Macam-macam cerita kita dengar tentang hubungan menantu dan mentua.  Ada yang manis, ada pula penuh dengan kemarahan dan kekecewaan.

Alangkah bertuah menantu dan mentua yang hubungannya sentiasa wangi dan mesra.  Dan betapa pedihnya bagi mereka yang hubungannya sentiasa panas dan meruncing.

Apabila menantu dan mentua tidak sebulu, orang lain dalam keluarga akan turut sama merasakan tempiasnya, terutama anak@pasangan dan juga cucu-cucu yang ada.  Tentu tidak menyenangkan apabila cucu-cucu atau anak-anak melihat nenek dan orang tua mereka bermasam muka serta tidak bertegur sapa.

Ada beberapa perkara penting yang perlu kita pahat di kepala dan juga jiwa:

  • Bagi mentua, ingatlah bahawa menantu itu pilihan anak kita.  Tentu ada yang menarik dan baik tentangnya yang membuatkan anak kita tertarik.  Pada menantu pula, walau macam mana jahat pun mentua di mata kita, cuba fikirkan bahawa pasti ada kualiti baik dalam dirinya kerana merekalah orang yang bersusah payah membesarkan individu yang kita pilih menjadi pasangan hidup kita.
  • Jangan sesekali memburukkan mentua@menantu pada pasangan@anak kita.  Mungkin dia sedar atau tahu tentang perangai keluarga@pasangannya, tetapi rasa kasih atau  menyebabkan mereka tetap mempertahankan apa yang dilakukan oleh orang tua atau pasangan mereka itu.
  • Sentiasalah bersikap positif terhadap menantu@mentua kita.  Ini membuatkan kita dapat melihat mereka daripada perspektif berbeza.  Ia akan secara perlahan-lahan dapat meleraikan segala kekusutan.
  • Jangan terlalu sensitif.  Sebagai mentua, ada kalanya kita cepat sangat tersentuh atau kecil hati dengan menantu.  Ini mungkin sebab kita bimbang kehilangan kasih sayang anak yang kini sudah menjadi milik orang.  Sepatutnya perasaan seperti ini tidak timbul dan kita patut berlapang dada menerima kehadiran seorang `anak’ lagi dalam keluarga.  Sementara menantu pula kadang-kadang cepat terasa hati dengan mentua lantaran masih tidak dapat menyesuaikan diri dengannya.  Sepatutnya menantu juga mengambil inisiatif untuk mendekati mentua dan cuba menyayanginya sama seperti menyayangi orang tua sendiri.
Usah Biarkan Ada Duri Dalam Perhubungan Mentua-Menantu. Nak Jadi Menantu Favourite, Amalkan 10 Tip Ini!
Gambar sekadar hiasan

Bagaimana Menghapus ‘Duri’

Jadi bagaimanakah cara terbaik untuk menghapuskan racun dalam hubungan menantu-mentua ini

Bagaikan panglima perang, baik menantu mahupun mentua sepatutnya bijak dalam mengatur ‘strategi’ untuk memenangi hati pihak yang satu lagi.  Kalau anda menunjukkan sikap bermusuhan, pasangan atau anak anda pasti memandang serong pada anda biarpun anda di pihak yang betul. Lantaran itu sikap dan keperibadian anda perlu dijaga agar anda di pihak yang `menang’.

Jangan sekali-kali bersikap kurang ajar.  Ia hanya akan memalukan diri sendiri.  Juga tidak akan memberi sebarang kebaikan kepada menantu mahupun mentua.  Namun jika hubungan anda berdua sangat `buruk’ elok juga perkara ini dibincangkan dengan pasangan mahupun seseorang yang anda percayai boleh membantu.

Pihak ketiga ini sepatutnya mencari jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah tentang hubungan menantu-mentua ini.  Mungkin jalan yang terbaik adalah bersemuka dengan kedua-dua pihak untuk mencari akar umbi masalah.  Bagaimanapun anda harus sedar bahawa tugasnya tidak mudah, bak kata pepatah bagai menarik rambut dalam tepung, ia perlukan ketelitian dan diplomasi.

IKLAN

Kadang-kadang tanpa kita sedar sikap kita yang berlagak pandai ataupun besar kepala membuatkan hubungan jadi tidak sejahtera.  Sentiasalah bersikap merendah diri dan mengeluarkan kata-kata yang lembut dan bersopan.

Mengalahlah jika itu satu-satunya jalan yang boleh memulihkan hubungan menantu atau mentua.  Biar orang nampak seolah-olah kita kalah tetapi hakikatnya kita menang besar kerana berjaya memenangi hati individu yang selama ini menjadi `duri’ dalam kehidupan kita.  Ingatlah selalu bahawa `mengalah bukan bererti kita kalah’!

Baik menantu mahupun mentua sepatutnya apa juga perasaan yang kita rasakan terhadap satu dengan lain seharusnya dipendamkan sahaja.  Kita seharusnya sedar bahawa hubungan kita bukan sahaja berkisar antara kita berdua, tetapi juga dengan anak dan cucu.  Mereka menyayangi kita (ibu ataupun nenek mereka) tanpa sebarang sempadan.

Lantaran itu kata-kata negatif yang kita keluarkan terhadap menantu mahupun mentua boleh meninggalkan kesan tidak elok.  Mereka pasti berasa keliru dan sedih mengapa dua orang yang mereka sayangi saling bermusuhan.

Usah Biarkan Ada Duri Dalam Perhubungan Mentua-Menantu. Nak Jadi Menantu Favourite, Amalkan 10 Tip Ini!
gambar sekadar hiasan

10 cara jadi menantu favourite!

  1. Selalu senyum

Apabila berdepan dengan ibu mertua, jangan sesekali menarik muka masam sebaliknya berusaha untuk senyum seikhlas mungkin. Ini kerana bimbang ibu mertua terasa hati walhal punca anda monyok tidak ada kaitan dengannya. Jadi perlu senyum sentiasa walaupun dalam hati anda tidak begitu gembira.

IKLAN
  1. Elak masuk campur

Anda sangat tidak digalakkan untuk masuk campur dalam perihal anak menantunya yang lain selagi apa yang berlaku itu tidak bertentangan dengan syariat. Elakkan bergosip dan menjadi batu api kerana tersilap langkah, ia akan memakan diri anda sebagai menantu. Jadi, berbaik-baiklah dengan mertua dan ipar-duai yang lain.

  1. Murah hati

Untuk mengambil hati mertua, anda tidak boleh kedekut sebaliknya perlu bermurah hati misalnya belikan ibu mertua hadiah, pakaian atau paling kurang barang keperluan rumah. Anda juga boleh beri wang kepadanya untuk dia berbelanja.

  1. Ringan tulang

Ingat, di rumah mertua anda perlu ringan tulang! Bangun awal pagi, solat Subuh dan segera bantu ibu mertua di dapur  untuk menyediakan sarapan pagi. Anda juga perlu tunjuk skil memasak dan soal sedap atau tidak itu bukan keutamaan. Yang penting anda rajin ke dapur.

  1. Selalu minta pandangan

Sebagai ibu, hati mana yang tidak gembira jika anak menantu selalu menghubungi atau menziarahinya. Selain bertanya khabar, sebagai menantu anda juga boleh bertanya pendapatnya tentang sesuatu perkara misalnya yang melibatkan anak-anak anda yakni cucu-cucunya. Sesekali anda juga boleh bertanya resipi kegemaran suami anda yang juga anak kesayangannya. Pasti ibu mertua anda gembira.

  1. Usah cemburu dengan ibu mertua sendiri

Asyik anda sahaja layan suami! Sesekali berilah peluang untuk ibu mertua melayan anaknya misalnya ketika anda balik kampung. Bukan setiap hari ibu mertua anda berpeluang layan anak lelakinya seperti zaman bujang mereka dulu. Jadi biarkan jika ibu mertua manjakan suami anda. Cemburu biarlah bertempat!

IKLAN
  1. Jaga air muka suami

Isteri yang baik dan bijak adalah isteri yang pandai menjaga aib suaminya. Jadi, elakkan memarahi suami di depan ibunya walaupun apa yang dilakukan suami ketika itu benar-benar menyakitkan hati anda. Kawal emosi anda depan ibu mertua! Usah sesekali memperkecilkan suami di depan ibu mertua anda dan adik-beradiknya yang lain. Ini boleh memberi gambaran positif pada ibu mertua anda bahawa anda seorang yang sangat menghormati suami.

Usah Biarkan Ada Duri Dalam Perhubungan Mentua-Menantu. Nak Jadi Menantu Favourite, Amalkan 10 Tip Ini!
gambar sekadar hiasan
  1. Jaga percakapan

Usah biarkan kerana mulut badan binasa! Jika anda seorang yang dikategorikan sebagai ‘mulut lepas’, anda dinasihatkan agar kurang bercakap. Dan pastikan anda sentiasa alert apa yang bakal diperkatakan anda, bimbang ia mengecilkan hati ibu mertua. Fikir sebelum bercakap!

  1. Dahulukan dia

Sebagai menantu yang baik, anda perlu dahulukan ibu mertua anda dalam apa jua keadaan. Sebagai contoh mudah, apabila ibu mertua naik kenderaan bersama anda, pelawa dia untuk duduk di hadapan iaitu di sebelah anaknya. Beri dia peluang bersembang dengan suami anda dan sesekali anda duduk di belakang bersama anak-anak tidak mengapa.

  1. Puji suami anda

Hati seorang ibu pasti gembira jika ada orang lain yang selalu memuji anaknya. Jadi, anda perlu selalu memuji kebaikan suami anda di depan ibu mertua. Sesekali ucaplah begini, “Syukur sangat Allah beri suami sebagai jodoh saya. Pandai sungguh mama didik dan ajar dia. Saya rasa sangat beruntung dapat suami macam dia”

Sumber: Majalah Keluarga Januari 2016

 

 

 

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI