
Susulan penemuan tiga mayat reput di rumah, jiran sangka pergi bercuti. Misteri bau busuk yang terhidu dari sebuah rumah di Taman Bukit Kristal, Seremban, akhirnya membawa kepada penemuan tiga mayat dalam keadaan reput, petang semalam.
Susulan Penemuan Tiga Mayat Reput Di Rumah, Jiran Sangka Pergi Bercuti
Seorang jiran wanita, berusia lingkungan 60-an, memaklumkan dia menyangka penghuni rumah tersebut keluar kawasan kerana kali terakhir dia melihat salah seorang ahli keluarga itu adalah pada Jumaat lalu.
“Anak lelaki mereka ada datang ke rumah saya beri makan anjing, itu kali terakhir saya nampak dia. Saya sangka mereka sekeluarga keluar atau bercuti,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurutnya, rumah itu dihuni tiga sekeluarga iaitu pasangan suami isteri serta anak lelaki mereka yang difahamkan menghidap autisme dan berusia sekitar 30-an.
Namun, petang semalam seorang jiran yang tinggal berhampiran menghubungi pihak berkuasa selepas terhidu bau busuk yang datang dari rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pihaknya menerima maklumat orang awam berhubung kejadian kira-kira jam 5 petang.
“Hasil pemeriksaan selepas memotong kunci pagar rumah itu, pasukan polis menemui tiga mayat dalam keadaan mereput di dua bilik berasingan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga mayat adalah ahli keluarga warga tempatan terdiri daripada lelaki berusia 61 tahun, isterinya 59 tahun dan anak lelaki mereka berusia 30 tahun.
Tambahnya, siasatan forensik turut menemukan kesan torehan di lengan kanan anak lelaki pasangan itu, manakala mayat ibu bapanya tidak menunjukkan sebarang tanda mencurigakan.
“Empat bilah pisau yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian turut ditemui, selain kesan darah pada senjata berkenaan,” ujarnya.
Kes buat masa ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil siasatan dan laporan lanjut.
Sumber: Sinar Harian Bernama Berita Harian
Baca artikel lain juga: Tegur Remaja Main Motosikal, Warga Emas Maut Dipukul Besi Cota
Remaja OKU Sebabkan Kematian Warga Emas Kerana Ditegur Main Motosikal Didakwa
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my