“Saya Terima Dengan Sabar, Reda & Syukur.” Nora Ariffin Selamat Bergelar Isteri, Sahabat Arwah Suami Jadi Pilihan!

Share

Penyanyi Datuk Nora Ariffin kini bergelar isteri kepada Dr Rushdi Ramli. Berita gembira tersebut dikongsikan sendiri pelantun Lagu Dipersimpangan Dilema menerusi laman Instagramnya.

Walau bagaimana pun, pemilik nama sebenar Wan Norafizah Ariffin ini tidak menjelaskan secara terperinci mengenai majlis pernikahan tersebut.

“Dengan nama Allah Yang Maha pemurah Lagi Maha Mengasihani. Bersempena dengan malam Jumaat yang merupakan Sayyidul Ayyam, saya dengan rendah hati dan bersyukur ke hadrat Allah SWT ingin memaklumkan bahawa saya kini telah bertemu jodoh dengan seorang hamba Allah yang merupakan sahabat baik arwah Johan sejak dari kecil lagi. Beliau adalah saudara Rushdi Ramli.

“Saya ingin meminta maaf kerana dari awal lagi saya memang berniat untuk tidak menghebah-hebahkan ikatan ini. Cukuplah sekadar melaksanakan perkara wajib dan mengikut hukum sahaja.

“Saya berpegang pada prinsip bahawa perkahwinan adalah satu ibadah dan ianya terlalu peribadi untuk saya kongsikan, bukan ingin bermegah-megah, jauh sekali untuk mencari publisiti. Jodoh, rezeki dan ajal adalah rahsia Allah yang telah ditentukan.

“Saya menerimanya dengan penuh sabar, redha dan syukur. Hanya kebaikan yang saya harapkan,” tulisnya lagi

Dia turut meminta ramai menitipkan doa yang baik-baik berhubung keputusan yang dibuat.

“Saya juga memohon agar semua insan yang mengenali saya dan para peminat, sudi menitipkan doa buat saya mendapat keluarga sakinah mawaddah warahmah, dipermudahkan segala urusan, diberkati, diredhai Allah SWT dunia akhirat, insyaAllah.“Jutaan terima kasih buat anak-anak dan menantu mama yang amat disayangi, adik-beradik tersayang, seluruh saudara mara, sahabat handai, JNSB team, FANORATIK, rakan- rakan media & semua yang telah banyak memberikan doa, semangat, sokongan & nasihat pada saya selama ini.

“Allah saja yang mampu membalas segala jasa baik kalian semua,” tulisnya lagi.

Difahamkan, Dr Rushdi merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul di Universiti Malaya, Kuala Lumpur dan berusia 55 tahun.

Nora sebelum ini mendirikan rumah tangga bersama Allahyarham Johan Nawawi pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata.

Namun, arwah Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung.

Sumber: itsnoraariffin

 

 

 

IKLAN