Berita

“Teruja Ambil Kereta Baru…” 6 Sekeluarga Maut Di Sungai Petani, Polis Minta Henti Spekulasi

Share

Kegembiraan sebuah keluarga yang teruja mengambil kereta baharu bertukar tragedi memilukan apabila enam sekeluarga maut dalam kemalangan membabitkan sebuah Proton X50 dan lori muatan tanah di Kampung Baru Pinang Tunggal, Sungai Petani, Kedah.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang pada Ahad, enam mangsa termasuk seorang bayi berusia dua bulan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dilaporkan cedera parah pada bahagian muka dan menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

Gambar ihsan Bomba.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba Fauzi Shuaib, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.46 petang sebelum anggota bergegas ke lokasi bersama bantuan BBP Sungai Petani.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, pihak bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah Proton X50 dengan sebuah lori muatan tanah 10 tan.

“Komander operasi melaporkan, terdapat keseluruhan tujuh mangsa dalam kereta terbabit dan enam daripadanya meninggal dunia selepas disahkan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Seorang lagi mangsa yang cedera dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM, manakala pemandu lori dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

Pagi Teruja Ambil Kereta Baru, Sempat Ziarah Kubur Arwah Bapa

Lebih memilukan, Proton X50 yang dinaiki mangsa difahamkan baru sahaja diambil pada pagi hari kejadian di sebuah pusat jualan di Juru, Pulau Pinang.

Kenderaan utiliti sukan (SUV) itu dikatakan milik Ahmad Fahim Ahmad Shukri, 21, yang mengambil kereta berkenaan sekitar jam 11 pagi sebelum mereka meneruskan perjalanan ke Merbok, Kedah.

Menurut ahli keluarga, mereka sempat meluangkan masa menziarahi kubur arwah bapa sebelum tragedi hitam itu berlaku.

Gambar Wan Nabil Nasir: Ahli keluarga 6 sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Kampung Baru Pinang Tunggal, Sungai Petani.

Suasana di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar turut dilaporkan suram apabila ahli keluarga berkumpul menunggu proses bedah siasat selesai.

Lebih menyayat hati, anak saudara kepada mangsa yang maut dipercayai mengikuti bapa saudaranya pada saat akhir kerana begitu teruja mahu menaiki kereta baharu tersebut.

Bapa kepada kanak-kanak itu, Ibrahim Ghazali, 39, berkata anak lelakinya yang berusia tujuh tahun begitu gembira untuk mengikuti keluarga berkenaan.

“Pagi ni mereka seronok sangat nak ambil kereta dan sempat ambil gambar kereta baru keluar termasuk anak saya. Dia nak naik kereta tu.

“Namun tak sangka semuanya berlaku sekelip mata,” katanya.

Anggota Polis, Jururawat Antara Mangsa Terkorban

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah memaklumkan pemandu Proton X50 itu ialah Ahmad Syafiq Ahmad Shukri, 29, seorang anggota polis berpangkat koperal yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

Turut terkorban ialah isterinya, Jamaliah Sannusi, 29, yang merupakan jururawat di Hospital Sungai Bakap, anak mereka Ahmad Mikail Ahmad Syafiq berusia dua bulan, ibu mangsa, Nora Mohd Husin, 55, serta adiknya, Ahmad Fahim Ahmad Shukri, 21.

Anak saudara mereka, Iskandar Affan Ibrahim, 7, turut maut dalam nahas berkenaan.

Sementara itu, anak pasangan terbabit, Aulia Sofea Ahmad Syafiq, 3, dilaporkan cedera parah pada bahagian muka dan sedang menerima rawatan di hospital.

Polis Minta Orang Ramai Henti Spekulasi

Dalam perkembangan sama, polis meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kemalangan tragis itu yang kini tular di media sosial.

Datuk Adzli berkata, pelbagai dakwaan tidak benar mula tersebar termasuk tuduhan bahawa pemandu lori berada di bawah pengaruh alkohol serta dakwaan berbaur perkauman.

“Ada orang cakap dekat saya pemandu lori itu mabuk serta menyatakan bangsa pemandu itu. Di sini saya ingin maklumkan bahawa mangsa berbangsa Melayu dan pemandu lori itu juga berbangsa Melayu, jadi tindakan itu sangat tidak bertanggungjawab.

“Siasatan awal juga mendapati lori itu dipandu hanya 60 kilometer sejam, tapi ada juga pihak yang kata kenderaan itu mungkin bermasalah kerana baharu sahaja dikeluarkan.

“Jadi kita akan siasat semua aspek termasuk akan menghantar SUV itu ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Menurut beliau, saringan air kencing terhadap pemandu lori didapati negatif. Bagaimanapun, pemandu berkenaan mempunyai tujuh rekod saman.

Pemandu lori itu ditahan dan akan direman bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Senarai Mangsa Maut

Mangsa yang maut dalam nahas berkenaan ialah:

  1. Ahmad Syafiq Ahmad Shukri, 29
  2. Ahmad Fahim Ahmad Shukri, 21
  3. Jamaliah Sannusi, 29
  4. Nora Mohd Husin, 55
  5. Iskandar Affan Ibrahim, 7
  6. Ahmad Mikail Ahmad Syafiq, 2 bulan

Mangsa cedera ialah Aulia Sofea Ahmad Syafiq, 3.

Tragedi ini benar-benar meruntun hati ramai. Dalam sekelip mata, kegembiraan sebuah keluarga bertukar duka yang cukup berat untuk ditanggung ahli keluarga yang ditinggalkan.

Semoga roh semua mangsa dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Salam takziah buat seluruh ahli keluarga. Semoga mereka diberi kekuatan menghadapi ujian yang amat besar ini.

BACA LAGI : Tragedi Lubang Benam Masjid, Keluarga Vijaya Tuntut Pampasan RM824,000

Sumber: Harian Metro (1), (2), (3), (4)

FT Image: Wan Nabil Nasir