Berita

Bapa Zayn Rayyan Dapat Hak Penjagaan Anak Kedua Tanpa Syarat

Share

Bapa kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Zaim Ikhwan Zahari memperoleh hak penjagaan terhadap anak keduanya tanpa sebarang syarat dan bon selepas Mahkamah Tinggi mengetepikan perintah Mahkamah Majistret sebelum ini.

Keputusan itu dibuat Hakim Suriyati Hasimah Mohd. Hashim selepas membenarkan rayuan yang dikemukakan Zaim Ikhwan, 31, berhubung perintah terdahulu bagi membolehkan kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu kembali ke pangkuan keluarga.

Kredit foto: Kosmo

Menurut Suriyati, mahkamah telah meneliti hujahan lisan kedua-dua pihak serta semua dokumen yang difailkan sebelum membuat keputusan berkenaan.

“Jika pihak responden tidak berpuas hati, rayuan boleh dikemukakan kepada mahkamah ini yang akan menyediakan alasan penghakiman terhadap rayuan itu.”

Prosiding tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Aida Mat Rifin sebagai responden, manakala Zaim Ikhwan diwakili peguam Lavanesh Haresh Mahadevan.

Zaim Ikhwan Fail Rayuan Demi Anak

Terdahulu, pada 2 Disember tahun lalu, Zaim Ikhwan memfailkan rayuan bagi membatalkan sebahagian keputusan Mahkamah Majistret yang sebelum ini memerintahkannya memenuhi 14 syarat berserta bon.

Selepas 18 bulan adik kepada Allahyarham Zayn Rayyan dijaga oleh nenek saudara termasuk pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mahkamah kini membenarkan kanak-kanak tersebut dipulangkan kepada bapanya.

Keputusan itu pastinya menjadi satu kelegaan besar buat Zaim Ikhwan sebagai seorang bapa. Setelah melalui tempoh yang panjang dan mencabar, peluang untuk kembali menjaga anak sendiri tentu membawa makna yang cukup besar buat keluarga ini.

ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf bersama adiknya

Ramai pihak turut berharap agar segala urusan berkaitan keluarga ini dapat berjalan dengan baik selepas keputusan mahkamah dibuat. Keutamaan sudah tentu tertumpu kepada kebajikan dan masa depan anak kecil tersebut.

Semoga anak kecil berkenaan membesar dalam suasana penuh kasih sayang, perlindungan dan perhatian daripada insan-insan yang menyayanginya.

Terdahulu, pada Oktober 2025, Ismanira Abdul Manaf dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengabaikan anak autistiknya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Hakim Dr Syahliza Warnoh memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan sebelum memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa serta-merta.

BACA LAGI : Doktor Dedah Zayn Rayyan Mati Dijerut Bukan Lemas

Sumber: Berita Harian