Revolusi gaya rumah serba moden nyata makin digilai wanita zaman sekarang. Sebolehnya kita berusaha nak nampakkan rumah dengan gaya moden. Mungkin nampak lebih selesa dan cantik serta tak sarat barat gaya hiasannya. Sederhana.

Tapi nak sempurnakan konsep yang satu ni harus ada ilmu dan paling penting sedikit bajet untuk lengkapkan konsep yang dimahukan. Sepuluh elemen ini ibu-ibu wajib tahu ketika nak menghias.

Gaya moden dilihat lebih ringkas gaya susun aturnya dan paling penting nampak cantik serta bertahan lama. Tak lapuk dek zaman. Bagi menjadikan syurga anda bercitarasakan moden, apa elemen yang perlu ada? Begini caranya.

1. Bentuk Ringkas
Paling utama gaya moden dilihat daripada senibina bangunan dan rekaan yang bersifat ringkas. Tidak menjurus kepada mana-mana bentuk tetapi ringkas. Kalau ada bajet lebih, bolehlah ubah rumah kita yang sedia ada supaya nampak lebih ringkas.

 

2. Cat
Itu cerita luar rumah. Hiasan dalam rumah moden juga tidak keterlaluan. Cat adalah perkara paling utama kita nampak ketika masuk ke sesebuah rumah. Nak nampak moden, jangan cat rumah dengar warna sembarangan.

Banyak kajian mengatakan supaya elakkan warna hijau, ungu atau oren di dalam ruang tamu. Pemilihan warna asas putih dan hitam, elemen warna bumi sebagai gabungan sekunder dan warna tertier yang dramatik adalah citarasa moden.

3. Perabot Kena Ringkas
Selain cat, perabot pun memainkan peranan. Elakkan pakai sofa dan perabot lain dengan kemasan yang sarat dan berkerawang. Pilih sahaja rekaan perabot yang ringkas tanpa kemasan sarat dengan pemilihan elemen warna yang bersesuaian konsep.

4. Besi, Kaca & Cermin
Kalau nak nampak lagi moden, waktu pilih gaya hiasan suntik sedikit elemen besi, kaca atau cermin dalam rumah. Mungkin boleh pakai sofa dengan besi di bawahnya atau besi pada pencangkuk langsir dan bingkai gambar. Pasu berkaca telus pandang yang besar misalnya menampakkan gaya moden.

Cermin besar di ruang yang sempit buat serlah ilusi moden. Nak tambah moden kontemporari, campurkan sedikit elemen kayu-kayuan.

5. Tukar Pencahayaan
Pencahayaan juga kena tepat. Rumah citarasa moden selalunya jarang gunakan pencahayaan terus seperti lampu kalimantang. Tukarlah pencahayaan asas downlight digabung pencahayaan aksen warna warm light. Mood pasti berubah.

6. Hiasan Dinding
Kena berani dan tak kekok menampal pelbagai hiasan pada dinding. Tapi janganlah gantung gambar yang kurang sesuai. Berikan nafas moden ikutkreativi sendiri seperti gambar hitam putih. Nak buat sendiri corak geomatrik pun boleh.

7. Langsir Tanpa Corak
Langsir pun memainkan peranan penting. Jangan pakai langsir yang sarat dengan corak. Less is more. Gunakan warna polos dan moden sepertikelabu, putih atau warna pastel. Kalau suka warna terang, kena berani mainkan warna dinding supaya lebih seimbang.

8. Kabinet Ringkas
Kalau di dapur, kabinet citarasa moden memang selalu jadi pilihan. Warna ringkas seperti hitam dan putih menampakkan gaya ekslusif dan moden.

Nak cantik lagi, jangan pakai warna yang banyak di dapur, baik pada kabinet dan keseluruhan perkakasan seperti pinggan mangkuk dan gaya hiasan lain.

9. Teknologi
Teknologi kenalah seiring. Di dapur, kalau dah pasang kabinet, gunakanlah dapur moden dengan hud lengkap serta dapur rata berkaca yang selari. Tapi terpulanglah pada kemampuan anda.

10. Bunga Segar
Kalau suka dengan bunga, elakkan bunga jenis artificial atau jenis plastik. Bunga segar lebih menampakkan gaya alami dan moden. Tapi kalau anda bukan kategori yang rajin nak menjaga, boleh sahaja gunakan artifical tetapi belilah jenis bunga yang nampak mahal. Belanja lebih sedikit untuk nampak cantik.

 

Tinggalkan Komen