Seorang murid Tahun Satu kehilangan tangan kiri, manakala adiknya kehilangan kaki kanan selepas digilis lori tanah di susur masuk ke Jalan Persekutuan Sungai Bakap, pagi tadi.
Memetik laporan Harian Metro, kejadian sekitar jam 7.15 pagi itu melibatkan dua beradik berusia lima dan tujuh tahun yang dalam perjalanan ke sekolah dengan menaiki motosikal yang ditunggangi oleh nenek mereka yang berusia lingkungan 50-an.
Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian terdapat sebuah lori membawa muatan tanah mahu keluar dari susur sebelah kiri jalan dan terlanggar motosikal dinaiki tiga beranak berkenaan.
Akibat pelanggaran itu menyebabkan dua beradik terbabit mengalami kecederaan parah di tangan dan kaki, manakala nenek mereka cedera di kepala.
Difahamkan, polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ads
Malah setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan pihak polis berhubung kemalangan itu.
Ads
Sementara itu, Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Seberang Perai Selatan berkata, sepasukan anggota bergerak ke lokasi sebaik menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 7.40 pagi.
“Kemalangan itu membabitkan sebuah motosikal dengan lori yang membawa muatan tanah.
Ads
“Pemeriksaan lanjut mendapati dua mangsa kanak-kanak yang terlibat dalam kejadian itu mengalami kecederaan parah dan mereka dikejarkan ke Hospital Sungai Bakap (HSB) dengan bantuan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM).
“Pihak kami telah memberikan rawatan awal kepada seorang wanita (nenek kepada dua beradik) yang mengalami kecederaan di bahagian kepala sebelum menghantarnya ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya
Terdahulu tular beberapa rakaman video dan gambar berhubung kemalangan tragis itu di media sosial sehingga mendapat perhatian warganet yang mendoakan kesejahteraan tiga beranak berkenaan.
Sumber: Harian Metro
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Anak Amyza Aznan alami ketumbuhan di paru-paru-“Doktor sahkan…lepas anak jalani ujian CT Scan.” Pelakon Amyza Aznan, 50, memberitahu doktor sudah mengesahkan ada ketumbuhan di paru-paru anak sulungnya, Andre Mikhail selepas menjalani ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) di hospital.
Amyza berkata, doktor juga perlu mengambil sampel terlebih dulu untuk mengetahui sama ada ketumbuhan itu adalah kanser ataupun bukan.
“Doktor beritahu selepas buat pemeriksaan X-ray hanya ada sedikit saja bendalir di paru-paru Andre dan selebihnya adalah ketumbuhan.
“Saya faham proses mengambil sampel itu mungkin mengambil sedikit masa kerana anak saya juga sudah 12 hari ditahan di hospital.
“Apapun, saya berharap keadaan penyakit anak saya tidak serius sebab itu pihak hospital memerlukan masa untuk mengambil sampel berkenaan dan saya juga percaya dengan kepakaran doktor di hospital kerajaan,” katanya.
Terdahulu, menerusi hantaran di Instagram, Amyza mohon pengikutnya untuk mendoakan kesembuhan anak sulungnya, Andre yang masih menerima rawatan di hospital akibat bendalir dalam paru-paru.
“Saya hanya mohon doakan kesembuhan untuk anak saya, Andre Mikhail,” katanya.
Ditanya karier lakonannya pula, kata Amyza, dia juga terpaksa berulang alik dari lokasi penggambaran di Melaka untuk menjaga anak sulungnya, Andre Mikhail, 18 tahun yang dirawat di hospital di Ampang.
“Saya memang terbabit dengan penggambaran sejak awal Januari lalu.
“Saya tidak boleh mengelak kerana ia komitmen kerja yang sudah dipersetujui lebih awal sebelum anak sulung saya jatuh sakit.
“Pada masa sama, saya masih harapkan doa daripada semua peminat untuk sama-sama mendoakan segala urusan anak saya di hospital dipermudahkan dan segera sembuh,” katanya.
Yuran tadika, taska naik hingga 25 peratus tahun depan, ibu ayah rancanglah bajet dengan bijak. Yuran taman didikan kanak-kanak (tadika) dan taman asuhan kanak-kanak (taska) seluruh negara dijangka naik antara 20 hingga 25 peratus pada tahun depan.
Kenaikan itu adalah susulan kenaikan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan yang diumumkan kerajaan berkuat kuasa 1 Februari depan.
PERSATUAN TADIKA ISLAM MALAYSIA (PERTIM) DAN PERSATUAN PENDIDIK INSTITUSI PENDIDIKAN NEGERI JOHOR, YANG MENAUNGI PENGUSAHA TADIKA, SELAIN PERSATUAN PENGASUHAN DAN PERKEMBANGAN AWAL KANAK-KANAK BERDAFTAR MALAYSIA YANG MENAUNGI PENGUSAHA TASKA MENGESAHKAN KENAIKAN YURAN PERKHIDMATAN DITAWARKAN KIRA-KIRA 4,500 AHLI MEREKA SUSULAN KENAIKAN KOS OPERASI.
Penasihat Kehormat PERTIM, Zaharah Awang, berkata kira-kira 1,000 ahlinya di seluruh negara bersiap sedia menaikkan yuran perkhidmatan tadika mereka susulan kenaikan kos operasi bukan saja membabitkan gaji pekerja terutama guru, malah kenaikan kos bahan mentah untuk makanan dan bahan bantu mengajar, selain kadar sewa serta bil utiliti.
Bagaimanapun, katanya, kenaikan berkenaan perlu mendapat kebenaran dan menerusi permohonan dibuat kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), sebelum dilaksanakan.
“Sebenarnya PERTIM sudah membuat unjuran awal kenaikan gaji minimum sehingga RM2,000 sebulan secara berperingkat untuk beberapa tahun akan datang, namun ahli kami tidak jangka penguatkuasaan gaji minimum baharu RM1,700 akan berlaku seawal tahun depan.
“Notis yuran tahun hadapan sebenarnya sudah diberikan kepada ibu bapa, namun dengan pengumuman pelaksanaan gaji minimum RM1,700 sebulan mulai Februari depan, ahli PERTIM terpaksa mengeluarkan notis baharu yuran membabitkan kenaikan antara hingga 25 peratus, mengikut lokasi kawasan tadika.
“Seramai 1,000 ahli kami yang juga pengusaha tadika di seluruh negara sebenarnya tersepit kerana tidak mahu menaikkan yuran, namun terpaksa berbuat demikian demi kelangsungan operasi tadika. Kita jangka, pengusaha yang tidak mendapat sokongan ibu bapa berdepan kemungkinan menutup operasi mereka, kerana kos operasi terlalu tinggi untuk ditanggung.
“Apatah lagi, kos operasi tadika swasta 100 peratus adalah daripada bayaran yuran yang dibayar ibu bapa. Kenaikan kos operasi tadika sudah berlaku sejak selepas tamat Perintah Kawalan Perkhidmatan (PKP) lagi namun menjadi lebih ketara sejak tahun lalu susulan kenaikan harga barang dan kos sara hidup,” katanya kepada BH.
PADA PEMBENTANGAN BELANJAWAN 2025 JUMAAT LALU, KERAJAAN BERSETUJU MENAIKKAN KADAR GAJI MINIMUM KEPADA RM1,700 SEBULAN DARIPADA RM1,500 KINI BERKUAT KUASA 1 FEBRUARI TAHUN DEPAN.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan juga memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang lima pekerja bagi tempoh enam bulan iaitu berkuat kuasa 1 Ogos 2025.
Mengulas lanjut, Zaharah berkata, kenaikan bahan mentah untuk makanan murid jagaan ahlinya naik lebih 60 peratus sejak tahun lalu, menyebabkan kos operasi tadika menjadi tinggi.
Katanya, kenaikan yuran tadika antara 10 hingga 25 peratus sebenarnya hanyalah untuk pengusaha bertahan demi kelangsungan perjalanan perniagaan mereka semata-mata.
“Sebelum ini pernah berlaku seramai 41 murid sebuah tadika ahli kami diberhentikan ibu bapa hanya kerana kenaikan yuran tidak sampai RM40 sebulan.
“Sebenarnya yuran tadika swasta murid Melayu atau Islam hanya antara RM300 hingga RM350 sebulan berbanding tadika swasta Cina yang mengenakan yuran antara RM750 hingga RM900 sebulan,” katanya.
Pengerusi Persatuan Pendidik Institusi Pendidikan Negeri Johor, Hazman Sapawi, juga mengesahkan 500 tadika di negeri ini akan menaikkan yuran sama susulan kenaikan gaji minimum RM1,700 itu.
“Contohnya pelarasan gaji kakitangan tadika terutama guru akan membabitkan tambahan kos RM229.90 seorang sebulan. Ia membabitkan gaji minimum RM1,700; caruman majikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang meningkat kepada RM221 sebulan; caruman majikan untuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang meningkat kepada RM27.85 sebulan selain Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang meningkat kepada RM3.30 sebulan,” katanya.
Sementara itu, Naib Bendahari Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-Kanak Berdaftar Malaysia, Norazlina Adom, berkata yuran baharu taska seluruh negara akan naik antara 13 hingga 20 peratus mulai tahun depan, susulan pengumuman gaji minimum baharu.
Katanya, kira-kira 3,000 taska di seluruh negara termasuk 250 di Johor akan mengenakan yuran baharu itu mulai Januari depan.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Pengusaha Taska Berdaftar Negeri Johor berkata, pengumuman kerajaan mengenai kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 sebulan itu sangat dialu-alukan susulan bebanan kerja kakitangan taska yang berat dalam memastikan keselamatan bayi serta kanak-kanak jagaan mereka sentiasa terjaga sepanjang masa.
“Sehubungan itu, saya memohon kerajaan menyediakan sama ada geran gaji kepada pengusaha taska swasta atau pun insentif kepada ibu bapa yang menghantar anak kepada taska berdaftar, kerana kenaikan yuran yang membebankan mereka ketika kos sara hidup juga semakin meningkat.
“Ia bagi mengelak ibu bapa memilih taska tidak berdaftar, sekali gus merisikokan keselamatan anak mereka kerana ketiadaan latihan dan kemahiran kakitangan taska kategori ini seperti diwajibkan ke atas taska berdaftar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Saravanan Thambirajah, berkata kenaikan harga barangan dan perkhidmatan sudah dijangka susulan pengumuman gaji minimum baharu mulai Februari depan.
Katanya, peningkatan kos operasi perkhidmatan dan barangan sudah pasti dipindahkan kepada pengguna yang akan merasai bebanan peningkatan kos sara hidup.
“FOMCA berpandangan kerajaan perlu melakukan intervensi bagi menetapkan harga siling perkhidmatan dan barangan tertentu supaya pengguna tidak terus terbeban dengan kenaikan harga yang keterlaluan dan tidak wajar.
“Pelaksanaan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 perlu diperkasa supaya sebarang kenaikan yang tidak wajar dikenakan tindakan tegas.
“Pengguna pasti mencari alternatif perkhidmatan lebih murah dan dalam isu kenaikan yuran tadika dan taska, kerajaan disaran memperluas dan memperbanyakkan penawaran pra-sekolah selain taman bimbingan kanak-kanak (tabika) di seluruh negara, supaya keluarga tidak mampu menggunakan perkhidmatan tadika dan TASKA mempunyai alternatif lain untuk anak mereka,” katanya.
Ribut, bumbung rumah terangkat – “Saya terketar-ketar sambil memegang erat cucu.” “Saya menggigil sambil mendakap erat cucu,” – Mangsa ribut imbas detik cemas bumbung rumah diterbangkan angin.
Kejadian ribut petang semalam di Kampung Pak Darus, Bukit Gantang, Perak telah mengakibatkan kerosakan teruk kepada kediaman penduduk, termasuk rumah Rosnani Che Meh yang kehilangan keseluruhan bumbung. Insiden itu berlaku sekitar jam 4.45 petang ketika beliau berada di dalam bilik utama bersama cucu lelakinya yang baru berusia empat bulan.
Rosnani menceritakan,dia sedang bermain dengan cucunya itu apabila rumahnya tiba-tiba terasa bergoncang kuat. Dalam keadaan cemas, beliau melihat bumbung rumah terangkat beberapa kali sebelum tercabut sepenuhnya.
“Saya peluk cucu yang menangis ketakutan sekuat hati. Ketika itu, hanya Tuhan saja tahu betapa takutnya saya. Saya cuba keluar dari bilik tapi pintunya tidak dapat dibuka kerana angin terlalu kuat,” katanya.
Menurutnya lagi, hanya selepas salah seorang anak melaungkan azan, pintu bilik dapat dibuka, dan mereka segera keluar untuk menyelamatkan diri.
Rosnani merupakan antara kira-kira 100 orang penduduk kawasan Parlimen Bukit Gantang yang terjejas teruk akibat ribut tersebut. Buat masa ini, beliau dan keluarganya berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Taman Kats dan bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat.
Beliau juga berharap agar pihak berwajib dapat membantu membaik pulih rumahnya secepat mungkin.
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, dalam lawatannya ke kediaman Rosnani, memaklumkan bahawa kontraktor tempatan telah dilantik untuk membaiki rumah-rumah yang terjejas, termasuk menggantikan bumbung yang rosak.
Katanya, hampir 100 buah rumah di kawasan seperti Taman Ria, Taman Kaya, Taman Damai dan Kampung Pak Darus mengalami kerosakan akibat ribut tersebut.
Sementara itu, menurut Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak, seramai 27 mangsa daripada 14 keluarga telah dipindahkan ke PPS Dewan Serbaguna Taman Kaya. Di Perak Tengah pula, seramai 75 mangsa daripada 17 keluarga kini berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Jejawi.
UNIQSAAS rasmi universiti al-Quran pertama Malaysia selepas dimasyhurkan Sultan Pahang. Penubuhan universiti ini menjadi sejarah baharu dalam pendidikan tinggi Islam serta memperkukuh pembangunan modal insan berteraskan al-Quran.