
Hasrat sepasang pengantin untuk menikmati detik bahagia pada majlis bertandang di Kuala Lumpur bertukar cemas apabila pengantin lelaki tercekik tulang ikan ketika menikmati hidangan makan beradab.
Kejadian itu menyebabkan Muhammad Haziq Rusle, 26, mengalami muntah dan sedikit sesak nafas sebelum dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Isterinya, Hareena Fatini Mohd Tahar, 28, berkata, suaminya pada awalnya memaklumkan terasa seperti tercekik tulang ikan ketika mereka sedang menikmati hidangan pada Sabtu lalu.
Menurut Hareena, suaminya makan seperti biasa dan tidak gelojoh, namun dipercayai tidak menyedari terdapat tulang pada ikan yang dimakan.
Pengantin Lelaki Terasa Tercekik Tulang Ikan Ketika Makan Beradab
“Suami beritahu dia rasa seperti tercekik tulang ikan. Saya terus panik dan mengajaknya ke belakang pelamin untuk ke tandas.
“Dalam perjalanan ke tandas, dia berlari sebelum muntah dan selepas itu nampak seperti sudah semakin baik,” katanya.
Walaupun keadaan kelihatan reda seketika, pasangan itu masih berhati-hati kerana bimbang terdapat kecederaan pada bahagian tekak akibat tulang ikan tersebut.
Selepas keadaan dilihat semakin baik, pasangan itu kembali semula ke meja makan. Ibu bapa Hareena kemudian menyarankan Muhammad Haziq menelan nasi yang digumpal bagi menghilangkan rasa tidak selesa pada tekak.
Bagaimanapun, suaminya masih berasa sakit sebelum keadaan kembali mencemaskan ketika mereka mahu meneruskan sesi bergambar bersama keluarga.
“Saya nampak matanya sudah merah dan bertanya sama ada dia okey atau tidak. Ketika saya mahu mengambil air, dia datang kepada saya sebelum tiba-tiba muntah di kawasan tempat makan.
“Apabila dia mula muntah-muntah dan mengalami sedikit sesak nafas, kami terus membawanya untuk mendapatkan rawatan,” ujarnya.
Hareena berkata, mereka pada mulanya membawa Muhammad Haziq ke sebuah klinik, namun dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan lanjut di hospital berdekatan.
Di hospital, suaminya menjalani pemeriksaan termasuk X-ray dan diberikan ubat tahan sakit sebelum mereka dibenarkan kembali sementara ke dewan kerana perlu menunggu ketibaan doktor pakar.
“Kami mempunyai tempoh kira-kira sejam sebelum doktor pakar tiba dan doktor benarkan kami kembali ke dewan untuk menyelesaikan majlis.
“Suami juga mahu kembali kerana kasihan ramai rakannya sudah datang. Dia agak sedih kerana tidak sempat bertemu mereka sedangkan majlis perkahwinan sepatutnya menjadi peluang untuk berjumpa dengan rakan-rakan,” katanya.
Selepas majlis berakhir kira-kira jam 4 petang, pasangan itu kembali semula ke hospital untuk pemeriksaan lanjut oleh doktor pakar.
Menurut Hareena, pemeriksaan menggunakan kamera mendapati terdapat kesan luka akibat tulang ikan. Bagaimanapun, tulang tersebut sudah tiada dan berkemungkinan telah masuk ke dalam perut.
Dalam pada itu, Hareena berkata, kejadian cemas berkenaan meninggalkan trauma kepada suaminya. Malah, Muhammad Haziq mengakui serik untuk menikmati hidangan ikan buat sementara waktu.
“Dia memang cakap selepas ini tidak mahu makan ikan. Mungkin ambil masa untuk dia makan ikan semula kerana masih trauma, tambahan pula kejadian itu berlaku ketika majlis bertandang kami,” katanya.
Syukur keadaan Muhammad Haziq tidak melarat dan pasangan ini masih dapat menyempurnakan majlis mereka. Moga insiden cemas ini menjadi kenangan yang akhirnya dikenang dengan penuh rasa syukur dalam perjalanan rumah tangga mereka.
BACA LAGI : Anak Nasir Bilal Khan Bertunang, Wajah Manis Bakal Pengantin Curi Perhatian Netizen
Sumber : Sinar Harian