
Kehidupan berumah tangga Datuk Yusry Abdul Halim dan Datin Lisa Surihani sering menjadi inspirasi ramai. Pasangan ini bukan sahaja dilihat serasi, malah cara mereka saling menyokong antara satu sama lain turut mencuri perhatian peminat.
Namun kali ini, Yusry berkongsi sisi berbeza sebagai seorang suami dan bapa apabila perlu menguruskan anak-anak serta rumah tangga sepenuhnya sepanjang Lisa berada di Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji.

Melalui pengalaman bergelar ‘ayah sepenuh masa’, pelakon dan pengarah itu mengakui tugas menguruskan rumah bukanlah semudah yang disangka. Daripada menghantar dan mengambil anak pulang dari sekolah, memeriksa kerja rumah hinggalah memastikan rutin harian anak-anak berjalan lancar, semuanya perlu dilakukan sendiri.
“Saya ambil alih tugas uruskan rumah tangga yang mana hantar anak dan ambil anak balik dari sekolah, periksa kerja rumah mereka,” katanya.
Yusry Abdul Halim Akui Pengorbanan Seorang Ibu Sangat Besar
Yusry Abdul Halim secara terbuka mengakui sebelum ini dia mungkin mengambil mudah peranan Lisa yang banyak menguruskan hal domestik keluarga. Namun selepas melalui sendiri rutin tersebut, barulah dia benar-benar memahami besarnya tanggungjawab yang dipikul seorang ibu setiap hari.
Menurutnya, menguruskan anak-anak bukan sekadar memastikan mereka makan dan ke sekolah, tetapi turut melibatkan pelbagai perkara lain yang memerlukan perhatian berterusan.
“Sebelum ini, saya ambil mudah dan take for granted kerana Lisa yang banyak uruskan. Jadi, bila saya sendiri yang uruskan baru sedar banyak kerja seorang ibu.
Apabila menjadi ayah sepenuh masa, kerja ayah kena buat, kerja ibu pun kena buat,” ujarnya.

Keutamaan Yusry Abdul Halim Kini Adalah Anak-Anak
Demi memberi tumpuan kepada anak-anak sepanjang ketiadaan Lisa Surihani, Yusry Abdul Halim mengambil keputusan untuk lebih selektif menerima tawaran kerja di luar.
Baginya, keutamaan ketika ini adalah memastikan anak-anak berada dalam keadaan baik dan tidak terlalu terasa dengan ketiadaan ibu mereka yang sedang menunaikan ibadah haji.
Anak-Anak Rindukan Lisa Surihani Di Tanah Suci
Sepanjang Lisa berada di Tanah Suci, Yusry turut berdepan detik emosi apabila anak-anak mula merindui ibu mereka. Sebagai seorang bapa, dia cuba memujuk dan memberi kefahaman bahawa ibu mereka sedang berada di tempat yang mulia untuk menunaikan ibadah.
“Saya akan beritahu anak-anak jika mereka rindu, dia ada di sana tengah beribadah, tak boleh merungut. Syukur saja.
Saya juga berharap masa berjalan lancar,” tambahnya.
Yusry Abdul Halim Kembali Meledak Menerusi Watak Datuk Muzaffar
Dalam perkembangan lain, nama Yusry Abdul Halim kini kembali menjadi perhatian ramai selepas membawakan watak Datuk Muzaffar dalam drama rantaian Dendam Seorang Mentua.
Watak lelaki matang, penyayang dan berkarisma itu berjaya mencuri hati penonton sehingga tular di media sosial. Sambutan luar biasa yang diterima turut mengejutkan Yusry sendiri.
Menariknya, beliau pada awalnya menyangka watak yang ditawarkan hanyalah watak sampingan sesuai dengan usianya yang kini mencecah 53 tahun.
“Ketika mula menerima tawaran lakonan ini saya bertanya kepada mereka adakah ini watak seorang abang atau bapa? Yang mana saya sangkakan sesuai dengan umur 53 tahun.
Tetapi mereka kata tidak, ini adalah watak utama. Saya kata, gila ke ‘orang tua’ jadi watak utama?” selorohnya.
Watak Datuk Muzaffar Raih Sambutan Luar Biasa
Melihat maklum balas positif daripada penonton, Yusry Abdul Halim mengakui terkejut apabila watak Datuk Muzaffar berjaya memikat hati ramai termasuk golongan muda.
“Saya terkejut sebab tidak sangka pula ramai suka dengan ‘orang tua’. Saya pun tidak faham tapi mungkin kerana mereka suka watak yang dibawa oleh Datuk Muzaffar iaitu seorang lelaki yang sangat penyayang.
Saya senang sekali dapat membawa watak ini,” katanya.
Yusry Abdul Halim Anggap Semua Ini Rezeki Daripada Allah
Sebelum menerima tawaran berkenaan, Yusry terlebih dahulu berbincang dengan Lisa Surihani. Baginya, peluang tersebut hadir sebagai satu rezeki yang tidak patut dilepaskan.
Beliau juga melihat tawaran itu sebagai peluang untuk membuktikan bahawa pelakon senior masih relevan dan mampu memikul tanggungjawab sebagai teraju utama sesebuah drama.
“Saya berbincang dengan isteri, orang selalu cakap artis lama tak diberikan peluang jadi apabila saya dapat tawaran tersebut, saya rasa saya perlu lakukannya.
Watak ini menjadi akhirnya. Ini rezeki daripada Allah SWT, kita tak pernah rancang atau minta,” ujarnya.
Menurutnya, penonton masa kini juga semakin matang dalam menilai sesebuah karya dan tidak lagi melihat faktor usia sebagai penghalang untuk menikmati persembahan berkualiti.
“Pada saya ada ruang untuk pelakon-pelakon senior seperti saya untuk jadi watak utama. Kecomelan orang-orang berusia ini ada juga sebenarnya.
Penonton juga ada yang bukan dari seusia kami, malah budak-budak pun layan.
Kalau dulu kita selalu berkata, ‘kenapa Hollywood boleh, kita tak boleh?’ Tetapi akhirnya perkara ini menjadi terbuka di dalam industri kita, saya rasa penonton kita pun sudah matang,” jelasnya.
Pengalaman Yang Membuka Mata Seorang Suami
Di sebalik populariti yang kembali meledak, pengalaman menguruskan anak-anak tanpa Lisa Surihani di sisi ternyata memberi pengajaran yang cukup bermakna kepada Yusry Abdul Halim.
Bukan sahaja menguji dirinya sebagai seorang bapa, malah pengalaman tersebut membuka ruang untuk beliau lebih menghargai pengorbanan seorang isteri dan ibu yang selama ini menjadi tunjang utama dalam menguruskan keluarga.
BACA LAGI : Yusry Kongsi Anak Sulung Genap 10 Tahun, Momen Manis Sebagai Seorang Ayah
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di





