Rezeki dalam bidang perniagaan sangat luas. Sesiapa pun boleh berniaga namun bila dikaitkan dengan minat orang perempuan bila ingin jadi usahawan, biasanya wanita lebih selesa untuk membuka perniagaan butik pakaian, salun atau berkaitan makanan.

Namun lain pula halnya dengan wanita yang seorang ini. Pembabitan Puan Nor Shahida Akma Mohd Sazali, 32, melakukan kelainan dalam memilih bidang perniagaan yang diusahakan sejak 2013 hingga kini. Perniagaannya adalah menjual tayar buruk dan siapa sangka perniagaan ini memberi pulangan yang cukup besar dan mampu menjadikan dia sekeluarga hidup senang!

Ayuh ikuti perkongsian kisahnya yang pernah dipaparkan di dalam Majalah Keluarga. Diharapkan kisah ini dapat menyuntik inspirasi buat wanita di luar sana untuk terlibat di dalam bidang perniagaan yang jarang-jarang diusahakan oleh kaum hawa.


“Sebelum ini saya bekerja di salah satu syarikat kontraktor utama di pelabuhan dan ketika itu saya merupakan Jurutera Projek di sana. Nak dijadikan cerita, saya dapat satu projek di mana untuk menyiapkan projek tersebut saya memerlukan 300 tayar. Satu kuantiti yang banyak dan bukan mudah untuk saya dapat dan kumpulkan tayar-tayar tersebut.

“Bermulalah saya cari contact di luar negara dan di dalam negara. Saya hubungi pelbagai pihak di sana dan mereka memang ada stok. Apa yang peliknya saya perlu membayar untuk tayar-tayar buruk tersebut. Ingatkan free sahaja. Dari situ kali pertama saya tahu rupanya tayar ini ada nilai,” ujarnya di awal bicara.

Siapa sangka perniagaan tayar buruk ini tidak tersenarai dalam perancangan awal sebagai kerjaya yang ingin diceburinya. Sebaliknya ibu kepada seorang anak berusia 7 bulan ini, menemui peluang perniagaan tersebut secara tidak sengaja, sementelah sering pula perjalanan hidupnya berkait dengan tayar buruk.

IKLAN

Wanita Ni Jual Tayar Buruk Pun Boleh Hidup Senang!

“Mencari minat dengan tayar memang tiada sebenarnya. Mungkin disebabkan latar belakang ketika belajar hinggalah setalah bekerja dikelilingi lelaki. Melakukan tugas-tugas yang lasak, malah ketika menjalankan praktikal di Pelabuhan Johor dan kemudian bekerja di Pelabuhan Klang, jadi terdedah dengan dunia sebegitu.

Selepas tiga bulan membuat kajian mengenai perniagaan menjual tayar buruk itu, akhirnya pada Jun 2013 saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan membuka perniagaan sendiri dengan bermodalkan RM10,000 untuk membawa masuk 1 kontena tayar  buruk di negara ini,”jelasnya dengan jujur.

Risiko & Cabaran

IKLAN

Menguruskan perniagaan sendiri memang seronok. Punya waktu kerja sendiri, kitalah bos dan kitalah juga pekerjanya. Tiada orang hendak mengarah itu dan ini. Hakikatnya semakin kuat dan hebat usaha yang dilakukan, bermakna semakin banyak juga pendapatan yang akan diraih.

“Dari segi modal saya tidak mempunyai masalah, saya menggunakan duit saya sendiri dan mendapat pulangan pelaburan dalam tempoh yang singkat kerana pembeli membayar secara tunai sebaik saja mereka mendapat tayar buruk yang mereka kehendaki. Dan Alhamdulillah, saya dapat keuntungan berlipat kali ganda dengan mudah. Memandangkan ketika itu tidak banyak saingan berbanding masa ini,” jelasnya dengan ikhlas.

Manakala menceritakan cabaran paling hebat yang pernah dilalui sepanjang menceburi perniagaan, menurutnya adalah pernah ditipu sebanyak AS$12,000 (RM51,258) oleh individu dari luar negara yang menyamar sebagai pembekal tayar dari UK.

“Setiap bidang perniagaan ada risiko dan cabarannya dan saya juga pernah laluinya. Saya kena tipu dengan seorang individu yang sangat licik. Dia menggunakan nama syarikat besar ketika berurusan sehingga sedikit pun tidak menimbulkan keraguan mengenai latar belakangnya.

IKLAN

“Jumlahnya cukup besar dan sejak kena tipu sedemikian rupa, saya kini lebih berhati-hati ketika membuat urusan dengan pembekal dari luar negara. Bahkan kini, kebanyakan urusan mendapatkan bekalan tayar buruk di luar negara akan diselia oleh suami saya. Manakala saya pula akan menguruskan setiap tayar yang sampai di pelabuhan hinggalah selamat di terima oleh pelanggan,” katanya panjang lebar.

 

 

 

 

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI