Sepanjang pembabitan di dalam dunia politik, pelbagai rintangan dan dugaan hidup didepaninya dengan kesabaran.

Bukan sedikit namun cukup besar, calang-calang orang tidak mampu berada di tempatnya. Dialah pemimpin, dialah isteri dan dialah juga ibu yang cekal, tabah dan berhati waja.  Nyata, nama Datuk Seri Dr Wan Azizah cukup disegani dan  dikagumi oleh wanita dan ibu-ibu di luar sana. Melihat dirinya dan cuba menyelami isi hatinya sebagai seorang mama kepada enam cahaya mata.

“Kehidupan saya tidak ada apa-apa yang luar biasa. Sama seperti wanita lain, juga pasti ada musibah, rintangan dan dugaan berbeza-beza.  Kadang-kadang  ada juga saya terlintas di fikiran  tentang setiap ujian yang datang. Lantas apabila  saya membaca dan memahami suruh Mulk ayat 1-5 barulah saya benar-benar mengerti. Itu saya jadikan pegangan, walau apa yang berlaku semua itu adalah ujian Allah terhadap hambanya. Saya bukan malaikat, saya ada masalah, kelemahan, kesilapan dan akhirnya Allah jualah tempat kita memohon pengampunan,” ujarnya dengan ikhlas di awal bicara sambil melemparkan senyuman manis.

“ Dalam mencari sumber inspirasi dan kekuatan hidup ini, saya akui anak-anak dan suami adalah kekuatan saya. Cinta, kasih dan sayang memang teguh di hati saya untuk keluarga ini. Saya perlu bangkit bagi membela suami dan anak-anak saya. Fikirkan untuk masa depan dan menjalankan tanggungjawab saya sebagai mana yang diamanahkan oleh suami. Hidup ini sementara dan akhirnya kembali kepada Allah jua.”

“Jika ingin diimbau  zaman anak-anak masih kecil, memang cukup membahagiakan. Pun begitu, saya tidaklah sentimental orangnya. Bagi saya hidup ini adalah perjalanan dan apa yang telah kita lalui bersama,  semua itu alhamdulillah. Dan setiap rintangan yang mendatang, kita sama-sama jugalah atasinya.

Kongsi rahsia

Mencungkil rahsia penjagaan kecantikan buat wanita kelahiran Singapura ini yang kini telah pun berusia 65 tahun, malah menjadi Tok Wan kepada sembilan orang cucu. Karakternya kekal cantik dan bergaya ringkas sama seperti dahulu.

“Satunya jagalah personaliti. Dulu suami saya pernah berkata dalam nada seloroh kepada saya, katanya kalau I gemuk dia  kahwin lain. Jadi saya percaya setiap suami mahukan seorang isteri yang pandai menjaga penampilan.

Pun begitu suami perlulah juga menghargai isteri, suami ini adalah tempat kita bergantung harap dan kasih dengan kita. Bila hal keterampilan, saya akui juga memang bukan mudah untuk direalisasikan sepanjang waktu.

Maklumlah bila seharian kita dengan anak-anak, memang susah nak bagi penampilan yang sempurna setiap masa. Dan bila suami balik, kita hendak terus bercantik-cantik, memang sukar.

Suami pula tengok perempuan di luar cantik-cantik. Jadi jika ini situasinya,  sebenarnya suami dan isteri adalah sebagai satu unit. Perlu bekerjasama untuk pastikan rumah tangga bahagia. Sebagai isteri kita harus berdoa, ini semua ujian masing-masing. Suami ujiannya begitu, isteri pula ujiannya begini. Suami perlu ada iman,” ujarnya sambil berpesan agar suami di luar sana dapat menyanjung dan  menyayangi isteri selayaknya.

“Selain itu, untuk penjagaan kesihatan kena jagalah daripada aspek pengambilan makanan. Elak ambil makanan yang syubhah, sebab saya akan rasa sakit kepala jika termakan makanan yang syubhah. Kalau termakan sikit sekali pun. Saya akan sakit teruk, sampai akan termuntah-muntah. Jadi saya jaga setiap makanan yang diambil. Jika badan yang sakit, bukan orang lain rasa. Kita juga yang menanggungnya. Jadi saya sangat pentingkan penjagaan kesihatan,” tambahnya lagi.

Tidak dengan itu, ibu berpersonaliti lemah lembut ini juga tidak lokek  berkongsi tip dalam penjagaan kulit wajah. Siapa sangka, ianya cukup simple dan bersahaja.

“Manakala dalam hal penjagaan kecantikan kulit wajah, saya pula tidaklah begitu cerewet. Apa yang saya tekankan pada pemilihan produk mestilah bersumberkan bahan-bahan asli. Kalau siapa perasan, hidung saya sering nampak sedikit berminyak dan berkilat.  Jadi saya gunakan bedak. Itu sahaja cukup ringkas tidaklah perlu banyak masa untuk bersiap. Lagi pun, menjadi isteri Anwar Ibrahim, sedikit sebanyak mempengaruhi cara saya berhias. Di mana saya perlu bergerak pantas. Bila dia bagi tahu, “Ezah I nak keluar”. Jadi saya perlu bergerak cepat seiring dengannya,” ujarnya lagi dengan panjang lebar.

Setiap hari adalah Hari Ibu

IKLAN

Berbicara tentang sambutan Hari Ibu, kebiasaan anak-anak akan meraikannya dengan pelbagai cara. Ada yang sekadar menzahirkan ungkapan rasa kasih dan sayang buat ibu tercinta,  malah ada juga yang meraikan dalam suasana meriah sebagai bukti tanda penghargaan anak-anak di atas pengorbanan ibu selama ini. Namun bagi keluarga Datuk Seri Dr Wan Azizah, setiap hari adalah hari ibu baginya.

“Untuk kami sekeluarga, hari ibu adalah setiap hari. Mungkin ada keluarga lain menjadikan satu hari yang  istimewa untuk anak menghargainya. Tetapi di dalam keluarga kami, telah diserap  nilai pada anak, bahawa ibu ini harus dihargai, dihormati dan disanjung setiap waktu.

Sambutan yang khusus ada juga sekali sekala diraikan. Anak-anak yang buat tapi bukan saya yang rancang. Umpamanya ada satu masa itu, kami pergi makan malam sekeluarga termasuk menantu dan cucu-cucu. Memang ramai dan suasananya cukup meriah.

Bab  hadiah pula itu bukanlah keutamaan. Kadang-kadang anak-anak bagi, kadang-kadang tidak ada pun. Apa yang lebih menyeronokkan saya ketika makan malam tersebut kami dapat berkumpul bersama dan sebelum makan suami membacakan doa untuk kebahagiaan keluarga. Nampak ringkas namun cukup bermakna bagi saya,”ceritanya lagi dengan mesra dan akui masa bersama keluarga adalah terhad.

Memahami corak pembahagian masa seorang ahli politik, semestinya berbeza dengan orang biasa. Masanya banyak dihabiskan untuk kepentingan negara, bangsa dan agama. Bukan sahaja dari pihak Datuk Seri Dr Wan Azizah sendiri, malah salah seorang anaknya iaitu Nurul Izzah juga terlibat di dalam dunia politik yang sama. Semestinya membuatkan ahli keluarga ini tidak punya banyak masa terluang.

“Saya tidaklah pandai bahagikan masa. Sebabnya saya ikut apa yang telah diaturkan. Tugas-tugas yang diberikan kebanyakan staf akan buatkan. Jika mana saya tidak dapat mengatasinya saya akan mintak maaf. Boleh dikatakan, saya ini macam Cinderella. Tepat jam 12 malam, saya mesti pulang. Kurang pada itu lebih baik.

Jujur saya katakan, kami tidak banyak masa untuk melakukan aktiviti bersama-sama. Lebih-lebih lagi waktu ini bila anak-anak telah besar dan punya keluarga sendiri. Lainlah ketika waktu mereka kecil-kecil dahulu. Boleh dikatakan setiap waktu makan malam, suamilah paling bising memanggil anak-anak untuk berkumpul di meja makan. Dia akan pastikan agar semuanya duduk semeja barulah boleh makan,” katanya lagi.

Pun begitu, walau dihimpit dengan waktu yang terhad. Tidak sedikit pun membatasi tanggungjawab dan keakraban seorang  ibu dengan anak.

“Cumanya bila lepas sorang-sorang anak berkahwin, saya lebih rapat dengan Hana. Izzah sebagai anak sulung, dia banyak memberi saya kekuatan semasa bapanya disingkirkan pada tahun 1998. Izzah jugalah yang menemani saya ke sana ke sini dan Hana ketika itu baru berusia 6 tahun.

IKLAN

Bagi saya anak adalah amanah yang harus di tarbiah. Sebagai ibu bapa perlu lakukan yang sebaiknya. Berdoalah dan doa ibu itu adalah makbul. Ingat lagi saya masa Nurul Izzah kecil. Saya ajar mengaji dan solat. Setiap satu ayat bacaan solat saya ucapkan kepadanya agar dia faham menyebutnya. Kini saya lakukan cara yang sama dalam mendidik cucu-cucu saya.

Sumber: Majalah Keluarga Edisi Khas Hari Ibu Mei 2017

 

 

 

 

 

 

IKLAN

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI