Walau Telah Hilang Upaya Namun Mampu Kembali Bekerja. Kisah Inspirasi Yang Dikongsikan Ni Cukup ‘LUAR BIASA’!

Share

Jika diuji dengan musibah kecacatan kekal seperti kelumpuhan atau amputasi pada anggota badan akibat kemalangan atau faktor kesihatan, tentu sahaja ada yang merasakan masa depan terasa begitu gelap. Memikirkan untuk kekal positif dan sekali gus  bangkit daripada situasi itu bukanlah perkara mudah namun tidak mustahil pasti ada juga keajaiban di sebalik apa yang berlaku.

Ini sebagaimana yang cuba diketengahkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial PERKESO apabila baru-baru ini menerbitkan program realiti televisyen terbaharunya ‘LUAR BIASA’ yang akan mengetengahkan kisah dan pengalaman individu hilang upaya yang dapat kembali bekerja setelah mengikuti Program Return To Work (RTW) PERKESO.

Program ‘LUAR BIASA’ menyelami kisah suka dan duka peserta Program RTW yang juga
merupakan Orang Berinsurans (OB) PERKESO apabila diduga dengan masalah kecacatan kekal seperti kelumpuhan dan amputasi pada anggota badan akibat kemalangan atau faktor kesihatan.

Walaupun diuji sedemikian rupa, mereka bangkit mendepani setiap kekurangan
dengan sokongan dan bimbingan yang diberikan melalui Program RTW PERKESO.
Berkonsepkan sesi bual bicara santai dengan unsur sketsa, program televisyen 13 episod ini menggandingkan dua selebriti terkenal tanah air, Norman Hakim dan Shiha Zikir sebagai
pasangan pengacara.

Sesi perbincangan dalam setiap episod mengetengahkan beberapa topik diskusi yang menarik dan pelbagai bersama barisan tetamu jemputan yang terdiri daripada pakar, selebriti dan juga pengurusan kanan PERKESO.

Program ini akan turut menyelitkan peranan dan aktiviti yang dijalankan di bawah Program
RTW PERKESO, selain turut menyajikan maklumat terkini berkaitan skim-skim perlindungan
dan inisiatif terbaharu PERKESO kepada penonton.

Bakal menemui penonton mulai 4 Jun ini, ‘LUAR BIASA’ akan disiarkan setiap Jumaat, jam
9.00 malam di saluran 125 – Astro Prima (SD) dan saluran 105 – Astro Prima HD. Bagi yang
terlepas untuk menonton program ini di televisyen, ia juga boleh ditonton di saluran YouTube rasmi PERKESO.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2007, Program RTW PERKESO telah berjaya membantu
memulihkan seramai 36,159 individu untuk kembali bekerja dengan selamat setelah
mengalami hilang upaya fizikal atau mental akibat kemalangan atau serangan penyakit.

PERKESO menerusi Program RTW juga telah berjaya menerbitkan sebanyak 3 program
televisyen lain sebelum ini iaitu program ‘DAHSYATNYA PERKESO’ (2016), ‘INSPIRASI
HARAPAN’ (2017) dan ‘BANGKIT #PERKESOPRIHATIN’ (2018).

IKLAN