Hati siapa yang tak luluh bila membaca kisah seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat, ditinggalkan di peti pelindung bayi bersama dua keping nota kecil.
Dalam nota tersebut, terselit harapan yang menyayat hati memohon agar si kecil itu dibesarkan dengan penuh kasih sayang.
Memetik laporan Sinar Harian, ketika ditemui bayi berkenaan ditinggalkan bersama dua keping nota. Nota berkenaan memohon supaya bayi berjantina perempuan itu dijaga dengan penuh kasih sayang. Bukan itu sahaja, turut memesan supaya nama bayi itu tidak diubah.
Menurut Pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda, Nur Halimatussa’diyah Abu Yazid berkata, nota dipercayai diletakkan ibu bapa bayi tertulis dengan beberapa ayat.
“Ayat tersebut ialah ‘Tolong jaga anak kami dengan baik dan penuh kasih sayang. Maaf sebab susahkan. Kalau boleh tolong jangan ubah nama anak ini. Terima kasih banyak-banyak’.
“Satu nota lagi ditulis perkataan ‘Alia Majidah binti Al-Hafiz/Abdullah’,”katanya.
Ads
Menurut Nur Halimatussa’diyah, kejadian pada jam 12.05 tengah malam 15 September itu disedari petugas Orphan Care Foundation, Taman Ria Jaya di sini setelah loceng penggera dibunyikan secara automatik apabila bayi diletakkan dalam peti pelindung.
“Bayi yang dipercayai dilahirkan pada 14 September itu dibalut menggunakan tuala dan dihantar bersama lampin pakai buang serta dua nota tersebut,” katanya.
KINI BAYI SUDAH BERUSIA 2 BULAN
Ads
Bagaimanapun, bayi perempuan yang kini memasuki usia lebih dua bulan itu, telah dipersetujui didaftarkan atas nama Alia Majidah Abdul Hafiz.
Nur Halimatussa’diyah berkata, pada 29 Oktober lalu, satu perintah jagaan sementara telah diperoleh sebagai keizinan meletakkan bayi di tempat selamat.
Ads
Jelasnya, tujuan siaran media ialah bagi mengenal pasti waris bayi perempuan berkenaan sebelum tindakan lanjut dilakukan.
“Orang ramai yang mengetahui sebarang maklumat berkaitan bayi terbabit, diminta menghubungi Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda di talian 04-4204900,” katanya.
Tambah beliau, sekiranya tiada waris yang tampil selepas tempoh tuntutan tamat, bayi berkenaan akan diserahkan kepada orang layak dan sesuai untuk dipelihara.
Sumber: Sinar Harian
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Ibu Mangsa Tikam: “Ibu akan sentiasa menyayangi dan merindui kamu, selalu.”
Memetik kosmo online, itulah luahan penuh kasih daripada seorang ibu kepada anak perempuannya yang pergi meninggalkan dunia dalam kejadian tragis baru-baru ini. Kata-kata itu menyentuh hati ramai rakyat Malaysia apabila dikongsikan di media sosial, menggambarkan kasih sayang yang tidak pernah pudar walaupun terpisah oleh maut.
Dalam hantaran di laman Facebook, wanita itu menzahirkan rasa rindu yang mendalam terhadap anak perempuannya yang berusia 16 tahun. Beliau menggambarkan anaknya sebagai seorang yang penyayang, berdisiplin, dan sentiasa mengambil berat terhadap keluarga serta rakan-rakan di sekelilingnya.
“Dia seorang anak yang sangat penyayang, baik hati dan berdisiplin. Sejak kecil, dia tidak pernah membuat kami risau. Dia sentiasa mengambil berat terhadap ibu bapa dan orang lain,” tulisnya dalam hantaran berkenaan.
Beliau turut menyifatkan anaknya sebagai seorang pelajar yang bijak, disenangi rakan-rakan dan disayangi oleh semua ahli keluarga. Walaupun pemergiannya amat perit untuk diterima, si ibu tetap mengungkapkan rasa syukur kerana dikurniakan anak seindah itu, walau hanya untuk seketika.
“Anak seindah itu, namun ditimpa nasib yang begitu kejam. Saya benar-benar kehilangan kata-kata, hati saya amat sakit. Semoga dia berada dalam keadaan baik di dunia lain, semoga rohnya tenang dan bahagia,” tulisnya lagi.
Luahan penuh emosi itu mendapat perhatian ramai warga maya yang menzahirkan ucapan takziah serta doa buat keluarga mangsa. Ramai turut menyatakan rasa simpati dan menitipkan kata semangat agar ibu tersebut terus tabah menghadapi ujian berat itu.
Wanita berkenaan juga berterima kasih kepada rakan serta kenalan yang tampil memberikan sokongan moral dan doa agar keluarganya terus kuat melalui saat duka tersebut.
Kejadian ini membuka mata banyak pihak tentang pentingnya kasih sayang, perhatian, dan keselamatan anak-anak di rumah mahupun di sekolah. Ia menjadi peringatan kepada semua agar tidak mengambil ringan aspek kesejahteraan mental dan emosi remaja pada zaman moden ini.
Kasih seorang ibu tidak pernah berakhir. Walau anak telah pergi, doa dan cinta seorang ibu akan terus hidup dalam setiap hela nafas dan kenangan. Semoga roh anak ini ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan keluarganya diberi kekuatan menghadapi kehilangan ini dengan tabah.
Kronologi kes bunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu yang merobek hati. Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 kali sebatan ke atas seorang bekas pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu berusia 20 tahun selepas didapati bersalah membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, pada Mac tahun lalu.
Hakim Datuk Duncan Sikodol pada prosiding penetapan hukuman hari ini turut memerintahkan 12 tertuduh yang masih di bawah umur dipenjara selama diperkenankan Yang Dipertua Negeri Sabah atas kesalahan sama.
Pada 22 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Tawau memutuskan 13 remaja berusia antara 16 hingga 19 tahun terbabit bersalah membunuh Mohamad Nazmie Aizzat.
Hakim Duncan ketika membacakan keputusan itu berkata semua tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
MEREKA DITUDUH BERSAMA-SAMA MEMBUNUH MOHAMAD NAZMIE AIZZAT, 17, DI BILIK ASRAMA KOLEJ BERKENAAN PADA JAM 9 MALAM 21 MAC HINGGA 7.38 PAGI 22 MAC TAHUN LALU.
Mohamad Nazmie Aizzat atau lebih mesra dengan panggilan ‘Ijat’ ditemui mati selepas disyaki dipukul beramai-ramai oleh 13 rakan di bilik asrama 7 Resak dan 5 Belian antara jam 9 malam pada 21 Mac sehingga jam 7.38 pagi pada 22 Mac, di kolej berkenaan.
Kejadian disyaki berpunca perselisihan faham berhubung isu kehilangan wang milik dua daripada 13 tertuduh.
Berikut kronologi dan fakta kes bunuh Mohamad Nazmie Aizzat:
23 Mac 2024 – 13 remaja lelaki ditahan reman selama enam hari sebelum disambung sehingga 4 April.
2 April 2024 – 13 remaja itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Lahad Datu atas pertuduhan membunuh (tiada pengakuan direkodkan)
13 Jun 2024 – Mahkamah Tinggi Tawau menolak permohonan ikat jamin bagi tujuh tertuduh kerana tiada alasan istimewa dikemukakan, selain permohonan bersifat pramatang dan kes belum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
16 Mei 2024 – Mahkamah Majistret Lahad Datu menetapkan tarikh 27 Jun untuk sebutan semula kes sementara menunggu hasil laporan kimia dan bedah siasat.
25 Julai 2024 – Prosiding sebutan semula kes dijalankan secara tertutup di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.
13 Ogos 2024 – Semua 13 tertuduh didakwa di Mahkamah Tinggi Tawau atas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mereka mengaku tidak bersalah dan mahkamah tetapkan 10 hari perbicaraan.
19 November 2024 – Hari pertama prosiding perbicaraan peringkat pendakwaan. Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif dalam ucapan pembukaannya menegaskan pihaknya akan membuktikan semua 13 tertuduh terbabit memukul sehingga membawa kepada kematian mangsa.
19 November 2024 – Hakim Mahkamah Tinggi Tawau, Datuk Duncan Sikodol melawat lokasi kejadian di bilik asrama Kolej Vokasional Lahad Datu.
20 November 2024 – Perbicaraan hari kedua ditangguhkan susulan bantahan daripada peguam berhubung isu lantikan peguam. Tarikh baharu ditetapkan 26 November 2024.
26 November 2024 – Keterangan saksi-saksi pendakwaan. Warden asrama, Nuhrullah Aminuddin, dalam keterangannya memaklumkan Allahyarham ditemukan dalam keadaan sudah tidak sedarkan diri semasa kejadian kira-kira jam 6.30 pagi pada 22 Mac. Bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sempat diberikan kepada mangsa.
27 November 2024 – Penolong Pegawai Perubatan di Hospital Lahad Datu, Mohammad Zul Amree Hamzah mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia antara satu hingga dua jam sebelum pasukan perubatan tiba mengesahkan kematian jam 7.38 pagi 22 Mac.
27 November 2024 – Pakar Patologi Forensik, Dr Dzureena Abdul Mutalib, 39, mengesahkan punca kematian mangsa disebabkan kecederaan dada dan tisu lembut akibat trauma tumpul. Sebanyak 107 kesan kecederaan pada hampir keseluruhan tubuh (boleh diselamatkan jika segera dihantar ke hospital untuk mendapat rawatan)
27 November 2024 – Siti Hamidah Jumari, 45, ibu kepada Allahyarham menangis ketika diminta membuat pengecaman gambar arwah anaknya. Hanya dapat membuat pengecaman pada sekeping gambar (gambar nombor 12) kerana sukar mengawal perasaan sedih.
27 November 2024 – Hakim Datuk Duncan Sikodol mengeluarkan amaran kepada keluarga tertuduh di mahkamah supaya tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
28 November 2024 – Saksi dakwa nampak mangsa dipukul empat tertuduh di Bilik 7 Resak kira-kira jam 9 malam pada 21 Mac, namun tidak melaporkan kejadian itu kepada warden asrama kerana tidak mahu terbabit dan takut dipukul.
29 November 2024 – Saksi mendakwa perselisihan faham berhubung kecurian wang dipercayai menjadi punca mangsa dipukul walaupun menafikan melakukan perbuatan itu.
2 Disember 2024 – Saksi pendakwaan ke-12 (PW12) mendakwa melihat 10 tertuduh ‘mengerumuni’ mangsa ketika berada di bilik asrama kolej berkenaan.
4 Disember 2024 Mohamad Nazmie Aizzat tidak bangun ketika dikejutkan untuk bersahur kira-kira jam 3.40 pagi 22 Mac selepas dipukul dalam bilik Asrama 5 Belian, pada malam sebelumnya.
5 Disember 2024 – Saksi pendakwaan PW19, memberitahu mahkamah Mohamad Nazmie Aizzat mengaku ada mengambil wang milik dua daripada 13 tertuduh sebelum memulangkannya semula, menyebabkan dia dipukul pada malam 21 Mac 2024.
5 Disember 2024 Peguam dakwa saksi pendakwaan tidak kompeten dan berbohong selepas gagal memberikan jawapan munasabah termasuk tidak mengetahui tarikh pernyataan saksinya disediakan.
6 Disember 2024 Pegawai forensik PDRM menemukan kesan darah pada lantai dan tilam bilik asrama 7 Resak, 5 Belian dan 7 Belian di kolej berkenaan yang dipasang tali kuning ketika menjalankan siasatan di lokasi kejadian, kira-kira jam 10 pagi pada 24 Mac.
9 Disember 2024 – Pendakwaan menutup kes selepas panggil 25 saksi.
28 Februari 2025 Mahkamah perintah 13 tertuduh bela diri. Hakim Datuk Duncan Sikodol memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie terhadap semua 13 remaja.
10 Mac 2025 – Kes pembelaan bermula dengan keterangan semua tertuduh diberikan secara bersumpah dari kandang saksi. Dua tertuduh mendakwa mereka dipaksa membuat pengakuan berhubung kematian mangsa.
12 Mac 2025 – Tertuduh pertama mendakwa hanya menolak dan menepis bahu mangsa.
13 Mac 2025 – Tertuduh keenam mengaku memukul dan menendang mangsa kerana kecewa.
14 Mac 2025 – Tertuduh kelapan mendakwa tidak nampak mangsa dibelasah beramai-ramai.
15 Mac 2025 – Tertuduh kesembilan mendakwa dihasut untuk memukul mangsa. Prosiding pembelaan ditutup selepas 18 saksi, termasuk semua tertuduh, selesai memberi keterangan.
29 April 2025 – Pendakwaan memfailkan hujahan bertulis
6 Mei 2025 – Pembelaan mengemukakan hujahan balas.
11 Jun 2025 – Keputusan kes yang sepatutnya dijadualkan hari ini ditangguh ke tarikh lain sebanyak tiga.
22 Ogos 2025 – Mahkmah dapati semua 13 tertuduh bersalah mengikut Seksyen 302 dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.
28 Ogos 2025- Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 kali sebatan ke atas seorang bekas pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu berusia 20 tahun selepas didapati bersalah membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, pada Mac tahun lalu.
Hakim Datuk Duncan Sikodol pada prosiding penetapan hukuman hari ini turut memerintahkan 12 tertuduh yang masih di bawah umur dipenjara selama diperkenankan Yang Dipertua Negeri Sabah atas kesalahan sama.
Mahkamah ada kuasa arahkan gali semula kubur Zara Qairina untuk bedah siasat jika perlu. Mahkamah di Malaysia mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan perintah menggali semula kubur bagi mengeluarkan jenazah, khususnya untuk tujuan menjalankan bedah siasat semula, selaras dengan peruntukan dalam Kanun Tatacara Jenayah.
Menurut Peguamcara dan Peguambela, Nor Zabetha Muhamad, walaupun mayat yang telah lama dikebumikan tidak lagi mempunyai tisu lembut yang boleh dinilai kerana proses pereputan, namun kecederaan pada tulang masih boleh dikesan dan menjadi bukti penting.
Katanya, perkara ini pernah dijelaskan oleh Ketua di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh ketika memberikan keterangan dalam kes kematian Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain.
“Saya ambil keterangan Ketua di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh dalam kes kematian kadet Zul Farhan (PP lwn. Muhammad Akmal Zuhairi Akmal & Ors [2024] 1 CLJ 795).
“Bagi orang Islam perlu mendapatkan keizinan khas Jabatan Agama Islam Negeri. Bagaimanapun, sudah tentu jika mayat mangsa dikeluarkan, keadaannya tidak sama tetapi banyak kecederaan tulang akan kelihatan.
“Sebenarnya terdapat banyak kes di Malaysia, jenazah yang ditanam telah digali semula ‘exhume’ atau ‘exhumation’ untuk bedah siasat,” katanya menerusi Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini, tular kisah seorang ibu, Noraidah Lamat yang memohon bantuan guaman untuk memulakan proses menggali semula kubur anaknya, Zara Qairina Mahathir bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan terhadap kematiannya.
Nor Zabetha turut berkongsi satu lagi kes melibatkan kematian Dr Sebastian Joseph, di mana bapa mangsa, Joseph Anthony telah memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk mengebumikan semula mayat anaknya bagi menjalani bedah siasat kali kedua pada 7 Januari 2015.
Beliau menjelaskan bahawa hasil bedah siasat kedua mendakwa bedah siasat pertama dilakukan secara cuai dan tidak mengikut piawaian profesional, manakala siasatan polis pula dikatakan tidak dijalankan dengan teliti.
“Jadi Plaintif sebagai bapa menyaman pegawai perubatan, polis, pengarah hospital, Ketua Polis dan Kerajaan Malaysia.
“Dalam kes ini terdapat isu-isu tentang kedudukan undang-undang antaranya kewajipan pegawai perubatan adalah untuk kepentingan masyarakat dan bukan pada keluarga, terdapat isu had masa.
“Berdasarkan Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948, tindakan terhadap pegawai awam atau pihak berkuasa Awam mestilah dalam tempoh tiga tahun dari perbuatan. Memandangkan tindakan ini diambil melebihi tiga tahun, jadi tuntutan plaintif ditolak,” jelasnya.
Selain itu, Nor Zabetha juga mengulas kes Zahidah Ahmad dan adik tirinya Maznah, di mana pihak polis telah mendapatkan perintah mahkamah untuk menggali semula jenazah ibu tiri mereka, Tanziah Zainuddin, yang telah dikebumikan tanpa sebarang bedah siasat.
Ketika memandikan jenazah, keluarga menyedari adanya kesan lebam namun urusan pengebumian tetap diteruskan. Namun kemudian, gelang emas milik Allahyarham didapati hilang dan ditemui telah digadai oleh teman lelaki Zahidah, menyebabkan keluarga mengesyaki unsur jenayah dan membuat laporan polis.
“Sewaktu memandikan jenazah, ahli keluarga nampak kesan lebam tetapi meneruskan urusan pengebumian.
“Selepas kejadian, gelang emas mangsa hilang dan dijual di kedai pajak oleh teman lelaki Zahidah.
“Ahli keluarga mula syak terdapat unsur jenayah, laporan polis dibuat. Setelah mayat digali, bedah siasat dijalankan namun punca kematian tidak dapat dipastikan kerana pereputan,” katanya.
Kedua-dua tertuduh dalam kes ini akhirnya dijatuhi hukuman. Maznah dikenakan perintah tahanan di bawah Yang di-Pertuan Negeri disebabkan statusnya sebagai remaja semasa kejadian. Zahidah pula disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan dijatuhi hukuman penjara selama 30 tahun.
“Keputusan untuk menggali semula mayat bukan mudah tetapi ahli keluarga akan cuba mencari keadilan sewajarnya kerana mereka mahukan jawapan,” tambah Nor Zabetha.