Apa mak ayah nak buat waktu anak masih kecil? Selain lapangkan masa untuk bermain dengan anak, belajar untuk merangsang perkembangan otak anak semasa anak umur 6 tahun ke bawah adalah hadiah terbaik buat mereka.
Menurut Pediatric Occupational Therapist, BEYOND Home Therapy , Selayang, Puan Maryam Jamadi, 90% perkembangan otak adalah semasa umur 6 tahun ke bawah. Ramai mak ayah ingat, nak rangsang otak anak banyakkan:
– Main flash card
– Baca buku banyak-banyak
– Hantar kelas siang dan malam
– Pergi tuisyen
Sebenarnya, nak rangsang otak (kognitif) anak tak perlu pun keluar modal besar. Hanya bermodalkan masa dan perhatian kita kepada anak sahaja.
CARA RANGSANG OTAK ANAK MENGIKUT UMUR
0 HINGGA 2 TAHUN
– Pembelajaran menggunakan sistem deria dan pergerakan fizikal.
IKLAN
Tips saya:
1. Banyakkan rangsangan deria dan pergerakan untuk anak belajar tentang persekitaran.
Boleh rujuk artikel saya “Nak Anak Bijak”.
2. Normal anak nampak terlebih aktif semasa di tahap ini sebab setiap pergerakan adalah pembelajaran bagi anak.
Saya lebih risau bila anak tak banyak bergerak dari anak banyak bergerak
✅ EXPERIMENT
✅ EXPLORATION
✅ EXPERIENCE
3. Selagi “tangki” keperluan rangsangan deria dan pergerakan anak tak penuh, selagi itu anak akan susah fokus duduk setempat. Selagi anak tak puas masukkan benda dalam mulut, selagi itulah anak tak akan berhenti.
4. Fasa ini, disarankan anak belajar sambil bermain.
Anak 2 tahun ke bawah tak akan cepat bosan sebab waktu ini semua yang anak nampak adalah “mainan” bagi mereka melainkan mak ayah yang membosankan.
5. Rangsang minat anak dahulu sebelum fokus aktiviti membaca atau mengira.
Setiap anak berbeza, tak salah untuk mak ayah ajar anak awal tetapi pastikan perkembangan yang lain normal dan anak menunjukkan minat terhadap aktiviti membaca dan mengira.
IKLAN
2 HINGGA 6/7 TAHUN
– Mula menggambarkan dan merancang pergerakan atau aktiviti.
– Anak juga sudah mula belajar sesuatu melalui bahasa dan pertuturan tetapi dalam masa yang sama mereka masih tidak boleh menapis maklumat yang diterima lagi.
– Belum boleh berfikir secara logik dan rasional.
– Lakukan aktiviti mengikut kesesuaian umur dan tahap anak.
Tips saya:
1. Banyakkan bercerita dengan anak tentang perkara yang berlaku di sekeliling anak kerana waktu ini anak dah mula boleh belajar melalui bahasa. Konsepnya
Semakin banyak kita bercakap dengan anak
⬇️
Semakin banyak kosa kata yang anak belajar
semakin bagus skil bahasa anak
⬇️
Semakin banyak yang anak boleh faham tentang apa-apa yang berlaku di sekitarnya ⬇️
Semakin berkembang cara pemikiran dan otak anak
2. Jangan paksa anak duduk lama untuk belajar sesuatu sebelum rangsang minat anak nak belajar.
Minat dahulu ➡️ duduk belajar
3. Panjangkan waktu anak perlu habiskan setiap tugasan mengikut umur dan skil fokus anak.
IKLAN
Purata skil fokus, 1 tahun : 3 minit.
Contohnya anak 3 tahun, sepatutnya boleh fokus selama 9 minit. Jika anak boleh fokus lebih lama, lebih baik.
4. Kawal pendedahan gadget dan TV, pastikan rancangan bersesuaian dengan umur anak dan mak ayah menonton TV/gadget bersama-sama anak.
Limit 1 jam sahaja SEHARI.
5. Jika kita faham tahap dan konsep bagi merangsang kognitif anak, tak perlu pun keluarkan modal yang besar untuk mengajar anak. Cukup dengan selalu “membebel” dengan anak pun boleh bantu dalam perkembangan otak anak.
6. Kalau kalian ada latarbelakang dalam apa-apa bidang, jangan lupa dedahkan sahaja ilmu pengetahuan yang kita ada kepada anak.
Kalau anak tanya soalan yang kita tak tahu, tanya sahaja En. Google
Sebenarnya setiap perkembangan ada prosesnya sendiri, jika mak ayah faham konsep pasti mudah nak bantu rangsang perkembangan anak.
Bergelar seorang guru sememangnya mencabar di zaman ini. Justeru guru yang diberi kepercayaan untuk mengajar dan menonjolkan teladan yang baik bagi mencorak pelajarnya menjadi manusia yang penuh kebaikan.
Begitu juga dengan pelajar yang nakal di sekolah. Bukan mudah untuk mendekati mereka terkenal dengan sikap ‘keras kepala’.
Namun bagi guru ini, menggunakan cara tersendiri untuk mendidik anak ini.
Ikuti perkongsian beliau.
__________________________
Cerita dibulan puasa 13 tahun yang lepas, Aku masih bujang, dan kecewa cinta. Maka, aku tak ambil kisah sangat bab berbuka dimana atau berbuka dengan siapa.
Macam biasa, aku berbuka disekolah je. Apa yang ada itulah yang aku makan. Kadang-kadang biskut dengan air masak, kadang-kadang roti dengan susu.
Cuma sekali tu, teringin nak makan ayam percik. Sebelah sekolah ni, ada lah bazar Ramadan. Tak besar mana, tapi adalah dalam 10 gerai. Aku start motor dan terus nak menuju ke sana, tapi sampai sahaja aku ke pintu pagar sekolah.
Sarjan tahan aku, oh ya Sarjan ni panggilan hormat kami pada Pak Noh, pengawal keselamatan kami. “Cikgu! Ni ha, ada seorang budak tak balik lagi. Bapa dia tak ambil lagi, dah nak dekat berbuka ni”, terang Sarjan. Aduh! Macam mana boleh bapa dia tak ambil lagi ni? Dah nak jam 7, magrib pun tak lama lagi.
MURID YANG NAKAL
Anak murid aku dari kelas 6 Raya, jenis yang ‘keras’ sikit budaknya hahaha kena ‘keras’ jugalah cara nak mengajarnya.
“Amirul, ayah awak biasa ambil jam berapa?”, soal aku pada sesusuk tubuh yang tunduk segan-segan dipondok menunggu. “Selalu lewat, tapi taklah lewat macam ni. Ayah ambil mak dulu kot cikgu”, jelas Amirul. “Oklah, macam ni. Kita cuba telefon ayah awak dulu”.
“Saya dah cuba telefon cikgu, tak dapat. Masuk voice mail”, sampuk Sarjan lagi sambil tunjukkan rekod panggilan yang telah dibuat kepada ku. “Hmmm.. meh ikut cikgu pergi bazar. Kita beli juadah berbuka sementara menunggu ayah awak sampai. Mungkin telefon dia habis baterilah kot”.
Tanpa berlengah, aku bawa Amirul ke bazar. Pilih yang mana berkenan dan bayar. Kami belikan sekali Sarjan juadah berbuka, walaupun tahu dia dah siap-siap bawa bekal dari rumah.
Hari tu, kami bertiga berbuka di pondok menunggu bas. Sambil makan, sambil gelak-gelak mendengar lawak hambar aku dan Sarjan. Amirul cuma tersenggeh-senggeh mendengar apa yang dibualkan kami.
Tak lama lepas berbuka dan selesai solat magrib, barulah ayah Amirul tiba. Dia minta maaf sangat-sangat sebab lambat ambil anaknya itu. Katanya, dia masuk ke Singapura menghantar penumpang. Sesak bila nak masuk balik ke Johor. Oh, baru aku teringat yang ayah Amirul ni bekerja sebagai pemandu teksi.
SIKAP BERUBAH
Sejak dari hari tu, Amirul ni jadi segan dengan aku. Tak pandai melawan atau berani tak siapkan kerja Bahasa Inggeris yang aku beri dalam kelas.
Kau nampak kan? Walau sekeras-keras mana hati anak-anak ni. Bila diberi kasih dan sayang, bila dititip kata-kata yang lembut, Tuhan akan balikkan hati mereka.
Apa yang aku buat dahulu dan akan teruskan, adalah demi anak-anak aku. Semoga Tuhan kurniakan insan-insan yang boleh mendidik dan menjaga anak-anak aku, sama ada tika aku masih bernyawa atau pergi menemui Pencipta nanti. Salam Aidil Fitri, dan Terima kasih cikgu! *aku rindu murid sebenarnya ni.. rindu sekolah.. rindu nak mengajar.
Kadang-kadang tanpa sedar, kita anggap apa salahnya salin baju depan anak kecil. Kita rasa biasa kerana anak masih lagi kecil. Disebabkan itulah kita tanpa rasa segan silu menukar pakaian depan anak-anak. Jangan biasakan!
Kenapa tak elok ibu ayah salin baju depan anak dan apa kesannya? Ikuti perkongsian Kaunselor Keluarga, Tuan Haji Hushim Salleh.
Kadang-kadang mak ayah tanpa kita sedar kita adalah sebagai contoh pada anak-anak. Sebenarnya dalam Islam pun kita ada disebut kita kena jaga aurat kita depan anak-anak.
Anak-anak walaupun masih kecil dan tak berapa faham sangat tapi kita masih tetap kena jaga aurat kita sebab ia tidak digalakkan dalam Islam.
Kenapa tak bagus salin baju depan anak?
Misalnya kalau tukar baju depan anak, kemungkinan ada aurat kita yang terdedah dan anak-anak akan melihatnya.
Anak-anak di bawah 10 tahun walaupun masih belum punya nafsu misalnya namun dengan dunia sekarang dan dengan pelbagai kartun yang tidak sihat yang dilihat anak-anak, dimana dalam kartun itu sendiri tanpa disedari anak-anak menonton benda yang tak sepatutnya, terutama yang tidak menutup aurat.
Dalam masa yang sama pula, kita sebagai mak ayah mendedahkan aurat kita depan mereka. Ini sebenarnya perkara yang tidak sihat.
Sebaiknya lihat sekeliling dahulu dan bila anak tiada barulah mak ayah dengan selesanya salin pakaian. Jadikan ini kebiasaan.
Dalam psikologi sendiri, biasanya pemerhatian dan penglihatan ini akan mempengaruhi pemikiran kita.
Kalau kita baca Quran hari-hari, bila tak baca rasa rindu. Macam itu juga dengan kanak-kanak, bila dia melihat benda yang tak sepatutnya di rumah, bila di sekolah berkemungkinan dia cenderung terhadap sesuatu yang dilihatnya.
Sebaiknya jangan tukar pakaian depan anak-anak, tak kiralah sama ada di dalam bilik atau di ruang tamu. Jagalah aurat kita dan jadikan model pada anak-anak.
Supaya anak bila membesar menjadi anak dengan akhlak yang baik. Kita jaga akhlak kita depan anak-anak, Allah jaga keluarga kita.
Seringkali kita dengar, “gagal sekali tak bermakna, gagal selama-lamanya.” Ini kerana setiap kejayaan seseorang individu yang kita lihat hari ini, pastinya bermula dengan beribu episod kegagalan. Begitulah kisah yang dialami oleh seorang lelaki bernama Prof Dr Bustam Kamri yang merupakan Dekan di Sekolah Sains Sosial, International College of Yayasan Melaka (ICYM). Pernah gagal SPM 2 kali dan STPM 7 kali tetapi akhirnya menjadi rakyat malaysia pertama miliki kelulusan tertinggi luar negara bidang pengajian awal kanak-kanak sungguh inspirasi! Ikuti hasil temubual Majalah Keluarga mengenai perjalanan suka duka lelaki yang mempunyai impian yang tinggi dalam hidupnya.
Merupakan rakyat Malaysia pertama mempunyai kelulusan tertinggi luar negara dalam bidang pengajian awal kanak-kanak.
Merupakan anak penoreh getah di kampung, hidup beliau pernah dicabar dengan kesusahan termasuk menduduki peperiksaan SPM sebanyak dua kali dan STPM tujuh kali. Walaupun pada awalnya memilih untuk menceburi bidang perniagaan, namun tidak berjaya. Kini beliau mampu tersenyum dengan kejayaan dalam bidang akademik yang diceburinya yang sering menjadi rujukan masyarakat dalam bidang kepakarannya.
Beliau sangat berpengalaman luas dalam pendidikan prasekolah, kedoktoran dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak dari University of Massachusetts. Beliau memegang ijazah The Professional Childcare Qualification (Infant, Todler and Preschool) oleh The Commonwelth of Massachusetts Office of Child Care, USA. Lebih istimewa, merupakan rakyat malaysia pertama miliki kelulusan tertinggi luar negara dalam bidang Pengajian Awal Kanak-Kanak.
Dalam pada itu, Prof Dr Bustam juga sering diundang untuk membentang kertas kerja, menulis rencana buku-buku berkaitan prasekolah. Dengan segala kepakarannya, beliau merupakan rakyat Malaysia pertama mempunyai kelulusan tertinggi luar negara dalam bidang pengajian awal kanak-kanak.
Bukan pelajar pandai
Sejak di bangku sekolah lagi beliau bukanlah merupakan pelajar cemerlang dan setiap peperiksaan besar yang beliau duduki pastinya memberikan keputusan yang menghampakan.
“Keputusan peperiksaan SPM saya memang mengecewakan. Ada subjek yang tak lulus. Memang sedih tengok orang lain berjaya. Tetapi semangat ingin mencuba apabila melihat kejayaan orang lain dan keinginan menebus kesilapan lalu.
“Ketika itu, hanya kejayaan menerusi pendidikan merupakan salah satu cara yang boleh mengubah kehidupan masa depan. Bagaimana pun kena ada keyakinan diri penting biar pun berkali-kali menduduki peperiksaan. Percaya kejayaan akan diperolehi jika tabah mencuba,” ujarnya mengimbau kenangan persekolahannya.
Gagal SPM
Kegagalan adalah titik perubahan bagi semua orang yang memberi peluang kedua atau membetulkan diri semula untuk tampil lebih yakin dan berjaya.
“Setelah keputusan SPM mengecewakan, saya membantu ibu bapa di kebun getah. Setiap pagi saya akan menolong menguruskan kebun. Sehingga suatu hari, saya terfikir sampai bila saya akan jadi penoreh.
“Perasaan memang berat hati. Tak akan saya akan menjadi penoreh getah selama-lamanya. Keputusan teruk! Bahasa Inggeris, Matematik, Sains saya gagal. Subjek lain cukup makan aje. Nak mintak kerja pun tak layak. Ia cabaran buat saya. Orang yang berjaya dihargai. Orang yang tidak berjaya sebaliknya. Jadi ketika ini hati kena cekal. Sebenarnya, kegagalan inilah yang menjadi pendorong.
“Sebelum itu, saya saya cuba berniaga kain di pasar pagi disekitar daerah Temerloh Pahang. Ketika itu saya mengikut bapa saudara berniaga. Kesudahannya, bidang perniagaan tidak sesuai dengan jiwa saya. Ketika inilah perasaan rasa bersalah dalam diri menguasai. Saya mula terfikir bahawa kecemerlangan akademik sahaja yang dapat mengubah nasib saya.
“Lantas mengambil peperiksaan di sekolah persendirian untuk kali ke dua SPM. Saya lulus SPM dengan pangkat tiga buat kali kedua itu. Keputusan SPM kedua cukup makan aje untuk melayakan saya mengambil STPM,” ceritanya lagi.
STPM 7 kali demi bergelar mahasiswa
Mahu mengubah nasibnya, Prof Dr Bustam mengambil keputusan untuk menduduki peperiksaaan STPM. Namun nasib tidak menyebelahinya setiap kali menduduki STPM, beliau menemui kegagalan sehingga tujuh kali! Keputusannya itu tidak melayakkannya untuk mendapat tempat di universiti tempatan.
Beliau tidak menafikan malu dengan kawan-kawan dengan keputusan STPM. Namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk berjaya.
“Memang saya malu dengan kawan-kawan. Asyik mengulang STPM sampai tujuh kali. Tetapi saya nekad untuk belajar dan berjaya. Saya berpegang pada prinsip hidup supaya jangan mudah putus asa.
“Hanya menggunakan keputusan cemerlang STPM sahaja yang melayakkan seseorang itu memasuki universiti. Ketika itu, saya sedar bahawa dengan pelajaran yang cemerlang sahaja dapat membantu kehidupan baik. Rakan-rakan sudah bekerja, saya pula baru nak masuk universiti pada usia 30 tahun. Saya sentiasa membaiki diri. Sebab matlamat saya nak masuk university. Saya target untuk mendapat A, barulah boleh masuk universiti. Jika saya tidak mencuba, sebanyak tujuh kali, saya mungkin tidak berada disini. Inilah ujian bagi saya!
“Sebelum berjaya, saya belajar di kelas persendirian dan pada masa yang sama bekerja untuk mengambil peperiksaan STPM. Saya buat kerja sampingan seperti main boneka di perpustakaan, majlis sambutan hari jadi dan juga pusat membeli belah untuk tambah pendapatan.
“Dalam pada itu, saya mencuba nasib memohon maktab perguruan dan diterima. Ketika ini, guru lulusan STPM bergaji rendah dalam RM275.00. Namun dengan gaji serendah itu amat sukar untuk meneruskan kehidupan di Kuala Lumpur. Saya tinggal di rumah setinggan. Saya berfikir tak saya nak hidup begini selama-lamanya. Saya nak menjadi orang yang berilmu,” jelasnya.
Malah beliau pernah bekerja sebagai boneka jalanan selama lima tahun bagi menyara kehidupan ketika menuntut di Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK), Cheras di samping untuk menghiburkan masyarakat khususnya kanak-kanak. Dalam pada itu, beliau juga turut diundang bagi menjayakan siri rancangan boneka di beberapa stesen televisyen tempatan termasuk TV1 dan TV3.
Kejayaan masih ada walaupun pernah gagal
Apabila ditanya mengenai peluang kedua kepada mereka yang mengalami kegagalan. Beliau berpendapat, setiap yang mengalami kegagalan pasti akan menemuai kejayaan.
“Kita mesti yakin untuk berjaya. Jangan putus asa untuk mencuba. Kisah saya ini, misalnya. Jika saya berputus asa menduduki peperiksaan SPM kali pertama tanpa mencuba kali ke dua, saya tidak mungkin diterima masuk ke maktab perguruan ketika itu.
Jika saya berputus asa menduduki peperiksaan STPM kAli ke tiga atau ke lima tanpa mencuba hingga kali ke tujuh maka saya tidak akan menjejaki kaki di universiti dan tidak akan jadi seperti hari ini,” ujarnya.
Tambahnya lagi, kebanyakkan pelajar salah tanggapan dengan kegagalan atau keputusan SPM yang tidak menyerlah menjadi aras untuk kecewa dan berputus asa meneruskan pengajian. Hakikatnya cara ini salah, Banyak laluan kerjaya yang boleh dilakukan dengan memilih aliran vokesional.
“Kini terdapat banyak bidang vokesional yang ditawarkan selain kerjaya menerusi bidang akademik. Namun, pemilihan haruslah mengikut kemampuan diri dan minat bukan mengikut kawan. Lihat kepada kekuatan pada diri kita. Jika kita tak bagus geografi, kita score subjek lain. Ingatlah, bahawa setiap kita sebenarnya ada pontensi pada diri. Perlu berubah dan berani mencuba berkali-kali untuk mencapai kejayaan,” nasihatnya.
Kenangan ketika melanjutkan pelajaran di luar negara
Kelayakan Akademik
-Doctor of Education (Early Childhood Education) University of Massachusetts, USA
-Master of Sciences (Early Childhood Education) Southern Connecticut State University, USA
-Professional Child Care Qualification (Infant, Toddler and Preschool) The Commonwelth of -Massachusetts Office of Childcare, USA
-Bachelor of Education (Teaching Malay as First Language) (Universiti Pertanian Malaysia)
-Sijil Guru (Maktab Perguruan Ilmu Khas)
*IKUTI KISAH SELANJUTNYA DALAM MAJALAH KELUARGA ISU JANUARI 2019