Berat mata memandang berat lagi bahu yang memilkul. Begitulah yang dirasai oleh keluarga ini apabila anak tersayang baru usia mencecah empat tahun telah disahkan menghidap kanser otak.
Rafa Alauddin Abd Rauf terpaksa menanggung penderitaan akibat kanser otak yang dihidapinya sejak tiga tahun lalu.
Penyakit itu menyebabkan dia terpaksa melakukan 100 kali rawatan kemoterapi dan tiga kali pembedahan membuang cecair di kepala sejak 2022 hingga kini.
Bayangkan pada usia begini dia terpaksa menanggung penderitaan penyakit yang dihidapinya.
Menurut Harian Metro, bapanya, Abdul Rauf Nordin, 29, berkata, sebelum ini, anak bongsu daripada dua beradik itu dilahirkan normal tetapi mulai merasai kesakitan di bahagian kepala sehingga sukar melelapkan mata setiap malam.
Melihat keadaan anaknya dia bersama isteri, Noor Amira Saad, 29, membawa Rafa menjalani pemeriksaan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada 2021 sebelum dimaklumkan anaknya menghidap kanser otak.
“Sejak itu saya dan isteri terpaksa berulang-alik ke HSB dan HPP dua minggu sekali dan bergilir menjaga Rafa di wad.
“Disebabkan kerap mengambil cuti, saya diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan dan terpaksa menganggur hampir setahun untuk menjaga anak.
“Namun saya menganggap ini sebagai ujian disebabkan anak saya sakit dan meneruskan rawatan anak sehingga sembuh,” katanya.
KEMBALI SIHAT
Abdul Rauf berkata, akibat daripada kanser itu juga berlaku benjolan pada mata kanan anaknya sehingga tersembul keluar sebesar bola ping pong.
Katanya, pada mulanya dia berasa putus asa malah ada dalam kalangan rakannya memberitahu mungkin jangka hayat anaknya tidak lama disebabkan keadaan makin teruk.
“Tetapi saya dan isteri kuatkan semangat dan meneruskan rawatan anak sehinggakan 100 kali kemoterapi dilakukan dengan harapan Rafa akan sembuh.
“Alhamdulillah, hasil kemoterapi yang dilakukan, benjolan di mata anak saya makin mengecut dan beransur hilang malah anak saya juga boleh berjalan selain menghafal surah al-Fatihah walaupun anak saya kini buta,” katanya.
Abdul Rauf berkata, dia dan isterinya bagaikan tidak percaya apabila anak mereka semakin sihat dengan rawatan susulan yang dilaluinya selain berterima kasih kepada doktor yang merawat anaknya.
Katanya, dia bersyukur apabila sudah mendapat kerja baru sebagai pengawal keselamatan dan menarik nafas lega apabila melihat keadaan anaknya semakin baik.
“Saya hanya menggunakan wang bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk berulang-alik ke hospital selama ini namun ia tidak mencukupi kerana kami mempunyai seorang lagi anak, Nurul Alya Shifa, 5.
“Anak saya bagaikan mati hidup semula apabila Allah beri peluang untuk dia meneruskan kehidupannya walaupun melawan penyakit kanser ini, ” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Noor Amira Saad 02105023168544 Bank Islam.
Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal berkata, CSM sudah menghulurkan sumbangan kepada pesakit berkenaan selain turut memberi semangat kepada keluarga meneruskan rawatan di hospital.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr M Murallitharan berkata, keberkesanan rawatan dilakukan dapat dilihat selepas Rafa juga sudah mampu berjalan dan benjolan pada mata kanannya sudah mengecut.
“Rawatan kemoterapi sekarang sudah berbeza dengan 20 tahun lalu, hasilnya kita mampu lihat dengan rawatan dilakukan terhadap adik Rafa.
“Adik Rafa ini memang tabah dan ini dapat dilihat melalui keberkesanan rawatan sehingga dia mampu berjalan kerana kanser otak ini sebenarnya menjejaskan sistem saraf,” katanya.
Sumber: Harian Metro
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Viral perkongsian seorang ibu yang juga OKU mental, namun tetap tabah menjalani kehidupan. Perkongsian ini dari Facebook Noor Azlin Mohamad, di sebalik ujian berat yang dihadapinya, beliau berjaya mengimbangi peranannya sebagai ibu kepada 6 anak dan juga seorang isteri yang setia.
Noor Azlin Mohamad merupakan seorang wanita yang memiliki pendidikan tinggi, termasuk ijazah dan pernah menyambung pengajian di peringkat sarjana. Walaupun mempunyai potensi besar, beliau memilih untuk bekerja dari rumah sebagai admin kumpulan Telegram, menjalankan affiliate, dan Adsense, sesuai dengan tahap kesihatannya.
Hidupnya tidak selalu indah. Sebagai pesakit OKU mental, beliau kerap melalui episod sukar, termasuk gangguan emosi dan tingkah laku. Namun, di sisi beliau sentiasa ada suami yang penyayang dan memahami, yang sentiasa memberikan sokongan dan bantuan. Perkongsian yang sungguh inspirasi untuk memberitahu bahawa kehidupan ini penuh cabaran namun semangat untuk berjuang untuk keluarga dan kasih sayang itu menjadikan diri kuat untuk terus melangkah.
Saya OKU mental. Saya juga ibu kepada 6 orang anak. Ada degree, pernah ambil master. Sekarang saya bekerja online sahaja dari rumah. Pendapatan saya dari jadi admin group telegram, affiliates dan adsense. Jumlahnya tidak besar mana kerana saya bekerja waktu saya sihat sahaja.
Saya tahu keadaan saya tidak boleh dijangka. Suami saya kenal saya sejak saya umur 20 tahun. Perkahwinan kami sudah masuk 19 tahun. Suami saya tidak pernah kurung saya. Tidak pernah larang saya nak cuba apa-apa. Saya yang lebih selesa berada dan bekerja dari rumah sahaja.
Walaupun dalam rumah, saya kerja online, jadi memang akan terdedah bacaan atau video yang menganggu emosi. Ada juga trigger kerana anak-anak buat perangai, biasalah tu. Mengamuk dan terbalikkan barang? Ada.
Jerit-jerit dan menyumpah pun ada. Saya rasa jiran-jiran saya dah biasa dengar. Itu waktu sakit saya datang, waktu sihat macam orang normallah. Pernah sahaja saya buka pintu kereta dan nak terj*n, tarik stereng kereta, jalan kaki jauh-jauh sampai letih. Tapi masa tu memang tak boleh control. Marah, bengang, sedih, semua emosi negatif tu berpusing-pusing.
Saya selalu kaji bila lihat orang OKU fizikal. Mudah orang ramai nak faham. Tapi tak mudah bagi mereka dan penjaga mereka juga. Tapi orang faham, simple. Awak OKU. Tapi bila OKU mental ni susah. Ujian besar buat pesakit dan juga penjaga. Ada waktu dia sihat, ada waktu dia tak sihat. Nak kurung? Lagi tak sihat jadinya terus duduk dalam dunia sendiri.
Nak ikut selalu? Bukan mudah. Siapa yang nak teman selalu tu? Saya ada suami, dia pun kerja dari rumah juga buat printing. Saya sakit dia kena tutup kedai. Saya nak ke mana-mana dia bawa.
Tapi, saya pun ada cita-cita, saya nak sambung belajar (lagi) nak juga berdikari. Sebenarnya bila ada rasa macam tu jadi lagi sihat. Tapi masalahnya orang tengok kita sihat ingat dah sembuh terus.
Manusia bukan barang, bukan haiwan. Kalau barang sekejap rosak sekejap okay kita simpan dalam stor. Kalau haiwan kita kurung. Ini manusia. Ada ke sesiapa minta diuji sakit mental ni? Bukan semua orang sakit mental sebab tekanan. Ada sebab kemalangan, sebab buatan orang pun ada.
Suami saya banyak bantu saya uruskan rumahtangga, uruskan anak-anak. Dia mampu buat, dia teruskan. Dia tak mampu, dia rehatlah. Allah melihat usaha kita. Saya gembira, bahagia Alhamdulillah. Ada waktu saya menangis tiba-tiba dan rasa serabut sangat. Alhamdulillah semuanya ujian Allah bagi. Allah bagi saya rasa lebih dan kurang. Doakan mereka yang diuji sakit mental ni bertambah sihat. Berikan sokongan dan dorongan. Bantu apa yang boleh. Jaga tutur kata kita, benda ni bukan kelakar pun.
Malu? Buanglah jauh-jauh perasaan malu tu. Jangan malu ada pasangan OKU mental. Ada anak atau keluarga yang macamni adalah peluang nak buat pahala. Malu apa Allah yang jadikan, ada hikmah dan ganjaran untuk mereka yang diuji. Saya selalu mengaku saya sakit mental. Sampai dipesan jangan cakap nanti orang pandang serong. Biarlah, dia pandang serong nanti dia yang jatuh. Kita pandang tegaklah.
Pandanglah semua mereka yang diuji dengan belas ihsan. Jadi OKU mental bukan dapat tiket emas. Waktu galau, dunia ni tiada makna apa-apa. Bila ia hilang dan kau mula berpijak bumi nyata, kau rasa bahagia tu datang bagai angin bayu yang menghembus lembut ubun-ubun. Kami diuji, kamu juga diuji. Cuma yang terbuka hatinya akan dapat belajar sesuatu.
Sumber: FB Noor Azlin Mohamad
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Yusry kongsi anak sulung genap 10 tahun, momen manis sebagai seorang ayah. Momen bergelar ibu bapa sememangnya penuh warna dan cepat berlalu. Itulah yang diluahkan oleh pelakon dan pengarah terkenal, Yusry Abdul Halim apabila anak perempuannya kini sudah menginjak usia 10 tahun.
Menurut Yusry, seakan tidak percaya puterinya kini sudah mencapai usia dua angka kerana dalam hatinya, anak kesayangan itu masih lagi seperti bayi kecil yang pernah ditatang penuh kasih sayang sejak lahir.
Dalam perkongsian di Instagram, Yusry menceritakan memori indah melihat anaknya melangkah buat kali pertama dan menyebut kata pertama yang ditujukan kepadanya sebagai ‘daddy’.
Demi meraikan hari istimewa itu, Yusry turut meluangkan masa dari jadual penggambaran untuk menikmati makan tengah hari bersama keluarga. Lebih manis, si kecil yang diraikan meminta semua ahli keluarga mengenakan warna kegemarannya iaitu merah jambu, namun dia sendiri memilih tidak memakai warna tersebut agar tampil lebih menyerlah sebagai ‘birthday girl’.
Menutup coretannya, Yusry menitipkan ucapan penuh kasih sayang buat anaknya agar tidak cepat membesar, sambil meluahkan rasa cinta sebagai seorang ayah. Isterinya, pelakon Lisa Surihani, turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang mendoakan kebaikan buat puteri kesayangan mereka.
Momen ini nyata menjadi kenangan manis yang menggambarkan kehangatan kasih sayang sebuah keluarga. Untuk info, Yusri dan Lisa mendirikan rumah tangga pada 23 Februari 2012. Pasangan ini dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata, Yahaira Leanne, Yusof Leonne dan Yunos Laith.
Remaja alami kerosakan otak kekal akibat kecuaian perubatan di HKL, kerajaan diperintah bayar RM2.28 Juta. Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memutuskan bahawa kerajaan perlu membayar pampasan lebih RM2.28 juta kepada seorang remaja yang mengalami kerosakan otak kekal akibat kecuaian ketika proses kelahirannya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) 15 tahun lalu.
Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong selepas mendapati kerajaan bertanggungjawab secara vikarius atas kecuaian seorang pegawai perubatan muda dan bekas ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi hospital berkenaan.
Dalam penghakimannya, Techiong mengakui beliau berasa hiba apabila plaintif dibawa hadir ke mahkamah sepanjang perbicaraan.
Mahkamah dimaklumkan bahawa remaja tersebut kini berada dalam kategori paling serius pesakit palsi serebrum, tidak mampu mengangkat kepala serta bergantung sepenuhnya kepada tiub untuk makan sepanjang hayatnya.
“Ketika plaintif dibawa ke mahkamah dalam sebuah kereta sorong bayi semasa perbicaraan, kebanyakan yang hadir termasuk saya selaku hakim perbicaraan, tidak dapat menahan rasa sedih melihat keadaannya,” katanya dalam penghakiman bertarikh 6 Mei lalu.
Namun begitu, beliau menegaskan bahawa rasa simpati tidak boleh dijadikan asas dalam membuat keputusan undang-undang.
“Saya yakin kedua-dua pakar turut bersimpati terhadap plaintif. Namun, dengan penuh hormat, kami harus menolak daripada beremosi apabila membuat penilaian profesional terhadap kes ini.
“Saya mengambil kira bahawa pampasan kepada plaintif perlu selari dengan prinsip undang-undang dan bukan berdasarkan simpati. Tiada ruang untuk memperkayakan plaintif secara tidak adil dengan menanggung beban oleh pembayar cukai,” katanya.
Kes saman itu difailkan oleh ibu plaintif pada Januari 2023 bagi pihak anaknya yang dilahirkan pada 11 Februari 2010.
Plaintif disahkan menghidap palsi serebrum selepas doktor gagal menjalankan pembedahan caesarean kecemasan dalam tempoh yang sepatutnya.
Pihak plaintif berhujah bahawa kelewatan tersebut menyebabkan anaknya kehilangan peluang untuk lahir tanpa kerosakan otak, manakala pihak kerajaan menegaskan keadaan itu berpunca daripada masalah uri yang tidak dapat dielakkan.
Saksi pakar yang dipanggil dalam perbicaraan memberikan anggaran berbeza mengenai jangka hayat plaintif, iaitu antara 29 hingga 44 tahun.
Mahkamah akhirnya memutuskan bahawa kelewatan melakukan pembedahan menyebabkan plaintif kehilangan peluang wajar untuk dilahirkan tanpa komplikasi serius. Hakim turut menekankan bahawa pegawai perubatan sepatutnya lebih pantas bertindak kerana kes tersebut melibatkan kehamilan berisiko tinggi.
Mengenai isu jangka hayat, Techiong menolak anggaran 44 tahun yang dikemukakan pakar plaintif dan menetapkan maksimum 29 tahun. Katanya, data perubatan menunjukkan hanya 26 peratus peluang untuk hidup melebihi 29 tahun.
“Saya terpaksa memutuskan bahawa tiada asas kukuh untuk menyokong anggaran jangka hayat plaintif melebihi 29 tahun,” katanya.
Mahkamah menganugerahkan RM300,000 sebagai ganti rugi am, RM458,400 untuk ganti rugi khas, RM51,300 bagi ganti rugi pra-perbicaraan serta RM1.47 juta untuk ganti rugi am masa hadapan.
Selain itu, kadar faedah lima peratus setahun turut dikenakan bagi sebahagian besar jumlah tersebut. Bagaimanapun, mahkamah menolak tuntutan ganti rugi teruk (aggravated damages) dengan mengambil kira bahawa saman hanya difailkan selepas lebih 10 tahun kejadian berlaku.
Dalam prosiding itu, plaintif diwakili peguam Karhti Kanthabalan dan Abigail Sarah Kumar, manakala kerajaan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Masriwani Mahmud.
Aaron Aziz mengakui berdepan rasa sunyi apabila anak-anak semakin dewasa dan melanjutkan pengajian di luar negara. Luahan menyentuh hati ini dekat dengan pengalaman ramai ibu bapa.