
Gambar Hiasan AI
Ramai dalam kalangan kita mungkin masih belum sedar, rupa-rupanya status lesen memandu bukan sekadar penting untuk urusan di jalan raya, malah turut mempengaruhi kelayakan menerima subsidi petrol BUDI95. Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin mencabar, perkara seperti ini memang tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi buat ibu ayah yang bergantung pada kenderaan setiap hari untuk urusan kerja, anak sekolah dan keperluan keluarga.
Menerusi soalan lazim rasmi BUDI95, semua warganegara Malaysia yang mempunyai lesen memandu aktif adalah layak dipertimbangkan untuk menerima manfaat ini, termasuk pemegang Lesen Memandu Kompeten (CDL), Lesen Memandu Percubaan (PDL) dan Lesen Belajar Memandu (LDL) bagi kelas tertentu. Ini bermaksud, lesen memandu yang masih sah dan aktif menjadi antara syarat asas yang perlu dipenuhi untuk mendapatkan subsidi petrol BUDI95
.Isunya, bagaimana pula jika lesen sudah tamat tempoh?
Menurut laporan Bernama yang memetik kenyataan pihak berkuasa, pemegang Lesen Memandu Kompeten yang gagal memperbaharui lesen melebihi tiga tahun atau 36 bulan berisiko hilang kelayakan untuk menerima subsidi petrol BUDI95. Data JPJ juga menunjukkan terdapat jutaan pemegang lesen berada dalam status tidak aktif kerana lesen mereka sudah tamat tempoh melebihi tiga tahun.
Dalam erti kata lain, lesen yang tamat tempoh tetapi masih belum melepasi tiga tahun masih berada dalam ruang yang boleh diperbaharui seperti biasa. Malah, JPJ turut menyeru pemegang lesen yang tamat tempoh tidak melebihi tiga tahun supaya segera membuat pembaharuan melalui saluran yang disediakan seperti aplikasi MyJPJ, portal mySikap atau kios. Ini penting supaya status lesen kembali aktif dan urusan berkaitan subsidi petrol BUDI95 tidak terjejas.
Namun, jika tempoh tamat lesen sudah melebihi 36 bulan, keadaan menjadi lebih rumit. Lesen itu dikira tidak aktif dan pemegangnya tidak lagi boleh memperbaharui secara biasa seperti kebiasaan. Mereka boleh disekat secara automatik daripada menikmati subsidi petrol BUDI95
, selain mungkin perlu melalui proses lanjut untuk mendapatkan semula lesen yang sah.Perkara ini memberi kesan besar terutamanya kepada mereka yang menggunakan kenderaan setiap hari. Tanpa kelayakan menerima subsidi petrol BUDI95
, kos pengangkutan harian boleh meningkat secara mendadak, sekali gus memberi tekanan kepada kewangan isi rumah.Bagi keluarga yang mempunyai komitmen tinggi seperti menghantar anak ke sekolah, bekerja jauh dari rumah atau menjalankan perniagaan kecil, kehilangan subsidi ini bukan sekadar isu kecil. Ia boleh memberi impak langsung kepada perbelanjaan bulanan.
Sebab itu, jangan tunggu sehingga terlambat. Semak semula tarikh tamat lesen memandu anda dan pasangan. Kadang-kadang, dalam sibuk mengurus keluarga dan kerja, perkara kecil seperti ini mudah terlepas pandang. Sedangkan kesannya besar, bukan sahaja dari segi pematuhan undang-undang, tetapi juga melibatkan hak untuk menikmati subsidi petrol BUDI95.
Buat keluarga yang menggunakan kenderaan setiap hari, pastikan dokumen penting seperti lesen memandu sentiasa aktif dan dikemas kini. Nampak remeh, tetapi inilah antara langkah kecil yang boleh membantu mengelakkan beban tambahan pada masa akan datang.
Akhirnya, kesedaran dan tindakan awal adalah kunci. Jangan biarkan kecuaian kecil menyebabkan anda terlepas manfaat penting seperti subsidi petrol BUDI95 yang sepatutnya membantu meringankan kos hidup harian.
BACA LAGI : Subsidi RM500 Untuk Yuran Kanak-Kanak Autisme 2025 Kini Dibuka!
Sumber : Bernama
FT Images: Sinar Harian dan Berita Harian