
Di sebalik ketegasan dan keberanian Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay sepanjang menjalankan amanah dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), ada insan yang setia menjadi tempat bersandar dan sumber kekuatannya. Insan itu ialah Zalena Mohd Ariffin, isteri yang sudah lebih tiga dekad mendampingi beliau dalam suka dan duka.
Lebih tiga dekad mendampingi suami, Puan Sri Zalena Mohd Ariffin mengakui dirinya banyak menyerap kecaman, kata-kata negatif dan fitnah yang dilemparkan terhadap bekas Timbalan Ketua Polis Negara itu agar suaminya kekal fokus terhadap tugas.
Menurut Zalena, perjalanan hidup bersama selama lebih 30 tahun membuatkan dirinya cukup mengenali peribadi, prinsip dan cara Ayob Khan menjalankan tanggungjawab.
Malah, mereka juga pernah sama-sama berkhidmat dalam PDRM, sekali gus memahami tuntutan serta tekanan dalam kerjaya berkenaan. Namun, pasangan ini mempunyai persefahaman untuk tidak mencampuri urusan profesional antara satu sama lain.

Zalena Mohd Ariffin: “Kadang-Kadang Saya Jadi Seperti Sponge”
Zalena mengakui bukan mudah apabila terpaksa mendengar pelbagai kecaman terhadap suaminya.
Ada kalanya, individu tertentu bercakap buruk mengenai Ayob Khan di hadapannya sendiri tanpa menyedari lelaki yang diperkatakan itu ialah suaminya.
“Kadang-kadang saya menjadi seperti ‘sponge’. Banyak kecaman, kata-kata negatif dan fitnah terhadap Ayob Khan yang terpaksa saya dengar dan terima.
“Malah, ada juga yang bercakap buruk mengenai Tan Sri di hadapan saya, sedangkan individu yang mereka perkatakan itu ialah suami saya.
“Sekalipun saya mendengar semua itu, saya tidak memberitahunya kepada beliau. Bagi saya, yang penting ialah saya mahu dia terus fokus terhadap tugas dan tanggungjawabnya,” katanya ketika ditemui pada majlis makan tengah hari bersama Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA).
Zalena turut memberitahu bahawa suaminya bukan seorang yang gemar membawa pulang segala tekanan dan masalah kerja ke rumah.

Risau Keselamatan Suami Dan Keluarga
Sebagai isteri kepada pegawai kanan polis yang pernah menggalas tugas berisiko tinggi, Zalena Mohd Ariffin tidak menafikan dirinya sentiasa bimbang terhadap keselamatan suami dan keluarga.
“Saya sentiasa risau tentang keselamatannya. Bukan sahaja dia, malah keselamatan keluarga juga.
“Memang ada ancaman, tetapi suami sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang kerjaya suaminya, Zalena memilih untuk terus berada di sisi dan memberikan sokongan tanpa menambah tekanan yang ditanggung Ayob Khan.
Selepas Kemo Ke-18, Tetap Hadir Temani Suami
Kesetiaan Zalena sekali lagi terserlah apabila beliau tetap hadir memberikan sokongan moral ketika Ayob Khan menerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1448H/2026 bagi kategori Tokoh Wira Negara.
Lebih menyentuh hati, Zalena Mohd Ariffin yang sedang menjalani rawatan kanser paru-paru tahap tiga baru sahaja selesai menjalani sesi kemoterapi ke-18 sehari sebelum majlis berkenaan.
“Semalam saya menjalani sesi kemoterapi yang ke-18. Saya bertanya kepada doktor sama ada boleh hadir ke majlis suami saya. Doktor kata boleh, asalkan saya memakai pelitup muka dan sentiasa menjaga kebersihan.
“Saya gagahkan diri kerana mahu memberikan sokongan moral kepada suami,” katanya.
Kecekalan Zalena hadir dalam keadaan kesihatan yang sedang diuji cukup menggambarkan eratnya ikatan pasangan ini selepas lebih tiga dekad melayari kehidupan bersama.

Pengiktirafan Buat Seluruh PDRM
Sementara itu, Ayob Khan menyifatkan pengiktirafan yang diterimanya bukan sekadar penghormatan peribadi, sebaliknya penghargaan buat seluruh warga PDRM.
Walaupun sudah menamatkan perkhidmatan, beliau berharap pengiktirafan itu mampu menjadi teladan kepada anggota pasukan untuk terus berkhidmat dengan penuh integriti dan dedikasi.
“Saya hanya dimaklumkan menerima anugerah ini empat hari lalu. Bagi saya, ini bukan untuk saya sahaja, tetapi PDRM.
“Terima kasih kepada pihak kerajaan kerana memilih saya untuk menerima pengiktirafan ini,” katanya.
Zalena Mohd Ariffin Jadi Benteng Di Sebalik Perjalanan Suami
Kisah Ayob Khan dan Zalena membuktikan bahawa di sebalik kejayaan seseorang, sering ada insan yang memilih untuk berdiri teguh di belakangnya.
Lebih tiga dekad bersama, Zalena Mohd Ariffin bukan sahaja menjadi isteri, tetapi juga ‘benteng’ yang menyerap tekanan, kecaman dan kebimbangan agar suaminya terus kuat menjalankan amanah. Kini ketika dirinya sendiri sedang melalui ujian besar, beliau masih memilih untuk berada di sisi insan tercinta.
BACA LAGI : Aiman Hakim Ridza Nasihat Isteri, “Saya Tekankan Tentang Keperibadian, Bukan Semata-Mata Pemakaian”
Sumber : Harian Metro
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di

