik dan mempunyai nilai kekeluargaan yang tinggi.
“Alhamdulillah, Auni budak baik. Yang saya tahu mereka pun solat Subuh berjemaah,” ujarnya.
Sebak Melihat Bilik Anak Kosong
Walaupun kelihatan tenang ketika menyampaikan ucapan pada majlis perkahwinan Ammar, Rozita Che Wan mengakui perasaan sebenar hanya hadir selepas anaknya berpindah ke rumah sendiri.
Menurutnya, suasana rumah terasa berbeza apabila bilik yang selama ini dihuni Ammar kini kosong.
“Masa bagi ucapan saya tak sebak lagi. Tapi bila mereka dah kahwin, tiap-tiap malam rasa macam nak menangis sebab tengok bilik Ammar kosong.
Selama 30 tahun dia duduk dengan saya,” katanya.
Hubungan Mentua Dan Menantu Perlu Dibina Dengan Hormat
Terdahulu, Ammar Effendy mendirikan rumah tangga bersama Auni Yasmin pada 26 Jun lalu. Ammar kini bertugas sebagai pegawai di sebuah institusi perbankan, manakala Auni bekerja dalam bidang pemasaran di sebuah syarikat swasta.
Bagi Rozita Che Wan, hubungan baik antara ibu mentua dan menantu tidak memerlukan banyak syarat. Sebaliknya, ia terbina melalui sikap saling menghormati, memberi ruang kepada pasangan membuat keputusan sendiri serta sentiasa mendoakan kebahagiaan mereka.
BACA LAGI : Che Ta Bukan Mak Mentua Cerewet – “Nanti Menantu Takut Nak Balik Rumah Kita”
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di




