Ramai menjadikan ‘window shoopping’ sebagai terapi. Tak beli pun, jamu mata dah cukup puas. Ada juga gemar ke kedai-kedai murah untuk berbuat demikian.
Begitulah perkongsian saudara Taufiq Razif mengenai isterinya.
Katanya itu terapi buat wanita yang sentiasa sibuk menguruskan rumah tangga.
Punya la bahagia isteri saya baru ni.
Baru ni kami kebetulan lalu sebelah kedai Eco. Tiba-tiba dia menonong je masuk ke kedai Eco.
Macam budak kecik yang laju je meluncur ke depan kalau mak ayah tak pimpin dia punya tangan.
Ads
Saya perhati je mimik muka dia bila masuk ke ke situ. Ceria lain macam! Padahal shopping dekat Eco je pun. Tapi dia punya suka tu lain macam.
Sebenarnya dia bukan tengok harga sangat. Dia cuma nak ‘break the routine’ je
Perempuan ni kita kena faham, rutin harian dia banyak berputar di anak, ampaian, singki dan rumah.
Ads
Kadang benda tu buatkan dia naik jemu. Rasa macam mati akal nak buat apa padahal kerja berlambak lagi nak kena buat.
Tu tanda dia dah mula tepu la tu. Jadi caranya adalah bawak je isteri pergi shopping ke jalan jalan taman bunga ke pergi zoo ke pergi pantai ke.
Tak perlu bagi alasan benda tu semua menghabiskan duit. Ingat, jaga suasana hati isteri ni adalah tanggungjawab seorang suami juga. Tu yang ramai tak tahu
Ads
InsyaAllah bila isteri makin tenang dan bahagia dia akan makin mudah untuk bahagiakan suami dan anak anaknya.
Percayalah, masa tu tak payah dan nak suruh itu suruh ini, depa sendiri yang akan buat yang terbaik untuk pasangannya!
Andai ada kesalahan yang anak-anak kita lakukan, acap kali juga kita akan mudah marah-marah hingga keterlaluan. Alasan kita biasanya untuk mendidik, apa yang kita buat ke atas mereka, kita rasakan betul dan wajar.
Namun, sekali sekala kita juga sering terlupa bahawa apa yang telah kita lakukan itu tiada kewajarannya dan akhirnya akan timbul rasa sesal di dalam diri. Perasaan yang sama juga telah dirasai oleh seorang ayah ini dan ini kisahnya dikongsikan agar turut memberi manfaat dan panduan untuk ibu ayah yang lainnya dalam mendidik anak-anak.
Ada orang tanya saya, bagaimana cara terbaik untuk mendidik anak. Saya tidak layak menjawab soalan begitu. Yang saya boleh katakan, saya bukanlah bapa yang baik, yang boleh dijadikan contoh kepada yang lain.
Ada satu peristiwa yang benar-benar sehingga kini mengganggu diri saya. Setiap kali dikenang, saya tidak malu katakan bahawa saya menangis. Pernah juga saya teresak-esak tidak dapat menahan betapa sesalnya saya berbuat perkara tidak baik dalam mendidik anak saya, Safiyyah. Apalah beban yang perlu ditanggung pada usianya yang hanya berumur empat tahun ketika itu.
Ceritanya begini.
Sejak Safiyyah mempunyai adik, dapat dilihat bahawa dia banyak cemburu. Safiyyah ini sejak lahir tidak pernah meragam besar, hanya kecil-kecil sahaja ragamnya seperti mahukan susu, mahu tidur dan mahu berjalan di luar rumah. Budaknya diam, tidak banyak bercakap. Melainkan apabila diacah oleh kami dan saudara mara.
Di dalam rumah kami, Safiyyah mempunyai motor beroda tiga berkuasa bateri yang boleh ditunggangnya di dalam rumah. Yang saya perasan, apabila adiknya Riyadh, ketika itu sudah berusia 2 tahun mahu bermain bersama, akan ditolak adiknya. Yalah, padanya itu harta dia. Budak-budak. Banyak kali saya lihat, Safiyyah suka menolak adiknya itu apabila cuba menaiki motornya.
Sampailah suatu hari pada waktu senja, mereka bergaduh pasal motor tu. Safiyyah seperti biasa akan jadi pemenang, menolak adiknya sehingga jatuh terduduk. Riyadh menangis besar.
Saya yang masa itu mahu ke bilik air untuk mandi, naik marah. Memarahi Safiyyah sunguh-sungguh dengan mengatakan padanya, dia seorang kakak yang kedekut, suka cari pasal, bencikan adik dan paling saya ingat sampai sekarang “Abah tak akan cakap lagi dengan Safiyyah”.
Kau bayangkan kawan, saya berkata kasar begitu kepada anak kecil yang baru berusia empat tahun.
Safiyyah menangis. Tersedu-sedu dan membawa diri ke bilik wan (nenek) nya. Berjalan penuh sayu, menunduk sambil tangan kanan mengesat-ngesat air mata yang jatuh berjurai di pipinya. Sayu, teramat sayu dan pilu.
Saya terus dalam keadaan marah masuk ke bilik air. Mulut masih lagi membebel. Selesai mandi saya kembali ke bilik. Sudah sahaja memakai pakaian, saya pun bersedia untuk keluar dari bilik menuju untuk bersolat maghrib di ruang tamu. Ketika mahu keluar,di dinding, bersebelahan pintu bilik, Safiyyah duduk di situ.
Dengan kedua-dua tangan memeluk lutut yang mana lututnya itu di paras dadanya, kepalanya tertunduk, dan dia kemudian memujuk saya dengan mengangkat kepala memandang ke arah saya, perlahan suaranya tersedu-sedu memanggil “Abah, abah, Safiyyah ni”.
Itulah Safiyyah. Kena marah macamana pun, tak sampai seminit dia akan cuba mengambil hati saya dengan menunggu di pintu bilik. Banyak kali sudah dibuatnya begitu.
Itulah perkara paling bodoh saya lakukan dalam hidup saya hari itu. Saya langsung tidak menyahut panggilan Safiyyah, dan lebih malang bagi Safiyyah, saya tidak langsung menghiraukannya. Terus membentang sejadah dan bersolat maghrib, dalam keadaan marah hanya reda sedikit.
Safiyyah pula, kekal duduk bersandar di dinding, dengan harapan saya akan memujuknya.
Tidak. Saya terus tidak melayannya. Keluar dari rumah, untuk ke masjid pula, saya terus dengan ego bodoh saya terhadap anak kecil itu, tidak memandang dan melayannya.
Ketika saya bergerak ke masjid dengan menaiki motorsikal, saya sempat memandang ke arah pintu cermin, kelihatan Safiyyah memandang sayu ke arah saya. Saya pula, kekal tidak pedulikannya.
Kalian tahu, hari itu anak kecil bernama Safiyyah ini diuji perasaannya pada usia begitu dengan sikap sombong dan bodoh bapanya, iaitu saya.
Sungguh, pandangan sayu Safiyyah hari itu, masih kekal dalam ingatan saya.
Didikan Terbaik
Di masjid, sebelum Ustaz Jauhari memulakan kuliahnya, beliau suka bermula dengan mukadimah berkaitan isu-isu semasa. Entah kenapa hari itu, beliau memberi peringatan dan pengajaran berkaitan mendidik anak dengan betul. Katanya:
1. Mendidik anak bukan seperti mendidik orang dewasa, perlu belaian dan kasih sayang yang berlebihan daripada walinya dan ibunya.
2. Tarik minat anak-anak dengan ilmu agama, sirah nabi.
3. Tegur anak dengan baik, bukan menengking, memboikot malah menarik muka mahupun tidak bertegur sapa beberapa hari.
4. Rujuk cara nabi Muhammad melayan anak-anak.
5. Anak kalau bergaduh sesama, itu biasa. Bagi masa untuk mereka suaikan diri, bagi peluang semua merasa dan bagi menang-menang, bukan sorang menang, sorang kalah.
6. Anak merajuk, ambil hati anak. Bukan dibiarkan begitu sahaja dengan dunia rajuknya.
7. Dengarkan anak dengan bacaan al Quran dari bibir kita sendiri, perlahan-lahan anak ini akan jadi anak yang patuh pada arahan kita, lembut hatinya mendengar kata.
Saya termenung. Semasa itulah saya sedar, betapa bodoh dan sombongnya tindakan saya terhadap Safiyyah. Tindakan paling bodoh diambil untuk budak seusia begitu. Ya Tuhan, ampuni aku.
Sesal Menyapa
Mengikut marah saya, saya lupa perasaan Safiyyah yang masih kecil. Saya lupa betapa dia perlukan kasih sayang saya. Saya lupa, betapa dia suka duduk di atas riba saya. Saya lupa, bahawa umurnya ketika itu baru empat tahun. Saya silap, bukan itu didikan untuk Safiyyah pada usianya begitu. Saat itu, hati saya mendesak untuk pulang segera, bertemu dan memeluknya erat sepuas-puasnya.
Selesai solat isyak, saya lekas pulang. Hati saya memberontak, mahu terus berjumpa dengan puteri si jantung hati saya. Sesampainya di rumah, isteri membuka pintu, kemudian berkata pula dalam sayu,
“Kasihan Safiyyah. Dia sudah tidur, menangis tidak henti-henti. Abang ni, nak marah ke budak pun, janganlah sampai begitu sekali sikapnya. Tak layan ke dia, tak pandang ke dia, tak tegur ke dia. Apalah yang dia tahu pada umurnya begitu. Dunianya hanya kegembiraan, dunianya hanya penuh permainan yang menyeronokkan. Dunianya, sudah pasti ada cemburu pada adik-beradiknya. Kita pun begitu kan dulu-dulu?”
Saya terduduk di atas sofa. Menghadap wajah Safiyyah yang sedang lena di atas toto, dibentang di ruang tamu. Wajah comel itu, sayu dan menyimpan rindu buat ayah yang baru sahaja memarahinya tanpa memikirkan tahap usianya, tanpa memikirkan bahawa Safiyyah itu anak perempuan, yang memerlukan kelembutan dalam asuhan berbeza dengan lelaki.
Saya, bertegas tidak bertempat. Itu semua mencipta tindakan bodoh dari diri sendiri.
Saya perlahan turun dari sofa dan merapati Safiyyah. Mengusap-ngusap kepalanya, menyentuh lembut pipinya. Ketika jari saya menyentuh tapak tangannya, seakan dia tahu ketika itu saya yang menyentuhnya, cepat dia menggenggam dengan jari kecilnya. Erat. Lama bagai tidak mahu dilepaskan.
Saya sebak. Menyesal dengan tindakan melulu saya, menyesal dengan dosa yang telah saya lakukan kepada Safiyyah. Entah kenapa saya hari itu, menuruti kata syaitan memenuhi nafsu amarah, meninggi ego kononnya saya betul lakunya.
Anak Anugerah Agung
Wahai kawan,
Anak ini anugerah agung kurniaan Allah. Didiklah mereka dengan jalan dan ajaran yang betul dan benar. Tegurlah mereka, perbaikilah sikap mereka mengikut usianya, berikanlah kasih dan sayang sepenuhnya selagi berpeluang. Kawal emosi kita ketika berhadapan dengan mereka. Berikan masa untuk mereka bermanja dengan kita, luangkan masa untuk bersama bergurau senda bermain.
Saya pernah tersasar dalam memperbaiki sikap anak. Betapa sakitnya dan perasaan sesal itu kekal terpahat dijiwa sehingga sekarang. Tak pernah pudar walau sesaat.
Anak menghadirkan berkat dan rahmat buat kita, menambah rezeki keluarga. Tidak pula mereka membebankan kita, apatah lagi menyusahkan hidup kita.
Hadir mereka membawa keindahan dalam kehidupan berkeluarga. Indah jugalah hendaknya cara didikan kita, kelak harapannya apabila membesar setiap tahun, mereka mengikut segala didikan dan ajaran yang baik-baik, dan dapat menempuh alam kehidupan penuh cabaran dengan berpandukan jalan-jalan disukai agama dan masyarakat.
Mereka, pengirim doa bahagia kita di sana, asuhlah sebaiknya.
sumber : WS Adli,
Belajar dari kesalahan dan kesilapan diri.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Kebanyakan orang sering mengabaikan kebersihan bilik mandi atau tandas kononnya ruang yang tidak penting. Tetapi sebenarnya, bilik mandi adalah cerminan peribadi terhadap empunya rumah sama ada pembersih atau tidak.
Bayangkan jika ada tetamu datang ke rumah dan ingin menggunakan tandas atau bilik air di rumah. Pasti anda malu bila dikatakan tidak menitikberatkan soal kebersihan dan dilabel sebagai seorang yang pengotor.
Elakkan masalah ini, jom belajar cara mudah untuk hilangkan kotoran degil dalam bilik air dan tandas. Sedikit sahaja masa yang diperlukan bagi memastikan bilik air dan tandas anda sentiasa bersih dan selesa.
Bahan yang diperlukan
160gm baking soda
60 ml jus lemon
1/2 tbsp Cuka
1tbsp Hidrogen peroksida
15-20 titik wangi-wangian
Cara-Cara
Campurkan baking soda dan jus lemon ke dalam bekas.
Dalam bekas lain campurkan hidrogen peroksida dan cuka.
Masukkan campuran hidrogen tadi ke dalam campuran baking soda sikit demi sedikit.
Tambahkan pewangi pilihan anda ke dalam campuran tadi.
Bentukkan campuran tadi secara bulat dan susun atas kertas kering.
Biarkan kering selama 4 jam sebelum digunakan.
Simpan dalam bekas kedap udara dan gunakan bila perlu.
Tip tandas sentiasa bersih dan wangi
Luangkan kira-kira 5 minit setiap hari sebelum mandi untuk mencuci bilik air dan tandas di rumah anda.
Letakkan sahaja sedikit cecair pencuci ke atas span dan gosok dinding, sinki dan lantai bilik air.
Gunakan berus untuk membersihkan mangkuk tandas.
Gunakan bahan peluntur untuk membersihkan jubin tandas yang berlumut. Tuang bahan peluntur yang telah dicampur dengan sedikit air ke atas lantai. Berus dan biarkan selama sejam sebelum bersihkan dengan air.
Gosok segala kotoran dari sinki dan mangkuk tandas sekurang-kurangnya seminggu sekali atau dua minggu sekali. Gunakan berus ketika menggosok dinding dan lantai tandas dan bilik air.
Gantungkan pewangi yang sesuai di dalam tandas untuk menyingkirkan bau yang kurang menyenangkan.
Panduan Menghias Bilik Mandi
Sediakan rak untuk meletakkan ubat gigi, berus gigi, syampu dan sabun.
Pasang cermin muka di dinding bilik air.
Sediakan penyangkut untuk menggantung tuala dan pakaian
Hias dinding dengan bunga plastik atau daun hijau untuk menyerikan lagi ruang bilik air.
Petua Membersihkan Mangkuk Tandas Yang Kotor Dan Berkerak
Tuang cuka ke dalam mangkuk tandas dan biarkan untuk beberapa jam.
Gosok mangkuk tandas menggunakan berus.
Selepas kesemua kotoran berjaya ditanggalkan, siram dengan air bersih.
Selain daripada cuka, boleh gunakan satu tin air coke. Cara pembersihan adalah sama.
Petua Bersihkan Kotoran Degil Pada Lantai
Ambil kapur sirih dan campurkan dengan air.
Tuangkan campuran itu ke lantai dan biarkan selama beberapa minit.
Selepas itu cuci menggunakan pencuci lantai.
Ulangi proses ini sehingga lantai bilik air benar-benar bersih.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Murid perempuan darjah enam maut dipercayai disambar petir di Kampung Baru Sungai Raya Luar, Gua Musang, Kelantan, hari ini.
Difahamkan ketika kejadian, kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun ini ketika sedang berbual dengan rakannya menggunakan telefon pintar.
Memetik laporan Kosmo, mangsa, Nur Asyqin Qistina M. Nor Zawawi, 12, yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis ditemukan terbaring di dalam bilik tidurnya dengan kesan terbakar pada bahagian lengan.
Dapatkan My Qalam Elite Digital Perjuzuk Set dengan diskaun RM5 apabila anda menggunakan kod KELGST5 di sini
BUNYI DENTUMAN PETIR KUAT
M. Nor Zawawi memberitahu ketika kejadian dia dikejutkan dengan bunyi dentuman petir yang sangat kuat sebelum dimaklumkan oleh isteri mengenai keadaan anak keempatnya
“…isteri memaklumkan anak keempat daripada lima beradik telah pengsan di tempat tidur sambil tangan kanannya memegang telefon bimbit.
KESAN MELECUR
Jelasnya lagi, terdapat kesan melecur pada tangan kanan anaknya selain bahagian tilam tempat tidur Nur Asyqin Qistina turut menunjukkan kesan terbakar.
Bapa mangsa memaklumkan, anaknya dibawa ke Klinik Kesihatan Kuala Betis dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas sebelum di bawa ke Hospital Gua Musang untuk tindakan lanjut sebelum proses pengebumian.
Zara Qairina kembali menjadi perhatian apabila ucapan “Sanah Helwah Raa” daripada ibunya mengundang sebak ramai, menggambarkan rindu yang tidak pernah padam.