Siapa tak kenal Datuk Chef Wan, seorang Tukang masak terkenal yang cukup mesra orangnya. Namun bukan itu yang ingin diperkatakan. Sebaliknya, sikap prihatin dan penyayangnya membuktikan beliau seorang anak yang menjaga ibunya dengan penuh kasih sayang.
Lihat sahaja di dalam postingnya menerusi laman instagram, tidak pernah jemu dan penat melayan ibunya. Malah ada saja usikan dan gurau mesra bersama ibunya yang mesra dipanggil Che Ani.
Namun, perkongsian terbaru Chef Wan mengejutkan ramai pihak bila mana beliau memberitahu ibunya mempunyai kanser.
Memuat naik berita sedih itu menerusi laman instagramnya, Chef Wan mengakui sebelum ini membawa ibunya, Noraini Abdullah ke sebuah hospital swasta untuk menjalani ujian memmogram.“Saya ke Hospital Gleneagle semalam bawa emak untuk buat memmogram (x-ray untuk bahagian dada) untuk kesan dan diagnos kanser buah dada.
Saya terkejut bila Doktor temui dua ketulan besar dan dah merebak ke bahagian kelenjar limfa (lymph nodes),” tulis Cef Wan.
Menurut Cef Wan lagi, setiap kali dia memandikan dan menyabun badan ibunya, ibunya meminta supaya dia melakukannya secara perlahan-lahan kerana berasa sakit.
“Setelah beberapa hari, saya nak ketahui sama ada kesakitan tersebut adalah ketulan. Jadi saya minta emak baring, saya guna tiga jari dan cuba rasa ketulan tersebut.
“Bila saya tekan jadi lebih dalam, saya dapat rasa satu ketulan bulat yang besar sama ada tisu yang mengeras atau mungkin isi badannya. Saya sangat terkejut,” ceritanya.
Biarpun bukan seorang doktor, Cef Wan mengakui dia banyak membaca artikel tentang kanser buah dada dan ada ketikanya dia turut dijemput ke majlis-majlis kesedaran kanser seluruh negara untuk melakukan demo masakan.
“Hari berikutnya saya terus bawa emak jumpak doktor dan jantung saya gugur mendengar berita yang selalu didengari daripada kawan-kawan, ibu mereka di dalam filem dan sekarang giliran emak pula.
“Doktor mahu saya bawa emak pada Isnin nanti untuk buat CT Scan bagi mendapat maklumat lebih tepat jika kanser tersebut merebak ke bahagian lain pada badannya,” kata Cef Wan.
Walau bagaimanapun, menurut Cef Wan, doktor memberitahu keadaan ibunya mungkin tidak baik memandangkan umurnya dan saiz tumor yang besar tidak membolehkan ibunya untuk melakukan chemotheraphy atau pembedahan.
“Nak buat biopsy pun macam tak ada point sebab tentunya menyakitkan untuk emak kerana tumor tersebut dan membesar. Apa yang boleh dibuat adalah memberikan ubat untuk cuba mengecilkan tumor tersebut.
“Walaupun saya sangat sedih untuk emak dan keluarga, tetapi saya kena kuat untuk menerima cabaran ini dan menghadapi sehingga ke akhirnya.
“Paling penting saya akan menjaga dan merawat emak sebaik mungkin yang saya dapat lakukan, mencurahkan segala kasih sayang dan memberikan ketenangan kepadanya sehingga ke akhir hayatnya.
Cef Wan kemudian turut melahirkan rasa syukur kerana diberi kesempatan oleh Allah untuk menjaga ibunya yang tercinta.
“Dia pasti akan pergi juga. Dalam masa dua minggu, emak akan menyambut usianya yang ke 89 tahun,” tulis Cef Wan yang mengakui dia tidak dapat tidur sepanjang malam.
Sumber: Instagram Chef Wan & Astro Gempak
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Di dalam sesebuah rumah tangga kena ada sikap memberi dan menerima dari kedua belah pihak baik suami mahupun isteri tidak boleh hanya sekadar menerima namun tidak mahu memberi. Itu menyebabkan rumah tangga menjadi pincang sekali gus mengundang konflik.
Usah terlalu membiarkan isteri melakukan semuanya sendirian, mungkin ada antara wanita yang suka berdikari namun kena ambil tahu juga. Elakkan ego yang tinggi melangit, andai berlaku perbalahan usah dibiarkan berpanjangan.
Isteri merajuk minta dipujuk namun suami hanya endah tak endah sahaja patut membaca perkongsian dari wanita bernama Marliya Ramli. Hadam apa yang ingin disampaikan.
SUAMI YANG PAPA KEDANA.
1 – Memanglah… Kita rasa remehnya bila isteri merajuk. Rimasnya dah lama kawen masih mengada-ngada.
2 – Malas eh nak pujuk-pujuk cam zaman bercinta dulu. Tak de masa. Lagipun isteri kita sekarang garangnya bukan kepalang. #apeni
3 – Isteri marah namun sebenarnya isteri cuba bagitau. Kenapa kita tak seperti dulu? Mana hilang kelembutan kata-kata dan pujukan? Namun kita ego… Kita cuba menjustifikasikan kebodohan kita.
4 – Dah lama kawen. Anak pun dah berderet empat lima. Tak payah la nak pujuk-pujuk. Lantak pi lah isteri pujuk diri sendiri.
5 – Kita rasa ini isu kecik bukan? Alah.. Dah jadi isteri bukannya perlu dihargai hatinya lagi. Tanpa kita sedar perlahan-lahan cinta isteri bertukar menjadi benci.
6 – Isteri tarik muka kita buat tak cakna. Hingga bermula dari bebelan biasa suara isteri mula meninggi. Amukan isteri mula berbisa di hati kita.
6 – Biadapnya isteri bukan? Tanpa kita sedar puncanya apa? Apa salah kita? Tak nak sejenak kita gunakan akal sembilan untuk membuat penilaian?
7 – Kita bukan suami yang kaya raya. Bukan tahap raja yang mampu petik bintang atau permata untuk dihadiah pada si dia. Nak hadiahkan dinar emas atau goldbar berketulenan 999 sebulan sekalipun kita tak mampu. Tak apa…
8 – Isteri tak mahu pun. Jika isteri mahukan kekayaan, sejak awal dia tidak mengahwini kita. Isteri cuma harapkan perhatian. Tak kaya tak apa tapi jangan papa kedana dengan kasih sayang.
9 – Jangan kedekut dengan pujukan. Ini bukan pertandingan yang perlu kita menegakkan bahas itu ini. Ini perkahwinan yang memerlukan pengertian. Jika kita tidak mampu berikan harta, berilah cinta.
10 – Awas suami! Jangan biasakan isteri terlalu berdikari. Jangan biasakan isteri hatinya tidak dibelai dengan kasih sayang. Jangan! Jangan membuat kesilapan ini jika tidak mahu rumahtangga kecundang.
11 – Kerna suatu hari nanti, pada saat hatinya telah hilang cinta, yang bersisa hanyalah benci. Waktu itu ruangan untuk suami semakin sempit. Waktu itu terimalah hakikat bahawa perpisahan adalah ehsan yang terbaik berbanding terus mendera emosi isteri.
12 – Ya… Isteri kita nampak lembut, lemah dan tidak kuat hatinya. Tapi percayalah bila berkali-kali diuji, bimbang nanti tiada ruang untuk diperbaiki lagi. Akan tiba masa dia lebih bahagia tanpa kehadiran kita.
13 – Tak ada rupa dan tidak berharta tak apa. Tapi jangan miskin dengan ucapan baik dan pujukan yang menyejukkan hati. Jangan asalkan buka mulut pemilihan perkataan kita mencalarkan jiwa.
14 – Hanya kata-kata yang baik, kelembutan dan pujukan. Percuma bukan? Jika itupun tidak mampu diberi, layaklah kita dianggap SUAMI YANG PAPA KEDANA. Menyedihkan, malang dan hinanya kita.
Semua maklum tiada ubat yang boleh merawat pesakit diabetes untuk sembuh sepenuhnya namun hanya ada ubat yang boleh diambil secara berkala mengikut saranan doktor. Selain itu, perlu juga mengawal pengambilan makanan agar bacaan gula dalam darah tidak tinggi.
Selain itu, ramai juga yang berkongsi di media sosial berkenaan ikhtiar dan amalan petua yang dikatakan dapat membantu pesakit diabetes mengawal kadar gula dalam darah melalui pengambilan jus yang dihasilkan daripada peria dan epal hijau.
Ini sebagaimana yang dikongsikan oleh Puan Zulina Yahya hasil pengalamannya sendiri. Jadi tidak salah untuk anda mencuba, mana tahu dengan amalkan cara tersebut anda juga dapat mengawal kandungan gula dalam darah ke tahap yang lebih rendah daripada sebelumnya.
Ini perkongsiannya.
3 bulan lepas, saja gatai check gula dalam darah kat rumah. 6.3 weih. Panik, terus gi farmasi nak confirm. Takut mesin kat rumah salah. Reading sama.
Balik terus buat jus peria apple hijau ni. Cousin Bob bagi petua ni. Saya minum sampai sekarang. Paling kurang 3 kali seminggu. Alhamdulillah la maintain reading pada 5 -5.3.
Bob yang dah kena makan ubat kencing manis pun minum jus ni. Alhamdulillah la average reading 6 – 6.5. Tengah usaha turunkan lagi.
Bagi Yang akan kata…eeeeeiii, peria katak yang pahit tuuu buat juice…tak sangguuppp. Hahaha. Saya juga cakap benda sama. Tapi macam tak percaya, bila campur dengan Apple hijau, rasa sedap. Pastikan anda guna apple hijau Granny Smith.
Okeh, ni resepi penuh :
2 biji Apple Hijau Granny Smith
1 biji peria katak (buang biji)
Air ais
Cara :
Blend semua sekali. Siap. Jangan tapis. Minum sekali dengan serat tu. Memang terbaik.
Anda boleh buat dan simpan dalam fridge untuk minum sikit-sikit.
Jom turut serta bersama e-keluargagader Bonding Day #dirumahaje secara virtual!
Bukan sahaja dapat eratkan hubungan dengan keluarga tersayang, tapi boleh lakukan aktiviti yang menceriakan bersama-sama. Hadiah menarik menanti anda sekeluarga!
Yuran hanya RM30.00 sahaja terhad untuk 50 famili sahaja. Satu famili 2 dewasa 2 kanak-kanak. Jadi, tunggu apa lagi? Jom daftar segera di sini: http://www.wasap.my/60169647520
Disebalik kejayaan dan usaha gigih seorang anak dalam memajukan diri pasti akan ada figura seorang ibu atau ayah dibelakangnya yang tanpa jemu memberi dorongan dan semangat agar terus berjaya dalam apa juga bidang yang diceburi, sama ada aspek pendidikan mahu pun minat anak-anak.
Umpamanya perkongsian kisah kejayaan adik Nursyafiqah Binti Mohd Azmi,14 dan adik Jaymee Ong Miin Li,15 yang telah melakar kejayaan apabila dinobatkan sebagai antara pemenang di dalam Pertandingan Memasak Sekolah Menengah 2021yang dianjurkan oleh MAGGI baru-baru ini.
Ayuh kita ketahui kisah dua remaja ini yang difahamkan disebalik kejayaan mereka memenangi hati juri di dalam pertandingan tersebut, hakikatnya ada insan yang begitu hebat berada dibelakang mereka memberi sokongan tanpa berbelah bahagi.
Siapakah insan itu?
Ketahui dengan lebih lanjut perkongsiannya dan diharapkan kisah ini sedikit sebanyak dapat menyuntik inspirasi buat anda sekeluarga.
“Rapat Seperti Teman Sejati…’- Nursyafiqah
“Sejak kecil lagi, saya memang minat memasak terutamanya menyediakan pencuci mulut atau roti. Saya harap saya akan dapat mencapai cita-cita saya untuk membuka sebuah bakeri.”
“Sepanjang tempoh pertandingan tersebut, saya menghadapi pelbagai cabaran dan hampir berputus asa. Namun begitu, sokongan dan semangat dari keluarga terutamanya ibu membuatkan saya merasakan ingin lakukan yang terbaik hingga akhirnya membuahkan kenangan manis buat diri saya,” ujar Nursyafiqah yang merupakan pelajar di SMK Intan Perdana, Negeri Sembilan dengan bersemangat.
Kenal Erti Sabar
“Sepanjang proses anak menyertai pertandingan tersebut, kami berdua sentiasa bersama. Bonding antara saya dan anak perempuan semakin erat. Kami sentiasa melakukan aktiviti memasak bersama, dan secara tidak langsung hubungan semakin rapat seperti seorang teman sejati,” ujar ibu Nursyafiqah, iaitu Puan Aiza
“Saya sentiasa ada disisi anak untuk membantunya. Contohnya semasa dia memasak hidangannya iaitu Telur Gulung Korea (Korean Egg Roll), saya akan jadi jurukamera untuk dia. Masa rakam video, ada part yang tak jadi, macam telur yang dimasak terkoyak, melekat di kuali dan macam-macam lagi adegan yang memerlukan rakaman dilakukan semula.
“Bagi saya semua itu adalah proses pembelajaran untuk Nursyafiqah mengenal erti sabar dalam melakukan sesuatu. Pun begitu, biasalah anak-anak remaja ini perlukan galakan berterusan daripada ibu ayahnya.
“Ada satu masa itu, saya lihat dia menangis seakan putus asa sebab masakan yang disediakan tidak mencapai apa yang dia inginkan.
“Berdepan dengan situasi tersebut, saya sebagai ibu mengambil langkah positif dengan memberikan semangat dan motivasi kepadanya. Alhamdulillah, akhirnya semua kepayahan yang dilalui di akhiri dengan kemanisan. Siap juga projek video kami,” cerita Puan Aiza panjang lebar.
Pengalaman Itu Guru Sejati
Menyentuh tentang pendekatan bagaimana dia menanam minat memasak pada anak perempuannya, ibu ini akui semua itu dipengaruhi oleh persekitaran kehidupan keluarga.
“Seingat saya semasa dia di sekolah rendah lagi, dia suka lihat saya memasak. Kemudian bila sudah meningkat usia, kami sekeluarga suka pula menonton rancangan memasak di kaca TV.
“Antara program masakan yang kami suka tonton adalah seperti rancangan 5 Rencah 5 Rasa, rancangan Master Chef Australia, Bake with Anna Olson dan sebagainya. Mungkin sebab itu juga dengan sendirinya minat memasak sedikit demi sedikit berputik dalam dirinya,” ujarnya lagi.
Puan Aiza juga mengakui bahawa pendedahan yang diberikan akan menjadi pengalaman cukup berharga dalam hidup anaknya.
“Pengalaman itu adalah guru sejati. Hanya orang yang berjiwa besar dan berani akan memperolehinya.
“Saya ingat lagi, masakan pertama yang Nursyafiqah sediakan adalah Nasi Goreng Telur yang diperasakan dengan MAGGI CukupRasa. Menu yang disediakan hangus tapi dengan yakinnya dia bawa juga bekal ke sekolah untuk jamu dengan kawan-kawan.
“Selain itu dia pernah buat roti kopi ala-ala Roti Boy untuk hari jadi ayah dia. Hendak dijadikan cerita, roti tersebut menjadi juga tapi yang kelakarnya kembang sebesar loyang,” ceritanya sambil tertawa mengingatkan kejadian itu.
Jadikan Lebih Berdisiplin
“Kebaikan lain yang dapat saya lihat bila anak kita didedahkan dengan pertandingan yang melibatkan minat mereka, nyata mereka akan lakukan dengan bersungguh-sungguh. Selain itu, dari sudut disiplin pun saya nampak peningkatannya. Dia semakin rajin mengemas semula dapur selepas memasak.
“Tidak dengan itu, kreativiti dalam mencipta menu yang biasa kepada yang luar biasa semakin dapat dilihat. Saya yakin semua ini memberi kebaikan kepadanya.
“Nasihat saya kepada ibu-ibu di luar sana, jangan takut untuk biarkan anak kita masuk ke dapur untuk menggunakan peralatan-peralatan memasak, memetik api gas, memegang pisau ataupun memotong bawang dan sayuran.
“Kita bagi ruang untuk mereka mencuba dan apa yang penting kita sentiasa mengawasi dan memberi tunjuk ajar serta panduan yang betul berkaitan keselamatan di dapur,” jelasnya yang turut mengakui setelah anaknya mengikuti pertandingan memasak, kini semakin rajin memasak untuk keluarganya.
“Untuk Berjaya Perlu Usaha…”- Jaymee Ong Miin Li
Sedar atau tidak, peranan wanita bergelar ibu sentiasa diiktiraf oleh anak-anak sebagai pembakar semangat dan inspirasi memperolehi kejayaan. Kehadiran insan bergelar ibu di sisi ibarat satu anugerah yang tiada galang gantinya bagi setiap anak-anak kita.
Hal ini turut dirasai oleh Jaymee Ong Miin Li dalam usahanya menempa kejayaan di dalam sebuah pertandingan memasak yang disertainya baru-baru ini.
“Menyertai Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI 2021, banyak pengalaman yang bermanfaat saya perolehi dan yang paling berharga adalah bila saya dan ibu saling bertukar-tukar pandangan dan sama-sama mencari idea untuk menentukan menu yang akan dipertaruhkan di dalam pertandingan tersebut.
“Akhirnya kami bersetuju untuk memilih konsep kekeluargaan iaitu Pinggan Sarang Burung (Bird’s Nest Platter) untuk pertandingan ini. Kami berdua meluangkan masa memasak dan mencuba resipi-resipi bersama dan ianya cukup menggembirakan saya dan membuatkan saya teruja untuk melakukan yang terbaik dalam hidup,” ujar Jaymee yang merupakan pelajar Tingkatan 3 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Heng Ee, Pulau Pinang.
Tumpang Bangga
Ibu mana yang tidak bangga dan gembira bila mengetahui anaknya berjaya memperolehi kejayaan dalam sebuah pertandingan hebat seperti Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI 2021yang disertai oleh kira-kira 1,000 pelajar-pelajar seluruh Malaysia.
“Reaksi pertama saya sebagai ibu apabila mengetahui Jaymee berjaya mendapat tempat sebagai antara pemenang untuk pertandingan tersebut, jujur saya katakan saya teramat gembira.
“Berita kemenangan tersebut terus saya sampaikan kepada keluarga yang lain. Saya juga amat bangga dan terharu kerana saya tahu kejayaan ini adalah atas usahanya sendiri,” ujar Puan Ong dengan gembira.
Nasihat Tanpa Jemu
Untuk mencapai kejayaan seseorang itu perlu berusaha, tabah, dan jangan putus asa. Atas sebab itu juga, Puan Ong tanpa jemu akan terus memberi nasihat dan bertindak sebagai motivator kepada anaknya agar terus berusaha dan lakukan terbaik untuk berjaya di dalam apa jua bidang yang diceburi sekali pun.
“Menjadi tanggungjawab kita sebagai ibubapa untuk memberi dorongan dan semangat untuk anak-anak kita terus maju dalam hidup. Sama juga bila Jaymee memasuki pertandingan memasak. Saya berikan 100% galakan untuknya kerana saya percaya siapa yang berusaha pasti dia akan berjaya!
“Bermula dari proses penyediaan bahan hinggalah makanan terhidang di atas pinggan, semua itu ada proses-proses yang perlu dibuat dengan sabar dan sebaiknya agar hidangan yang dimasak bukan sahaja sedap malah nampak menyelerakan.
“Bukan sahaja Jaymee yang perlu banyak bersabar, malah kita sebagai ibu juga perlu bersabar dalam mendidik anak-anak. Maklumlah anak remaja bukanlah pakar sangat di dapur. Lagi-lagi bab untuk mengawal api, silap caranya masakan boleh hangus kalau menggunakan api terlalu besar dengan alasan untuk cepat siap masak,” ceritanya lagi yang turut menggalakkan anaknya untuk lebih berani mencuba sesuatu menu baharu.
Beri Ruang
“Sudah menjadi kelaziman Jaymee akan datang ke dapur semasa saya memasak. Dia akan memerhati dan sentiasa ingin tahu dan ingin bantu saya di dapur. Dia sangat teruja untuk belajar dan ingin memasak pelbagai menu.
“Dia mula membantu dengan belajar mengupas dan memotong dan mencincang bawang putih dan bawang merah. Saya ingat lagi, menu pertama dia memasak ialah Macaroni and Cheese. Mula-mula memasak, dia sukar mengawal api sehingga bawang putih menjadi hitam.
“Bila saya lihat dia suka memasak, jadi saya beri lebih ruang untuknya asah bakat di dapur. Akhirnya kini, adik-beradiknya sangat menggemari setiap menu yang disediakan oleh Jaymee. Mereka akan sentiasa makan makanan yang dimasaknya dengan berselera. Bahkan saya juga menggemari masakan yang disediakan olehnya. Manakala abangnya adalah pengkritiknya yang terbaik dan cara ini juga sebenarnya dapat membantu Jaymee lebih terbuka dan dalam masa yang sama memperbaiki rasa masakannya,” jelasnya lagi dengan turut menyarankan agar lebih ramai ibu memberi tunjuk ajar anak-anak ketika memasak dan tidak hanya memaksa anak-anak untuk membantu kita di dapur sebagai satu kerja rumah.
Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI® 2021 menandakan tahun ke-25 MAGGI® bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam menyediakan platform untuk generasi muda memupuk kemahiran kulinari dan pengambilan pemakanan yang seimbang di kalangan belia di Malaysia. Tema tahun ini adalah “Anda & MAGGI, Sajikan Kelainan Untuk Inspirasi Harian”.
Menyelesaikan hutang pinjaman dan membiayai kos perubatan merupakan antara faktor duit simpanan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang sepatutnya digunakan untuk membiayai kehidupan...