
Rasa bangga seorang ibu melihat anak berjaya selepas melalui pelbagai pengorbanan memang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Itulah yang dirasai pelakon Sharifah Sofia apabila anak sulungnya, Sharifah Ariana, berjaya meraih pingat emas dalam acara ragbi wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Menerusi perkongsian di Instagram, pelakon drama Nur Kasih dan filem Gol & Gincu itu meluahkan rasa syukur melihat segala usaha keras Ariana bersama pasukannya akhirnya membuahkan hasil.

“Juara, Alhamdulillah. Segala usaha keras akhirnya membuahkan hasil.
“Dua bulan penuh dengan penat lelah, keringat, air mata, bangun awal pagi, berjaga hingga lewat malam dan begitu banyak pengorbanan akhirnya membuahkan sesuatu yang akan kamu kenang sepanjang hayat.”
Sharifah Ariana Baru 15 Tahun, Dah Beraksi Bawah 21 Tahun
Apa yang lebih membanggakan, Ariana baru berusia 15 tahun namun sudah berani mencabar diri beraksi dalam kategori Bawah 21 Tahun.
Pasukan ragbi wanita Selangor berjaya mempertahankan pingat emas selepas menewaskan Sarawak 41-0, sekali gus mengulangi kejayaan menewaskan lawan sama dalam final SUKMA 2024 di Miri.
Sharifah Sofia nyata cukup terharu dengan pencapaian anak sulungnya itu.
“Mama sangat bangga dengan kamu, anak mama! Baru berusia 15 tahun tetapi sudah beraksi dalam kategori Bawah 21 tahun, memang kamu luar biasa hebat!
“Ini baru permulaan, sayang. Banyak lagi kejayaan menanti, insya-Allah.”
Kejayaan Sharifah Ariana pada usia yang masih muda turut memperlihatkan keberaniannya bersaing dengan pemain dalam lingkungan usia lebih tinggi.

Ibu Pun Berdebar Tengok Anak Beraksi
Di sebalik rasa bangga, Sofia mengakui bukan mudah untuk melihat anak sendiri turun ke padang dalam sukan yang cukup lasak.
Menurutnya, dia sering berasa gementar setiap kali Ariana beraksi kerana bimbang dengan risiko kecederaan.
“Saya sangat-sangat gementar. Sebenarnya kalau boleh tak nak tengok langsung. Tetapi kita datang untuk beri semangat kepada anak-anak.
“Kadang-kadang sebelum permainan pun kita sudah fikir macam-macam sampai menangis dan gementar. Mereka yang bermain, kita pula yang gementar.”
Meskipun begitu, Sofia tetap setia berada di sisi pasukan bersama ibu bapa pemain lain sepanjang kejohanan berlangsung bagi memberi sokongan moral kepada anak-anak.
Sharifah Sofia Sendiri Perkenalkan Ariana Dengan Ragbi
Menariknya, Sofia merupakan individu yang memperkenalkan Ariana kepada dunia ragbi.
Pada awalnya, dia sekadar membawa anaknya mengenali sukan tersebut tanpa sebarang paksaan. Namun lama-kelamaan, Ariana jatuh cinta dengan ragbi sehingga berjaya melangkah ke tahap yang membanggakan hari ini.
Malah, Ariana pernah berterima kasih kepada ibunya kerana memperkenalkannya kepada sukan tersebut.
“Dia kata, ‘Mummy, terima kasih sebab perkenalkan saya kepada ragbi kerana saya tidak tahu apa yang akan saya lakukan kalau bukan kerana ragbi.’
“Alhamdulillah. Dia juga dipilih untuk pergi secara profesional dan itu sesuatu yang sangat menakjubkan.”
Daripada sekadar diperkenalkan kepada sukan berkenaan oleh ibunya, Sharifah Ariana kini berjaya membuktikan kemampuannya di pentas SUKMA bersama pasukan Selangor.
Keselamatan Tetap Jadi Keutamaan
Sebagai ibu, Sofia tidak menafikan tetap bimbang terhadap risiko kecederaan yang boleh berlaku dalam sukan lasak seperti ragbi.
Justeru, dia sentiasa mengingatkan Ariana supaya menjaga kesihatan, memberi perhatian kepada proses pemulihan badan dan melakukan latihan pencegahan kecederaan sebelum turun beraksi.
Sofia turut berharap anaknya terus melangkah lebih jauh dan tidak berhenti mengejar impian.
“Teruskan. Kamu hanya boleh pergi lebih jauh. Umur dia baru 15 tahun, jadi masih banyak lagi SUKMA yang boleh disertai dan insya-Allah banyak kejohanan lain.”
Sharifah Ariana Buktikan Usia Muda Bukan Penghalang
Tahniah Sharifah Ariana! Semoga terus melakar kejayaan dan menjadi inspirasi buat anak-anak muda lain.
Sekadar info, Sharifah Sofia mempunyai dua cahaya mata perempuan iaitu Sharifah Ariana dan Sharifah Ameera hasil perkahwinannya dengan bekas suami, Syed Ismail.
BACA LAGI : “Mama Hanya Ada SPM, Tapi Berjaya Didik Kami” Anak Raja Azura Pertahan Ibu
Sumber : IG Sharifah Sofia
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di

