Bagi meringankan lagi beban rakyat untuk menyambut Raya Aidil Fitri nanti, kerajaan akan mula menyalurkan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 mulai Isnin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan tahun ini sebanyak RM1.7 bilion berbanding RM1.5 bilion pada tahun tahun lalu.
Tambahnya lagi, bagi STR Fasa 2, hampir 9 juta penerima yang terdiri daripada 60 peratus rakyat dewasa negara ini bakal mendapat bantuan sehingga RM650.
Ads
“Kerajaan MADANI kekal peka akan keperluan golongan terbanyak dalam mengharungi beban kos sara hidup, lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Ads
“Peningkatan peruntukan STR dan SARA pada tahun 2025 sebanyak RM3 bilion atau 30 peratus kepada RM13 bilion adalah ikhtiar untuk meningkatkan martabat hidup rakyat secara saksama,” katanya yang juga Menteri Kewangan dalam kenyataan hari ini.
Ads
Penerima sedia ada dan penerima baharu yang berdaftar di dalam pangkalan data STR akan menerima pembayaran STR Fasa 2 melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan STR masing-masing.
Ibu dan anak maut disyaki keracunan makanan selepas pulang kenduri kahwin. Seorang wanita bersama anak lelakinya dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat keracunan makanan selepas menghadiri satu majlis perkahwinan di sebuah dewan di Jalan Apas, Tawau, Sabah pada 9 Ogos lalu.
Mangsa, Nazuah Pili, 36, dan anak sulungnya, Mohd Amran, 9, mula mengalami simptom muntah serta cirit-birit hanya beberapa jam selepas pulang daripada kenduri tersebut kira-kira jam 11 pagi, sebelum akhirnya tidak sedarkan diri.
Suami mangsa, Masran Mohd Amin, 43, berkata beliau yang baru pulang dari kerja sekitar jam 3 petang mendapati kedua-duanya terbaring di atas tilam di ruang tamu.
“Pada mulanya saya tidak mengesyaki apa-apa namun saya lihat isteri kerap berulang-alik ke tandas, dengar dia muntah-muntah dan kemudian baring semula dalam keadaan lemah.
“Saya cuba bangunkan isteri kerana melihat ada kesan najis pada kain sarung yang dipakainya sebelum dia masuk semula ke tandas untuk membersihkan diri.
“Ketika itu, saya tengok si Abang (nama panggilan Mohd Amran) masih terbaring di ruang tamu dan tidak bergerak,” katanya.
Masran turut memaklumkan bahawa beliau sendiri mengalami muntah dan sakit perut selepas memakan lauk kenduri yang dibawa pulang isterinya. Dua lagi anak mereka, Naziah Insyirah, 6, dan Mohd Azran, 18 bulan, sempat mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berdekatan hasil bantuan ahli keluarga lain.
Menurutnya, jenazah kedua-dua mangsa telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Batu 4 sekitar jam 10 malam tadi selepas selesai proses bedah siasat. Beliau reda dengan kehilangan insan tersayang itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut. Katanya, siasatan sedang dijalankan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
Tular video urus jenazah bayi, menteri agama tegur pengendali pengurusan jenazah. Semua pihak yang terbabit dalam proses pengurusan jenazah diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya menyiarkan video sensitif, termasuk urusan memandikan jenazah menerusi media sosial.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, menegaskan tindakan itu tidak wajar dilakukan kerana ia boleh menyebabkan keaiban kepada si mati atau keluarganya.
“Semua pihak diseru supaya tidak sewenang-wenangnya menyiarkan video proses urusan mandi dan pengurusan jenazah kerana ia membabitkan kemuliaan insan (karamah insaniah) yang perlu dijaga sebaik-baiknya.
“Bahkan Baginda Rasulullah SAW memberikan peringatan supaya sentiasa berlaku ehsan serta tidak mematahkan tulang jenazah. Dalam satu hadis Riwayat Ahmad, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya mematahkan tulang orang beriman yang mati seperti mematahkan tulang orang beriman yang masih hidup,” katanya.
Mohd Naím turut berkongsi firman Allah SWT: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan” (Al-Isra’:70)
Beliau mengulas kecaman ramai pihak terhadap sebuah badan pengurusan jenazah yang berkongsi siaran langsung di Facebook proses memandikan jenazah seorang bayi lelaki dinamakan Adham yang dikebumikan selepas 16 hari ‘ditahan’ di sebuah hospital swasta.
Susulan perkongsian itu, ramai netizen yang memberi respons antaranya meminta video terbabit dipadamkan kerana boleh menimbulkan salah faham, kekeliruan dan keaiban kepada ahli keluarga bayi itu.
Difahamkan, bayi terbabit dilahirkan tidak sempurna tanpa sebelah mata, hidung dan lubang dubur sebelum meninggal dunia beberapa minit selepas kelahiran.
Bagaimanapun, kontroversi timbul susulan pendedahan pihak yang menguruskan jenazah bayi berkenaan yang mendakwa pihak hospital tidak membenarkan jenazah bayi itu dituntut memandangkan terdapat tunggakan bil rawatan.
Mengulas lanjut, Na’im turut meminta semua pihak berkaitan supaya merujuk kepada pihak berkuasa agama Islam negeri dalam hal pengurusan jenazah.
“Secara umumnya, pihak berkuasa agama Islam negeri iaitu Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri sudah mempunyai panduan pengurusan jenazah.
“Semua pihak adalah dimohon untuk sentiasa merujuk kepada pihak berkuasa agama Islam dalam hal pengurusan jenazah agar semuanya dilaksanakan dengan baik dan sempurna,” katanya.
Mengenai kes bayi berkenaan, beliau meminta semua pihak bertenang memandangkan ketika ini ia masih di bawah siasatan polis, Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihak berkuasa agama Islam negeri.
“Saya ingin menasihatkan semua pihak untuk tidak lagi menyiarkan video tular pengurusan jenazah bayi yang sudah mengeras kerana disimpan lama dalam peti sejuk beku sebuah hospital.
“Kita perlu menjaga aib si mati serta tidak mengguris hati mana-mana pihak yang sedang berada dalam kesedihan. Ini adalah akhlak yang diajar dalam Islam,” katanya.
Suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri iaitu Datuk Kamil Misuari telah meninggal dunia pada Khamis di Hospital Ampang,...