Ada ketikanya kita rasa penat. Sangat penat.

Buat tu tak jadi. Buat ni tak kena.

Kita dah kerja sekian lama, tapi masih di takuk yang sama. Kita cuba nak berniaga, tapi habis modal, rugi pula.

Kita nak sangat anak-anak ikut cakap kita. Biar sejuk mata memandang. Tapi anak-anak tak macam yang kita harapkan. Degil, melawan, tak dengar kata.

Kita nak rumah yang luas dan selesa, tak dapat-dapat. Kita nak income yang besar berjuta, macam susah sangat.

Kita cuba kempen barang kita di media sosial sekian lama. Usahkan ada yang bertanya nak beli, like posting kita pun tak ada.

Kita ada senarai panjang hutang-hutang yang belum dibayar. Penat kita kerja siang malam pagi petang nak selesaikan hutang-piutang, tapi tak habis-habis juga.

Kita minta tolong orang sini, kita minta tolong orang sana. Tapi semua orang macam tak boleh nak tolong kita. Semua orang ada hal masing-masing. Semua orang ada masalah sendiri yang juga tak selesai-selesai.

Sampai satu ketika, kita terduduk. Termenung kita sendirian. Apa lagi yang tak kena? Apa lagi yang perlu kita buat?

Kita penat. Kita sangat penat.

Ketika itu, kita terfikir. Rupa-rupanya ada lagi 1 benda yang lebih besar, lebih berkuasa. Kita boleh harapkan Dia. Kita boleh mengadu padaNya.

IKLAN

Sebesar mana masalah kita. Seberat mana beban kita. Sepenat mana pun kita. Dia pasti maha berkuasa. Dia boleh hilangkan itu semua.

Mohonlah kepadaNya. Minta kepadaNya. Merintihlah kepadaNya. Menangislah kepadaNya.

Bercakaplah denganNya. Berbicaralah denganNya. Dia pasti maha mendengar.

Semua kepenatan kita ini semuanya dengan ketentuanNya juga. Kalau Dia boleh buat kita penat, apa yang boleh menghalang Dia dari hilangkan penat kita tu?

Kawan-kawan semua…

Kita ada Allah. Mintalah denganNya. Dia pasti akan memakbulkan doa kita.

Angkat tangan kita tinggi-tinggi. Tundukkkan hati kita rendah-rendah. Titiskan air mata penuh kesayuan. Tanda kita benar-benar mengharap.

IKLAN

Jangan ajar Allah untuk beri kita itu dan ini. Tapi mintalah kepadaNya dengan penuh rasa hina dan rendah diri.

“Ya Allah, aku ini insan yang lemah. Engkau pula maha berkuasa.

Ya Allah, aku ini insan yang hina. Engkau pula maha mulia.

Ya Allah, aku ini insan yang miskin. Engkau pula maha kaya.

Ya Allah, aku mohon dengan kekuasaanMu, kemuliaanMu dan kekayaanMu, engkau hilangkan penatku selama ini. Berilah aku hasil yang menggembirakan atas segala usahaku.

Jika tiada bahagianku di dunia, maka aku mohon Engkau ganti dengan pahala yang banyak di hari akhirat.

Ya Allah, aku mohon engkau hilangkan segala dukacitaku. Gantikan ia dengan kegembiraan yang berpanjangan di dunia dan akhirat.

IKLAN

Ya Allah, engkau maha mendengar. Aku mohon engkau dengar bisikan hatiku ini.

Ya Allah, engkau maha melihat. Aku mohon engkau pandanglah aku dengan pandangan kasih sayangMu.

Ya Allah, engkau maha memperkenankan doa. Aku mohon engkau kabulkanlah segala doaku”,

Pejam mata. Tarik nafas dalam-dalam.

Ingat dalam kepala kita. Semat dalam hati kita.

Walau apa pun yang terjadi, kita tetap ada Allah. Dan Allah itu maha pengasih lagi maha penyayang!

Selamat pagi kawan-kawan semua. Saya doakan semoga anda semua bahagia dunia dan akhirat.

Ya Allah, perkenankan doaku untuk semua rakan-rakan muka bukuku.

Amin ya Rabb.

Kredit: Khairul Anuar Basri

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI