Macam-macam cerita kita dengar tentang hubungan menantu dan mentua. Ada yang manis, ada pula penuh dengan kemarahan dan kekecewaan.
Alangkah bertuah menantu dan mentua yang hubungannya sentiasa wangi dan mesra. Dan betapa pedihnya bagi mereka yang hubungannya sentiasa panas dan meruncing.
Apabila menantu dan mentua tidak sebulu, orang lain dalam keluarga akan turut sama merasakan tempiasnya, terutama anak@pasangan dan juga cucu-cucu yang ada. Tentu tidak menyenangkan apabila cucu-cucu atau anak-anak melihat nenek dan orang tua mereka bermasam muka serta tidak bertegur sapa.
Ada beberapa perkara penting yang perlu kita pahat di kepala dan juga jiwa:
Bagi mentua, ingatlah bahawa menantu itu pilihan anak kita. Tentu ada yang menarik dan baik tentangnya yang membuatkan anak kita tertarik. Pada menantu pula, walau macam mana jahat pun mentua di mata kita, cuba fikirkan bahawa pasti ada kualiti baik dalam dirinya kerana merekalah orang yang bersusah payah membesarkan individu yang kita pilih menjadi pasangan hidup kita.
Jangan sesekali memburukkan mentua@menantu pada pasangan@anak kita. Mungkin dia sedar atau tahu tentang perangai keluarga@pasangannya, tetapi rasa kasih atau menyebabkan mereka tetap mempertahankan apa yang dilakukan oleh orang tua atau pasangan mereka itu.
Sentiasalah bersikap positif terhadap menantu@mentua kita. Ini membuatkan kita dapat melihat mereka daripada perspektif berbeza. Ia akan secara perlahan-lahan dapat meleraikan segala kekusutan.
Jangan terlalu sensitif. Sebagai mentua, ada kalanya kita cepat sangat tersentuh atau kecil hati dengan menantu. Ini mungkin sebab kita bimbang kehilangan kasih sayang anak yang kini sudah menjadi milik orang. Sepatutnya perasaan seperti ini tidak timbul dan kita patut berlapang dada menerima kehadiran seorang `anak’ lagi dalam keluarga. Sementara menantu pula kadang-kadang cepat terasa hati dengan mentua lantaran masih tidak dapat menyesuaikan diri dengannya. Sepatutnya menantu juga mengambil inisiatif untuk mendekati mentua dan cuba menyayanginya sama seperti menyayangi orang tua sendiri.
Gambar sekadar hiasan
Bagaimana Menghapus ‘Duri’
Jadi bagaimanakah cara terbaik untuk menghapuskan racun dalam hubungan menantu-mentua ini
Bagaikan panglima perang, baik menantu mahupun mentua sepatutnya bijak dalam mengatur ‘strategi’ untuk memenangi hati pihak yang satu lagi. Kalau anda menunjukkan sikap bermusuhan, pasangan atau anak anda pasti memandang serong pada anda biarpun anda di pihak yang betul. Lantaran itu sikap dan keperibadian anda perlu dijaga agar anda di pihak yang `menang’.
Jangan sekali-kali bersikap kurang ajar. Ia hanya akan memalukan diri sendiri. Juga tidak akan memberi sebarang kebaikan kepada menantu mahupun mentua. Namun jika hubungan anda berdua sangat `buruk’ elok juga perkara ini dibincangkan dengan pasangan mahupun seseorang yang anda percayai boleh membantu.
Pihak ketiga ini sepatutnya mencari jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah tentang hubungan menantu-mentua ini. Mungkin jalan yang terbaik adalah bersemuka dengan kedua-dua pihak untuk mencari akar umbi masalah. Bagaimanapun anda harus sedar bahawa tugasnya tidak mudah, bak kata pepatah bagai menarik rambut dalam tepung, ia perlukan ketelitian dan diplomasi.
Ads
Kadang-kadang tanpa kita sedar sikap kita yang berlagak pandai ataupun besar kepala membuatkan hubungan jadi tidak sejahtera. Sentiasalah bersikap merendah diri dan mengeluarkan kata-kata yang lembut dan bersopan.
Mengalahlah jika itu satu-satunya jalan yang boleh memulihkan hubungan menantu atau mentua. Biar orang nampak seolah-olah kita kalah tetapi hakikatnya kita menang besar kerana berjaya memenangi hati individu yang selama ini menjadi `duri’ dalam kehidupan kita. Ingatlah selalu bahawa `mengalah bukan bererti kita kalah’!
Baik menantu mahupun mentua sepatutnya apa juga perasaan yang kita rasakan terhadap satu dengan lain seharusnya dipendamkan sahaja. Kita seharusnya sedar bahawa hubungan kita bukan sahaja berkisar antara kita berdua, tetapi juga dengan anak dan cucu. Mereka menyayangi kita (ibu ataupun nenek mereka) tanpa sebarang sempadan.
Lantaran itu kata-kata negatif yang kita keluarkan terhadap menantu mahupun mentua boleh meninggalkan kesan tidak elok. Mereka pasti berasa keliru dan sedih mengapa dua orang yang mereka sayangi saling bermusuhan.
gambar sekadar hiasan
10 cara jadi menantu favourite!
Selalu senyum
Apabila berdepan dengan ibu mertua, jangan sesekali menarik muka masam sebaliknya berusaha untuk senyum seikhlas mungkin. Ini kerana bimbang ibu mertua terasa hati walhal punca anda monyok tidak ada kaitan dengannya. Jadi perlu senyum sentiasa walaupun dalam hati anda tidak begitu gembira.
Ads
Elak masuk campur
Anda sangat tidak digalakkan untuk masuk campur dalam perihal anak menantunya yang lain selagi apa yang berlaku itu tidak bertentangan dengan syariat. Elakkan bergosip dan menjadi batu api kerana tersilap langkah, ia akan memakan diri anda sebagai menantu. Jadi, berbaik-baiklah dengan mertua dan ipar-duai yang lain.
Murah hati
Untuk mengambil hati mertua, anda tidak boleh kedekut sebaliknya perlu bermurah hati misalnya belikan ibu mertua hadiah, pakaian atau paling kurang barang keperluan rumah. Anda juga boleh beri wang kepadanya untuk dia berbelanja.
Ringan tulang
Ingat, di rumah mertua anda perlu ringan tulang! Bangun awal pagi, solat Subuh dan segera bantu ibu mertua di dapur untuk menyediakan sarapan pagi. Anda juga perlu tunjuk skil memasak dan soal sedap atau tidak itu bukan keutamaan. Yang penting anda rajin ke dapur.
Selalu minta pandangan
Sebagai ibu, hati mana yang tidak gembira jika anak menantu selalu menghubungi atau menziarahinya. Selain bertanya khabar, sebagai menantu anda juga boleh bertanya pendapatnya tentang sesuatu perkara misalnya yang melibatkan anak-anak anda yakni cucu-cucunya. Sesekali anda juga boleh bertanya resipi kegemaran suami anda yang juga anak kesayangannya. Pasti ibu mertua anda gembira.
Usah cemburu dengan ibu mertua sendiri
Asyik anda sahaja layan suami! Sesekali berilah peluang untuk ibu mertua melayan anaknya misalnya ketika anda balik kampung. Bukan setiap hari ibu mertua anda berpeluang layan anak lelakinya seperti zaman bujang mereka dulu. Jadi biarkan jika ibu mertua manjakan suami anda. Cemburu biarlah bertempat!
Ads
Jaga air muka suami
Isteri yang baik dan bijak adalah isteri yang pandai menjaga aib suaminya. Jadi, elakkan memarahi suami di depan ibunya walaupun apa yang dilakukan suami ketika itu benar-benar menyakitkan hati anda. Kawal emosi anda depan ibu mertua! Usah sesekali memperkecilkan suami di depan ibu mertua anda dan adik-beradiknya yang lain. Ini boleh memberi gambaran positif pada ibu mertua anda bahawa anda seorang yang sangat menghormati suami.
gambar sekadar hiasan
Jaga percakapan
Usah biarkan kerana mulut badan binasa! Jika anda seorang yang dikategorikan sebagai ‘mulut lepas’, anda dinasihatkan agar kurang bercakap. Dan pastikan anda sentiasa alert apa yang bakal diperkatakan anda, bimbang ia mengecilkan hati ibu mertua. Fikir sebelum bercakap!
Dahulukan dia
Sebagai menantu yang baik, anda perlu dahulukan ibu mertua anda dalam apa jua keadaan. Sebagai contoh mudah, apabila ibu mertua naik kenderaan bersama anda, pelawa dia untuk duduk di hadapan iaitu di sebelah anaknya. Beri dia peluang bersembang dengan suami anda dan sesekali anda duduk di belakang bersama anak-anak tidak mengapa.
Puji suami anda
Hati seorang ibu pasti gembira jika ada orang lain yang selalu memuji anaknya. Jadi, anda perlu selalu memuji kebaikan suami anda di depan ibu mertua. Sesekali ucaplah begini, “Syukur sangat Allah beri suami sebagai jodoh saya. Pandai sungguh mama didik dan ajar dia. Saya rasa sangat beruntung dapat suami macam dia”
Sumber: Majalah Keluarga Januari 2016
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Berbuat baik kepada orang tua adalah dituntut oleh Islam. Sementelah mereka telah berkorban segalanya dalam mendidik dan membesarkan anak-anak sehingga berjaya.
Bukan semua ibu bapa memandang harta dan pangkat. Cukup sekadar anak-anak mengambil berat akan soal mereka. Sudah membuatkan ibu dan ayah terasa seolah dihargai biarpun hanya sekadar satu panggilan telefon untuk bertanya khabar terutama yang berjauhan.
Apa lagi bagi yang tinggal bersama atau berdekatan rumah. Usah keluarkan kata-kata atau ucapan yang boleh membuatkan hati mereka terguris. Lebih-lebih lagi jika salah salah seorang dari mereka sudah pergi terlebih dahulu.
Perkongsian Penceramah Bebas yang juga Perunding Rumah Tangga, Puan Asma Binti Harun, mengenai ibunya yang kesunyian usai pemergian si ayah seolah-olah membawa pergi bersama separuh jiwa si ibu.
RINDU YANG PERGI, SAYANGI YANG TINGGAL
Seawal jam 6.30 pagi terima panggilan emak, “Asma, betul ke balik malam ni, jadi tak balik ?”, nada suaranya perlahan penuh dengan harapan.
Emak saya baru sahaja melepasi tempoh eddah, pemergian ayah Ramadhan hari itu turut membawa sebahagian daripada dirinya. Kesunyian dan kekosongan itu jelas. Memang jelas. Selama ini semuanya dirancang dan dibuat bersama ayah. Mereka sangat rapat.
Teringat cara Rasulullah saw, sebagai melepaskan rindu pada Khadijah, Nabi sering memberikan makanan kepada para sahabat Khadijah. Menyantuni emak itulah satu cara melepaskan rindu pada arwah ayah.
Bila saya jawab insyaAllah jadi balik, confirm balik. Suara emak yang tadi bimbang-bimbang bertukar ceria, terus dengan semangatnya emak senaraikan perancangannya, apa yang nak dibuat dalam tempoh 3 hari ni, suara ceria itu dah lama tak dengar, membuatkan air mata menitik laju, ya Allah..bahagianya bila dapat bahagiakan hati seorang ibu, sedang aku juga seorang ibu.
Kita bukan anak yang cukup baik buat Ibu Bapa kita, tapi berusaha untuk buat baik itulah satu kebaikan. Walau sekadar telefon bertanya khabar, makan apa hari ini, dah makan ubat belum, dll.
Saya tahu, ramai yang merantau di negeri orang tak ada kesempatan masa untuk balik dek kesibukan kerja dll. Ada juga kerana pasangan yang tidak memahami dan kurang kerjasama. Maka memendamlah rasa rindu pada orang tua. Ketahuilah orang tua itu lebih lagi rindunya pada anak-anak. Namun mereka sedar mereka dah tua, mereka beralah dan sentiasa cuba memaafkan dan tak berhenti berdoa.
Saya teringat kes klien saya, orang kelantan, bukan berbulan tapi bertahun tak balik kampung, suami tak izinkan, ada masalah keluarga. Hinggalah satu masa dapat khabar ayah sakit, suami tetap berkeras tak bagi pulang. Hinggalah terima khabar si ayah meninggal. Lalu dia nekad balik ke kampung dengan anak-anak menumpang lori orang. Ketika itulah dia nekad untuk tinggalkan suaminya juga, akhirnya dia datang depan saya untuk mohon fasakh.
Saya ingin sampaikan bahawa adalah menjadi satu KEWAJIPAN bagi seorang SUAMI itu menjaga Ibu Bapanya dan Ibu Bapa Isterinya. Kedudukan kedua Ibu Bapa Kandung dan Mertua adalah sama. Begitulah jua kepada para isteri perlu berusaha melayani Ibu Bapa Mertua seperti Ibu Bapa kandung. Disinilah keharmonian yang diwujudkan dalam Islam.
~~~~~~~
Syukur ya Rahman ya Rahim.. Syukran en.suami atas keizinan dan kesanggupan jaga anak-anak, syukran juga buat anak..memang ada drama air mata juga, ada yang nak ikut.
Antara sefahaman yang wujud, ada ketikanya saya balik sendirian, kadang suami yang pulang ke kampungnya sendirian. Untuk mewujudkan bonding time yang khusus buat emak ayah yang tak sama ketika balik satu keluarga. Kami dua-dua orang Terengganu. Pernah suami izinkan 2 minggu berturut. Boleh jaga ayah dan emak sepenuh masa. Masing-masing harus berkorban. Inilah hadiah paling mahal sesama kami. Balik sekeluarga itu memang wajib, itu agenda beberapa bulan sekali.
Setiap orang ada cara tersendiri mengikut situasi. Usah bandingkan diri kita dengan orang lain. Yang penting mesti ada usaha.
~~~~~~
Dah bertahun tak naik bas sebenarnya, rasa bimbang itu ada. Berteman zikir ya Hafiz ya Muhaimin, Yang Maha Menjaga Yang Maha Mengawasi, pelihara dan awasilah perjalanan ini agar tiba dengan selamat.
*Mohon maaf juga kepada jemaah kuliyah dan jemputan atas kesulitan yang timbul. Terpaksa dibatalkan dan dicari ganti. Bila emak mengharapkan kita teman dia sekejap, tiada kata tidak kepada emak yang sangat banyak berkorban dan berlelah untuk kita.
Anak bila dah besar ni, paling mencabar bagi si ibu nak layankan selera anak-anak. Lebih-lebih lagi bagi yang dah pandai memilih makanan. Pelik juga waktu kecil bagi semua jenis makanan, dah besar dah pandai ‘demand’, itu tak nak ini tak nak yang peningnya ibu nak masak!
Itulah yang dihadapi oleh seorang ibu ini yang berkongsi di laman Tiktoknya tentang kerenah si anak yang memeningkan kepala dan memerlukannya bertindak luar kotak dan kreatif demi beri anak makan!
Video perkongsian itu berkisarkan tentang tabiat anaknya yang tidak mahu makan jika makanan tersebut tidak dibeli di kedai. Disebabkan itu, ibu tersebut bertindak di luar jangkaan dengan memasak makanan untuk anaknya dan membungkuskannya seperti yang dibeli di kedai.
“Bila anak susah makan. Nak makanan yang dibeli dekat luar je. Seronok dia bila nampak paper beg tu. Dirimu tertipu nak,!” tulisnya dalam video tersebut.
Taktiknya menjadi apabila dalam video tersebut turut merakamkan aksi si anak makan dengan berselera kononnya juadah yang dinikmati itu hasil dari ibunya beli di luar!
Siapa yang tak kenal dengan pelakon, Datin Almy Nadia atau nama sebenarnya Ungku Almy Nadia binti Ungku Aminuddin Shah yang juga merupakan isteri kepada pelakon Fizz Fairuz.
Di awal kemunculan Datin Almy, ramai yang menjadikan wajah ini sebagai wajah komersial. Banyak lakonannya mendapat sambutan ramai dan sering menjadi cover majalah hiburan.
Namun sejak berumahtangga, Datin Almy Nadia lebih menfokuskan pada keluarga dan anak-anak yang semakin membesar. Kerjaya seninya diperlahannya dan peminat-peminat hanya mengetahui perkembangan dirinya melalui akaun media sosialnya.
Terbaharu, video Datin Almy Nadia yang sedang menunggang motosikal sambil dirakam oleh suaminya yang juga merupakan seorang pelakon, Fizz Fairuz telah mendapat pelbagai reaksi dari netizen.
Dalam video tersebut, Almy yang menunggang motosikal jenis skuter sambil memakai baju berwarna kuning yang dipercayai dalam perjalanan mahu mengambil anaknya.
Gara-gara perubahan yang ketara pada fizikalnya, segelintir netizen meluahkan rasa terkejut apabila melihat perubahan bentuk badan pelakon yang berusia 36 tahun itu yang jauh berbeza berbanding penampilannya dahulu.
Malah, ada segelintir netizen bimbang akan peningkatan berat badan yang dialami Almy dan menasihati pelakon itu supaya menjaga kesihatannya bagi menggelak sebarang penyakit.
Bahkan, ada segelintir wanita berkongsi pengalaman mereka dimana berat badan ibu akan mengalami perubahan yang mendadak selepas melahirkan zuriat.
Bagaimanapun, disebalik kritikan yang dilemparkan, ramai yang memuji meskipun Almy mengalami perubahan fizikal, namun dia tetap kelihatan cantik dan comel sama seperti selalu.
Semoga komen-komen dari netizen ini tidak menjatuhkan semangat Datin Almy Nadia dan menganggapnya sebagai satu cabaran untuk mendapatkan kesihatan yang baik.