Penyanyi Shila Amzah, 33, selamat bergelar isteri kepada pempengaruh media sosial, Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli atau Ubai, 25, dalam majlis pernikahan yang berlangsung di Boathouse Ampang, di sini, hari ini.
Tepat jam 10.27 pagi, dengan sekali lafaz mereka sah bergelar suami isteri. Pasangan terbabit dinikahkan bapa Shila, Datuk Amir Amzah atau ND Lala di hadapan Penolong Pendaftar Perkahwinan merangkap Imam Satu Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak, Ampang, Selangor, Ustaz Mohamad Khairi Hussein.
Pada majlis itu, Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah menerima mas kahwin sebanyak RM20,000 manakala hantaran dirahsiakan.
Majlis akad nikah bertemakan rona putih itu dihadiri kira-kira 250 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga kedua-dua belah pihak serta rakan-rakan artis.
Pasangan ini saling mengenali sejak 2011. Hubungan mereka akrab sekitar 2014 dan menjadi semakin rapat sejak tahun lalu serta mengambil keputusan bertunang pada 27 Mei lalu.
Shila berkata, dia merasa bersyukur dan gembira apabila mereka kini bergelar pasangan suami isteri.
Ads
“Alhamdulillah ..syukur ke hadrat Ilahi atas kelancaran majlis ini. Kami berharap agar pernikahan ini menjadi satu ikatan abadi yang diberkati Allah SWT, insya Allah.
“Harapan saya semoga kami dapat menjalani bahtera perkahwinan ini sebaiknya dan saling sayang menyayangi hingga ke Jannatul Firdaus, mudah-mudahan.
“Apa yang paling penting sekarang ini adalah kami dapat menjaga anak (Seth Uwais) dengan penuh kasih sayang,” katanya.
Ubai pula mengakui sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami dan bapa.
Ads
“InsyaAllah saya sudah bersedia dan akan menjadi suami dan ayah yang terbaik untuk Shila dan Seth.
“Doakan semoga ikatan perkahwinan kami terus mekar dan kekal sehingga ke akhir hayat,” katanya.
Pasangan mempelai yang cantik mengenakan pakaian rekaan Zaimi Zulkafli ini belum mempunyai perancangan untuk berbulan madu memandangkan kedua-duanya sibuk bekerja.
Ads
“Disebabkan kekangan kerja dan menguruskan hal peribadi keluarga, kami belum memilih lokasi berbulan madu. Namun mungkin akan ada percutian pendek di dalam negara terlebih dahulu,” kata mereka.
Pasangan ini akan mengadakan dua majlis resepsi yang akan diadakan secara sederhana membabitkan ahli keluarga, rakan-rakan artis, rakan kongsi dari pelbagai negara.
Terdahulu, Shila bercerai dengan bekas suami, Haris Idraki pada 8 Februari 2022 selepas empat tahun berkahwin.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki Seth Uwais.
Apabila datangnya bulan Ramadan pelbagai persoalan yang timbul dalam pelbagai aspek. Ia termasuk mengenai pergaulan dengan pasangan ketika bulan puasa.
Menerusi sebuah laman maktabahalbakri.com menjelaskan persoalan mengenai hubungan suami isteri yang memberi ciuman mesra ketika bulan puasa.
Nak tahu lanjut, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri. ada penjelasannya.
Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Adakah seorang suami dibolehkan untuk tidur sebelah isterinya berpelukan pada siang hari Ramadhan? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan riwayat daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُقَبِّلُ إِحْدَى نِسَائِهِ وَهُوَ صَائِمٌ
Maksudnya: “Rasulullah SAW mencium salah seorang isteri Baginda dalam keadaan Baginda sedang berpuasa.”[1]
Begitu juga dalam riwayat Aisyah R.Anha yang lain, beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُقَبِّلُ وَهُوَ صَائِمٌ وَيُبَاشِرُ وَهُوَ صَائِمٌ وَلَكِنَّهُ كَانَ أَمْلَكَ لإِرْبِهِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW mencium (isterinya) dalam keadaan Baginda sedang berpuasa. Baginda juga bermesra-mesraan (dengan isterinya) dalam keadaan Baginda berpuasa, akan tetapi Baginda ialah orang yang paling kuat menahan syahwatnya.”[2]
Secara umumnya, perbuatan bermesraan sesama suami isteri adalah suatu perkara yang menjadi lumrah dalam kehidupan rumah tangga. Berdasarkan hadith-hadith di atas, kita mengetahui bahawa Rasulullah SAW juga mencium dan bermesra-mesraan dengan para isteri Baginda.
Berbalik kepada soalan yang diajukan, Imam al-Nawawi menyebutkan dalam kitabnya bahawa dihukumkan sebagai makruh bagi sesiapa yang bercumbuan dalam keadaan dia sedang berpuasa jika terangsang syahwatnya dan tidak dihukumkan sebagai makruh bagi selainnya — yang mampu mengawal nafsunya. Namun, yang utamanya adalah meninggalkan perbuatan tersebut.
Begitu juga tidak ada beza antara orang tua dan orang muda kerana perkara yang diambil kira ialah terangsang syahwat dan dikhuatiri keluarnya air mani. Dalam erti kata lain, jika seorang tua ataupun muda itu kuat untuk terangsang syahwatnya, maka hukumnya adalah makruh, dan jika tidak terangsang syahwatnya, maka hukumnya tidak makruh.
Akan tetapi yang utamanya meninggalkan perbuatan bercumbuan itu, tidak kira mencium pipi, mulut atau selainnya. Begitu juga perbuatan bermesra-mesraan dengan tangan dan berpelukan, hukumnya adalah sama dengan hukum bercumbuan.
Kemudian, hukum makruh yang dimaksudkan bagi sesiapa yang terangsang syahwatnya ialah makruh tahrim. Ini merupakan pendapat pengarang al-Muhazzab, al-Qadhi Abu al-Tayyib, al-‘Abdari dan lain-lain ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i. Manakala sebahagian lagi pula berpendapat, hukum makruh di sini ialah makruh tanzih selagi mana tidak keluar air mani. Inilah pendapat yang disahihkan oleh al-Mutawalli. Namun, al-Rafi‘i dan selainnya menyebutkan, pendapat yang paling sahih ialah makruh tahrim. Selain daripada itu, apabila seseorang itu berciuman dan tidak keluar air mani, maka puasanya tidak terbatal tanpa sebarang khilaf di sisi ulama mazhab Syafi‘i, tidak kira bagi mereka yang berpendapat makruh tahrim atau tanzih.
Keluar Air Mani Batal
Di samping itu, seluruh fuqaha menyebutkan bahawa perbuatan berciuman itu tidak membatalkan puasa melainkan berlakunya inzal (keluar air mani). Oleh itu, sekiranya keluar air mani, maka puasanya batal dan wajib ke atasnya untuk menggantikannya tanpa dikenakan kafarah.[3]
Justeru, difahami bahawa puasanya tidak terbatal semata-mata disebabkan perbuatan berciuman, berpelukan dan bermesraan tetapi disebabkan oleh keluarnya air mani kerana perbuatan itu. Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Umar bin al-Khattab, beliau berkata:
Maksudnya: “Wahai Rasulullah, hari ini aku telah lakukan sesuatu yang berat. Aku telah mencium (isteriku) dalam keadaan aku berpuasa. Maka Baginda SAW menjawab: ‘Apa pendapat kamu sekiranya kamu berkumur-kumur dalam keadaan kamu sedang berpuasa?’”[4]
Imam al-Nawawi ketika mengulas hadith ini menyatakan, Baginda SAW menyamakan perbuatan mencium itu dengan berkumur-kumur. Sesungguhnya telah sabit bahawa jika seseorang itu berkumur-kumur lalu air sampai ke dalam rongganya, maka ia membatalkan puasa, dan sekiranya air tidak sampai ke dalam rongganya, maka ia tidak membatalkan puasanya. Justeru, ini menunjukan bahawa perbuatan berciuman (atau berpelukan) itu adalah sama sepertinya — yakni berkumur-kumur.[5]
Selain itu, Mantan Mufti Besar Arab Saudi juga ada menyebutkan, seorang lelaki yang mencium dan bermesraan dengan isterinya selain daripada jimak, sedangkan dia dalam keadaan berpuasa, kesemuanya itu adalah diharuskan dan tidak mengapa melakukannya kerana Nabi SAW sendiri mencium dan bermesraan dengan isterinya, sedangkan Baginda dalam keadaan berpuasa. Akan tetapi jika dia takut terjatuh ke dalam perkara yang diharamkan oleh Allah SWT disebabkan cepat terangsang syahwatnya, maka perbuatan tersebut adalah makruh. Sekiranya air maninya keluar (kerana perbuatan itu), wajib ke atas dirinya untuk imsak (menahan diri daripada makan dan minum) dan qadha’ (menggantikan puasa) serta tidak diwajibkan kaffarah di sisi jumhur ulama. Adapun keluarnya air mazi tidak merosakkan puasa menurut pendapat yang sahih dalam kalangan ulama kerana hukum asalnya adalah sah dan tidak membatalkan puasa disebabkan kesukaran untuk mengelakkan diri daripadanya.[6]
Kesimpulannya
Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa seorang suami yang tidur disebelah isterinya dalam keadaan berpelukan pada siang hari Ramadhan, hukumnya adalah makruh sekiranya perkara itu menyebabkan syahwatnya terangsang atau dikhuatiri keluarnya air mani, dan tidak mengapa serta tidak makruh jika dia mampu untuk menjaga dirinya daripada hal itu.
Tidak kira dia seorang lelaki tua mahupun pemuda. Namun, adalah lebih baik untuk dia meninggalkan perbuatan berpelukan itu, ketika dia sedang berpuasa kerana hal itu adalah lebih selamat dan keluar daripada khilaf. Begitu juga puasanya tidak terbatal selagi mana tidak keluar air mani. Ini adalah sebagaimana pendapat muktamad dalam mazhab Syafi‘i.
Walau bagaimanapun, jika perbuatan berpelukan atau bermesraan itu menyebabkan keluarnya air mani, maka puasanya adalah terbatal. Dia wajib menggantikan puasa itu dan tiada kafarah dikenakan ke atasnya.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Keluarga Talk: PUASA MENDIDIK JIWA KELUARGA SAKINAH
Bintang Kecil: APA ITU NUZUL QURAN
KELUARGA TALK: Nwan Shah Bin Mohd Dali Fakulti Ekonomi Dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Nak tahu formula mengurus belanjawan keluarga dengan sistematik? Ikuti Keluarga Talk kali ini dengan tajuk ‘ Ringgit Diurus Keluarga Lebih Tenang’ bersama panel Prof Madya Dr Nuradli Ridz
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Solat secara berjemaah di masjid atau surau sememangnya digalakkan untuk semua umat Islam. Sesiapa yang solat di masjid atau surau akan memperoleh banyak manfaat dan kebaikan di dunia mahupun akhirat.
Lebih-lebih lagi sekarang ini dibolehkan untuk solat berjamaah bagi solat fardu dan tarawih nanti, tidak kira lelaki atau wanita masing-masing ingin merebut pahala berjemaah di masjid.
Tetapi, ada pula kes suami lebih tidak benarkan isteri untuk jemaah di masjid. Isteri pula serba salah jadinya. Macam mana tu ya? Nak tahu jawapan lebih lanjut, jom kita ikuti jawapan dari persoalan tersebut oleh Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi saluran portal, Maktabah Al-Bakri.
Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah suami menghalang isteri daripada pergi ke masjid? Mohon pencerahan. Terima Kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, kaum Muslimin dan Muslimat digalakan untuk mendirikan solat fardhu secara berjemaah kerana ganjaran pahalanya sangat besar. Bahkan para fuqaha telah bersepakat bahawa bagi kaum lelaki, solat yang mereka tunaikan secara berjemaah di masjid adalah lebih baik — yakni afdhal — berbanding solat yang dilakukan secara bersendirian di rumah. Manakala bagi hak perempuan pula, solat yang didirikan di rumah mereka adalah lebih baik.[1] Menurut Imam al-Nawawi, bagi kaum perempuan, solat secara berjemaah yang dilakukan di rumah adalah lebih baik berbanding mereka pergi ke masjid. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Janganlah kamu melarang kaum wanita pergi ke masjid, akan tetapi sebenarnya solat di rumah-rumah mereka itu adalah lebih baik bagi mereka.”[2]
Namun, jika mereka tetap juga mahu pergi ke masjid, maka hukumnya adalah makruh jika perempuan tersebut cantik sehingga boleh menarik perhatian kaum lelaki. Begitu juga, dihukumkan makruh bagi suami atau walinya untuk memberi keizinan kepadanya pergi ke masjid. Akan tetapi jika dia telah tua atau lanjut usia serta tiada lagi tarikan — yakni yang boleh menarik perhatian kaum lelaki — maka hukumnya tidak lagi menjadi makruh.[3] Walau bagaimanapun, terdapat sebuah riwayat daripada Yahya bin Sa‘id, daripada ‘Amrah, daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:
Maksudnya: “Jika Rasulullah SAW mengetahui apa yang terjadi dengan kaum wanita sekarang, nescaya Baginda akan melarang mereka keluar ke masjid sebagaimana dilarangnya kaum wanita Bani Israil. Aku bertanya kepada ‘Amrah: ‘Adakah mereka dilarang keluar?’ Dia menjawab: ‘Benar.’”[4]
Oleh itu, difahami daripada hadith ini terdapat sebab lain yang menghalang daripada membenarkan kaum wanita untuk pergi ke masjid sama ada daripada faktor wanita itu sendiri seperti berhias dan memakai wangi-wangian secara berlebih-lebihan, atau faktor luar seperti tidak selamat daripada timbulnya fitnah, jalan yang dilalui tidak selamat atau sebagainya.
Justeru, terdapat dalam kalangan ulama yang meletakkan syarat-syarat atau garis panduan bagi kaum perempuan yang mahu pergi ke masjid, iaitu:
– Tidak memakai wangi-wangian
– Tidak berhias-hias (tabarruj)
– Tidak membunyikan gelang kaki sehingga didengari oleh lelaki ajnabi.
– Tidak memakai pakaian yang boleh menarik perhatian.
– Tiada percampuran antara lelaki dan perempuan.
– Selamat daripada fitnah.
– Jalan yang dilalui selamat dan tidak berbahaya.[5]
Selain itu, terdapat sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Tidak halal bagi seorang isteri berpuasa sunat sementara suaminya berada di sisinya kecuali dengan izin suami. Dan tidak boleh baginya mengizinkan seseorang masuk ke rumahnya kecuali dengan izin suami, dan apa-apa perbelanjaan yang dibelanjakan tanpa perintah suaminya, maka akan diberi separuh pahala kepada suaminya.”[6]
Justeru dapat difahami daripada hadith di atas, bahawa dalam kehidupan suami isteri, ada beberapa perkara keizinan suami diperlukan. Termasuklah dalam perkara tersebut keizinan daripada suami sebelum keluar dari rumah. Malah, Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan, termasuk di dalam nusyuz, seorang isteri yang tidak taat dan tidak patuh kepada suaminya, sebagai contoh keluar rumah tanpa keizinan suaminya tanpa ada sebarang keuzuran yang membenarkannya.[7]
Berbalik kepada soalan yang diajukan, sekiranya seorang isteri meminta izin daripada suaminya untuk pergi mendirikan solat di masjid, sebagai seorang suami yang baik, sepatutnya dia tidak melarang isterinya itu daripada pergi ke masjid, selagi mana memenuhi syarat-syarat yang telah digariskan oleh para ulama seperti selamat daripada fitnah, tidak berhias secara berlebihan dan lain-lain. Malah, terdapat riwayat daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Apabila isteri-isteri kamu meminta izin kamu pada malam hari untuk pergi ke masjid, maka berilah mereka izin.”[9]
Oleh yang demikian, sepatutnya tidak berlaku perkara ini — yakni seorang suami melarang isterinya daripada pergi ke masjid — jika tiada sebarang sebab bagi melarangnya. Sebaliknya, si suami itulah yang sepatutnya membawa isterinya bersama-sama ke masjid bagi mendirikan solat secara berjemaah, di samping merebut fadhilat dan ganjaran yang dijanjikan.
Selain daripada itu, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa disunatkan bagi suami untuk mengizinkan isterinya bagi mendirikan solat secara berjemaah di masjid.
Namun, jika dia tetap melarangnya, hukumnya tidaklah haram — yakni tidak berdosa — menurut pendapat mazhab Syafi‘i. Malah, al-Baihaqi menyatakan, ini adalah pendapat kebanyakan ulama. Adapun larangan atau tegahan yang terdapat dalam hadith di atas adalah bersifat makruh tanzih kerana tanggungjawab seorang isteri untuk sentiasa berada di dalam rumah adalah wajib, maka dia tidak boleh meninggalkan rumah semata-mata dengan tujuan untuk mencari atau mengejar kelebihan-kelebihan yang lain.[10]
Walau bagaimanapun, jika isteri berkehendak untuk pergi ke masjid bagi menuntut ilmu wajib — yakni ilmu fardu ain — maka dalam hal ini, dia tidak perlu mendapatkan keizinan suaminya. Mengenai perkara ini, Ibn Hajar al-Haitami ada menyatakan beberapa keadaan yang membenarkan isteri keluar dari rumah tanpa keizinan suami seperti keluar menemui Qadhi bagi menuntut kembali haknya, keluar bagi menuntut ilmu, atau keluar bagi mendapatkan fatwa sekiranya jawapan daripada suaminya tidak cukup.[11] Tambahan pula, diberikan pengecualian daripada meminta izin dalam soal menuntut ilmu kerana dengan menuntut ilmu seseorang itu dapat mengangkat kejahilan daripada dirinya, lalu dia dapat menunaikan kewajipan — terutamanya yang bersifat fardhu ain yang berkait rapat dengan kewajipan yang dituntut ke atas setiap insan seperti akidah, solat, puasa dan seumpamanya yang melibatkan persoalan asas Islam — dengan penuh keyakinan dan bertepatan sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak. Hal ini bertepatan dengan riwayat daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
طلبُ العلمِ فريضةٌ على كلِّ مسلمٍ
Maksudnya: “Menuntut ilmu suatu kewajipan ke atas setiap Muslim.”[12]
Namun, setelah dia — yakni si isteri — selesai menunaikan keperluannya di luar sebagaimana yang telah dibenarkan oleh syarak, maka dia hendaklah segera pulang semula ke rumah.
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa tidak sepatutnya seorang suami menghalang isterinya daripada sama-sama menghadiri solat berjemaah di masjid, jika syarat-syarat yang digariskan oleh para ulama telah dipenuhi.
Bahkan nas hadith yang sahih juga jelas menunjukkan kepada perkara tersebut — yakni tidak melarang mereka untuk pergi ke masjid. Bukan itu sahaja, sepatutnya seorang suami menunjukkan contoh dan akhlak yang baik iaitu dengan sama-sama menyahut keinginan baik isterinya itu, dengan sama-sama menghadiri solat berjemaah di masjid, jika tiada sebarang aral melintang.
Lebih-lebih lagi mendirikan solat secara berjemaah di masjid mempunyai ganjaran dan fadhilat yang besar buat kaum Muslimin dan Muslimat. Selain itu, buat para suami juga, ingatlah anda, isteri dan anak-anak adalah satu pasukan. Justeru, salinglah sokong menyokong dalam perkara kebaikan.
Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan solat secara berjemaah yang paling baik dilakukan oleh kaum perempuan adalah yang dilakukan di rumah-rumah mereka.
Begitu juga terdapat beberapa pengecualian diberikan buat para isteri untuk keluar dari rumah tanpa izin suami iaitu seperti keluar ke masjid bagi menuntut ilmu atau belajar ilmu wajib dan lain-lain.
Akan tetapi, kami mengambil kesempatan di sini untuk menasihatkan sekurang-kurangnya biarlah ketika keluar itu atas pengetahuan suami dan begitu juga bagi pihak suami, sekurang-kurangnya beritahulah kepada isteri ke mana kita pergi kerana dalam sebuah rumah tangga yang harmoni, komunikasi dua hala itu sangat penting agar pasangan saling memahami apa yang masing-masing inginkan.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen. Wallahua‘lam.
Mama tak marah anak, boleh ke? Kalau tak marah macam mana nak dengar kata? Jom ikuti perkongsian ini!
Nak tahu cara mudah uruskan kewangan keluarga? Semak sini!
Yang mana adik adik ada masalah mata, jangan takut bagitau ibu ayah ye, macam BK squad ni!
Tayang bahagia di social media, realiti ke fantasi? Nak tahu, jom tengok!
Sertai Webinar Keibubapaan PERCUMA anjuran Pa&Ma secara virtual yang menjemput speaker- speaker hebat dalam bidang keibubapaan termasuk Prof Madya Dr Nik Salida, Ibu Rose, Dr Ahmad Rostam, Puan Maryam Jamadi, Puan Azlina Roszly dan Irma Hasmie. Daftar nama di https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-sayang-anak-ketat-ketat/
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Ringkas tapi itulah kata-kata yang sesuai dengan situasi yang dialami oleh pelakon, penyanyi dan usahawan, Tomok baru-baru ini.
Menjelang aidilfitri yang tidak lama lagi, rata-rata orang ramai dah mula mencari barangan terutamanya pakaian untuk menyambut hari raya termasuklah bagi selebriti ini. Namun, dalam keseronokan bersama keluarga membeli belah berlaku sesuatu kejadian yang tidak disangka di mana anak Tomok tertumpahkan cat kuku dan terkena pada pakaian di sebuah kedai pakaian.
Menyedari keadaan tersebut, Tomok cuba untuk bertanggungjawab dengan mahu membayar kesemua baju dan seluar yang terkena cat kuku berkenaan. Namun kesemua pakaian tersebut selepas diskaun, harganya ialah RM5,593.
“Anak saya tertumpahkan kutek. Bukan pada satu tapi pada beberapa helai. Dengan total selepas diskaun RM5,593. Saya minta tolong gais. Jadi saya nak juallah semula, sebab bukan saiz saya. Tak pe saya bayarlah dulu. Saya fahamlah ini memang salah saya. Doakan saya, siapa yang nak beli boleh DM saya. Sehelai RM1,200. InsyaAllah ada rezeki lain untuk saya.” katanya dalam perkongsian di Instagram itu.
Rentetan dari itu, hari ini dalam perkongsian lain Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail telah berkongsi baju dan keluar yang dibelinya itu untuk dijualkan kepada sesiapa yang berminat dengan harga yang murah dari harga asalnya. Malah dia juga turut menunjukkan kesan cat kuku yang terkena pada pakaian tersebut.
Meninjau di ruangan komen, kurang dari satu jam perkongsian tersebut, Tomok telah berjaya menjual kesemua barangan tersebut. Malah ada juga pengikutnya dari kalangan selebriti dan orang ramai turut membantu untuk beli dan mendoakan yang baik-baik buat tomok dan sesiapa yang membeli pakaian tersebut.
Sumber : Instagram tomokofficial
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Lisbon Hotel Melaka menawarkan pengalaman tenang dan mewah di Perkampungan Portugis. Dengan reka bentuk ala Mediterranean, kolam infiniti dan restoran Festa yang eksklusif, ia destinasi ideal untuk percutian keluarga.