
Serbuk kunyit homemade semakin mendapat perhatian ramai kerana bukan sahaja lebih harum dan segar, malah boleh dihasilkan sendiri menggunakan kunyit yang ditanam di halaman rumah. Bagi mereka yang gemar berkebun, hasil tuaian kunyit yang banyak tidak lagi perlu dibiarkan rosak kerana ia boleh diproses menjadi stok rempah yang tahan lama untuk kegunaan harian.
Perkongsian seorang wanita di Threads baru-baru ini mengimbau kembali cara tradisional yang pernah diamalkan oleh generasi terdahulu apabila ibunya menghasilkan serbuk kunyit homemade sendiri selepas menuai kunyit yang ditanam di dalam pasu.
Menerusi perkongsiannya, wanita itu memuat naik gambar dan video proses penyediaan serbuk kunyit secara tradisional di rumah yang mendapat perhatian ramai pengguna media sosial.
Menurutnya, idea tersebut tercetus apabila ibunya mendapati hasil tuaian kunyit terlalu banyak untuk digunakan dalam masa yang singkat.
“Mak aku di pagi hari buat serbuk kunyit sendiri.
“Kebetulan hari itu mak punggah pasu kunyit. ‘Meriah’ betul isi kunyitnya. Itu yang buat serbuk kunyit sebab ‘terlajak’ banyak,” tulisnya.
View on Threads
Daripada dibiarkan kecut atau rosak, kunyit segar boleh diproses menjadi serbuk kunyit yang tahan disimpan untuk tempoh lebih lama.
Kaedah ini bukan sahaja mengelakkan pembaziran hasil tanaman sendiri, malah memudahkan urusan memasak kerana stok serbuk kunyit sentiasa tersedia di dapur.
Perkongsian tersebut turut menerima pelbagai reaksi positif daripada warganet yang berkongsi pengalaman mereka menghasilkan serbuk kunyit sendiri.
Ramai berpendapat serbuk kunyit mempunyai aroma yang lebih kuat dan rasa lebih segar berbanding serbuk kunyit komersial.
Ia sesuai digunakan untuk menggoreng ikan dan ayam, selain menjadi bahan utama dalam masakan seperti kari, rendang, asam pedas serta masak lemak cili api.
“Sedap bau bila goreng ikan atau ayam guna serbuk kunyit yang buat sendiri. Saya pernah buat juga cuma memang agak renyah,” komen seorang pengguna.
Ada juga yang berkongsi pengalaman melihat ibu mentua mereka menghasilkan serbuk kunyit untuk dijual di kedai runcit suatu ketika dahulu.
“Dulu mak mentua kami pun buat begini. Jual di kedai runcitnya, terus bungkus guna surat khabar. Yang kasar itu simpan untuk tumisan asam pedas, kari atau tumbuk buat pes rendang. Memang rasa segar dan wangi,” katanya.
Jika ingin mencuba sendiri di rumah, berikut langkah-langkah penyediaannya:
Pastikan kunyit benar-benar kering sebelum dikisar kerana kelembapan boleh menyebabkan serbuk menjadi berketul, berkulat dan cepat rosak.
Walaupun proses menghasilkan serbuk kunyit homemade memerlukan masa dan kesabaran, hasil akhirnya sangat memuaskan.
“Pernah cuba buat tapi bukan senang, kena basuh, jemur kemudian tumbuk. Guna pengisar pun tak begitu menjadi. Lepas tumbuk kena tapis barulah jadi serbuk kunyit,” kongsi seorang lagi warganet.
Dengan penyediaan yang betul, serbuk kunyit buatan sendiri mampu bertahan lama serta mengekalkan aroma asli kunyit tanpa campuran bahan lain.
Selain digunakan untuk kegunaan sendiri, serbuk kunyit homemade juga mempunyai potensi sebagai produk jualan kecil-kecilan.
Dengan pembungkusan yang kemas dan bersih, ia boleh dipasarkan kepada jiran, rakan-rakan atau dijual secara dalam talian kepada pelanggan yang mencari rempah asli tanpa bahan tambahan.
Bagi mereka yang menanam kunyit dalam kuantiti banyak, menghasilkan serbuk kunyit sendiri bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan dapur, malah berpotensi menambah pendapatan keluarga. Pada masa sama, ia memastikan setiap hidangan yang disediakan menggunakan rempah yang lebih segar, harum dan berkualiti.
BACA LAGI : Tip Buat Stok Kunyit Kisar Supaya Tahan Lama, Warna Cantik, Bau Wangi, Ceduk Saja Bila Nak Masak
Sumber : Threads